Saturday, August 22, 2009

1MALAYSIA 1UMAT

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Perdana Menteri Malaysia dan kerajaan kini sedang melaksanakan kempen 1Malaysia yang mempunyai matlamat ke arah membina perpaduan dan kekuatan yang unggul di kalangan sluruh rakyat Malaysia. Namun bagi kita umat Islam satu aspek yang perlu turut dilakukan dalam menjayakan matlamat 1Malaysia ini ialah membina kesatuan umat Islam. Kesatuan umat Islam mesti dikembalikan. Pernah kita membayangkan bahawa umat Islam akan bersatu kembali dan mempunyai kekuatan jiwa yang satu? Untuk itu kita perlu melakukan perubahan dalam diri kita dan tidak lagi bersikap ego dan mementingkan diri sendiri semata-mata. Ini adalah kerana Islam merupakan agama yang menyatukan ummah yang berteraskan keesaan dan ketauhidan Allah SWT. Di samping itu terdapat empat teras yang dapat menyatukan umat Islam.

Pertama: Kesatuan umat. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud,
”Sesungguhnya agama Islam Inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka Sembahlah kamu akan daku”.



”Dan Sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu - agama Yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertakwalah kamu kepadaKu”.


Kedua: Mencintai negara atau tanah air. Mencintai negara atau tanah air adalah sebahagian dari iman. Ketika Rasulullah SAW hendak meninggalkan Makkah, Baginda memandang kota Makkah dengan mata yang berlinang dan seterusnya Baginda bersabda yang bermaksud,

“ Sesungguhnya engkau adalah tanah yang paling aku cintai. Andai kata penduduknya tidak mengusir aku, tentu aku tidak akan meninggalkan mu selamanya”

Ketiga : Keluarga. Allah SWT menyuruh kita berbuat baik kepada ibu bapa, kaum keluarga dan sentiasa menjaga hubungan silaturahim dengan keluarga dan adik-beradik.

Keempat: Jiran tetangga. Dalam perkara ini Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,


“ Jibrail sentiasa mengingatkan dengan jiran, hingga aku mengira ia menjadi ahli waris sepeninggalanku”

Berdasarkan empat teras yang sebutkan iaitu umat, tanah air, keluarga dan jiran ia merupakan teras yang rapat dan saling berkaitan. Oleh yang demikian, mengapakah umat Islam masih saling berpuak- puak. Apakah disebabkan perkara-perkara tersebut kita saling bercakaran dan masih dengan keegoan masing-masing? Ini berbeza dengan masyarakat Eropah yang bersatu di bawah kuasa ekonomi EU, bersatu dalam mata wang Euro dan penggunaan visa yang sama. Bahkan mereka menamakan negara-negara mereka dengan Kesatuan Eropah. Ternyata negara-negara Barat telah melakukan prinsip-prinsip perubahan dan mengembangkannya. Walaupun negara Barat masih berbeza dalam beberapa hal, tetapi Barat telah mendapat tempat dan kedudukan yang dihormati di kalangan negara-negara di dunia di atas usaha-usaha yang telah mereka lakukan.

Sementara itu kita masih disibukkan dengan kepentingan individualistik. Generasi muda sentiasa berfikir untuk membebaskan diri dari kongkongan keluarga. Mereka hanya bergaul dengan rakan-rakan sebaya dan dalam kelompoknya sahaja atau duduk di hadapan komputer tanpa berinteraksi atau berkomunikasi dengan orang lain atas nama tidak mahu diganggu atau mengganggu orang lain. Begitulah sikap egoisme yang berlaku d kalangan umat Islam dan generasi muda Islam pada hari ini. Sesungguhnya Islam menentang sikap egoisme yang tidak membawa faedah kepada umat dan kemajuannya.

Monday, August 17, 2009

MENGHAYATI PENGERTIAN IHSAN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Ramai di kalangan kita yang telah menghadiri program ESQ yang dipopularkan oleh pakar motivasi dari negara jiran. Penekanannya adalah untuk menghayati 1 rukun ihsan 6 rukun iman dan 5 rukun Islam. Apa itu ihsan?
Ihsan merupakan tahap kesempurnaan dalam akhlak Islam, tetapi akhlak ini telah mulai hilang dari akhlak kita. “Ihsan itu ialah bahawa "kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu." (Pengertian berdasarkan hadis riwayat Muslim daripada Umar bin Khattab) Yakni, mengabdikan diri kepada Allah hendaklah dengan perasaan seolah-olah anda melihat-Nya dan jika anda tiada perasaan melihat kepada-Nya, maka hendaklah anda merasa bahawa Allah melihatmu. Maksudnya: ikhlas dalam beribadah atau ikhlas melaksanakan Islam dan Iman.

Melakukan perubahan bukanlah sesesuatu yang mudah seperti memetik suis lampu dan perubahan akan berlaku dengan pantas. Perubahan adalah sesuatu yang sukar dan ia memerlukan kesungguhan untuk mengubah sesuatu perkara yang diperlukan. Meskipun bukan mudah tetapi ia boleh dilakukan dan bukanlah sesuatu mustahil.

Ayat dan dalil tentang ihsan

Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya”.

” Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;


”Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmanNya): ahli neraka menyeru ahli syurga (dengan berkata): "Limpahkanlah kepada Kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu". mereka (Ahli syurga) menjawab: "Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir".




”Tidaklah patut bagi penduduk Madinah dan orang-orang yang di sekeliling mereka dari orang-orang "A'raab" ketinggalan daripada (turut berperang bersama) Rasulullah; dan tidaklah patut mereka mengasihi diri mereka sendiri dengan tidak menghiraukan Rasulullah. Yang demikian kerana Sesungguhnya (Tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (Tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (Tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh - melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.







”Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya”.



Ternyata Allah memberikan ganjaran yang terbaik dalam melakukan kerja-kerja kebajikan. Seseorang yang melakukan kebajikan akan merasakan keakraban dengan Allah SWT dan rahmat Allah amat dekat dengan mereka. Firman Allah yang bermaksud,

“Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan Segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. mereka itulah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya”

Kepercayaan diri yang semakin hilang

Ihsan merupakan komponen yang meliputi aspek pengetahuan, pengurusan, orientasi dan sistem. Banyak aspek yang perlu dipenuhi untuk menjadi yang terbaik. Pada hari ini terdapat banyak barang-barang tempatan di pasaran dan kita terdapat juga barang-barang import. Kita sudah tidak lagi membeli barang-barang yang diimport. Mengapa perkara ini berlaku? Kita sudah kehilangan kepercayaan terhadap barang-barang import dan lebih percaya kepada barang-barang tempatan. Sesungguhnya barang-barang tempatan telah mencapai piawaian dan mutu yang telah memenuhi kepercayaan, kehendak dan cita rasa kita. Ternyata ini telah menepati apa yang Allah telah perintahkan.


Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.

Oleh yang demikian, kita perlu menjadi yang terbaik dan menjadi profesional dalam kegiatan dan urusan kerja yang dilakukan sehingga umat akan bangkit menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang serta menepati Penunjuk prestasi utama (key performance index - KPI) yang telah ditetapkan.

Sunday, August 9, 2009

SALAM DAN UKHUWAH

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Ukhuwah dan kasih sayang atas nama Allah tidak hanya mendapat ganjaran di akhirat semata-mata, tetapi ia juga merupakan satu aspek peningkatan kualiti iman. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah merupakan penguat simpul-simpul keimanan” .Ini bermaksud setiap individu Muslim perlu mencintai Muslim yang lain kerana Allah dan membenci kaum kafir munafik kerana Allah.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Dua orang Muslim yang bertemu kemudian bersalam , maka mereka mendapat keampunan sebelum mereka berpisah” .

Ternyata begitu banyak sekali kebajikan yang boleh dilakukan dalam Islam serta ia mendapat keampunan dan rahmat dari Allah SWT. Dengan hanya menyapa dan bersalam dengan saudara seagama Allah memerikan rahmat dan keampunan kepada kita, sesungguhnya ini semua anugerah Allah yang amat besar dan indah!

Rasulullah SAW selalu mendidik dan mengajar para sahabat agar sentiasa kasih mengasihi antara satu sama lain. Pendidikan atau tarbiah ini telah dibuktikan seperti kisah Abdul Rahman bin Auf dari kalangan orang muhajirin dengan Saad bin Rabi dari kalangan orang Ansar. Apakah yang telah dilakukan oleh Saad kepada Abdul Rahman? Dalam peristiwa hijrah, Nabi dan para sahabat berhijrah dengan tidal membawa apa-apa harta atau keluarga. Kemudian Saad berjumpa Abdul Rahman dan berkata, “saudaraku, rumah, kekayaan, pakaian dan seluruh harta milikku akan aku bahagi dua. Separuh untuk aku dan separuh untuk engkau”. Kata Saad kepada Abdul Rahman.

Ternyata kisah di atas amat mengharukan. Jelas kepada kita bahawa kedua-duanya tidak pernah kenal di antara satu sama lain, tidak mempunyai hubungan kekeluargaan atau apa-a-apa kepentingan, tetapi oleh kerana kesan dari tarbiah dan didikan Rasullah, Saad telah melakukan sesuatu yang amat dituntut oleh Islam.

Oleh itu apakah yang membezakan generasi kita pada hari kini dengan generasi sahabat? Generasi sahabat embaca al-Quran dan mendengar hadis nabi lalu melaksanakannya. Ini seperti yang telah diperingatkan oleh Allah;

“ Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”


Generasi pada hari ini mendengar dan membaca al-Quran serta hadis nabi, tetapi mengiakan secara pasif dan tidak menghayati apa yang telah Allah firmankan,


“ Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara”.


Mas’ab bin Umair yang telah masuk Islam menyertai perang Badar, sedangkan saudaranya yang masih kafir berada dalam pasukan tentera kafir Quraisy. Kemudian saudaranya itu telah ditawan oleh tentera Islam.

Ketika melawat kumpulan tentera kafir Quraisy yang tertawan, Mus’ab terserempak dengan seorang Ansar yang sedang mengikat saudaranya itu, dan kemudian Mus’ab berkata, “ ikatlah kuat-kuat, kerana ia memiliki ibu yang kaya dan akan menebusnya walau berapa mahal tebusannya”. Kata Mas’ab. Saudara Mas’ab yang diikat itu terkejut dengan ucapan yang dikeluarkan oleh Mas’ab. “Inikah kelakuan kamu terhadap aku, saudara kamu sendiri?” . “Dia saudara aku (merujuk kepada orang Ansar itu) bukan kamu”. Tegas Mas’ab. “ Saudara seagama dan seakidah”.

Ternyata Mas’ab amat meyakini ajaran Rasulullah bahawa ikatan ukhuwah lebih tinggi dari sekadar ikatan kerabat dan darah. Apakah nilai ini terdapat dalam diri kita? Adakah diri kita merasakan sesuatu apabila melihat saudara-saudara seagama kita dilanda musibah dan kesusahan? Adakah kita telah menyatakan , “rumahku telah ranap, anakku sakit, hatiku hancur melihat segala kemusnahan saudarku ini”. Jika belum, tentunya kita dapat mempelajari kisah Mas’ab yang menjelaskan bahawa setiap Muslim yang lain adalah saudara kita juga.

Tuesday, August 4, 2009

APA ITU H1N1 ATAU SELSEMA BABI?

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Apa itu H1N1 atau Selsema Babi?
Selalu dengar tapi tak tahu ertinya.. Mari kita tahu ringkasan apa yang wabak yang manusia satu dunia takut.
“H” bermaksud Hemagglutinin protein
“N” bermaksud Neuraminidase protein

H1N1 adalah sejenis spesis dalam golongan Influenza A virus.Telah mengalami pelbagai jenis mutasi dan hidup dalam badan manusia dan haiwan. Terdapat 16 jenis avian lain lagi.
Bulan April 2009 yang dilaporkan 80 orang telah terkorban dan 1500 seluruh dunia telah dijangkiti. Macam bahaya sungguh virus ini. Masa wabak Selsema Burung dulu pun ramai yang terkorban, tapi penyakit selsema burung tersebar melalui burung.
Oleh yang demikian, Selsema Babi adalah penyakit pernafasan dan selsema berpunca dari virus selsema jenis A yang biasanya menjangkiti babi. Selsema babi boleh menyebabkan kesakitan yang teruk dan kematian kepada babi. Penyakit ini (type A H1N1 virus) buat pertama kalinya dikesan menjangkiti babi pada tahun 1930.

Adakah manusia boleh dijangkiti selsema babi?
Dulu selsema babi jarang menjangkiti manusia NAMUN kini penyakit selsema babi giat menular di kalangan manusia. Kebiasaannya selsema babi wujud di kalangan manusia disebabkan manusia terdedah terhadap babi seperti mereka yang bekerja di dalam industri penternakan babi.

Secara ringkas, selsema babi merebak melalui 2 cara:-
* Terdedah dengan babi yang dijangkiti atau persekitaran yang mempunyai virus selsema babi.
* Melalui orang lain yang telah dijangkiti selsema babi. Cara penyebaran penyakit selsema babi diantara manusia dengan manusia sama dengan penyebaran selsema biasa iaitu bersin atau batuk.

Apakah simptom (tanda-tanda) selsema babi kepada manusia?
Ianya lebih kurang sama dengan selsema yang lain. Antara tanda-tanda selsema babi itu termasuklah demam, kurang selera, batuk, keletihan, sakit kerongkong, hidung berair, rasa loya, muntah-muntah dan cirit birit.

Adakah manusia boleh menghidap selsema babi dengan memakan daging babi?
Tidak. Selsema babi tidak berjangkit melalui makanan. Makanan (daging babi) yang dimasak melebihi 160°F akan membunuh semua virus termasuk virus selsema babi.

Bagaimana selsema babi merebak?
Selsema babi merebak melalui pemindahan virus dari babi kepada manusia dan manusia kepada babi.. Manusia lebih mudah dijangkiti selsema babi sekiranya mereka berdekatan dengan babi yang dijangkiti sebagai contoh penternak babi ataupun mereka yang tinggal berhampiran dengan kawasan penternakan babi. Perpindahan virus melalui sesama manusia juga boleh berlaku. Sama seperti selsema biasa ia boleh berjangkit melalui batuk atau bersin orang yang dijangkiti selsema babi. Kita juga boleh dijangkiti sekiranya tangan kita tersentuh virus tersebut dan kemudian kita menyentuh hidung atau mulut sendiri.

Adakah H1N1 virus selsema babi sama dengan H1N1 virus selsema manusia?
Tidak. Kerana itu vaksin untuk selsema manusia yang biasa tidak akan dapat melindungi atau menyembuhkan jangkitan selsema babi.

Bagaimana selsema babi dapat dikesan?
Untuk mengesan jangkitan selsema babi jenis A, spesimen pernafasan perlu diambil di antara 4 hingga 5 hari pertama dijangkiti. Tapi bagi sesetengah orang khususnya kanan-kanak virus hanya boleh dikesan pada hari ke10 jangkitan. Spesimen pernafasan perlu dihantar ke makmal bagi menentukan samaada terdapat jangkitan atau tidak.

Berapa lamakah seorang yang dijangkiti berupaya menyebarkan virus kepada orang lain?
Orang yang dijangkiti selsema babi berpotensi menyebarkan virus selsema babi selagi dia menunjukkan tanda-tanda jangkitan dan mampu menyebarkannya sehingga 7 hari berikutnya. Namun, kanak-kanak berupaya menyebarkan jangkitan lebih lama dari jangkamasa di atas.

Bagaimana saya boleh melindungi diri saya daripada dijangkiti?
Ada beberapa langkah harian yang perlu dipatuhi untuk mengelakkan jangkitan selsema babi:-
* Tutup mulut dan hidung anda dengan tisu apabila batuk atau bersin. Buang tisu itu ke dalam tong sampah selepas digunakan.
* Basuh tangan dengan kerap menggunakan sabun lebih-lebih lagi selepas anda batuk atau bersin. Menggunakan pembersih tangan berasaskan alkohol juga berkesan.
* Elakkan dari berhubung secara terus dengan orang yang berjangkit.
* Sekiranya anda dijangkiti selsema, duduk di rumah dan jauhkan diri dari tempat kerja, sekolah atau orang ramai bagi mengelakkan anda menjangkiti mereka. Elakkan juga menyentuh mata, hidung dan mulut anda kerana ia boleh menyebarkan virus.

Antara tanda-tanda amaran yang memerlukan rawatan segera bagi kanak-kanak termasuk:-* Bernafas dengan cepat atau kesukaran bernafas.
* Kulit menjadi kebiru-biruan* Tidak minum air yang secukupnya
* Tidak bangun dan tidak berinteraksi
*Jangkitan selsema semakin baik namun berganti dengan demam dan batuk yang teruk
* Demam dengan ruam

Antara tanda-tanda amaran yang memerlukan rawatan segera bagi orang dewasa termasuk:-
* Kesukaran bernafas atau nafas menjadi pendek -pendek
* Sakit dan tekanan pada dada.
* Letih secara tiba-tiba
* Keliru
* Kekerapan muntah

Semoga maklumat ini dapat membantu kita dan berwaspada dari penyakit atau jangkitan yang ditakuti ini. Marilah kita bermunajat kepada Allah supaya dijauhi dari penyakit ini.

H1N1 - MUSIBAH DARI ALLAH ?

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

KINI virus H1N1 atau yang dikenali sebagai selsema babi sedang melanda dunia. Ramai di kalangan kita yang khuatir dan risau tentang wabak ini. Di negara kita Malaysia, ramai yang telah disyaki mengidap selsema ini dan telah ada yang telah meninggal dunia, sementara angka kematian yang disebabkan virus ini kian meningkat diseluruh dunia. Adakah ini satu musibah atau bencana yang didatangkan oleh Allah kepada manusia? Sejarah telah membuktikan bahawa terdapat umat-umat terdahulu dibinasakan oleh Allah SWT disebabkan maksiat yang dilakukan. Iblis diusir oleh Allah SWT dari syurga adalah disebabkan maksiat yang dilakukan begitu juga kisah umat Nabi Noh yang tenggelam dilanda banjir juga kerana maksiat. Firman Allah SWT,

Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan”
Allah SWT menenggelamkan Firaun dan tentera-tenteranya juga kerana maksiat dan dosa-dosa yang dilakukan. Firman Allah SWT,

” Dengan sebab itu Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya serta Kami humbankan mereka ke Dalam laut; maka perhatikanlah Bagaimana buruknya kesudahan orang-orang Yang zalim”.


Begitu juga yang berlaku terhadap kaum Lut yang mengingkari hukum dan ketetapan Allah. Orang-orang lelaki dari kaum Lut mengamalkan seks songsang sesama lelaki iaitu liwat atau homoseksual. Perbuatan ini amat dilaknat oleh Allah SWT. Allah SWT telah menghantar malaikat Jibrail kepada kaum Lut dan Malaikat Jibrail menggunakan hujung sayapnya mengangkat perkampungan mereka dan menghempaskan kembali ke bumi. Firman Allah SWT,

”Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus Segala yang ada di muka buminya), dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar”
Selain dari itu, Allah SWT juga telah melenyapkan Kaum Ad dan kota mereka yang hebat itu. Allah SWT menjelaskan,

“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.”

Selanjutnya apakah kita tidak mengambil iktibar terhadap musibah akibat dari maksiat yang dilakukan oleh kaum Bani Israil. Allah SWT telah memberikan gambaran tentang hukuman yang dikenakan terhadap Bani Israil. Allah berfirman,


“ Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di Segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (Sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku”

Berdasarkan kisah-kisah umat yang telah dihukum oleh Allah SWT, tentu sekali kita dapat menganalisis atau muhasabah diri tentang dosa-dosa atau maksiat yang telah dilakukan sama semalam, kelmarin atau dosa-dosa seratus tahun yang lalu, dan semuanya akan menjadi sebab musabab malapetaka atau musibah yang perlu kita hadapi selagi kita keseluruhannya tidak memohon taubat kepada Allah SWT. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Bila terjadi maksiat di kalangan umatku, maka Allah akan memberikan azabnya untuk semua”

Oleh yang demikian, sewajarnya bagi kita untuk merenung pengertian yang tersurat dan yang tersirat dari hadis yang telah di sabda oleh nabi. Ini adalah kerana bahawa secara realitinya memang berlaku terhadap umat yang terdahulu, kerana akibat dosa yang telah mereka lakukan mengakibatkan umat telah binasa dan dihukum oleh Allah SWT. Dalam satu kisah peperangan, setelah tentera Muslim menewaskan pasukan musuh dan menawan Qubrus dengan mengalahkan tentera Rumawi, keseluruhan tentera Islam bergembira merayakan kemenangan, tetapi Abu Dardak seorang sahabat besar menangis. Apabila ditanya mengapa beliau dalam keadaan kesedihan, Abu Dardak menjawab, “ aku menangisi umat yang telah melakukan kemaksiatan dan Allah telah meminggirkan mereka”.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .