Monday, December 15, 2014

PERTEMUAN SETELAH 32 TAHUN

Oleh: Dr Burhanuddin Jalal Masa berlalu dengan pantas. Latif Mohidin dalam bukunya 'Dipenjuru matamu', buku yang menjadi buku teks sastera SPM 1980an ada menulis, " Di penjuru matamu, pertemuan berlalu, yang unggu lalu memburu, dipenjuru matamu perpisahan berlaku, yang unggu lalu terharu". Pada 13 Dis 2014 yang lalu di Hotel Everly Putra Jaya telah berlaku pertemuan rakan-rakan persekolahan Kolej Islam Klang (KIK) khususnya kelas SPM 1980 dan STPM 1982. Ini bermakna pertemuan yang berlaku ketika berumur 17 dan 18 tahun itu dan kemudian berpisah dengan haluan dan kerjaya masing-masing, dan bersyukur dapat dipertemukan lagi setelah masing-masing berusia 51 atau 52 tahun. Begitulah pertemuan dan perpisahan. Pertemuan semula mengimbau sejarah dan kenangan lama alam remaja dan suasana sekolah khususnya kehidupan di Kolej Islam Klang (KIK) kini Kolej Sultan Alam Shah (KISAS), dan ada rakan yang telah tiada lagi, menemui Allah Maha Pencipta dan 14 orang kesemuanya. Pertemuan membuat kesemuaya yang hadir pada hari itu menjadi 'membiru dan terharu'.

Tuesday, December 9, 2014

MENGENAL ULAMA

Oleh: Dr Burhanuddin Jalal SUDAHKAH kita manamengenal ulama? Menurut Dr Zulkifli al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan telah menggariskan beberapa ciri ulama iaitu: " Ulama ialah yang mengenali syariah Allah, faqih dalam agama, beramal dengan ilmu, mengikut hidayah Allah yang dikurniakan kepada mereka dengan hikmah. " Ulama ialah golongan yang Allah jadikan sebagai tiang kepada manusia untuk bersandar dan bergantung dalam permasalahan fiqah, ilmu urusan agama dan dunia. " Ulama ialah ahli fiqah Islam dan fatwa berkisar daripada pendapat mereka dalam kalangan manusia yang mana mereka dikhususkan untuk istinbat hukum dan begitu prihatin dalam menyatakan aspek qawaid halal daripada haram. " Ulama ialah pemimpin agama telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan seperti mana firman Allah dalam surah al-Sajdah ayat 24 yang bermaksud, "Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami". " Ulama ialah golongan yang masyarakat dan umat belajar dan bertafaqquh (mengukuhkan) ilmu agama yang kemudian menyampaikan dakwah serta peringatan. " Ulama ialah petunjuk kepada manusia yang sentiasa wujud di sepanjang zaman untuk membela agamanya. " Ulama ialah ketua jemaah yang diperintahkan supaya beriltizam dengannya dan melarang kita berpisah dengannya. Berdasarkan ciri-ciri tersebut ternyata ulama amat mulia dan besar peranan mereka kepada ummah seluruhnya. Selain dari itu bagi memastikan kita semua tidak terkeliru atau tersilau dengan ' kehebatan' individu yang kadangkala dikategorikan sebagai ulama, kita mestilah memastikan mereka juga mempunyai ciri-ciri seperti mempunyai ilmu yang banyak, kemantapan keilmuan yang ada, mampu untuk menguasai bab syubhah sehingga dapat membezakan dengan jelas, mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah, mereka dikenali kerana kuat beribadah dan takut kepada Allah, mereka dikenali dengan mulianya mereka daripada dikalahkan dunia dan ulama dikenali berdasarkan sijil serta perakuan-perakuan guru-guru mereka yang mursyid, Dalam perkara ini Imam Malik pernah berkata, " Tidak sepatutnya seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya".

MENGHARGAI ULAMA

Oleh: Dr Burhanuddin Jalal SEJAUH manakah kita menghargai para ulama? Dalam konteks negara Malaysia yang telah memperuntukkan perkara 3 dalam Perlembagaan Malaysia menyebutkan bahawa ”Islam adalah agama Persekutuan”. Sebagai Muslim- Melayu di Malaysia seharusnya bersyukur kerana tanah air kita dibina dan dibangunkan di atas sebuah tapak sejarah keislaman yang kukuh sehingga binaan kenegaraannya dipengaruhi oleh unsur keislaman tersebut. Bagi memastikan negara terus mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah Saba’ ayat 15 yang bermaksud, ” Bersyukurlah kepadanya(negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun”. Salah satu cara yang perlu sama-sama kita lakukan ialah dengan menghargai dan menghormati para ulama kita yang sentiasa menasihati, membimbing, mengajar dan memastikan setiap insan Muslim berada dalam ketaatan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu wataala. Dalam suasana negara yang penuh makmur, aman dan sejahtera ini serta Allah telah mengurniakan para pemimpin dan yang menyedari tentang keperluan dan kepentingan penghayatan agama khusus agama Islam, kita sebagai masyarakat Islam di Malaysia perlu terus menghargai para ulama yang ikhlas untuk mendidik atau menegur kita jika berlakunya kesilapan atau kekhilafan dalam hidup ini. Selain dari itu kita juga perlu mengambil iktibar dari sebuah hadis nabi riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud, ”Sesungguhnya Allah tidak menghapuskan ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekali gus hamba-hambaNya, tetapi Allah menghapuskan ilmu itu dengan kematian para ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dalam kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya, mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan”.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .