Friday, August 24, 2012

MENGEKALKAN KEMERDEKAAN NEGARA SATU AMANAH




Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal   

BEBERAPA hari lagi negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke 55. Sesungguhnya dilihat dari sudut sejarah negara,  salah satu elemen terpenting yang turut membantu kemerdekaan negara serta terus mengekalkannya  adalah aspek keselamatan dan pertahanan negaraDalam konteks negara Malaysia, antara agensi utama dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara adalah organisasi Angkatan Tentera Malaysia. Oleh yang demikian tugas tersebut merupakan satu amanah yang tentunya berkait rapat dengan aspek keagamaan. Amanah tersebut telah dipikul dengan jayanya oleh Angkatan Tentera Malaysia negara mencapai kemerdekaan hingga kini.

Selain dari itu juga amanah memikul tanggungjawab keamanan dan keselamatan ini juga secara horizontalnya berasaskan kepada kepercayaan rakyat dan secara vertikalnya ia merupakan amanah dari Allah (s.w.t.). Namun demikian sesuai dengan sifatnya bahawa tugas atau amanah menjaga keamanan dan keselamatan ini tidak hanya merupakan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi juga semua pihak dalam organisasi kerajaan dan juga setiap rakyat dan warganegara.

Berdasarkan premis tersebut ternyata bidang ketenteraan merupakan satu aspek yang penting dalam Islam. Bidang ini sebenarnya berkait rapat dengan aspek pertahanan negara dan ketahanan ummah. Sesebuah negara yang dikatakan kukuh dan disegani ialah negara yang antara lain mempunyai angkatan tentera yang kuat dan mantap serta canggih pula dari segi persenjataan. Sebab itu antara perkara utama yang dilakukan oleh Rasulullah (s.a.w.) semasa menegakkan kerajaan Islam pertama di Madinah ialah membentuk jentera pertahanan atau dengan kata lain mengasaskan angkatan tentera yang mampu menjadi benteng kepada negara dan umat Islam.

Proses menyediakan angkatan tentera yang kuat, profesional dan berwibawa bukanlah sesuatu yang bersifat tabii semata-mata. Ertinya bukanlah disebabkan adanya musuh atau terdapatnya ancaman ke atas sesebuah negara menyebabkan sesebuah negara itu membentuk angkatan tentera yang mungkin dapat menangani persoalan keselamatan dan pertahanan. Sebenarnya pembentukan angkatan tentera di sesebuah negara khususnya negara yang dikuasai oleh umat Islam, adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah (s.w.t.). Ini jelas seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Anfal (8:60) yang bermaksud, Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.

Friday, August 17, 2012

SALAM AIDILFITRI DAN PENGAJARAN RAMADAN



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal


Ramadan telah berada di penghujungan dan kita akan menyambut aidil fitri beberapa hari lagi. Apabila syawal menjelma kita akan menyambut dan merayakan aidil fitri. Kita tidak berpuasa lagi, malahan kita bergembira seperti kegembiraan kita berbuka puasa dan tentunya kita menunggu kegembiraan yang lebih besar lagi seperti yang pernah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud,

“Orang-orang yang berpuasa itu mempunyai dua jenis kegembiraan yang akan dirasakan iaitu ketika berbuka ia gembira dengan makanan, dan di akhirat kelak ia akan bersua dengan Rabbnya, ia akan bergembira degan sepuasnya” – Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan akan bergembira bila berakhirnya Ramadan, kerana taufik dan hidayah Allah yang telah dilimpahkan kepada diri masing-masing dengan kekuatan untuk bersolat dan berpuasa serta amalan yang lainnya dan marilah kita menyatakan syukur degan kata-kata,
“ Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami dengan ini dan kami tidak akan mendapat petunjuk sekiranya Allah tidak memberi hidayah”.

Ramadan telah berlalu dan ia juga bermakna masa telah berlalu dan umur kian meningkat. Kita bergembira menyambut aidil fitri dan perlu disedari kita perlu membuka lembaran baru hasil dari pengajaran madrasah Ramadan. Lembaran lama berlalu dan lembaran baru dari segi umur dibuka dan benarlah kata syair arab yang bermaksud,

Manusia sedang melalui batas usianya
Dalam perjalanan melewati hari dan bulan
Berlalunya siang dan malam
Menjauhi dunia mendekati akhirat
Satu langkah terayun semakin dekat dengan kuburan
Semakin dekat ke saat ajal dan kematian”

Selamat Hari raya Maaf Zahir Batin- Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Tuesday, August 14, 2012

MEMBINA SEMANGAT ITSAR DALAM DIRI


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam konteks hubungan sesama manusia adalah menjadi harapan, agar hubungan sesama manusia itu dapat diterjemahkan dalam ertikata semangat setia kawan atau esperit de corp . Dalam istilah agama  Islam ia disebut sebagai itsar yang bermaksud bersedia mendahulukan kepentingan orang lain dari kepentingan diri sendiri. Sejauh manakah umat seluruhnya telah menghayati sifat itsar ini dalam kehidupan seharian khususnya semangat setiakawan yang telah dididik dalam organisasi ketenteraan? Menjadi harapan semoga madrasah Ramadan telah dapat mendidik emosi, tingkah laku dan kognitif supaya bersikap pemurah, penyayang, sopan santun serta nilai-nilai positif yang lain. Jika ini dapat diterjemahkan dalam hubungan sesama umat Islam, sudah pasti umat Islam akan terus kukuh, mantap dan saling bersatu.. Bagi menggambarkan sifat itsar yang boleh dibina melalui madrasah Ramadan antaranya ialah tentang kisah para sahabat dan pejuang Islam yang mempunyai kesanggupan mendahulukan kepentingan orang lain berbanding dari kepentingan diri sendiri.

Bagi menjelaskan sifat itsar ini, terdapat kisah yang berlaku di kalangan tentera Islam yang berjuang dan tercedera dalam Perang Yarmouk. Kisah ini berlaku kepada Ikrimah bin Abu Jahal (anak Abu Jahal). Apabila Ikrimah tercedera parah dalam peperangan tersebut, sepupunya yang turut serta dalam peperangan telah berusaha untuk membantunya dengan ingin memberikan air kepada Ikrimah dan apabila Ikrimah hendak meminum air tersebut, Ikrimah terdengar ada tentera lain yang turut tercedera parah inginkan air, apabila mendengar perkatan tersebut Ikrimah menyuruh sepupunya itu memberikan air tersebut kepada tentera yang merintih memerlukan air, kerana Ikrimah berkata, “demi Allah saya tidak akan minum sebelum saudara saya minum”. Sepupu Ikrimah pergi kepada orang tersebut, dan keadaan yang sama berlaku kepada sepuluh orang yang lain dan orang yang ke sepuluh menyatakan, “demi Allah aku tidak akan minum sebelum Ikrimah minum”. Maka sepupu Ikrimah pun kembali kepada Ikrimah dan didapati Ikrimah telah pun syahid.

Begitu juga dengan kisah yang berlaku dalam peristiwa hijrah khususnya yang berlaku antara kaum Muhajirin dan Ansar. Sikap itsar Saad bin Rabi’ (Ansar) kepada Abdul Rahman bin Auf (Muhajirin). Saad berkata kepada Abdul Rahman, “wahai saudaraku, aku mempunyai kekayaan sebanyak ini dan aku akan membahagikannya separuh untuk diriku dan separuh untuk dirimu, dan sebahagian dari rumahku menjadi milikmu. Selain dari itu, aku juga mempunyai dua orang isteri, aku akan tunjukkan kepadamu kedua-duanya dan engkau pilihlah di antara keduanya dan aku akan ceraikan pilihanmu dan nikahlah dengannya setelah selesai eddah”. Apabila mendengar kata-kata itu, Abdul Rahman hanya berkata, “semoga Allah memberkati kehidupanmu dan keluarga, cuma tunjukkanlah aku di mana pasar, supaya aku boleh berniaga”.

Demikianlah sikap itsar yang terdapat di kalangan para sahabat. Untuk itu, apakah sikap tersebut tidak boleh dilakukan setelah menjalani ibadah Ramadan atau melalui madrasah Ramadan yang menyarankan supaya beramal soleh, bersedekah, berzikir, doa, zakat, membaca al-Quran, qiamulail, iktikaf dan lain-lainnya. Oleh yang demikian sewajarnya madrasah Ramadan yang dilalui itu telah mengajar serta mendidik untuk melaksanakan kehidupan secara syariat Islam, sekaligus mampu untuk menjadikan diri ke arah kemurahan hati dan jiwa yang bersih bagi merubah diri ke arah nilai-nilai murni serta memiliki sifat-sifat mahmudah dan lebih tawadhu’ serta sentiasa mensyukuri nikmat Allah dengan apa yang dimiliki kini.

Sunday, August 12, 2012

BADAR A-KUBRA




Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

SALAH  satu peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Ramadan ialah Perang Badar atau sering disebut sebagai Badr al-Kubra.  Sirah telah  mencatatkan bahawa tentera Islam telah terlibat dalam Perang Badar (Badr al-Kubra) yang telah berlaku pada 17 Ramadan Tahun 2 Hijrah. Sesungguhnya ‘Badr al-Kubra’ telah memberikan pengajaran dan iktibar yang boleh diteladani oleh setiap individu muslim iaitu:

a. Sifat cinta dan kasih kepada agama Islam mengatasi segalanya.

b. Semangat cintakan negara, bangsa dan tanah air dari diceroboh musuh.

c. Mempunyai sifat taqwa dan sabar dalam menghadapi ujian dan kesukaran.

d. Sentiasa berserah diri kepada Allah dan bertawakkal.

Selain dari itu madrasah Ramadan juga mendidik diri untuk meningkat, mendekati serta menghayati konsep Hablun MinAllah (Hubungan dengan Allah) dan konsep Hablun Minannas (Hubungan sesama manusia). Sesungguhnya madrasah ramadan melatih seluruh umat Islam untuk melaksanakan amalan hubungan seorang hamba dengan Rabbnya iaitu Hablun MinAllah (Hubungan dengan Allah) dan Hablun Minannas (Hubungan sesama manusia. Hubungan tersebut terserlah dalam ibadah dan akhlak yang dilakukan sepanjang Ramadan dan sekaligus ia mampu dan diharapkan untuk diterjemahkan selepas Ramadan.

Friday, August 3, 2012

MADRASAH RAMADAN

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Bulan Ramadan merupakan bulan latihan atau madrasah yang pada umumnya bertujuan untuk melatih umat Islam agar bertaqwa, bersyukur dan mendapat petunjuk Ilahi. Menurut Yusuff al-Qardawiy dalam bukunya ‘al-Ibadah fil-Islam” (2003), madrasah Ramadan bertujuan untuk menambah kekuatan kerohanian, bulan untuk melawan nafsu dan bulan persediaan untuk jihad.


Professor Dr Wahbah Zuhaili (1999) dalam ‘Fiqh al-Islam wa adillatuh’ menyebut bahawa ibadah puasa merupakan ‘madrasah’ yang bertujuan untuk melahirkan insan bertaqwa yang berlandaskan ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. Menurut Dr Wahbah Zuhaili lagi, madrasah tersebut bertujuan untuk membina taqwa melalui pendekatan berikut:
a. Berpuasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi atau terbuka.

b. Mengekang nafsu syahwat daripada menguasai diri.

c. Membina cetusan naluri yang peka dan sensitif.

d. Memulihkan dan membina kekuatan struktur dalaman tubuh badan serta menguatkan kesihatan jasad dari unsur yang memudharatkan.
Bagi Dr Mustaffa Siba’i (1956) pula menerusi bukunya, ‘Ahkamu syiam wa falsafat fi dhu al-Quran wa al-sunnah’ menjelaskan ibadat puasa sebagai madrasah atau pusat latihan untuk membina kekuatan dari aspek al-madi (kebendaan) dan kekuatan al-ruhi (roh). Dalam aspek kebendaan ia mencakupi aspek harta dan juga jasmani sementara aspek roh ia meliputi iman dan pemikiran.

Dalam konteks ini bagaimanakah sewajarnya kita sebagai umat Islam dapat mengambil pengajaran atau iktibar dalam tempoh sebulan dalam melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan dan dapat diterjemahkan pengajaran Ramadan atau latihan (madrasah) yang sama-sama dilalui itu untuk dibawa dalam kehidupan atau pun profesyen kerjaya yang diceburi. Selain itu, madrasah Ramadan juga mampu meningkatkan motivasi untuk melakukan pembaikan diri atau tazkiyah (self-improvement), meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilai-nilai unggul yang dinamakan taqwa.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .