Thursday, January 30, 2014

ADAB DAN TUJUAN PENDIDIKAN


Konsep adab dalam Islam disampaikan oleh Prof. Naquib al-Attas. Menurut Prof. Naquib, adab adalah “pengenalan serta pengakuan akan hak keadaan sesuatu dan kedudukan seseorang, dalam rencana susunan berperingkat martabat dan darjat, yang merupakan suatu hakikat yang berlaku dalam tabiat semesta.”  
           
 Lebih jauh, Prof. Naquib menjelaskan, bahwa jatuh-bangunnya umat Islam, tergangtung sejauh mana mereka dapat memahami dan menerapkan konsep adab ini dalam kehidupan mereka. Lebih jauh, pakar filsafat Islam dan sejarah Melayu ini menjelaskan,

”Ta’rif adab yang dikemukakan di sini dan yang lahir dari pengertian Islam, dengan sendirinya menjelaskan bukan sahaja harus dia itu ditujukan maksud pengenaannya pada bangsa insani belaka; bahkan dia juga harus dikenakan pada keseluruhan alam tabi’i dan alam ruhani dan alam ilmi. Sebab, adab itu sesungguhnya suatu kelakuan yang harus diamalkan atau dilakukan terhadap diri, dan yang berdasarkan pada ilmu, maka kelakuan atau amalan itu bukan sahaja harus ditujukan kepada sesama insani, bahkan pada kenyataan makhluk jelata, yang merupakan ma’lumat bagi ilmu. Tiap sesuatu atau seseorang memiliki hak yang meletakkannya pada keadaan atau kedudukan yang sesuai bagin keperluannya. Ilmulah, dibimbing serta diyakini oleh hikmat, yang memberitahu atau memperkenalkan sehingga ketara tentang hak yang mensifatkan sesuatu atau seseorang itu; dan keadilan pula yang menjelaskan hukum tentang di manakah atau bagaimanakah letak keadaan atau kedudukannya. Apabila faham adab itu dirujukkan kepada sesama insan, maka dia bermaksud pada kesusilaan akhlakiah yang mencarakan kewajiban diri berperangai mengikut keperluan haknya dalam susunan berperingkat darjat yang terencana, umpamanya, dalam keluarga, dalam musharakat, dalam berbagai corak pergaulan kehidupan. Apabila dia dirujukkan pada alam ilmi pula, maka dia bermaksud  pada ketertiban budi menyesuaikan haknya pada rencana susunan berperingkat martabat yang mensifatkan ilmu; umpamanya pengenalan serta pengakuan akan ilmu bahawa dia itu tersusun  taraf keluhuran serta keutamannya, dari yang bersumber pada wahyu ke yang berpunca pada perolehan dan perolahan akal; dari yang fardu ain ke yang fardu kifayah; dari yang merupakan hidayah bagi kehidupan ke yang merupakan kegunaan amali baginya. Dan adab terhadap ilmu itu iaitu mengenali serta mengakui taraf keluhuran serta keutamaan yang terencana pada ilmu, nescaya dapat menghasilkan dalam diri pencapaian yang seksama terhadap meramukan, menurut taraf keperluannya, pelbagai macam ilmu yang membina keadilan dalam diri. Dan keadilan dalam diri itu menyesuaikan haknya pada kewajiban membimbingnya ke arah pengenalan serta pengakuan akan ilmu yang bersumberkan wahyu, yang menyesuaii hak diri jua, dan yang dengannya dapat menjelmakan akibat amali dalam diri sehingga menyelamatkannya dunia-akhirat.” .

ISLAH TAHUN BARU 2014




IMARAH RABIULAWWAL TIUP SEMANGAT CINTA RASULULLAH




  

Oleh Dr Burhanuddin Jalal

Ibnu Kathir dalam kitab `al-Bidayah wa an-Nihayah' menceritakan mengenai sahabat Rasulullah SAW, Zaid bin Datsinah yang menjadi tawanan dan hendak dibunuh. Sebelum dibunuh, ketua kafir Quraish, Abu Sufyan bin Harb, memberi tawaran kepadanya.Katanya, "Wahai Zaid, jika kamu mahu terlepas daripada pembunuhan ini, kamu gantikan dengan Muhammad, kamu akan terselamat dan boleh kembali kepada keluarga kamu". Zaid berkata, "Demi Allah, aku tidak akan rela Muhammad jadi galang gantiku malah aku juga tidak rela Muhammad tercedera walaupun hanya tertusuk sebilah duri."Apabila mendengar jawapan Zaid, Abu Sufyan berkata, "Aku tidak pernah menjumpai seseorang yang mencintai orang lain, seperti cintanya sahabat Muhammad terhadap Muhammad."

Kisah ini adalah bukti keagungan Muhammad SAW serta tingginya kasih sayang dan cinta sahabat terhadap Baginda. Hubungan rapat antara Nabi Muhammad SAW dan sahabat menjadikan cinta dan kasih sayang mereka amat besar. Kini kecintaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad SAW ditunjukkan melalui pelbagai cara termasuk sambutan Maulidur Rasul yang dianjurkan baru-baru ini dan masih diraikan sepanjang Rabiulawal.

Amalan mudah dianjurkan untuk mengeratkan hubungan dengan Baginda SAW ialah berselawat kepadanya kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Rasulullah SAW bersabda, "Setiap kali umatku mengirim salam kepadaku, setelah aku tiada, Jibril menyampaikannya kepadaku laluku jawab `Waalaihi salam', semoga keselamatan dan kesejahteraan Allah kepadanya". Perasaan kasih kepada junjungan Nabi Muhammad SAW turut dipelbagaikan melalui penganjuran majlis zikir yang tidak dinafikan mendapat sambutan baik daripada umat Islam pelbagai lapisan umur serta latar belakang.

Pada masa sama, program dianjurkan mengambil pendekatan saling mengingatkan umat Islam pentingnya berpegang kepada ajaran dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Semoga peringatan itu menyemarakkan semangat kita untuk mencontohi Baginda dalam setiap aspek kehidupan.


Sambutan Maulidur Rasul bertujuan membangkitkan semangat umat Islam dianjurkan pada zaman Salahuddin al-Ayubi ketika umat Islam berjuang mempertahankan Islam daripada serangan tentera salib. Salahuddin al-Ayubi telah mengeluarkan arahan menganjurkan majlis memperingati kelahiran Nabi Muhammad bermula tahun 580 Hijrah atau 1184 Masihi pada setiap 12 Rabiul. Awalnya cadangan Salahuddin itu ditentang oleh ulama.

Antara program dilaksanakan Salahuddin adalah pertandingan penulisan riwayat Nabi berserta pujian menggunakan bahasa yang indah. Pemenang pertandingan itu ialah Syeikh Jaafar al Barzanji, dan karyanya dikenali sebagai kitab al-Barzanji. Kitab itu terkenal di nusantara dan sering dibaca serta diperdengarkan dalam majlis keagamaan khususnya sambutan Maulidur Rasul.

Ternyata usaha Salahuddin itu mempunyai kesan besar terhadap umat Islam ketika itu dan pada 1187 Masihi (583 Hijrah), Salahuddin dan tentera Islam berjaya merampas semula Baitulmaqdis dari bangsa Eropah. Semangat kecintaan dan kebangkitan Islam seperti inilah yang dapat dijadikan inspirasi kepada pendakwah untuk terus melakukan inovasi dan transformasi dalam dunia dakwah. Kita perlu terus bergerak ke depan untuk membina pemahaman dan penghayatan agama dalam erti kata yang luas serta menghayati budaya ilmu dalam kehidupan. Demi mendepani cabaran Islam masa kini, kita perlu terus melahirkan lebih ramai Zaid bin Datsinah yang mencintai Rasulullah SAW.

Justeru, mengimarahkan Rabiulawal dengan program menjurus kepada semangat serta perasaan cinta Rasulullah SAW dilihat sebagai usaha murni yang perlu diberi sokongan supaya rasa kasih sayang kepada Baginda disemai secara berterusan.
________________

Rencana telah disiarkan dalam Berita Harian pada 21 jan 2014

Sunday, January 12, 2014

AZAM TAHUN BARU 2014

Oleh: Dr Burhanuddin Jalal

 Kita baru sahaja menyambut tahun baharu masihi 2014. Ini bermakna masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak membuat tindakan bijak, kita akan terus tertinggal, malah cabaran baru kian menghimpit.

Menyedari perkara ini, Islam menyarankan umatnya sentiasa peka dan bersedia menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan kehidupan umat dan Islam terus terjamin. Kepemimpinan negara menyarankan kita melakukan transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai.

Transformasi dalam Islam disebut sebagai islah yang bermaksud perubahan ke arah kehidupan atau keadaan lebih baik. Proses islah atau transformasi pada asasnya terdapat dua aspek iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).

Islam menetapkan transformasi kehidupan insan sebagai alat yang dapat mengubah atau mencipta sesuatu perubahan. Oleh yang demikian, segala bentuk perubahan atau pembaikan bertujuan membina kualiti kemanusiaan.

Kitab suci al-Quran yang mengandungi pelbagai aspek pengajaran menyentuh akidah, hukum, akhlak, sirah, sains dan teknologi. Semua aspek itu disebut Allah SWT sebagai satu petunjuk kepada manusia untuk mencapai perubahan atau membina peradaban manusia.

Ini jelas seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah ar-Ra'du, ayat 11)

Perubahan diri dapat dilakukan dengan wujudnya kesedaran untuk melakukan perubahan. Ini disebut sebagai muhasabah diri dan selanjutnya disusuli dengan tindakan untuk membangun semangat ke arah kebaikan dan pembaikan diri.

Amat sedih sekali kerana ramai dalam kalangan umat Islam hari ini hanya sibuk melemparkan pelbagai tuduhan dan sering mencari kesalahan orang lain sehingga gagal menemukan kelemahan diri sendiri.

Oleh itu, dalam hal ini kita perlu mengingati apa yang disebut Khalifah Umar al-Khattab, hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung. Walaupun ramai mentafsirkan peringatan itu merujuk kepada persiapan kematian, tetapi muhasabah perlu dilihat dalam konteks lebih luas.

Muhasabah diri

Bermuhasabah dan tindakan perlu dimulakan oleh diri sendiri seperti saranan Rasulullah SAW. Perlu kita sedari umat Islam tidak akan terjatuh ke lembah kehinaan jika seluruh umat Islam mengamalkan dan memegang teguh ajaran Islam.

Pelbagai cabaran dan kehinaan akan menimpa jika umat Islam gagal mengambil ajaran Allah SWT sebagai petunjuk dan panduan kehidupan. Berdasarkan itu, beberapa tindakan untuk memperbaiki diri dan membetulkan keadaan umat perlu dilakukan.

Perbetul visi

Keadaan ini perlu dimulakan dengan membetulkan visi keislaman yang jelas, akidah murni, ibadah kukuh dan disertai dengan ilmu serta sifat ikhlas yang mantap. Jika ini dapat dilakukan, ia akan melahirkan akhlak yang baik dan semangat penyebaran syiar Islam yang menyeluruh.

Seorang Muslim yang baik, tidak pernah dalam dirinya bersifat statik melakukan perubahan diri. Pada asasnya, kehidupan hari ini perlu lebih baik dari semalam dan kehidupan hari esok perlu lebih baik dari hari ini.

Jika berlaku keadaan statik atau jumud, ini bererti sudah berlaku kemunduran dan jika tidak dibaiki, keadaan menjadi bertambah buruk serta menuju kehancuran. Perkara ini perlu disedarkan kepada seluruh umat supaya menjadi umat yang sederhana.

Jika kesedaran ini dapat digerakkan dan dicapai, sudah pasti umat Islam menjadi pemimpin dunia yang bukan saja menguasai politik, juga dalam segala aspek kehidupan dalam bidang sains, teknologi, ekonomi, politik dan juga peradaban secara umumnya.

Transformasi sistem kehidupan mendorong manusia saling berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain. Dalam melakukan hubungan sosial atau interaksi ini, manusia memerlukan peraturan dan sistem yang dapat mengatur kehidupan dengan lebih baik serta sempurna.

Sehubungan itu, Islam sudah mengatur sistem kehidupan manusia secara jamaie untuk membentuk sistem hidup sempurna. Ini semua terkandung dalam peraturan dan hukum hakam yang terdapat dalam ibadah, munakahat, muamalat dan jinayat.

Aspek kepemimpinan

Selain itu, Islam juga mementingkan aspek kepemimpinan kerana manusia bukan haiwan yang hidup tanpa ikatan peraturan dan norma tertentu. Dalam sistem kehidupan berperaturan dan bersistem, memerlukan kepemimpinan yang mampu mengurus manusia ke arah lebih baik.

Sirah Nabawi mencatatkan, terdapat dua Nabi yang membawa syariat Islam dan diikuti oleh ramai umat manusia iaitu Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW. Kedua-dua pemimpin itu mengajak manusia melakukan ketaatan kepada Allah SWT berlandaskan sistem Islam yang dibawa mereka.

Membina sistem kehidupan bertujuan membentuk manusia ke arah lebih sempurna dan berjaya, seluruh umat Islam perlu melihat ibadah, kehidupan bermasyarakat dan peraturan ditetapkan Islam mampu membentuk masyarakat melakukan perubahan secara menyeluruh.

Manusia umpama benih yang perlu ditanam di tanah yang subur untuk pertumbuhan benih yang baik. Benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah gersang atau kering. Walaupun tanahnya subur dan baik tetapi benihnya tidak baik, kita tidak boleh mengharapkan pokok tumbuh dengan subur.

-----------------------
Rencana telah disiarkan dalam Berita Harian 26 Dis 13

EMPAT MODEL PEMERINTAHAN ISLAM

Oleh: Dr Burhanuddin Jalal Sejarah mencatatkan bahawa Islam mengalami pelbagai dimensi pemerintahan. Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW di kota Madinah, ia adalah puncak kejayaan politik Islam. Di bawah kepemimpinan Rasulullah SAW, masyarakat Madinah mencapai tahap kesejahteraan sosial yang amat tinggi. Selepas Islam menguasai kehidupan umat, masyarakat yang sebelumnya suka untuk berperang, bertelingkah dan bahasa yang digunakan adalah `pedang' bertukar menjadi masyarakat yang lebih bertamadun dengan mengutamakan perdamaian, tidak berdendam, kelembutan, beramanah dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi. Kehidupan masyarakat Madinah di bawah kepemimpinan Rasulullah SAW itu juga mampu melahirkan masyarakat yang bertoleransi bukan saja sesama Muslim, bahkan dengan yang bukan Islam. Masyarakat Madinah pada waktu itu juga adalah model yang terbaik bagi perkembangan Islam selepas itu. Masyarakat Madinah dibangunkan atas teladan, persaudaraan, persamaan, toleransi, musyawarah, tolong-menolong dan keadilan. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, pemerintahan Islam mula mengalami perubahan yang ketara dan semakin kompleks. Kualiti kepemimpinan umat Islam ada naik dan turunnya. Selepas berakhirnya zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin, dunia pemerintahan umat Islam mengalami perubahan yang amat drastik, khususnya pada zaman pemerintahan Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan seterusnya. Pergolakan politik dalam kalangan umat dan negara pada waktu itu terlalu rumit dan pelbagai. Akhirnya pada 1341 Hijrah, Mustaffa Kamal Artatuk mengambil pemerintahan Othmaniah dari Abdul Majid II dan selepas itu politik negara Islam terus mengalami perubahan yang ketara. Secara umumnya, perjalanan sistem pemerintahan Islam dapat digambarkan berdasarkan empat model yang utama iaitu zaman pemerintahan Rasulullah SAW, zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin, zaman pemerintahan negara Islam dan zaman pemerintahan dalam pembentukan negara. Model paling membina masyarakat Daripada keempat-empat model itu, ternyata model pemerintahan dan kepemimpinan pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah yang paling berjaya dalam membangun dan membina masyarakat. Salah satu aspek teras kejayaan itu adalah disebabkan unsur peribadi yang ada pada diri Rasulullah SAW. Model terpenting yang diterapkan Rasulullah dalam aspek pentadbiran dan pemerintahan Baginda SAW adalah aspek modal insan atau keteladanan yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Ini seperti difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." Kejayaan Rasulullah SAW dapat membina dan mewujudkan umat Islam dapat dilihat pada zaman kecemerlangan negara Islam Madinah. Perlu kita sedari bahawa perubahan yang berlaku di Madinah itu bukanlah sesuatu yang bersifat `segera' dan `mudah', tetapi ia juga mengalami proses dan masa dalam mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik. Namun, apa yang berlaku di Madinah itu adalah lanjutan daripada pembentukan manusia yang dilakukan Rasulullah SAW sejak dari zaman Makkah lagi iaitu sebelum berlakunya peristiwa hijrah dan individu yang berjaya dibentuk itu menjadi daya penggerak kepada perubahan bagi membantu Rasulullah SAW. Selain itu, beberapa aspek yang turut menyerlahkan kegemilangan kehidupan sosial, ekonomi dan politik di Madinah pada waktu itu adalah aspek pengukuhan iman yang diterapkan dalam diri sahabat dan setiap individu Mus- lim di Madinah. Perkara utama dibentuk Rasulullah SAW dalam kalangan sahabat Baginda adalah keimanan kepada Allah SWT. Keimanan yang teguh dan mantap inilah yang menjadi teras dalam diri dan peribadi sahabat serta seluruh kehidupan masyarakat Islam Madinah. Selain itu, kita dapat saksikan bahawa kejayaan kepemimpinan terdahulu ialah kerana mencontohi kepemimpinan Rasulullah SAW. Ini dapat dilihat pada zaman Umar Abdul Aziz yang melakukan perubahan drastik dalam pemerintahan, khususnya meninggalkan perkara buruk yang dilakukan oleh pemerintahan sebelum itu seperti mengamalkan kemewahan dan pembaziran. Umar Abdul Aziz mengembalikan gaya pengurusan negara seperti yang pernah dipimpin oleh Khulafa al-Rasyidin, seperti kembali menyusun semula kehidupan masyarakat tanpa mengenal status, membina kestabilan sosial serta menaik taraf kehidupan rakyat dalam pelbagai aspek kemudahan dan prasarana yang sewajarnya disediakan oleh pihak kerajaan. Tokoh pembaharuan pertama Tindakan yang dilakukan Umar Abdul Aziz dalam zaman pemerintahannya itu diakui ulama dan mengiktiraf beliau sebagai tokoh pembaharuan yang pertama dalam dunia Islam selepas Rasulullah SAW. Ternyata fakta ini membuktikan bahawa aspek peribadi pemimpin yang ideal adalah satu aspek penting untuk kejayaan organisasi atau masyarakat dipimpin. Dalam hal ini, Imam al-Mawardi dalam buku Ahkamul al-sultaniyyah mencatatkan mengenai satu syarat yang perlu dipenuhi pemimpin ialah aspek keadilan atau al-Adalah. Konsep adil ini mempunyai kaitan yang rapat dengan nilai keperibadian seseorang pemimpin. Nilai keadilan dalam Islam tidak hanya berkaitan dengan aspek duniawi semata-mata, tetapi ia juga mencakupi aspek kerohanian dan akhirat. Pemimpin yang adil akan sentiasa menjauhi perbuatan yang bertentangan dengan nilai Islam dan syariat Allah SWT. Untuk itu dalam suasana kita mengadakan sambutan Maulidur Rasul bagi tahun ini, agenda bertindak kita adalah untuk mengorak langkah ke arah membina kepemimpinan dalam setiap peringkat masyarakat dan organisasi agar mempunyai kepemimpinan yang mampu mencerap keteladanan Rasulullah SAW. Ini merangkumi aspek siddiq (benar, dipercayai), amanah (jujur, amanah, ikhlas), fatonah (bijaksana, cerdik, pan- dai, intelektual) dan juga tabligh (menyampaikan, telus, kepimpinan, berwibawa). Jika ini dapat dilakukan sudah tentu negara kita sentiasa mendapat berkat dan rahmat daripada Allah SWT. ___________________ Catatan: Rencana telah disiar dalam Berita Harian 6 Jan 2014

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .