Tuesday, September 29, 2009

MENGAPA MENYALAHKAN ORANG LAIN?

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Sungguh aneh kerana biasanya kita sering menuding kepada pihak pemerintah yang bertanggungjawab di atas kemunduran umat dan negara. Pada hakikatnya, kitalah sebenarnya yang mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dari mereka. Masalah yang kita hadapi perlu diselesaikan oleh kita dan segala jawapannya ada pada diri kita sendiri. Masalah utama yang dihadapi ialah masalah kemalasan untuk bekerja dan melakukan kerja dengan bersungguh merupakan penyelesaian kepada masalah tersebut.

Faktor kemalasan dan ketidaksungguhan bekerja di kalangan umat di negara-negara Islam terbukti dengan fakta bahawa purata jam produktif bekerja di kalangan rakyatnya hanya 12 minit bahkan boleh menurun hingga ke tahap lima minit dalam tempoh lapan jam. Ini berbeza dengan negara Jerman yang rakyat bekerja dengan produktif purata tujuh jam sehari manakala negara Jepun mencapai tahap produktif purata sehari adalah 8 jam sehari.

Ternyata kita dapat melihat perbezaan yang besar dan ini amat memalukan negara-negara Islam. Oleh yang demikian terdapat kata-kata atau pendapat yang berbeza mengenai perkara ini. Ada yang menyatakan,. “ ini kemampuan kita dan itu kemampuan mereka” dan ada pula yang menyatakan, “ mulai sekarang kita perlu menentang kelesuan kemalasan intelektual, mental dan jasmani serta mengimani bahawa produktif adalah sebagai dari tuntutan agama seperti yang telah disabdakan oleh Nabi yang bermaksud, “ bekerja adalah ibadah”.

Kita mungkin pernah berjumpa dengan seorang yang tidur pada jam dua pagi untuk menyiapkan kerjanya dan kemudian terpaksa bangun untuk bekerja semula pada jam lapan pagi. Akhirnya dia lambat datang ke pejabat dan dia juga mengantuk, letih dan lesu serta tidak mampu melakukan tugas dengan baik. Inilah kemalasan intelektual yang berlaku di kalangan kita pada hari ini.

Dalam kes yang lain, seorang yang tidak pernah terlibat dengan aktiviti sosial atau sukan dan asyik berhibur dan kesannya dia tidak mempunyai semangat kekitaan dan juga patriotisme kepada tanah airnya sendiri. Mungkin orang-orang seperti ini mampu mencapai kejayaan dan merubah masyarakat dan dirinya? Atau inilah generasi muda yang akan merubah negara dan masyarakat?

Syeikh Sya’rawi mengungkapkan, “ sesiapa yang tidak makan hasil dari jerih payahnya sendiri, maka ia tidak memiliki kebijaksanaan di kepalanya”. Oleh itu berdasarkan ungkapan ini kita dapat membuat kesimpulan bahawa bagaimana seseorang itu dapat membuat keputusannya sendiri sedangkan rezeki dan makannya masih bergantung kepada orang lain? Fikir-fikirkanlah.

Thursday, September 17, 2009

MEMBINA PROFESIONALISME DALAM ATM

OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL


Hari ini Angkatan Tentera Malaysia meraikan ulang tahun penubuhannya kali yang ke 76 dan kita menyedari bahawa organisasi Angkatan Tentera Malaysia adalah sebahagian dari organisasi perkhidmatan awam di Malaysia yang berperanan sebagai benteng pertahanan negara. Dalam usaha untuk mewujud dan merealisasikan angkatan tentera yang sentiasa siaga untuk melindungi kedaulatan dan integriti negara, pihak ATM telah menggariskan lima aspek penting sebagi objektifnya iaitu:
• Kesiagaan (Preparedness)kan bahaw
• Keupayaan Berperang (War Fighting Capability)
• Anggota Tentera Berkualiti (Quality Personnel
• Agensi Pemimpin Negara (National Lead Agency)
• Rakan global (Global Partnership)
Berdasarkan lima objektif atau penyataan umum tersebut, perkara yang penting untuk di wujudkan oleh ATM ialah tahap profesionalisme yang tinggi dalam setiap aspek khususnya memaklumi lima objektif yang telah digariskan. Perlu kita sedari bahawa profesionalisme ketenteraan amat penting kerana berkaitan dengan soal keselamatan, peperangan atau pertahanan negara yang menentukan keselamatan dan ketahanan sesebuah negara. Profesionalisme merupakan kombinasi dalam aspek pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang khusus dan tertentu dan ia melibatkan bidang pekerjaan atau profesion yang tertentu. Dalam hal ini Perlmutter A. (2000) dalam bukunya,” military and politics” telah merujuk tentera sebagai aspek profesion atau kerjaya yang penting. Beliau menjelaskan,” “Profesion (tentera) adalah pekerjaan yang memerlukan latihan dan pendidikan yang sempurna dalam suatu bidang yang khusus. Tujuan pendidikan yang lama dan intensif yang dilaksanakan bertujuan agar terpelihara tahap-tahap atau peringkat-peringkat prestasi dan pelaksanaan yang tinggi sesuai dengan piawaian-piawaian yang telah ditentukan oleh organisasi. Tahap profesionalisme sesuatu pekerjaan tertentu diukur berdasarkan pelaksanaan, status atau piawaian tertentu terhadap individu yang berkecimpung dalam bidang berkaitan. Oleh yang demikian dalam status khusus ini, golongan profesional yang sejati memperoleh keyakinan yang dapat menentukan hubungannya dengan para pelanggan (dalam konteks ketenteraan keyakinan itu diperoleh dari rakyat dan pihak pemerintah).

Kenyataan Permutter di atas mengandungi beberapa pengertian yang perlu diperhatikan. Pertama, sesuatu profesion atau kerjaya itu merupakan pekerjaan yang khusus. Seseorang profesional tidak melakukan berbagai-bagai pekerjaan, kerana tugas atau pekerjaan yang sedia ada memerlukan kepakaran atau kemahiran yang tertentu. Seseorang yang profesional mempunyai pengetahuan dan kepakaran tertentu yang tidak sama dengan kemahiran biasa tetapi mampu melaksanakan tugas yang berbagai. Kedua, profesional memerlukan pendidikan dan latihan yang lama dan intensif untuk memelihara, meningkatkan dan mengukuhkan tahap profesionalisme. Oleh yang demikian seseorang yang profesional tidak boleh melakukan pelbagai tugas atau kerja yang kesannya akan mengakibatkan tugas atau kepakarannya terabai dan bercampur aduk atau tugas utamanya tidak ditumpukan sapenuhnya. Ketiga, tugas,fungsi atau peranan yang dilakukan dinilai dengan pelaksanaan secara metode, kaedah atau piawaian yang ditentukan oleh organisasi. Keempat, keabsahan atau perakuan kepakaran yang diberikan diperakui oleh organisasi profesional berkaitan. Kelima, profesional mempunyai tanggungjawab sosial. Bagi organisasi tentera tanggungjawab sosialnya adalah melindungi masyarakat, bangsa dan negara. Keenam, hubungan antara anggota profesional amat kuat dan mempunyai semangat kekitaan atau setia kawan yang amat kuat (esprit de corp) dalam organisasi dan sesama anggota, yang turut menentukan piawaian seseorang yang profesional.

Menurut Hutington(1957: 8) dalam bukunya “ Soldier and the state: Theory and politics of military relation” telah menjelaskan profesionalisme ketenteraan mempunyai tiga ciri utama iaitu, pertama, kepakaran yang khusus, berpengetahuan serta mempunyai kemahiran yang diperoleh dari latihan, pendidikan, pengalaman dan sentiasa mengikuti perkembangan dalam bidang kepakarannya. Kedua, mempunyai kesedaran tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dan pihak yang berpentingan. Ini adalah penting kerana sebagai anggota tentera mereka perlu mempunyai serta mempamerkan perlakuan dan akhlak yang murni selaras dengan peranan dan tanggungjawab mereka terhadap agama, bangsa dan negara. Selain dari itu anggota tentera yang profesional perlu melaksanakan tugasnya dengan penuh kejujuran dan tidak mementingkan diri sendiri dan sedia berkorban apa sahaja sama ada harta atau nyawa sekalipun demikian mempertahan maruah ketenteraan. Ciri ketiga yang disebut oleh Huntington ialah ciri-ciri perwatakan organisasi tentera dan individunya yang melahirkan semangat ‘setia kawan’ atau ‘esprit de corp’. Selain dari itu organisasi tentera mempunyai tradisi dan adat resam tersendiri yang dapat membezakan dengan organisasi bukan tentera atau organisasi sosial lain dalam masyarakat. Sifat ‘eksklusif’ inilah yang memberi kekuatan dan kelebihan organisasi tentera dari persepsi pandangan masyarakat umum.

Menurut Huntington lagi, berdasarkan tiga ciri utama tersebutlah yang menyebabkan organisasi tentera mampu melahirkan apa yang disebut sebagai ‘military mind’ (pemikiran ketenteraan) yang menjadi dasar utama bagi hubungan ketenteraan dengan pihak pemerintah. Untuk itu, bagi setiap anggota tentera komitmen yang paling tinggi yang mereka perlu tunjukkan ialah sentiasa patuh kepada ketua dan pihak pemerintahan negara.

Ciri dan pengertian profesionalisme di atas pada umumnya adalah ciri biasa dalam organisasi ketenteraan namun demikian dalam konteks Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini telah menjangkau ke 76 tahun, perlu terus membina jati diri supaya arah pembangunan profesionalismenya sering dengan arah paradigma yang sedang diusahakan oleh barisan kepimpinan ATM masa kini khususnya di bawah pimpinan Menteri Pertahanan Y.B Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Bin Hamidi serta Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Oleh yang demikian arah profesionalisme ATM perlu mempunyai kriteria yang mampu memenuhi tuntutan dan keperluan serta kepentingan agama, bangsa dan negara. Oleh yang demikian antara ciri-ciri profesionalisme ATM yang perlu diperhatikan oleh semua warga ATM dalam suasana menyambut Ulang tahun ke 76 ATM ini, antara ciri-ciri itu ialah:

(i) Mempunyai kepakaran dan keahlian dalam melaksanakan tugas mempertahan negara atau melawan ancaman musuh negara. Tujuan perubahan dan pembangunan dalam ATM adalah untuk mewujudkan ATM menjadi organisasi tentera yang profesional dengan mempunyai kemahiran dan kemampuan yang tinggi sesuai dengan peranannya mempertahankan negara. Hal ini dapat dijelaskan dengan mempunyai anggota tentera yang mahir dalam operasi tempur atau manuver atau sentiasa peka serta mampu menghadapi segala ancaman yang membahayakan dan kelangsungan hidup bangsa dan negara., memiliki kemampuan berfikir, matang serta bertanggungjawab terhadap keselamatan bangsa dan negara., berfikir dan bertindak secara komprehensif, kreatif, produktif, efektif dan memiliki semangat juang yang tinggi. Selain dari itu anggota tentera juga perlu mempunyai kemampuan dari segi taktik dan teknikal serta menguasai peraturan atau prosedur ketenteraan tertentu. Turut dipentingkan adalah kesihatan yang baik serta kekuatan fizikal dan mental yang kuat. Kesemuanya adalah penting kerana itu semua merupakan tugas dan peranan mereka sebagai anggota tentera.

Untuk mencapai hasrat tersebut ATM perlu terus mempergiatkan aspek latihan dan pendidikan yang berkualiti. Latihan masa kini yang dilaksanakan dalam pelbagai peringkat dan dalam keadaan yang pelbagai merupakan medan terbaik untuk mua aspek fizikal, mental, peralatan dan taktik ke arah yang terbaik bagai menghadapi dan mencegah musuh dan seterusnya mempertahankan negara. Bagi ATM secara umumnya, setiap saat atau waktu, setiap warga tentera perlu terus dilatih dan bersedia untuk berjuang hingga ke titisan darah yang akhir, oleh yang demikian setiap anggota tentera perlu sentiasa diberi peringatan agar tidak membuang masa dan terus berlatih kerana ‘waktu atau masa’ adalah kemenangan dan keselamatan agama, bangsa dan negara. Untuk itu bagi anggota tentera barangkali tidak asing dengan kata-kata “lebih baik bermandi keringat di medan latihan dari bermandi darah di medan perang !”.

Oleh yang demikian, dalam suasana aman pada masa ini seluruh warga ATM dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan perlu berusaha dan menanamkan azam untuk terus berlatih dan berusaha meningkat kemahiran dan kepakaran dalam bidang masing-masing serta meningkatkan aspek pengurusan dan pentadbiran dalaman organisasi, ini adalah penting bagi memastikan ATM dapat dibina berdasarkan profesionalisme, efisien moden dan efektif., Selain dari itu usaha-usaha untuk meningkatkan kemudahan, prasarana, peralatan yang canggih serta peningkatan kebajikan anggota perlu diteruskan. Dengan kemudahan, peruntukan dan kebajikan yang terbela dan terbaik, sudah tentu anggota dapat melaksanakan tugas dengan penuh tumpuan dan meningkatkan profesionalismenya.

(ii) Mematuhi disiplin ketenteraan seta mempunyai semangat setia kawan yang tinggi. Untuk membina organisasi tentera yang profesionalisme ATM perlu meningkatkan tahap disiplinnya dan mengurangkan masalah disiplin yang berlaku di kalangan anggotanya. Ini adalah penting kerana disiplin adalah nadi kehidupan nadi organisasi ketenteraan. Dalam hal mini Perlmutter (2000: 3) dalam bukunya “Military and politics” telah menyebutkan, “dari aspek sejarah, sumbangan yang paling penting dari perajurit adalah keberanian dan disiplin”. Sesungguhnya disiplin sangat berpengaruh dalam menghasilkan prestasi yang cemerlang bagi setiap anggota, memberikan nama baik di kalangan masyarakat dan meningkat kemampuan anggota semasa melaksanakan tugas.

Aspek mematuhi disiplin ini penting dan ia telah menjadi salah satu ikrar harian yang sering dilafazkan oleh setiap warga ATM saban masa. Dalam aspek pematuhan disiplin ini, Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Dato Aziz Zainal pernah menyebutkan,

“ Menegakkan peraturan dan disiplin merupakan sebahagian dari aspek kehidupan ketenteraan. Oleh yang demikian adalah menjadi satu tuntutan kepada setiap anggota untuk mematuhi disiplin dan peraturan. Sebarang pelanggaran disiplin walaupun kecil perlu diambil tindakan segera , telus, tepat dan bijaksana, Perkara tersebut merupakan salah satu komitmen ATM bagi memastikan disiplin dan keunggulan ATM dapat diteruskan”.

Penegasan perkara di atas adalah komitmen ATM dalam melaksanakan perubahan dalaman organisasi ATM, yang menilai pentingnya anggota tentera mematuhi peraturan dan disiplin bagi memastikan menjadi anggota tentera yang profesional. Oleh yang demikian, menjadi kewajipan kepada setiap pemimpin di pelbagai peringkat untuk terus menguatkuasakan peraturan dan disiplin di kalangan anggota. Selain dari itu para pemimpin di pelbagai peringkat juga mampu dijadikan contoh teladan atau ‘role model’ dalam menghayati disiplin ketenteraan di kalangan anggota.

(iii) Mempunyai akhlak, moral dan etika ketenteraan dan semangat keperwiraan yang tinggi. Tiap sikap, tindakan dan perlakuan anggota.

Bagi mencapai tahap profesional yang tinggi ATM perlu meningkatkan pemahaman dari aspek moral dan etika ketenteraan. Ini adalah kerana moral dan etika ketenteraan akan meningkatkan tahap profesional ketenteraan. Moral dan etika sangat penting kerana akan membimbing setiap sikap, tingkah laku dan tindakan anggota. Moral adalah tingkah laku manusia yang didasarkan kepada ukuran piawai manusia yang diterjemahkan kepada perlakuan baik atau buruk.

Perlu ditegaskan bahawa dalam Islam profesionalisme bertitik tolak daripada keimanan dan ketakwaan. Dalam hal ini Islam melihat manusia terdiri dari kesatuan jasad, akal dan roh. Oleh yang demikian, ketiga-tiga aspek ini perlu dibina. Pembinaan jasad diberi perhatian yang wajarnya kerana Islam mengakui kesuburan jasad. Daripada kesuburan jasad itulah diharapkan lahirnya kekuatan yang akan digunakan untuk membantu organisasi yang menjadi alat untuk membantu ummah. Islam memberi perhatian yang istimewa kepada aspek jasad ini dengan menyarankan supaya penganut-penganutnya menjaga kesuburan dan keutuhan jasad di samping melarang mereka melakukan perkara-perkara yang menyebabkan terjejasnya kesuburan jasad. Selain daripada jasad, Islam juga menekankan kepentingan akal. Akal merupakan tenaga yang berupaya menahan diri manusia dari melakukan kerja-kerja buruk dan perbuatan keji. Hal ini yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk lain yang tidak dapat membezakan di antara yang baik, dan buruk. Dalam aspek pembinaan roh pula, terbit dari akal yang baik, jasad yang sihat dan roh yang segar pula lahir daripada amalan yang mantap. Oleh yang demikian peningkatan profesionalisme, kecemerlangan bertugas, pembaikan mutu, peningkatan produktiviti akan dapat membangunkan organisasi dan menepati kehendak Islam.

Sekiranya ciri profesionalisme dapat dipenuhi berlandaskan nilai-nilai murni Islam sudah pasti peranan Angkatan Tentera Malaysia dapat mencapai Maqasid as-syariyyah iaitu menjaga agama, menjaga akal, menjaga jiwa, menjaga kehormatan dan menjaga harta.

Semoga ATM terus berkembang maju dan ke arah lebih dinamik di bawah dua kepimpinan yang baru iaitu Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin sebagai Panglima Angkatan Tentera dan Y.B Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Bin Hamidi sebagai Menteri Pertahanan. Selamat menyambut ulang tahun ATM ke 76.

ATM BENTENG KEDAULATAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL


Tarikh 16 September setiap tahun merupakan tarikh yang penting bagi negara khususnya bagi organisasi Angkatan Tentera Malaysia. Tahun ini ATM merayakan ulang penubuhan ke 76. Dalam tempoh tersebut tentu sekali banyak cabaran, kepayahan dan juga pengalaman pahit manis bagi memastikan negara aman, makmur dan berdaulat.

Menyorot kembali perjalanan sejarah perjuangan ATM, ternyata sejarah perjuangan ATM merupakan satu aspek penting dalam komponen kemajuan negara Malaysia dan ia juga mempunyai akar sejarah yang bertunjangkan penghayatan agama. Penghayatan agama di sini merujuk komitmen dan menghayati Islam di dalam kehidupan di kalangan anggota ATM dan juga organisasinya. Penghayatan agama yang dimiliki oleh seluruh warga ATM telah mendorong mereka melakukan perubahan dalam diri selaras dengan perjuangan ATM. Paling kurang terdapat empat aspek penghayatan agama yang boleh dikaitkan dengan ATM dan sekali gus memberikan sumbangan yang luar biasa dalam kesetiaan dan kesungguhan organisasi ini mempertahankan kedaulatan dan pertahanan negara.

Pertama: Kesedaran yang sedia wujud bahawa penubuhan ATM adalah atas kesedaran hati nurani rakyat yang ingin menjaga bangsa, tanah air dan kedaulatan negara nya dan ini berkait rapat dengan penghayatan agama. Fakta sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu amat sensitif dengan agama dan mereka bersedia mempertahankan dan gugur hingga ke titisan darah yang akhir kerana agama, bangsa dan negara.

Kedua: Penghayatan agama dalam ATM wujud dan digerakkan secara sedar dan bukan ‘secara kebetulan’ atau ‘ tidak sengaja’ kerana nilai-nilai agama dan kesedaran perlunya perkhidmatan agama telah dimulakan sejak wujudnya penubuhan Rejimen Askar Melayu pada tahun 1933 lagi dan perkhidmatan yang sedia wujud itu diteruskan dengan penubuhan KAGAT pada tahun 1985 dan selanjutnya diperhebat peranan dan dimantapkan pengurusannya.

Ketiga: Tugas mempertahankan negara merupakan satu amanah yang telah diberikan kepada organisasi ATM dan amanah tersebut telah diberikan oleh pemerintah dan rakyat dan oleh yang demikian amanah tersebut juga merupakan amanah dari Allah SWT. Penjagaan serta menunaikan amanah tersebut juga merupakan sebahagian dari penghayatan agama.

Keempat: Bertunjangkan nilai sejarah khususnya kesinambungan generasi awal orang Melayu yang berjuang dan juga generasi awal perintis ATM yang berteraskan nilai agama dan sentiasa menjunjung nilai agama dalam kehidupan. Ini dapat dibuktikan bahawa ramai di kalangan anggota ATM pernah menerima pendidikan agama secara formal dalam proses pendidikan mereka.

Kelima: Penghayatan agama dalam ATM juga dapat dilihat dalam proses latihan dan pembinaan anggota ATM, yang berteraskan ajaran Islam.

Berdasarkan lima ciri yang telah disebutkan, ternyata nilai penghayatan agama dapat dilihat dari seorang tentera, walaupun mereka tidak disebut sebagai ‘ulama’ tetapi peranan mereka meneladani junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Dalam hal ini Allah SWT telah berfirman dalam surah An-nisa’ ayat 74 yang bermaksud,

Oleh itu, orang-orang (yang beriman) Yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). dan sesiapa Yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala Yang besar.

Contoh terbaik untuk mengaplikasikan pertahanan ialah dengan melihat apa yang dilaksanakan dan diamalkan oleh Rasulullah SAW dalam membina kekuatan yang merangkumi dan mencakupi keseluruhan elemen-elemen kehidupan pada zaman tersebut.

Proses pendidikan yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW telah menghasilkan para sahabat yang mempunyai kekuatan akidah yang teguh, kekuatan ikatan persaudaraan yang kukuh dan mempunyai azam dan cita-cita yang jauh. Pendidikan yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW adalah dengan mempersiapkan individu Muslim dengan melaksanakan pentarbiyyahan (pendidikan) menyelesaikan kehidupan manusia melalui metode tarbiah secara komprehensif dan tidak mengabaikan sedikit pun sama ada aspek fizikal, intelektual, spiritual, kehidupan material, kehidupan batin dan seluruh aktiviti manusia di dunia ini. Hasil yang diperoleh melalui proses tersebut amatlah mengagumkan kerana lahir para sahabat yang mempunyai teladan yang patut ditiru oleh generasi kemudian. Hakikatnya para sahabat yang dididik oleh Rasulullah SAW bukan sahaja menjadi pendakwah tapi pada masa yang sama menjadi tentera-tentera yang mengibarkan bendera ad-deen Islam ke seluruh alam. Dari sudut ketenteraan secara khusus, Rasulullah SAW telah membahagikan penyusunan operasi angkatan tenteranya kepada beberapa jabatan iaitu:

a. Jabatan barisan hadapan yang meliputi:
i. Bahagian strategi dan taktik peperangan.
ii. Bahagian syura.
iii. Bahagian memperkuatkan kekuatan tempur.
iv. Bahagian operasi, latihan dan persenjataan.

b. Jabatan tadbir dan logistik yang meliputi:
i. Bahagian pengurusan harta rampasan.
ii. Bahagian perkhidmatan perubatan

Kedua-dua jabatan ini tidak dipisahkan dan tidak dibezakan dari sudut tanggungjawab untuk berperang. Ini bermakna di bahagian mana pun seseorang itu berada, kewajipan mengangkat senjata untuk berperang adalah sama. Rasullah SAW telah membuktikan kepada dunia, betapa kekuatan persenjataan sahaja tidak mencukupi jika sekiranya anggota tentera terdiri daripada mereka yang lemah dari sudut spritual, mental dan juga fizikal. Pembinaan yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW untuk mewujudkan roh jihad yang membara di kalangan para sahabat apabila keluar berjihad adalah dimulakan dengan pembinaan diri anggota tentera itu terlebih dahulu dan disertai dengan kemahiran peperangan Inilah kaedah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sehingga baginda dan para sahabat (tentera-tentera Islam) mampu memenangi peperangan penting walaupun mempunyai kekuatan persenjataan yang terbatas.

Walau bagaimanapun, apa yang dinyatakan di sini bukanlah Rasulullah SAW menolak sama sekali keperluan pertahanan dari sudut persenjataan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah keselarasan dan keperluan kedua-duanya untuk digabungkan bagi menghasilkan natijah yang maksimum. Malah Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat untuk membuat peralatan perang seperti pedang dan perisai agar dapat digunakan oleh tentera Islam apabila berlakunya peperangan Gambaran dijelaskan melalui firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 25,

Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami Dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat Yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab suci dan keterangan Yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi Dengan keadaannya mengandungi kekuatan Yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (dijadikan besi Dengan keadaan Yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu Dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang Yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.


Justeru itu mempertahankan Malaysia secara umumnya adalah tanggungjawab semua masyarakat dan pengkhususan diberikan kepada anggota tentera yang dibayar gaji untuk mempertahankan negara. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah mewujudkan kebersamaan semua individu dalam sesebuah negara tidak kira kedudukannya mempertahankan negara daripada ancaman musuh dengan berjihad mengorbankan apa sahaja yang dimiliki sama ada harta mahupun nyawa untuk mempertahankan Islam dan negara Madinah dari ancaman musuh.

Sejarah telah membuktikan bahawa ramai di kalangan para sahabat menyumbangkan apa sahaja yang mereka miliki kepada tentera-tentera Islam yang berjuang di medan peperangan. Sayidina Abu Bakar, Abdul Rahman bin Auf, Ali bin Abi Thalib adalah segelintir sahabat bukan sahaja mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan dan mengembangkan Islam tetapi menyerahkan apa sahaja yang mereka miliki demi kedaulatan Islam dan negara Madinah ada waktu tersebut.

Semangat atau jihad sebegini sepatutnya ditiru oleh rakyat negara ini bagi mempertahankan negara yang kita cintai ini. Persoalannya ialah berapa ramai rakyat negara ini termasuk ahli-ahli korporat yang sudi untuk menaja atau membiayai pertahanan negara dengan memberikan sumbangan suntuk membeli senjata. Mungkinkan seorang ahli korporat atau syarikat korporat menaja satu senjata berat? Berapa ramai rakyat negara ini yang menyertai Askar Wataniah sebagai bukti menunjukkan persediaan apabila berlakunya peperangan? Berapa ramai rakyat negara ini yang menyedari bahawa ketika mereka tidur nyenyak tidur bersama anak isteri, terdapat anggota tentera di perbatasan negara yang bersengkang mata menjaga perbatasan negara? Berapa ramai rakyat negara ini yang menyedari bahawa keamanan yang di kecapi membolehkan mereka mengaut keuntungan berlipat ganda sedangkan ada di kalangan anggota atau bekas anggota tentera yang menderita kesusahan? Berapa ramai rakyat negara ini yang menyedari tanggungjawab mempertahankan negara adalah tanggungjawab semua? Persoalan-persoalan ini perlu dijawab dengan jujur oleh semua pihak kerana pertahanan negara adalah satu keperluan utama yang membolehkan negara ini membangun dan terus maju.

Kekalahan negara Arab dengan Rejim Zionis Israel telah menyebabkan pemimpin-pemimpin negara-negara Arab mencari satu alternatif untuk membangkitkan semangat jihad untuk melawan ancaman musuh terutamanya Zionis yang sentiasa bersiap sedia menghancurkan mereka. Justeru itu satu muktamar telah diadakan yang dihadiri oleh para menteri pendidikan negara-negara Arab dan mereka bersepakat bahawa pentarbiyyahan yang menekankan aspek spritual, moral dan ketenteraan akan lebih memantapkan keimanan, semangat jihad, pengorbanan dan menjadikan mati syahid diterapkan untuk membela tanah air dan bangsa sebagai cita-cita tertinggi perlu diterapkan dalam sistem pendidikan negara-negara Arab Di dalam muktamar tersebut beberapa resolusi telah diluluskan iaitu:

a. Pendidikan dan pengajaran di negara Arab mestilah berdasarkan keimaman kepada Allah kerana keimanan merupakan sumber etika secara umum dan khusus bagi individu dan masyarakat.
b. Mengembangkan metodologi dan buku-buku pendidikan agama dan nasionalis secara menyeluruh sehinggalah nilai-nilai ini tertanam dalam jiwa generasi muda.
c. Pendidikan ketenteraan perlu didedahkan kepada pelajar-pelajar di peringkat menengah lagi.
d. Tenaga pendidik mestilah mempunyai ciri-ciri yang baik dan menjadi teladan kepada masyarakat.
e. Penggemblengan tenaga dan institusi dalam menjayakan resolusi yang diputuskan. Koordinasi yang mantap dari semua elemen dan institusi dalam sesebuah negara akan berjaya mendidik generasi yang menyedari tentang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan khususnya untuk mempertahankan sesebuah negara.

Sejarah telah membuktikan bahawa negara pernah mengalami peristiwa pahit bagi memastikan negara aman dan sejahtera. Negara kita pernah diancam keselamatannya oleh pihak komunis dan para petualang negara. Bagi memastikan negara terus aman dan mampu memaju kemajuan negara, ramai di kalangan anggota keselamatan kita yang telah terkorban.

Kenyataannya di sini ialah keperluan untuk kita membina tenaga manusia yang hebat bagi mempertahankan negara merupakan agenda penting dalam sesebuah negara. Pembinaan tenaga manusia pertahanan ini, bukan sahaja terhad kepada warga ATM sahaja tetapi meliputi keseluruhan masyarakat dalam sesebuah negara tidak kira di mana kedudukannya dan siapa orangnya. Hakikat ini perlu disedari dengan baik agar pertahanan negara daripada ancaman musuh difikirkan dan dipikul bersama oleh setiap anggota masyarakat dalam negara ini selari dengan gagasan Perdana Menteri mencapai matlamat ‘1Malaysia’.

Monday, September 7, 2009

TEGUH MEMPERJUANGKAN ISLAM

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Di dalam setiap perangan, Rasulullah SAW sentiasa menggunakan perkataan-perkataan tertentu sebagai slogan atau kata-kata semangat yang dapat merangsang setiap orang dalam pasukan tentera Islam memerangi tentera kafir Quraisy.

Dalam Perang Badar slogan yang digunakan ialah ‘ahad’, ‘ahad’ merujuk kepada keesaan Allah SWT. Perkataan, ‘agamamu, agamamu ,jiwamu, darahmu” telah digunakan dalam Perang Uhud. Semua perkataan yang digunakan menggambarkan kasih sayang dan kesediaan untuk berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan Islam. “Ya mansur, amut, amut” adalah kata-kata semangat yang digunakan dalam Perang Khandak. Perkataan tersebut merujuk kepada memohon bantuan Allah bagi mencapai syahid.

Berdasarkan kata-kata semangat yang telah digunakan dalam sirah Rasulullah, sejauh manakah kita dapat mengambil iktibar untuk terus mempertahankan agama dan terus memperjuangkan agama dengan penuh kesabaran dan semangat seperti mereka yang terdahulu? Ketika seluruh manusia tenggelam dalam kekalutan nafsu apakah kita masih komitmen dengan agama? Mungkin juga mereka akan bertanya, “apakah yang diperoleh dari semangat luar biasa ini?’. Katakanlah kepada mereka, “ Islam amat mahal dan Islam bukanlah agama murahan, kita perlu mencintainya dari segala sesuatu”.

Teguh mempertahankan agama bererti kita mesti berani berkata, “saya akan memberikan komitmen kepada agama yang saya yakini meski apa pun yang terjadi. Sentiasa mengajak orang lain, mengingatkan saudara seagama, serta tidak peduli dengan mereka yang mencemuh atau mengecilkan peranan saya. Apa yang penting ialah saya menyeru Islam dengan cara yang terbaik seperti mana yang telah diajar oleh Rasulullah SAW”.

Siti Aisyah, isteri Nabi pernah menyebutkan bahawa akhlak nabi adalah al-Quran. Ini dapat diperkukuhkan dengan doa yang selalu Nabi baca setiap kali solat,

“Kepada Yang Maha berkuasa dan menguasai hati, teguhkanlah hatiku untuk membela agamamu”.

Rasulullah sering berdoa semoga Allah memberikan kekuatan dan kesabaran untuk terus mempertahankan agama Allah dan sesungguhnya kesabaran bukanlah perkara yang kecil atau remeh tetapi ia merupakan anugerah yang besar yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat.

Pada satu-satu ketika dalam melakukan sesuatu kita begitu bersemangat sekali, tetapi beberapa lama kemudian semangat itu telah hilang entah ke mana. Memperjuangkan Islam perlu semangat yang kuat dan berterusan dan selain dari itu ia juga memerlukan kesabaran. Allah telah berfirman berkaitan dengan anjuran untuk kita sentiasa bersabar dan terus bersabar. Firman Allah yang bermaksud,
”Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu bertemu Dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Allah juga sentiasa menggalakkan kita untuk sentiasa bersabar dalam hidup ini . Firman Allah yang bermaksud

“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang Dengan disertai oleh ramai orang-orang Yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa Yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang Yang sabar”

Berdasarkan ayat di atas dapatlah kita mengambil pemahaman dari saranan untuk tidak berasa lemah dan cepat menyerah. Perlu diingat bahawa kita adalah hamba Allah yang mempunyai hubungan yang terus dengan Allah melalui solat dan doa yang dilakukan. Firman Allah,

“Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa-dosa Kami dan perbuatan Kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian Kami (dalam perjuangan); dan tolonglah Kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (Kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (Nikmat syurga yang tidak ada bandingannya). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan”.

Perlu dijelaskan bahawa kesabaran merupakan natijah kepada kemenangan dan kejayaan. Kemenangan juga terletak kepada kemampuan kita untuk bersabar dan menjadikan Allah sebagai tempat berlindung. Ini seperti yang pernah diucapkan oleh Ibnu Abbas, “cukuplah Allah sebagai penolong kami dan pelindung”. Kata-kata ini juga pernah diucapkan oleh Ibrahim ketika dilempar ke dalam api, juga diucapkan oleh Musa serta pengikutnya ketika dikejar oleh Firaun dan tentera-tenteranya. Nabi Muhammad juga pernah mengucapkan kata-kata yang sama.Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT,

“Mereka juga ialah Yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya Segala urusan kami)".

Tuesday, September 1, 2009

MEMBINA MATLAMAT HIDUP

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Kita baru sahaja menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang 52 dengan tema ' 1Malaysia Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan'. Setelah 52 tahun Merdeka, ternyata kita telah mengalami banyak perubahan dan kemajuan samada kemajuan fizikal yang dikatakan pembangunan serta kemajuan sumber manusia yang disebut kemajuan modal insan.Semua ini berlaku kerana kita mempunyai matlamat untuk maju dan terus memabangun. Dalam kegembiraan kita meraikan kemerdekaan ini, mari kita menyemak tentang pentingnya matlamat hidup dalam kehidupan ini.

Berikut dicatatkan kisah-kisah insan atau manusia yang hebat kerana meraih kemasyhuran dan keberkatan dalam hidup mereka kerana mempunyai ‘matlamat hidup’ yang jelas dalam diri mereka.

• Seorang ulama yang terlalu letih dan kemudian pengsan. Setelah sedar ia berkata kepada muridnya yang berada di sisi, “tulis cepat masalah ini”. “Wahai imam engkau masih lemah. Masalah apa yang hendak ditulis?”, tanya anak muridnya. “Anakku, mungkin satu perkataan yang kita tulis akan menjadi amat bermakna bagi seseorang Muslim dan dengan itu mungkin kita akan masuk syurga”, kata guru itu.

• Contoh yang lain ialah kisah Umar bin Abdul Aziz. Bagi beliau hidup ini perlu matlamat dan pencapaian sesuatu adalah amat penting. Beliau pernah berkata, “aku adalah seorang yang bercita-cita tinggi. Aku pernah bercita-cita untuk memiliki Fatimah puteri khalifah, dan aku berjaya menikahinya. Aku pernah bercita-cita untuk menjadi gabenor di Madinah dan kemudian aku berjaya menjadi Gabenor Madinah. Aku pernah bercita-cita menjadi khalifah dan aku juga berjaya menjadi khalifah, dan kini aku bercita-cita untuk memasuki syurga dan aku sedang berusaha untuk memperolehnya”.

• Muhammad al-Fatih seorang tokoh yang pemimpin yang telah berjaya menakluki Konstantinapol ketika ia berusia 23 tahun. Untuk berjaya dia terpaksa menyeberangi lautan dan mendaki bukit. Pada usia 15 tahun dia pernah berusaha untuk menawan Konstantinapol tetapi gagal. Beberapa tahun kemudian, dia mencuba lagi tetapi masih gagal dan setelah 8 tahun berusaha dia berjaya menaklukinya. Ini adalah kerana Konstantinapol sentiasa ada dalam hatinya dan mengembalikan Konstantinapol ke tangan Islam merupakan matlamat dalam hidupnya dan ternyata dia berjaya.

• Begitu juga dengan Imam al-Bukhari. Ketika berusia 14 tahun Imam al-Bukhari telah berguru dengan dua tokoh ilmu hadis yang membincangkan kitab-kitab besar ilmu hadis. Kedua ulama tersebut menyatakan kerisauan kerana kitab-kitab hadis pada waktu bercampur hadis-hadis sahih, hadis daif (lemah) dan hadis mauduk (palsu). Kedua ulama berharap ada ulama yang mampu mengumpulkan hadis-hadis sahih dalam satu kitab. Laku Imam al-Bukhari berkata dalam hatinya, “akulah yang akan berusaha melakukannya”. Kemudian al-Bukhari menyusun kitab hadis yang hanya mengandungi hadis-hadis sahih dalam sebuah kitab.

• Bagi Charlie Chaplain pula ia sentiasa mengimpikan untuk menjadi tokoh seni yang besar. Apakah yang telah dilakukan oleh Charlie Chaplain untuk mencapai impiannya itu? Dia tidur dengan lampu yang terang dan di sisinya terdapat kertas dan pen. Dia akan menulis idea yang datang tidak mengira masa. Oleh sebab itu Charlie Chaplain tidak pernah memadam lampu di biliknya dan lampu terus menyala sepanjang malam. Imam al-Bukhari juga pernah melakukan perkara yang sama, “aku terjaga lebih dari 20 kali untuk mencatat hadis yang aku ingat”. Kata Iman al-Bukhari.


Berdasarkan kisah-kisah yang disebutkan ternyata mereka mempunyai cita-cita besar sebagai matlamat dalam hidup. Oleh yang demikian, kita mungkin tidak akan mengimpikan untuk melakukan perkara-perkara besar kecuali kita sibuk dengan matlamat hidup yang besar.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .