Thursday, March 27, 2014

MENGUASAI ILMU PERBANDINGAN AGAMA






Oleh: Dr Burhanuddin Jalal

SEJAUH manakah para pendakwah kita  telah menguasai ilmu perbandingan agama? Perlu  diakui bahawa masyarakat Malaysia atau masyarakat  dunia pada hari ini hidup di tengah kemajmukan agama, bangsa dan budaya. Demi mewujudkan keharmonian dan kerukunan hidup, pemahaman dan saling mengormati dalam aspek agama amat penting.  Kegagaalan mengurus kemajmukan dalam aspek agama, budaya dan juga bangsa akan memberi kesan kemusnahan yang jelas terhadap keseimbangan hidup sejagat..

Salah satu aspek yang penting untuk menghadapi kepelbagaian ini ialah dengan memahami atau mengetahui ilmu perbandingan agama. Namun demikian, sejauh manakah para pendakwah telah terdedah dengan ilmu perbandingan agama. Pada rata-ratanya kita masih belum menguasai ilmu perbandingan ini secara jelas dan berkemahiran tinggi, walaupun terdapat sebahagian besar  dari para pendakwah  yang telah terdedah dengan ilmu ini. Menurut  Ghazali Basri (2013) dalam bukunya  Ilmu Perbandingan Agama – Satu Pengenalan’, terdapat  lima persediaan yang perlu  bagi setiap individu untuk  mempelajari ilmu perbandingan agama.

·                     Penguasaan bahasa. Disebabkan sifat sesebuah agama yang menjadi anutan seseorang itu bukan sahaja melibatkan aspek keimanan bahkan menyangkut soal amalan dan tindakan, nilai budaya dan masyarakat sehingga membentuk sebuah sistem kehidupan. Oleh yang demikian, seseorang itu perlu mempersiapkan kemampuan inteleknya dengan  menguasai sebanyak  mungkin  tentang agama tersebut. Pengusaan tersebut termasuklah dalam aspek penguasaan bahasa dan juga aspek peristilahannya seperti bagi agama Hindu Bahasa Sanskrit, agama Buddha Bahasa Pali, agama Yahudi Bahasa  Hebrew dan Bahasa Arab bagi agama Islam.

·                     Memahami secara objektif. Persiapan emosi dan perasaan yang dapat mendorong kepada ikut serta dalam agama yang dikaji. Perkataan turut serta (participate) bukan maksud simpati atau mengimani ajaran agama tersebut, tetapi ia memahami secara objektif yang tiada unsur bias atau diskriminatif dalam memahaminya,. Umumnya setiap orang yang beriman dan beramal dengan agmanya akan bersikap eksklusif terhadap agama anutannya. Dengan sikap eksklusif ini seseorang akan mengatakan agamanya terbaik berbanding dengan  agama orang lain.

·                     Bersikap terbuka. Kesediaan untuk bersikap terbuka dan konstruktif dalam memahami agama-agama lain.  Lazimnya dalam kajian perbandingan agama, pengkaji akan sentiasa membandingkan (sama ada mahu mencari persamaan atau sebaliknya) apabila membincangkan sesuatu aspek. Dalam hal inilah akan wujud ruang untuk memperkaya maklumat atau pengalaman sama ada untuk dirinya (agama anutannya) sendiri atau bagi orang yang menganut agamanya.

·                     Anutan agama yang kuat. Pengkaji ilmu perbandingan agama hendaklah mempunyai anutan agama yang kuat. Penghayatan agama atau anutan agama yang kuat bermaksud gabungan antara ilmu (teori) dengan amalan (praktik). Dalam perkataan lain, seseorang itu mestilah seorang yang beramal dengan ajaran agama yang dianutnya. Dunia kesarjaanaan membuktikan  bahawa penyelidik atau penulis agama yang bukan agamanya, contohnya  sebagai  seeorang ateis, didapati tulisannya tidak dapat memberikan gambaran sepenuhnya tentang agama yang ditulisnya. Sebagai contoh, Cliford Geertz sarjana Belanda yang menulis buku mengenai masyarakat Islam dalam kalangan orang Jawa telah gagal memberikan gambaran masyarakat Islam yang dikaji, kerana beliau bukan seorang Muslim yang benar-benar mengusai ajaran, perasan dan pemikiran orang Islam.

·                     Bersikap toleransi. Perlu mempunyai sikap tasamuh atau toleransi terutama berkaitan dengan hal-hal yang menyentuh prinsip agama anutan pengkaji. Dalam hal inilah wujudnya pendekatan ‘epoche’ dalam kaedah ilmu perbandingan agama yang bermaksud penangguhan member hukuman atau membuat penilaian mengenai apa juga aspek yang menyangkut agama yang dikaji. Penangguhan ini mungkin mempunyai tenpoh tertentu.

Sesunguhnya lima aspek yang dinyatakan di atas amat penting bagi para pendakwah atau dalam kalangan kita yang berminat untuk memahami dan mengkaji agama lain khususnya dalam usaha untuk menangkis pelbagai dakyah agama lain, tambahan pula pada masa kini isu-isu semasa  agama seperti pluralisme agama,isu kalimah Allah,  Kristianisasi dan juga isu-isu lain sering menjadi pertikaian dan ketidak fahaman isu berkaitan. Selain dari itu menguasai ilmu perbandingan agama dalam kalangan pendakwah dapat dijadikan  satu kekuatan tambahan untuk melakukan dakwah Islamiah iaitu dakwah kepada orang Islam serta dakwah Islahiah, dakwah kepada sesama Islam dengan lebih berjaya dan berkesan serta dapat menepati apa yang telah difirmankan oleh Allah melalui firmanNya dalam surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud, serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu), dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk
__________ 
Rencana telah disiarkan dalam Berita Harian 25 Mac 2014

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .