Wednesday, January 2, 2008

Panduan memperkasa belia Muslim

Panduan memperkasa belia Muslim
Oleh Burhanuddin Abdul Jalal
BELIA adalah aset negara yang penting dalam pelbagai aspek pembangunan kepada umat Islam dan insan sejagat.
Kekuatan dan kelemahan sesuatu bangsa, umat dan manusia secara global amat bergantung kepada golongan belia yang merupakan sebagai pewaris kesinambungan pembangunan politik, ekonomi, sosial, pendidikan, teknologi dan sebagainya yang dikembangkan melalui institusi pendidikan di pelbagai peringkat nasional dan antarabangsa.
Selain itu, Islam menyarankan golongan belia menggunakan segala keupayaan dan potensi yang ada pada mereka untuk pembangunan intelektual, sahsiah, roh dan jasmani. Pembangunan belia menjadi lebih penting lebih-lebih lagi apabila dunia Islam kini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang boleh melemahkan intelektual, jasmani dan pegangan akidah hasil dari perubahan sosial dan arus globalisasi.
Memperbaiki
Dalam usaha untuk memperbaiki imej dan kualiti hidup umat Islam, pembangunan belia dalam pelbagai aspek seharusnya menjadi agenda utama umat Islam. Golongan belia perlu diajak bersama dalam menggembleng tenaga dan fikiran bagi memacu pembangunan negara, agama dan bangsa. Bukannya terperangkap dalam kemelut masalah sosial yang membawa kehancuran ummah dan negara.
Sejarah penyebaran dakwah Islamiah telah membuktikan bahawa peranan golongan belia amat penting dan diperlukan seperti mana yang telah dilakukan oleh Ali Abu Talib dan Asma’ Binti Abu Bakar.
Menyedari hakikat kepentingan golongan belia sebagai pewaris umat Islam yang akan mencorakkan dan menentukan hala tuju umat Islam pada masa hadapan, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengambil inisiatif mengadakan Seminar Antarabangsa Dakwah dan Pembangunan Belia, yang diadakan pada 10 dan 11 September lalu.
Buku ini merupakan prosiding seminar yang dimaksudkan dengan memaparkan pelbagai kertas kerja yang berkaitan dengan isu dakwah dan belia.
Pelbagai tajuk dibincangkan dalam buku ini khususnya berkaitan peranan dan sumbangan belia dalam membangunkan tamadun manusia, masalah dan cabaran yang dihadapi dalam konteks pembangunan insan para belia serta membincangkan pelaksanaan dalam pembangunan modal insan belia.
Antara tajuk-tajuk kertas kerja yang terdapat dalam buku ini ialah:
* Persediaan belia dan beliawanis Muslim dalam melaksanakan aktiviti masyarakat.
* Potensi blog kepada belia sebagai medium agama di alam siber.
* Falsafah dan amalan program sosialisasi belia menurut Islam.
* Pembangunan belia berintegriti berlandaskan wahyu di kalangan umat Islam di Malaysia.
* Peranan persatuan belia dalam perkembangan sahsiah remaja.
* Pengukuhan kefahaman belia terhadap prinsip-prinsip Islam dalam Perlembagaan Malaysia.
Selain itu terdapat juga kajian berhubung masalah-masalah yang sering berlaku di kalangan para remaja dan belia khususnya para pelajar lepasan sekolah menengah.
Kajian bertujuan mengetahui faktor yang menyumbang berlakunya masalah gengsterisme, dadah atau pun masalah sosial yang lain. Antara faktor yang melibatkan masalah-masalah negatif pada golongan belia ialah kurangnya pendidikan agama, sikap agresif dalaman belia, pengaruh media dan sekeliling, faktor rakan sebaya dan juga kelemahan dalam penguatkuasaan disiplin di sekolah ataupun kelemahan kawalan ibu bapa.
Sesungguhnya kandungan buku ini amat bermanfaat kepada para pelajar, penyelidik, pendakwah, aktivis dan para pemimpin persatuan belia di negara ini.
Judul buku: Dakwah dan Pembangunan Belia Islam
Editor: Dr. Abdul Ghafar Hj. Don, Dr Badlisham Mohd. Nasir, Dr. Ideris Endot dan Dr. Muhammad Redzuan Mohd. Yunus.
Penerbit: Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tahun terbit: 2007.
Harga: RM25.
ISBN: 983-9878-94-3.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .