Friday, December 31, 2010

BERJIHAD MELALUI HARTA. BERSEDIAKAH KITA?

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Umat Islam perlu bersedia untuk mengorbankan sebahagian dari harta yang dianugerahkan Allah kepada kaum Muslim untuk dinafkahkan ke jalan jihad dan untuk kepentingan Islam. Oleh yang demikian, umat Islam perlu berhemat dalam menggunakan perbelanjaan mereka serta mengetahui arah perbelanjaan, serta tidak membelanjakan wang yang ada untuk membeli barangan atau perkhidmatan yang bersekongkol dengan pihak Yahudi. Ini kerana terdapat sebahagian dari barangan atau perkhidmatan yang ada pada hari ini merupakan produk-produk Yahudi atau bersedia memperuntukkan sebahagian dari keuntungan yang diperoleh kepada tabung-tabung Yahudi atau agama lain yang bertujuan untuk memusnahkan orang Islam (www.ppim.org.my ).

Bagi memastikan perbelanjaan atau kegiatan ekonomi umat Islam berorientasikan pada kepentingan jihad, Shantut (2003: 118) telah mencadangkan beberapa langkah perlu dilaksanakan:

a. Rumah tangga Muslim hendaklah mendidik anak-anak dan ahli keluarga untuk sederhana dalam berbelanja, menghargai harta, menggunakan harta ke jalan yang manfaat dan tidak ke arah yang mudarat.
b. Pihak institusi pendidikan perlu mendidik para pelajar untuk tidak bersikap boros dan sentiasa memberi motivasi kepada para pelajar untuk bersedekah ke jalan Allah.
c. Orang Islam bersedia untuk memberikan sebahagian dari harta mereka untuk kepentingan Islam dan kepentingan mempertahankan Islam.

Wednesday, December 15, 2010

MEMAHAMI MAQASID AL-SYAR'IYYAH

Penghayatan syari`at dalam erti yang setepatnya harus meliputi kedua-dua: pelaksanaan hukum-hakam dan realisasi maqasidnya. Justeru, maqasid adalah umpama buah bagi pokok -- melaksanakan hukum, tetapi gagal mencapai maqasidnya adalah ibarat menanam pokok, tetapi gagal memetik buahnya, sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Raysuniy (al-Fikr al-Maqasidiy: h.17).



ومعنى هذا أن مقا صد الشريعة تمثل مراد الله وغا ية ما كلف به

عبا ده وما شرعه لهم فهي بمنزلة الثمرة من الشجرة.



Rumusan al-Maqasid

Al-Imam al-Ghazaliy r.`a. adalah perumus pertama al-maqasid yang meliputi lima objektif utama:



* Pemeliharaan agama (hifz al-din)
* Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
* Pemeliharaan akal (hifz al-`aql)
* Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
* Pemeliharaan harta (hifz al-mal).



Rumusan lima maqasid tersebut kemudian dikenali sebagai al-daruriyyat al-khamsa, al-kulliyyat al-khamsa dan al-usul al-khamsah. Kelima-lima prinsip yang juga merupakan keperluan asasi manusia itulah pula yang dipadatkan dengan satu kata: maslahah, dengan implikasi bahawa sebarang gangguan terhadapnya adalah mafsadah (kerosakan). Para ulama umumnya menyepakati kelima-lima objektif tersebut, meskipun ada perbezaan dari segi pengurutannya. Malah menurut Imam al-Maqasid al-Shatibiy lima maqasid tersebut bersifat universal. Namun demikian penetapan lima objektif tersebut sebenarnya bukanlah penetapan simpul mati. Kerana itu ada ulama (al-Qurafiy, al-Tufiy, al-Subkiy dan al-Shawkaniy) yang menambahnya menjadi enam dengan memasukkan al-`ird (maruah atau kehormatan diri). Sementara itu dalam wacana masa kini tentang maqasid al-shari`ah, ada saranan penambahan dan pengembangan kepada lima objektif tersebut. Memang ketika ini sedang berlaku fenomena keghairahan baru dalam pengkajian al-maqasid. Fenomena inilah yang disebut oleh al-Raysuniy sebagai al-sahwah al-maqasidiyyah (kebangkitan kembali pemikiran maqasidi). Pada era perubahan pesat dalam pelbagai bidang, dan timbulnya isu-isu baru yang memerlukan penyelesaian syar`i, para ilmuwan Muslim berasa terpanggil untuk berijtihad. Untuk itu mereka harus memahami sedalam mungkin tentang al-maqasid. Memang al-maqasid menempati posisi yang sentral dalam ijtihad dan istinbat. (Balajiy, `Abd al-Salam, 2007: 283-290). Di tengah semarak kesedaran baru tentang peri pentingnya al-maqasid itulah tampilnya tokoh-tokoh seperti al-Shaykh Muhammad al-Ghazaliy, Dr. Yusuf al-Qaradawiy dan lain-lain yang menyuarakan keperluan memasukkan objektif memelihara kebebasan, dan memelihara keadilan ke dalam komponen maqasid al-shari`ah.

Anjakan Gaya Pandang Terhadap al-Maqasid

Wacana masa kini tentang maqasid al-shari`ah memperlihatkan perkembangan baru dari segi gaya pandang. Al-Raysuniy misalnya cuba melihat persoalan al-maqasid dari perspektif hak asasi manusia. Beliau mengangkat hak-hak asasi manusia sebagai paksi al-maqasid. Sementara itu Dr. Jamal al-Din `Atiyyah menyarankan anjakan dari al-kulliyyat al-khamsa ke al-Majalat al-Arba`ah, realisasi al-maqasid dalam empat ranah kehidupan: individu (al-fard), keluarga (al-usrah), umat (al-ummah), dan kemanusiaan sejagat (al-insaniyyah).

Melaksanakan syari`at dalam konteks kehidupan individu adalah untuk merealisasikan objektif pemeliharaan jiwa-raganya, akal-budinya, penghayatan agamanya, kehormatan dirinya, dan keselamatan hartanya. Dalam konteks kehidupan kekeluargaan pula syari`at dilaksanakan untuk mencapai objektif pengaturan hubungan antara dua jenis makhluk manusia (lelaki-perempuan), kelanjutan zuriat, kedamaian dan kasih-sayang, kejelasan nasab keturunan, komitmen keagamaan (tadayyunlreligiosity), pemantapan keluarga sebagai sebuah institusi, dan pengurusan harta keluarga secara benar.

Al-maqasid di Ranah kemasyarakatan dan Kemanusiaan

Objektif murni syari`at yang terkandung dalam al-kulliyyat al-khamsa tidak hanya untuk kepentingan individu, tetapi harus meratai seluruh warga umat dan manusia sejagat. Al-Shaykh Ibn `Ashur disebut sebagai tokoh pertama yang memperingatkan hakikat tersebut. Mungkin peringatan inilah yang disambut oleh Dr. Jamal al-din `Atiyyah dengan membuat huraian tentang aktualisasi al-maqasid dalam pelbagai bidang kehidupan: perseorangan (individu), kekeluargaan, keumatan dan kemanusiaan. Makalah ini akan memakai acuan Dr. `Atiyyah dalam perbincangan tentang al-maqasid dengan tumpuan pada ranah keumatan dan kemanusiaan.

Dalam bidang kehidupan kolektif (keumatan dan kemanusiaan), antara objektif (maqasid) yang harus direalisasikan termasuklah:

Memastikan wujudnya umat secara nyata dengan esensi hakikinya, dan ciri-ciri khasnya. Untuk itu institusi-institusi keumatan seperti baitulmal, masjid, sekolah, mahkamah, kepolisan dan sebagainya harus diperkasa, ditingkatkan wibawa dan integritinya agar umat terus hidup sebagaimana layaknya walau apa pun perubahan -- sosial-ekonomi-politik -- yang berlaku. Untuk mencapai objektif kewujudan umat secara yang bererti, syari`at Islam sangat menekankan semangat kesatuan ummatik atau wahdat al-ummah berasaskan kesatuan `aqidah, kesatuan syari`ah, dan kesatuan budaya (khususnya bahasa). Ini tidak bererti bahawa serba-serbinya harus satu. Dalam bingkai kesatuan berasaskan tiga tonggak di atas (`aqidah, shari`ah, thaqafah/lughah), wujud ruang yang secupkupnya bagi perbezaan dan kepelbagaian. Kesatuan ummah tidak menghalang wujudnya kepelbagaian mazhab fiqh, kepelbagaian aliran ilmu kalam, dan kepelbagaian parti politik. Yang penting adalah kesepakatan prinsip-prinsip asasi dan kesamaan rujukan terakhirnya - al-Kitab dan al-Sunnah.

Objektif pewujudan ummah secara nyata dan real harus dicapai menerusi pembinaan ciri khayriyyat al-ummah, ciri keunggulan umat (khayra ummah): komitmen terhadap pengembangan nilai-nilai kemakrufan, dan pemberantasan elemen-elemen kemungkaran berasaskan semangat keimanan kepada Allah. Demikianlah umat yang religious, memiliki kepedulian sosial yang tinggi, dan komited terhadap idealisme pembinaan masyarakat berasaskan iman (faith-based) dan nilai-nilai sakral keagamaan. Objektif tersebut juga harus direalisasikan menerusi pembudayaan amal kolektif, beroganisasi dan bersemangat musyawarah (shura).

MEMAHAMI KEMUDAHAN DAN KERINGANAN ISLAM

Islam merupakan agama rahmat kepada manusia dan alam ini. Rasulullah memerintahkan untuk memudahkan sesuatu perkara dan tidak menyulitkan. Pengertian mudah di sini bererti mengikuti manhaj yang memberi keluasan dan toleransi, keringanan yang jauh daripada tindakan menyulitkan, sukar dan berat. Sementara 'mempersulit' adalah manhaj yang menimbulkan kesulitan, kesempitan dan kesukaran terhadap manusia. Allah menjadikan fitrah manusia untuk menyukai kemudahan dan keluasan. Dalam syariat Islam, hukum-hukum dilandaskan atas kemudahan,bukan atas kesulitan. Al-Qaradawi membawa dalil al-Quran bagi menyokong hujahnya seperti ayat al-Baqarah, ayat 185, al-Ma'idah ayat 6, al-Anfat, ayat 66. Namun, seruan kepada kemudahan bukanlah bermakna menghalalkan semua yang diharamkan berdasarkan dalil yang pasti seperti riba, minum arak, perjudian dan sebagainya. Semua yang tercantum dalam nas yang jelas tidak boleh diganggu-gugat lagi. Menurut al-Qaradawi, sikap keras bukan pada tempatnya sangat merugikan Islam kerana menimbulkan kerosakan dan menghilangkan banyak kemaslahatan. Beliau menyeru kepada para aktivis Islam membicarakan tanda-tanda kemenangan Islam dan kecerahan masa depannya. Tidak ada tempat untuk kita menghiburkan diri dengan cerita-cerita malapetaka hari kiamat, mengatakan dunia Islam seburuk-buruknya dan masa depan Islam selalunya lebih buruk dari masa lalu, keimanan akan punah dan kezaliman akan bermahajalela.Keadaan seperti ini akan menyebabkan umat Islam berputus asa dan berasa tidak mampu untuk melakukan perubahan, meluruskan yang bengkok dan merubah keadaan ke arah yang lebih baik.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .