Wednesday, April 7, 2010

FAKTOR KEJAYAAN DALAM PERJUANGAN KETENTERAAN

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Perlu diakui bahawa perjuangan itu tentunya menghadapi pelbagai cabaran dan halangan. Dalam konteks ketenteraan penyelesaian boleh dibuat menerusi cara aman dan cara kekerasan. Cara kekerasan bermaksud peperangan dan natijah dari peperangan adalah kalah atau menang. Apakah faktor yang mendorong ke arah kemenangan? Dalam aspek ini Allah SWT telah memberikan garis panduan bagi mencapai kemenangan dalam perjuangan. Firman Allah yang bermaksud,

“ Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang Yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah Dengan berdasarkan keterangan dan Bukti Yang jelas nyata. dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari Segala iktikad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu Yang lain."


Mengikut Sayyid al-Qutb dalam tafsir fi zilalil quran (2000) menjelaskan dari ayat tersebut terdapat tiga unsur yang menjadi asas dalam perjuangan iaitu dasar atau tujuan yang jelas, kepimpinan dan pengikut yang menjadi pendukung perjuangan.
a. Dasar atau tujuan yang jelas. Dasar dan tujuan menjadi faktor dalam menjamin kejayaan dan kelangsungan wujud manusia dan kemanusiaan. Oleh yang demikian yang menjadi teras kepada dasar dan kejayaan tersebut adalah akidah Islamiah. Dengan akidah Islamiah ini manusia dapat melaksanakan amanah yang diberikan dan seterusnya mendapat kejayaan.
b. Pemimpin. Pemimpin adalah individu yang penting dalam membimbing sesebuah masyarakat atau kumpulan. Pemimpin yang layak memimpin umat ke arah kejayaan, ialah pemimpin yang lahir di kalangan umat Islam serta yang tidak putus hubungannya dengan Allah dalam setiap tindak tanduk pimpinannya.
c. Pengikut. Pengikut atau pendukung kepada pimpinan ke arah mencapai kejayaan adalah terdiri dari pengikut yang setia dalam setiap ruang dan tempat. Dalam usaha mencapai kejayaan yang diredai Allah pengikut atau pendukung kepada kepimpinan adalah individu yang mempunyai kekuatan akidah dan juga adalah manusia yang mempunyai nilai peribadi yang mulia, sanggup berjuang dan mempunyai kesabaran yang tinggi. Ini sperti yang telah difirmankan oleh Allah yang bermaksud,

“Wahai Nabi rangsanglah orang-orang Yang beriman itu untuk berperang. jika ada di antara kamu dua puluh Yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh Yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan Yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang Yang tidak mengerti”.

APA ITU SPRITUAL COMBAT POWER?

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Kekuatan sesebuah angkatan tentera itu dapat dibina dari pelbagai aspek kekuatan dan kekuatan itu pula dapat dilihat dari pelbagai sudut dan aspek. Dari segi bahasa ”kekuatan” bermaksud: ”Tenaga, daya, kekuasaan, keteguhan dan kekukuhan. Tempur bermaksud berjuang, berperang.” Manakala ”spiritual” pula bermaksud: ”mengenai roh, kejiwaan atau bersifat rohaniah, kerohanian” (Kamus Dewan 2005).

Dari segi istilah kekuatan tempur spiritual (”spiritual combat power”) bermaksud: ”Elemen berkaitan roh dan kejiwaan atau kerohanian yang menjadi pendorong dalam perjuangan dan peperangan bagi mencapai matlamat yang dicita-citakan”. Dalam ertikata yang lain ia juga boleh didefinisikan sebagai: ”Semangat juang atau ”spiritual strength” iaitu kekuatan tersembunyi yang wujud dalam diri anggota tentera yang mampu bertindak sebagai penggerak yang menjadikan mereka tabah dan berani mengharungi apa jua bentuk kesusahan, kepayahan dan bahaya meskipun tekanan perang bertambah iaitu sebagaimana yang dinyatakan oleh Brigedier Jeneral Hazim Abdul Qahar al-Rawi:

“A secret power that exists within military personnel which acts as a ‘driving force’ to keep them steadfast and courageous in any kind of hardship, difficulty, or danger, despite the increased degree of pressure during battle.”


Anggota tentera yang berkualiti memerlukan satu pengisian yang jelas dan bersepadu dari aspek fizikal, mental dan spiritual. Kekuatan fizikal akan menjamin daya mobiliti dan kepantasan bertindak khasnya sewaktu semasa operasi dan peperangan. Kekuatan mental pula menjadi faktor penentu ketahanan seseorang anggota menghadapi ujian semasa mengharungi situasi gawat dan getir (“combat stress”) dan sebagainya. Kekuatan spirituil menjamin wujudnya daya tempur (“spiritual combat power”) operasi dan latihan dan ia sekali gus menjadi benteng yang kukuh.

Tuesday, April 6, 2010

MEMAHAMI SKOP FIQH

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Pada umunya terdapat dua makna al-fiqh:
1) Makna secara bahasa : Al-Fiqh ialah kefahaman. Faham dan memahami sesuatu.

2) Makna secara istilah. Terdapat dua keadaan:
• Al-Fiqh itu ialah mengetahui hukum-hukum syariat yang berkaitan dengan perbuatan dan perkataan mukallaf, dengan dalil-dalilnya yang terperinci. Iaitu dalil-dalil dari Al-Quran, Al-Hadis dan cabang-cabang daripada keduanya iaitu ijma' dan ijtihad.
• Al-Fiqh itu ialah hukum-hukum syariat itu sendiri.
Perbezaan antara kedua maknanya yang pertama perihal mengenali hukum-hukum syariat dengan dalil-dalilnya dan keduanya adalah hukum-hukum syariat itu sendiri. Oleh yang demikian, di sini perlu ditekankan bahawa fiqh itu ialah mengetahui hukum-hukum syariat Islam dengan dalil-dalilnya. Bermaksud pengetahuan tentang hukum-hukum agama yang bersifat amali perbuatan seperti solat sebagai contoh hendaklah diketahui melalui adanya petunjuk menyuruh beramal dengan amalan sedemikian. Sebaliknya bukanlah amalan itu diketahui semata-mata kerana orang di sekitar kita amalkan seperti itu maka kita turut amalkan atau kita amalkan amalan itu mengikut cara kita tersendiri dengan mereka-reka amalan tertentu kerana kita rasa ianya bagus dan sesuai untuk kita. Mengetahui hukum dengan dalilnya adalah wajib, taklid tanpa ilmu adalah haram dan bid'ah dalam ibadah adalah haram.
Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan bahawa hukum-hukum syara' itu terbahagi kepada dua iaitu:
1. Hukum yang ditetapkan langsung oleh nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah secara jelas dan terang.
2. Hukum yang ditetapkan dengan jalan ijtihad para ulama dan fuqaha yang tetap berpedomankan Al-Quran dan Sunnah atau yang tiada nas langsung melainkan melalui qias dan sebagainya. - ( Terjemahan kitab Madkhalun lidirasatil Syari'atil Islamiyyah oleh Syeikh Yusuf Al-Qardhawi)
Maka di sini mengetahui hukum-hukum syariat ada kalanya bersifat qathie seperti bahagian pertama dalam penjelasan Syeikh Yusuf Al-Qardhawi dan ada kalanya bersifat dzanni seperti bahagian kedua daripada penjelasan di atas. Himpunan daripada kedua-dua bahagian ini dinamakan hukum syariat itu sendiri sebagaimana makna kedua dari istilah fiqh.
Maka tertolaklah pendapat yang mengatakan syariat itu sesuatu ilmu yang lain dan fiqh itu pula yang lain. Kerana syariat itu adalah tujuan dan fiqh itu adalah cara mengenal hukum syariat. Tanpa fiqh kita tidak tahu atau mengenali hukum syariat.
Istilah pertama berbeza dengan istilah ushul fiqh kerana istilah ushul fiqh adalah mengenali hal-hal yang membahaskan dalil-dalil fiqh secara umum dan cara-cara menggali hukum-hukum daripada dalil-dalilnya dan membahaskan keadaan orang yang menggali hukum-hukum tersebut (mujtahid). Oleh itu jangan keliru antara ilmu fiqh dengan ilmu ushulul fiqh. Kitab Fiqh Al-Manhaji tidak membahaskan ilmu ushul fiqh tetapi ianya membahaskan ilmu fiqh]
Kaitan Fiqh dengan Akidah
Hukum-hukum syariat mengatur perbuatan dan perkataan mukallaf. Ia berhubungan dengan iman kepada Allah Ta'ala dan rukun kepada kesempurnaan akidah Islamiyah dan tidaklah akidah iman itu berkenaan dengan kepercayaan hari akhirat sahaja. Akidah keimanan itu menjadikan seorang Muslim berpegang teguh dengan hukum-hukum agama dan mengikutinya dengan usaha untuk taat. Membiasakan dengan hukum-hukum syariah adalah cabang yang keluar daripada iman yang diturunkan dan disyariatkan kepada hamba-Nya.
Kesempurnaan Hukum Syariat Meliputi Segala Keperluan Manusia
Kehidupan manusia terdiri daripada pelbagai Aspek. Setiap aspek ini menentukan kebahagiaan manusia, oleh yang demikian Islam hadir bersama fiqh Islam yang bertujuan memelihara setiap aspek kehidupan manusia sentiasa berada dalam kebaikan dan jauh daripada kerosakan. Kajian terhadap sumber-sumber hukum fiqh Islam menunjukkan terdapat tujuh aspek kehidupan manusia yang dipelihara agar sentiasa dalam keadaan harmoni iaitu:
• Aspek Ibadat iaitu aturan-aturan wudhu, solat, puasa, zakat, haji dan lain-lainnya. Ini dinamakan hukum hukum ibadat.
• Aspekt Kekeluargaan iaitu aturan berpasangan, penceraian, keturunan dan penyusuan, nafkah dan waris dan lain-lainnya. Ia dinamakan hukum hal keperibadian (Al-ahwal Syakhshiyyah)
• Aspek Hubungan Manusia iaitu aturan berurusan sesama manusia seperti jualbeli, gadaian, pinjaman, dan lain-lainnya. Ia dinamakan hukum mu'amalat.
• Aspek Kehakiman iaitu aturan berkaitan dengan pemerintahan seperti menegakkan keadilan, menolak kezaliman. menguatkuasakan hukum-hukum, kewajipan yang dihukum untuk taat selain dalam perkara kemaksiatan dan lain-lainnya. Ini dinamakan hukum pemerintah (al-ahkamus sulthaniyyah) atau pensyariatan siyasah (as-siyasahus syar'iyyah).
• Aspek Kesalahan iaitu aturan berkaitan dengan perbuatan pelaku kesalahan dan memelihara keamanan dan keteraturan seperti kesan-kesan ke atas pembunuh, pencuri, peminum arak dan lain-lainnya. Ia dinamakan al-'uqubat atau balasan daripada perbuatan salah.
• Aspek tatanegara iaitu aturan berkaitan dengan perhubungan antarabangsa, antara negara-negara lain samada da;am peperangan atau perdamaian. Dinamakan As-Siyar.
• Sudut Akhlak dan Adab iaitu aturan yang berkaitan dengan etika, kesopanan, berbuat pembaikan, dan lain-lainnya. Ini dinamakan Akhlak dan Adab.

Berdasarkan penjelasan di atas , Islam bertujuan menjaga keperluan manusia melalui pensyariatan hukum-hukum seterusnya memastikan kebahagiaan mereka. Maka setiap hukum-hukum berada dalam kadar kemampuan manusia dan ianya menjamin had sempadan kemampuannya. Hukum itu bukan sesuatu yang melemahkan manusia daripada menunaikannya dan mendirikannya. Sesungguhnya agama membuka pintu-pintu kemudahan dan keringanan, apabila didapati kesusahan yang terkeluar daripada batas-batas kemampuannya atau penyebab kepada kesusahan dan menambah keberatan, khususnya dalam keadaan tertentu.

MEMBINA KEKUATAN IBADAT

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam usaha untuk membina anggota tentera yang menghayati agama serta memahami peranan yang sewajarnya menurut perspektif Islam, Khalid Ahmad Syantut (2003), telah menggariskan tujuh pendekatan yang mampu membina anggota tentera dari sudut pendidikan spiritual yang sentiasa mempunyai hubungan yang akrab antara hamba Allah dengan penciptaNya sekali gus menjadikan seseorang itu sentiasa tekun dan sentiasa beribadat sama dalam bentuk umum ataupun khusus. Antara pendekatan yang dimaksudkan adalah seperti berikut :

a. Tekun beribadat yang merangkumi pelaksanaan solat, menunaikan ibadat puasa, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji.

(1). Solat. Solat merupakan hubungan antara hamba dengan tuhannya. Orang yang mengerjakan solat dengan khusyuk, rohnya akan berhubung dengan penciptanya, sehingga ia tidak merasakan sesuatu yang terjadi dalam lingkungan dirinya dan tidak merasakan kesakitan di tubuh badannya. Dalam kitab Tahzib sirah Ibn Hisyam (t.th:185), yang meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah, dia menceritakan, “ kami pergi bersama Rasulullah SAW dalam perang Dzariqa’. Kemudian Nabi berhenti di sau tempat dan bersabda, “siapa yang berjaga pada malan ini?’ Lalu kaum Muhajirin dan Ansar menghantar seorang anggota tentera untuk tugas tersebut. Anggota tentera dari kumpulan Ansar berkata kepada anggota tentera kumpulan Muhajirin, “ kamu atau aku-kah yang akan berjaga terlebih dahulu?”. Anggota Muhajirin berkata, kamulah yang berjaga dahulu”. Anggota Muhajirin itu pun pergi tidur setelah anggota Ansar bersetuju untuk berjaga terlebuh dahulu Ketika anggota Ansar yang berjaga itu sedang solat, datang seorang musuh lalu memanah anggota Ansar yang sedang bersolat itu, kemudian ia mencabut anak panah di badannya dan meneruskan solatnya. Musuh itu memanahnya lagi anggota yang sedang solat itu, lalu dia mencabut anak panah itu sekali lagi . Kemudian musuh memanah lagi buat kali ketiga, lalu anggota itu mencabut anak panah yang melekat di badannya sekali lagi, dan seterusnya ia rukuk dan sujud sehingga selesai sembahyang. Kemudian rakannya dari Kaum Muhajirin bangun dan musuh terus lari. Ketika anggota Muhajirin itu melihat dari mengembur dari badan anggota Ansar itu, lalu ia berkata, “ Subhanallah, mengapa kamu tidak memanggil aku ketika panah yang pertama mengenai dirimu?” Anggota Ansar itu berkata, “ aku sedang membaca salah satu surah dari al-Quran dan aku tidak mahu memutuskannya sehingga selesai. Demi Allah , kalau aku sengaja mengabaikan perintah Allah ini, sudah tentu Allah akan menghentikan nafasku sebelum aku sempat menyelesaikan surah yang aku baca”.

Ternyata solat yang dilakukan oleh anggota tentera dari kaum Ansar ini adalah solat yang amat berkualiti dari aspek keikhlasan dan kekhusyukannya beribadat kepada Allah dan ini menyebabkan sekali gus dapat membantu raih menjadi cemerlang. Demikianlah para sahabat Rasulullah SAW ketika menunaikan solat sehingga mereka lupa terhadap keadaan diri mereka dan keadaan sekeliling, kerana roh lebih berpengaruh dari aspek fizikal dan sekali gus roh dapat menguasai fizikal dan melemahkan tuntutan fizikal dan nafsu yang buruk.

(2). Puasa. Ibadah puasa dapat menggilap roh serta dapat menguatkannya dari beberapa aspek. Antaranya ialah dapat mengalahkan godaan syaitan dan iblis yang sentiasa mengganggu dan menggoda manusia melalui nafsu makan minum, syahwat dan juga amal perbuatan yang lain. Dalam hal ini Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan sebuah hadis dari Rasulullah,

“ Sesungguhnya syaitan itu mengalir dalam diri anak Adam melalui urat nadinya, maka sempitkanlah jalannya dengan rasa lapar”.

Imam al-Ghazali Rahimullah dalam kitabnya Ihya Ulumuddin (1960: 234) menjelaskan, “ ketahuilah bahawa puasa itu ada tiga tingkatan. Pertama, puasa umum iaitu menahan diri dari rasa lapar, dahaga dan menjaga kemaluan. Kedua, puasa khusus yang menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan dari segala dosa. Ketiga puasa khusus lagi khusus, iaitu puasa hati dan fikiran-fikiran duniawi dan menjaganya dari segala perkara melainkan ingatkan kepada Allah. Puasa jenis ini adalah hubungan seorang hamba dengan Rabb dan akan terus terjalin sepanjang melaksanakan ibadah puasa.

(3). Zakat. Dari segi bahasa zakat bermaksud berkat, berkembang, suci dan baik (al-Mu’jam al-Wasit :398). Menurut Ibnu Taimiyah dalam kitab al-Fatawa (1962) menyatakan, “ jiwa dan harta seseorang yang bersedekah itu akan besi, yakni akan suci dan baik”. Perkembangan dan kesucian itu pula tidak terletak pada harta semata-mata tetapi ia akan meresap ke dalam jiwa orang yang mengeluarkan zakat. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud,

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.


Berdasarkan firman Allah itu dengan laksanakan ibadah zakat akan dapat menyucikan jiwa dan seterusnya dapat mengalahkan nafsu yang sentiasa tamak kepada harta, sekali gus ia akan dapat menguatkan jiwa dan membersihkannya

(4). Haji. Ibadah haji akan mengukuhkan hubungan seseorang hamba dengan Allah SWT. Ini adalah kerana ibadah haji adalah kegiatan meninggalkan urusan dunia seperti urusan harta, keluarga demi untuk memenuhi panggilan dan seruan Allah. Iman al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin (1960: 265) berkata, ketahuilah bahawa tidak ada jalan menuju Allah SWT, kecuali dengan menyucikan diri dari syahwat, menahan diri dari berbagai-bagai kenikmatan dan hanya mengambil sekadar yang diperlukan, seta semua kegiatan aktif ataupun pasif semata-mata kerana Allah SWT”.

Dengan melaksanakan ibadah haji. Dalam masa beberapa minggu ternyata seseorang individu itu akan terputus hubungannya dengan urusan keduniaannya yang lain dan ia hanya tertumpu kepada amal ibadat untuk mendekatkan dirinya dengan Allah SWT.

b. Membaca al-Quran. Dalam sebuah hadis marfuk yang diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, Al-Quran itu tali Allah yang kukuh, cahayanya menerangi, zikir yang bijaksana dan dialah jalan yang lurus”. Al-Quran adalah perkataan yang diturunkan oleh Allah yang Maha tinggi lagi Maha besar. Membacanya sebagai ibadah dan ia merupakan mukjizat yang makhluk tidak mampu untuk meniru seumpama dengannya (Faris Husin Hijazi : 1983). Ini diperkukuhkan lagi dengan firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 21 yang bermaksud,

“Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya Engkau melihat Gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. dan (ingatlah), misal-misal Perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya”.

Selain dari itu, Ibn Majah telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud,

“ Sesungguhnya Allah memiliki keluarga dari kalangan manusia. Sahabat bertanya, “siapa mereka, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Para penghafaz al-Quran yang membacanya siang dan malam. Mereka itulah keluarga Allah dan orang-orang khusus baginya”.

Dengan membaca al-Quran seseorang itu akan mendapat kekuatan dalam jiwanya dan dapat memberi penghayatan kepada agama sekali gus dapat membina jiwa yang kuat dan sentiasa patuh kepada Allah SWT.

c. Zikir. Para ulama berpendapat bahawa amalan berzikir adalah salah satu cara untuk memperbaiki kualiti hati dan jiwa. Perkara ini pernah ditekankan oleh Rasulullah melalui sabdanya yang bermaksud,
“ Barang siapa menekuni bacaan istighfar, Allah akan mengubah setiap kesedihan menjadi kegembiraan, memberikan jalan keluar dari kesempitan dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka”.

Selain dari itu Rasulullah dalam amalannya menunjukkan bahawa Rasulullah melaksanakan amalan wirid dan zikir dan kita sebagai umatnya perlu meneladani apa yang telah Rasulullah lakukan. Untuk itu para ulama, khususnya Said Hawa (1979), menyarankan agar setiap individu Muslim dapat melaksanakan amalan wirid dan zikir harian seperti berikut:

i Solat fardu secara berjemaah, solat dhuha dan solat malam dan kemudian diikuti dengan zikir.
i. Membaca istighfar harian tidak kurang dari 100 kali.
ii. Membaca “la ilaha Illah wahdahu la syarikalah, lahumulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kuli saiin qadir” tidak kurang dari 100 kali.
iii. Membaca selawat kepada Rasulullah SAW tidak kurang dari 100 kali.
iv. Membaca surah al-Ikhlas sebanyak 3 kali.
v. Membaca satu juz al-Quran setiap hari.
vi. Zikir yang berterusan pada setiap pagi, petang dan malam (jika berkesempatan)

d. Persahabatan atau semangat setia kawan (esprit de’ corps). Ibn Khaldun berkata, “ pada dasarnya manusia adalah makhluk sosial, iaitu secara nalurinya suka bergaul dengan manusia lain. Jika tidak maka kehidupan dan peradaban manusia tidak akan terwujud”. Dalam Islam, kehidupan sosial (ijtimak’) mempunyai kedudukan yang penting kerana banyak manfaat yang boleh diperoleh dari kegiatan tersebut. Antara kegiatan sosial yang dimaksudkan ialah seperti solat berjemaah, solat Jumaat, majlis pengajian dan juga majlis zikir ( Sa’id Hawwa: 1979). Oleh yang demikian semangat setia kawan dan sentiasa mempunyai ikatan silaturahim yang kuat sesama rakan dan anggota masyarakat merupakan salah satu ciri penting dalam pembinaan kekuatan dalam masyarakat.

e. Penghayatan spiritual. Penghayatan nilai-nilai spiritual atau nilai-nilai kerohanian merupakan alatan yang penting dalam pembinaan atau peningkatan kualiti keperibadian seseorang Muslim. Penghayatan terhadap nilai kerohanian akan menolong seseorang sentiasa menuju dan mengamalkan ajaran yang sebenarnya. Menurut Khalid Ahmad Syantut (1989), antara amalan-amalan yang dapat membina kekuatan spiritual di kalangan tentera Muslim ialah:
i. Menghidupkan malam, berpuasa di siang hari dan membaca al-Quran pada waktu malam.
ii. Melakukan iktikaf pada 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan, pusa, solat malam, menjaga solat jemaah, membaca al-Quran, zikir, selawat nabi dan lain-lain.
iii. Berkelah secara Islam.
iv. Melakukan haji dan umrah.
v. Berjaga-jaga di atas perkara-perkara yang tidak baik dan turut berjihad melawan musuh Allah.


f. Mengetahui dan menghayati Sirah nabi dan para sahabat. Kehidupan yang rapat dengan seserang akan dapat mempengaruhi kehidupan individu. Begitulah juga jika seseorang itu mengikuti sejarah, kehidupan, perlakuan Rasulullah, para nabi, sahabat dan juga syuhada. Dengan membaca kisah dan buku-buku berkaitan dengan sirah Rasulullah dan para sahabat akan dapat membentuk jiwa dan perlakuan serta semangat perjuangan dan kecintaan Islam yang tinggi.

g. Nasyid. Menurut Sa’id Hawwa ( 1979), salah satu cara untuk menggilap dan melembutkan jiwa manusia adalah melalui salah satu cabang seni iaitu lagu-lagu atau syair, kerana ia sesuai dengan sifat semula jadi manusia. Nasyid atau lagu yang dimaksudkan di sini ialah nasyid atau lagu yang mempunyai lirik atau seni kata yang dapat mendidik dan mendorong manusia ke arah kebaikan atau membesarkan yang Maha pencipta. Terdapat ulama berpendapat bahawa jika jiwa seseorang menerima sesuatu kebenaran dengan cara yang dapat dinikmati, ia akan menerima kebenaran dengan hasil yang lebih baik. Oleh yang demikian seni nasyid atau lagu yang dinikmati melalui suara yang merdu dapat menyerap kebaikan dan kesedaran dan yang pasti nasyid tersebut mengikuti landasan yang telah ditetapkan.

Bagi Sayyid Qutb (1982), dalam Ma’alim fi Tariq, telah menekankan aspek pendidikan spiritual dalam pendidikan ketenteraan kerana ia merupakan peradaban bagi manusia dan juga bahawa dunia hari ini telah didominasi dengan perkara-peraka yang bersifat material dan kepentingan duniawi semata-mata dan ini dapat di bendung dengan pendidikan rohani.

Sunday, April 4, 2010

ILMU DAN ULAMA


Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Siapakah ulama? Pada umumnya ulama merupakan kunci kepada kefahaman. Pada zaman dahulu ulama adalah 'kunci' untuk memahami sesuatu bagaimana para sahabat mengamalkan Islam, para sahabat kunci kepada kefahaman apa yang diucapkan oleh Rasulullah, Rasulullah itu pula kunci kepada Quran. Ayat Quran datang dari Allah. Apa yang Quran nyatakan itu semua kunci semata. Berhajat pada Rasulullah, berhajat pada para sahabat, berhajat kepada ulama’ untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan oleh Allah. Kerana itu tanggungjawab ulama’ amat besar.
Imam Abu Hanifah dikisahkan pernah melihat seorang anak kecil memakai ‘terompah’ yang besar (bukan saiznya), ketika mengambil wudhuk. Lalu Imam Abu Hanifah berpesan ‘wahai anak kecil, berhati-hati nanti tergelincir’. Lalu budak itu menjawab, ‘Baiklah Imam, engkau juga perlu berhati-hati kerana jika aku tergelincir, hanya aku sahaja yang jatuh, tetapi engkau jika tergelincir, ramai manusia lain yang akan tergelincir kerana engkau seorang Imam’. Imam Abu Hanifah menitiskan airmata apabila mendengar nasihat budak kecil itu.
Itu “notate bene” yang penting sebelum kita mula bercakap tentang ilmu. Ingatlah pesan Rasulullah dalam haji wida’.


خذوا العلم قبل أن يقبض أو يرفع " فقال أعرابي : كيف يرفع ؟ فقال : ألا إن ذهاب العلم ذهاب حملته . ثلاث مرات
Ambil lah ilmu sebelum ianya disentap/diambil atau diangkat. Maka bertanya seorang a’rabi ‘bagaimana ilmu itu diangkat’ Maka Rasulullah menjawab, ‘tidak lain tidak bukan, perginya ilmu itu dengan perginya orang yang memikulnya’ dan baginda mengulangnya sebanyak 3 kali.


Barangkali petikan ini dapat menbginsafkan kita bersama.

Saturday, April 3, 2010

MENCINTAI NABI MUHAMMAD S.A.W

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan dengan tema “ Memantap ukhuwah, memperkasa ummah” yang telah dilaksanakan baru-baru ini diharapkan dapat menyuntik semangat kita semua untuk menghayati sirah Rasulullah s.a.w. Dengan mengkaji sirah Rasulullah s.a.w secara mendalam dan teliti serta disulami dengan rujukan yang muktabar sudah pasti kita akan menemui banyak natijah yang baik, yang akan membawa kita ke arah lebuh maju dan selari mengikut syariah Allah.

Menurut Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam bukunya, Fiqh al-sirah’, menegaskan bahawa tujuan memahami sirah ialah agar setiap orang Muslim memperoleh gambaran sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. sesudah ia difahami secara konsepsi sebagai prinsip, kaedah dan hukum. Oleh itu, mempelajari sirah mengandungi beberapa faedah. Antara lainnya ialah:

Pertama: memahami keperibadian nabi melalui celah-celah kehidupan dan keadaan-keadaan yang pernah dihadapinya, untuk menegaskan bahawa nabi Muhammad bukan sahaja seorang yang terkenal di antara kaumnya sahaja tetapi sebelum itu baginda adalah seorang Rasul yang didukung oleh Allah dengan wahyu dan taufik dariNya.

Kedua ialah agar manusia mendapat gambaran contoh terbaik dalam seluruh kehidupan yang utama untuk dijadikan dastur dan pedoman kehidupan. Tidak diragukan lagi, betapa pun manusia mencari contoh terbaik mengenai salah satu aspek kehidupan, dia pasti akan mendapatkannya di dalam kehidupan Rasulullah secara jelas dan sempurna. Oleh itu, Allah menjadikannya qudwah bagi seluruh manusia seperti firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu.” (al-Ahzab 21).

Ketiga: ialah agar manusia mendapatkan dalam mempelajari sirah Rasulullah ini, sesuatu yang dapat membantunya untuk memahami kitab Allah dan menyelami tujuan-tujuannya. Ini disebabkan banyak ayat-ayat al-Quran yang boleh ditafsirkan dan dijelaskan maksudnya melalui peristiwa-peristiwa yang pernah dihadapi Rasulullah s.a.w. dan sikapnya.

Keempat ialah dengan mempelajari sirah ini seseorang Muslim dapat mengumpulkan sekian banyak pengetahuan dan ilmu-ilmu Islam yang benar, sama ada dalam perkara akidah, hukum dan akhlak. Tidak diragukan lagi bahawa kehidupan Rasulullah merupakan gambaran yang kukuh dari sejumlah prinsip dan hukum.
Kelima ialah agar setiap pendakwah Islam memiliki contoh hidup dalam aspek pendidikan dan dakwah. Adalah Rasulullah s.a.w. seorang daie, pemberi nasihat dan guru yang terbaik yang tidak berputus asa mencari pendekatan terbaik dalam pendidikan selama beberapa period dakwahnya.

Selain dari itu bagi setiap individu Muslim perlu memahami dan menghayati surah Rasulullah SAW ini kerana sebagai seorang Muslim hubungan kita dengan Rasulullah adalah hubungan yang berterusan dan ini dapat dibuktikan dengan ucapan syahadah yang mengiktiraf bahawa hidup ini adalah untuk beribadah kepada Allah dan caranya ialah dengan mengikut ajaran Rasulullah s.a.w.

Sebagai seorang awam yang agak terbatas penguasaan dalam Bahasa Arab, tentunya kita tidak mampu untuk membaca atau menelaah kitab-kitab surah yang ‘besar’ atau yang menjadi rujukan asas dalam sirah seperti Sirah Ibnu Hisham, Zaad al-Ma’aad oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Sayyid al-Naas, Fiqh al-Sirah oleh Sheikh al-Buti, Fiqh al-Sirah oleh Muhammad al-Ghazali, Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibrahim al-’Ali, Nurul Yaqeen oleh Sheikh Muhammad Al-Khudori atau al-Sirah al-Nabawiyyah: Durusun wa ‘Ibar oleh Sheikh Mustafa al-Siba’ie. Oleh yang demikian buku yang berjudul, “Mengenali rasulullah s.a.w”, akan dapat membantu diri kita menghayati sirah Rasulullah s.a.w sekali gus dapat memantapkan lagi penghayatan Islam dan ketakwaan kita kepada Allah swt. Dengan membaca buku ini sekurang-kurangnya akan dapat memberikan kita jawapan yang jelas mengapa penulis Barat yang bernama Michael H Hart yang menulis di dalam bukunya “The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History” , telah turut mengakui kehebatan Rasulullah s.a.w. Dengan memahami sirah Rasulullahlah s.a.w tentunya kita dapat memperbaharui komitmen kita kepada mempelajari contoh amali kepada Islam, iaitu sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seperti mana yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya”.

Selain dari itu wasiat seorang sahabat nabi yang bernama Saad bin Abi Waqas RA, antara lain telah menyebutkan, “Kita hendaklah mengajar anak-anak kita peperangan Rasulullah seperti mana kita mengajar mereka surah-surah al-Quran”. Kenyataan ini menunjukkan bahawa sesungguhnya Rasulullah begitu hampir dengan dari kita sebebarnya kecuali kabus kemewahan dan kelalaian telah menjadi hijab atau penghalang bagi diri kita untuk mengenali Rasulullah s.a.w. Dalam sebuah hadis mengikut al-Tabrani, daripada Saidina Ali RA , Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Didiklah anakmu atas tiga sifat, cintakan nabimu, cintakan keluarganya dan membaca al-Quran. Ini kerana pembawa al-Quran berhak mendapat bayangan lindungan Arasy Allah ada hari tiada sebarang lindungan kecuali lindungan-Nya bersama para nabi dan orang-orang yang dipilih-Nya”.

Dengan membaca buku ini diharapkan akan menambangkan lagi rasa cinta dan kasih sayang kita kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w sekali gus dapat memperkasa kita diri dan ummah ke arah yang lebih dinamik.

Friday, April 2, 2010

MEMBINA INTELEKTUAL

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dr. Ali Juraisyah (1986) dalam bukunya Hadhir Al-‘Alam al-Islami, telah menjelaskan tentang situasi umat Islam masa kini dari aspek geografi, pemikiran politik, sosial dan ekonomi. Beliau menjelaskan bahawa terdapat beberapa masalah kritikal yang melanda umat Islam ada hari ini seperti masalah negara umat Islam yang dijajah oleh pihak lain seperti negara Palestin, Iraq, Afghanistan dan beberapa negara Islam lain yang juga turut terancam Selain dari itu pemikiran umat Islam turut tercemar dengan pengaruh pemikiran Yahudi dan Nasrani khususnya yang menyerang golongan belia.

Dari aspek politik pula Dr. Ali Juraisyah menyatakan bahawa umat Islam telah kehilangan kekhalifahan Islam dan tersebarnya kuasa imperialis baru di negara-negara umat Islam hasil dari gerakan kuasa Barat dengan cara menempatkan kepimpinan dari kalangan umat Islam yang bekerja untuk musuh-musuh Islam seperti Musthaffa Kamal Atartuk. Selain dari itu negara-negara lain seperti Amerika Syarikat juga kini sedang menguasai negara-negara Islam dengan melantik pemimpin negara umat Islam yang dikuasai oleh Amerika dan juga Yahudi (Dr. Ali Juraisyah: 23).

Dalam aspek sosiologi umat Islam pula Dr. Ali Juraisyah berpendapat bahawa pada hari ini, individu Islam, institusi keluarga, institusi masyarakat tidak lagi memenuhi syarat untuk menjadi pembentuk masyarakat Muslim yang ideal. Komuniti Islam di negara-negara Islam kini telah menjadi pendua kepada kehidupan masyarakat Barat (Dr. Ali Juraisyah: 68). Begitu juga dalam aspek ekonomi, di mana keadaan ekonomi umat Islam amat menyedihkan. Pendapatan per kapita umat Islam amat rendah sekali. Aspek ekonomi negara-negara umat Islam masih di belakang negara-negara musuh Islam dan dunia Islam masih belum mampu membina prestasi ekonomi yang membanggakan Dr. Ali Juraisyah: 72).

Oleh yang demikian, dalam keadaan yang amat menekan ini beliau menyarankan agar umat Islam tidak pesimis, akan tetapi umat Islam hendaklah bersatu, menggerakkan cita-cita dari segi intelektual, dan melipat gandakan dalam usaha-usaha dakwah bagi membina kebangkitan semua Islam

BULI DALAM PERKHIDMATAN TENTERA

Temubual bersama wartawan BERITA HARIAN . Latifah Ariffin berkaitan dengan isu buli dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Telah disi...