Wednesday, January 30, 2013

DOKTRIN PERANG BERASASKAN TAUHID



Oleh : Dr Burhanuddin Jalal

Rencana ini telah disiarkan dalam Berita Harian 21 Jan 2013. Mohon pandangan dan ulasan  dari pembaca selanjutnya. Terima kasih.

Thursday, January 24, 2013

SAYANGI SESAMA INSAN




 Oleh Dr Burhanuddin Jalal
Salah satu pendidikan ditekankan Rasulullah SAW ialah ukhuwah atau persaudaraan yang dibina atas dasar kasih sayang sesama insan. Ukhuwah dan kasih sayang atas nama Allah tidak hanya mendapat ganjaran, ia juga meningkatkan kualiti iman. Sabda Rasulullah SAW: “Mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah adalah penguat simpul-simpul keimanan.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Setiap individu Muslim perlu mencintai Muslim lain kerana Allah dan membenci kaum kafir munafik kerana Allah. Rasulullah SAW bersabda: “Dua orang Muslim yang bertemu kemudian bersalam, maka mereka mendapat keampunan sebelum mereka berpisah.” (Riwayat Abu Daud)

“Allah berfirman: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Ternyata banyak sekali kebajikan yang boleh dilakukan dalam Islam serta mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT. Malah, menyapa dan bersalam dengan saudara seagama pun akan mendapat rahmat serta keampunan Allah. Sesungguhnya ini semua anugerah Allah yang amat besar dan indah.

Abdul Rahman bin Auf ialah Muhajirin yang berhijrah dan Saad bin Rabi pula kalangan orang Ansar. Abdul Rahman berhijrah tanpa membawa harta, tetapi Saad berkata kepadanya: “Saudaraku, rumah, kekayaan, pakaian dan seluruh harta milikku akan aku bahagi dua. Separuh untuk aku dan separuh untuk engkau.”Kedua-duanya tidak pernah kenal antara satu sama lain, tidak mempunyai hubungan kekeluargaan atau apa-apa kepentingan, tetapi oleh kerana kesan tarbiah Rasulullah SAW, Saad melakukan sesuatu yang amat dituntut Islam.Ini diingatkan Allah melalui firman: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat menitikberatkan nilai kasih sayang dan persaudaraan. Mungkin kita tertanya apakah sahabat Rasulullah tidak pernah melakukan kesalahan terhadap sahabat mereka yang lain?
Ketika Umar al-Khattab menjawat jawatan khalifah, beliau ingin menguji sejauh mana perasaan ukhuwah, persaudaraan, kasih sayang dan mengasihi dalam kalangan sahabat. Apakah pendidikan atau benih yang disemai Rasulullah SAW benar-benar hidup dalam jiwa mereka. Umar al-Khattab telah memberikan 1,000 dirham kepada pembantunya dan berkata, “Pergilah berjumpa Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan katakan kepadanya, Amir al-Mukminin telah memberikan wang untuk dibelanjakan sesuka hati tuan. Kemudian, tunggu sebentar lihat apa dilakukan Abu Ubaidah al-Jarrah.”Pembantu Umar melaksanakan apa diarahkan dan melihat Abu Ubaidah al-Jarrah mengagihkan wang yang diterima kepada pelbagai pihak yang memerlukan sehingga tiada yang tinggal. Pembantu Umar kembali dan melaporkan apa telah dilihatnya. Kemudian Umar memberikan lagi wang 1,000 dirham untuk diberikan pula kepada Mu’adz bin Jabal. Tindakan sama juga dilakukan Mu’adz bin Jabal dengan menyedekahkan kembali wang itu kepada orang ramai. Selanjutnya Umar memberikan wang kepada Sa’ad bin Abi Waqas. Beliau juga menyedekahkan wang itu. Melihat tindakan ketiga-tiga sahabatnya itu, lantas Umar berkata, “Alhamdulillah masih ada persaudaraan di hati mereka.”

Besarlah harapan kita supaya nilai kemurahan hati dan sifat persaudaraan sentiasa ada dalam diri setiap insan Muslim. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membela kehormatan saudaranya, maka nescaya Allah akan menjauhkannya dari neraka pada hari kiamat.” Maksud hadis ini ialah bagi seseorang yang tidak sanggup mendengar saudaranya dihina oleh orang lain dan dia sendiri tidak menghina saudaranya bahkan membela kehormatannya, maka Allah akan membebaskannya daripada api neraka. Mulai saat ini lepaskan diri daripada sikap benci dan dengki terhadap saudara seagama sehingga Allah mengampuni kita.
____________
Telah disiarkan dalam BERITA HARIAN pada 24 Januari 2013

Thursday, January 17, 2013

MEMAHAMI SIRAH NABAWIYYAH

Oleh Dr Burhanuddin Jalal


Umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia sudah pastikan akan mengingati tarih 12 Rabiul Awwal setiap tahun kerana tarikh tersebut tercatat dalam sirah sebagai hari keputeraaan Nabi Muhammad SAW. Untuk tahun ini tema sambutan yang telah dipilih ia;lah ‘1Malaysia, 1Ummah’.

Satu aspek yang penting dalam suasana kita mengadakan majlis sambutan Maulidur rasul ini, sejauh mankah kita menghayati dan menghayati kepentingan untuk mengetahui sirah nabi Muhamad SAW ini? Menurut Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam bukunya ‘fiqh al-sirah’ telah mencatatkan bahawa tujuan memahami sirah ialah agar setiap orang Muslim memperoleh gambaran sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. sesudah ia difahami secara konsepsinya sebagai prinsip, kaedah dan hukum. Oleh itu, mempelajari sirah mengandungi beberapa faedah.

• Pertama ialah memahami keperibadian nabi melalui celah-celah kehidupan dan keadaan-keadaan yang pernah dihadapinya, untuk menegaskan bahawa nabi Muhammad bukan sahaja seorang yang terkenal di antara kaumnya sahaja tetapi sebelum itu baginda adalah seorang Rasul yang didukung oleh Allah dengan wahyu dan taufik dari-Nya.

• Kedua ialah agar manusia mendapat gambaran contoh terbaik dalam seluruh kehidupan yang utama untuk dijadikan dastur dan pedoman kehidupan. Tidak diragukan lagi, betapa pun manusia mencari contoh terbaik mengenai salah satu aspek kehidupan, dia pasti akan mendapatkannya di dalam kehidupan Rasulullah secara jelas dan sempurna. Oleh itu, Allah menjadikannya qudwah bagi seluruh manusia seperti firman Allah yang bermaksud, “ Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu.” (al-Ahzab 21)

• Ketiga ialah agar manusia mendapatkan dalam mempelajari sirah Rasulullah ini, sesuatu yang dapat membantunya untuk memahami kitab Allah dan menyelami tujuan-tujuannya. Ini disebabkan banyak ayat-ayat al-Quran yang boleh ditafsirkan dan dijelaskan maksudnya melalui peristiwa-peristiwa yang pernah dihadapi Rasulullah s.a.w. dan sikapnya.

• Keempat ialah dengan mempelajari sirah ini seseorang muslim dapat mengumpulkan sekian banyak pengetahuan dan ilmu-ilmu Islam yang benar, sama ada dalam perkara akidah, hukum dan akhlak. Tidak diragukan lagi bahawa kehidupan Rasulullah merupakan gambaran yang kukuh dari sejumlah prinsip dan hukum. Kelima ialah agar setiap pendakwah Islam memiliki contoh hidup dalam aspek pendidikan dan dakwah. Adalah Rasulullah s.a.w. seorang daie pemberi nasihat dan guru yang terbaik yang tidak berputus asa mencari pendekatan terbaik dalam pendidikan selama beberapa period dakwahnya.

Dengan memahami dan menghayati sirah nabawiyah serta pelbagai yang dilaksanakan olej pelbagai pihak sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, diharapkan akan menambangkan lagi rasa cinta dan kasih sayang kita kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w sekali gus dapat memperkasa kita diri dan ummah ke arah yang lebih dinamik.
______________
Telah disiarkan dalam Ruangan Agama Berita Harian pada 10 Januari 2013.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .