Friday, December 31, 2010

BERJIHAD MELALUI HARTA. BERSEDIAKAH KITA?

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Umat Islam perlu bersedia untuk mengorbankan sebahagian dari harta yang dianugerahkan Allah kepada kaum Muslim untuk dinafkahkan ke jalan jihad dan untuk kepentingan Islam. Oleh yang demikian, umat Islam perlu berhemat dalam menggunakan perbelanjaan mereka serta mengetahui arah perbelanjaan, serta tidak membelanjakan wang yang ada untuk membeli barangan atau perkhidmatan yang bersekongkol dengan pihak Yahudi. Ini kerana terdapat sebahagian dari barangan atau perkhidmatan yang ada pada hari ini merupakan produk-produk Yahudi atau bersedia memperuntukkan sebahagian dari keuntungan yang diperoleh kepada tabung-tabung Yahudi atau agama lain yang bertujuan untuk memusnahkan orang Islam (www.ppim.org.my ).

Bagi memastikan perbelanjaan atau kegiatan ekonomi umat Islam berorientasikan pada kepentingan jihad, Shantut (2003: 118) telah mencadangkan beberapa langkah perlu dilaksanakan:

a. Rumah tangga Muslim hendaklah mendidik anak-anak dan ahli keluarga untuk sederhana dalam berbelanja, menghargai harta, menggunakan harta ke jalan yang manfaat dan tidak ke arah yang mudarat.
b. Pihak institusi pendidikan perlu mendidik para pelajar untuk tidak bersikap boros dan sentiasa memberi motivasi kepada para pelajar untuk bersedekah ke jalan Allah.
c. Orang Islam bersedia untuk memberikan sebahagian dari harta mereka untuk kepentingan Islam dan kepentingan mempertahankan Islam.

Wednesday, December 15, 2010

MEMAHAMI MAQASID AL-SYAR'IYYAH

Penghayatan syari`at dalam erti yang setepatnya harus meliputi kedua-dua: pelaksanaan hukum-hakam dan realisasi maqasidnya. Justeru, maqasid adalah umpama buah bagi pokok -- melaksanakan hukum, tetapi gagal mencapai maqasidnya adalah ibarat menanam pokok, tetapi gagal memetik buahnya, sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Raysuniy (al-Fikr al-Maqasidiy: h.17).



ومعنى هذا أن مقا صد الشريعة تمثل مراد الله وغا ية ما كلف به

عبا ده وما شرعه لهم فهي بمنزلة الثمرة من الشجرة.



Rumusan al-Maqasid

Al-Imam al-Ghazaliy r.`a. adalah perumus pertama al-maqasid yang meliputi lima objektif utama:



* Pemeliharaan agama (hifz al-din)
* Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
* Pemeliharaan akal (hifz al-`aql)
* Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
* Pemeliharaan harta (hifz al-mal).



Rumusan lima maqasid tersebut kemudian dikenali sebagai al-daruriyyat al-khamsa, al-kulliyyat al-khamsa dan al-usul al-khamsah. Kelima-lima prinsip yang juga merupakan keperluan asasi manusia itulah pula yang dipadatkan dengan satu kata: maslahah, dengan implikasi bahawa sebarang gangguan terhadapnya adalah mafsadah (kerosakan). Para ulama umumnya menyepakati kelima-lima objektif tersebut, meskipun ada perbezaan dari segi pengurutannya. Malah menurut Imam al-Maqasid al-Shatibiy lima maqasid tersebut bersifat universal. Namun demikian penetapan lima objektif tersebut sebenarnya bukanlah penetapan simpul mati. Kerana itu ada ulama (al-Qurafiy, al-Tufiy, al-Subkiy dan al-Shawkaniy) yang menambahnya menjadi enam dengan memasukkan al-`ird (maruah atau kehormatan diri). Sementara itu dalam wacana masa kini tentang maqasid al-shari`ah, ada saranan penambahan dan pengembangan kepada lima objektif tersebut. Memang ketika ini sedang berlaku fenomena keghairahan baru dalam pengkajian al-maqasid. Fenomena inilah yang disebut oleh al-Raysuniy sebagai al-sahwah al-maqasidiyyah (kebangkitan kembali pemikiran maqasidi). Pada era perubahan pesat dalam pelbagai bidang, dan timbulnya isu-isu baru yang memerlukan penyelesaian syar`i, para ilmuwan Muslim berasa terpanggil untuk berijtihad. Untuk itu mereka harus memahami sedalam mungkin tentang al-maqasid. Memang al-maqasid menempati posisi yang sentral dalam ijtihad dan istinbat. (Balajiy, `Abd al-Salam, 2007: 283-290). Di tengah semarak kesedaran baru tentang peri pentingnya al-maqasid itulah tampilnya tokoh-tokoh seperti al-Shaykh Muhammad al-Ghazaliy, Dr. Yusuf al-Qaradawiy dan lain-lain yang menyuarakan keperluan memasukkan objektif memelihara kebebasan, dan memelihara keadilan ke dalam komponen maqasid al-shari`ah.

Anjakan Gaya Pandang Terhadap al-Maqasid

Wacana masa kini tentang maqasid al-shari`ah memperlihatkan perkembangan baru dari segi gaya pandang. Al-Raysuniy misalnya cuba melihat persoalan al-maqasid dari perspektif hak asasi manusia. Beliau mengangkat hak-hak asasi manusia sebagai paksi al-maqasid. Sementara itu Dr. Jamal al-Din `Atiyyah menyarankan anjakan dari al-kulliyyat al-khamsa ke al-Majalat al-Arba`ah, realisasi al-maqasid dalam empat ranah kehidupan: individu (al-fard), keluarga (al-usrah), umat (al-ummah), dan kemanusiaan sejagat (al-insaniyyah).

Melaksanakan syari`at dalam konteks kehidupan individu adalah untuk merealisasikan objektif pemeliharaan jiwa-raganya, akal-budinya, penghayatan agamanya, kehormatan dirinya, dan keselamatan hartanya. Dalam konteks kehidupan kekeluargaan pula syari`at dilaksanakan untuk mencapai objektif pengaturan hubungan antara dua jenis makhluk manusia (lelaki-perempuan), kelanjutan zuriat, kedamaian dan kasih-sayang, kejelasan nasab keturunan, komitmen keagamaan (tadayyunlreligiosity), pemantapan keluarga sebagai sebuah institusi, dan pengurusan harta keluarga secara benar.

Al-maqasid di Ranah kemasyarakatan dan Kemanusiaan

Objektif murni syari`at yang terkandung dalam al-kulliyyat al-khamsa tidak hanya untuk kepentingan individu, tetapi harus meratai seluruh warga umat dan manusia sejagat. Al-Shaykh Ibn `Ashur disebut sebagai tokoh pertama yang memperingatkan hakikat tersebut. Mungkin peringatan inilah yang disambut oleh Dr. Jamal al-din `Atiyyah dengan membuat huraian tentang aktualisasi al-maqasid dalam pelbagai bidang kehidupan: perseorangan (individu), kekeluargaan, keumatan dan kemanusiaan. Makalah ini akan memakai acuan Dr. `Atiyyah dalam perbincangan tentang al-maqasid dengan tumpuan pada ranah keumatan dan kemanusiaan.

Dalam bidang kehidupan kolektif (keumatan dan kemanusiaan), antara objektif (maqasid) yang harus direalisasikan termasuklah:

Memastikan wujudnya umat secara nyata dengan esensi hakikinya, dan ciri-ciri khasnya. Untuk itu institusi-institusi keumatan seperti baitulmal, masjid, sekolah, mahkamah, kepolisan dan sebagainya harus diperkasa, ditingkatkan wibawa dan integritinya agar umat terus hidup sebagaimana layaknya walau apa pun perubahan -- sosial-ekonomi-politik -- yang berlaku. Untuk mencapai objektif kewujudan umat secara yang bererti, syari`at Islam sangat menekankan semangat kesatuan ummatik atau wahdat al-ummah berasaskan kesatuan `aqidah, kesatuan syari`ah, dan kesatuan budaya (khususnya bahasa). Ini tidak bererti bahawa serba-serbinya harus satu. Dalam bingkai kesatuan berasaskan tiga tonggak di atas (`aqidah, shari`ah, thaqafah/lughah), wujud ruang yang secupkupnya bagi perbezaan dan kepelbagaian. Kesatuan ummah tidak menghalang wujudnya kepelbagaian mazhab fiqh, kepelbagaian aliran ilmu kalam, dan kepelbagaian parti politik. Yang penting adalah kesepakatan prinsip-prinsip asasi dan kesamaan rujukan terakhirnya - al-Kitab dan al-Sunnah.

Objektif pewujudan ummah secara nyata dan real harus dicapai menerusi pembinaan ciri khayriyyat al-ummah, ciri keunggulan umat (khayra ummah): komitmen terhadap pengembangan nilai-nilai kemakrufan, dan pemberantasan elemen-elemen kemungkaran berasaskan semangat keimanan kepada Allah. Demikianlah umat yang religious, memiliki kepedulian sosial yang tinggi, dan komited terhadap idealisme pembinaan masyarakat berasaskan iman (faith-based) dan nilai-nilai sakral keagamaan. Objektif tersebut juga harus direalisasikan menerusi pembudayaan amal kolektif, beroganisasi dan bersemangat musyawarah (shura).

MEMAHAMI KEMUDAHAN DAN KERINGANAN ISLAM

Islam merupakan agama rahmat kepada manusia dan alam ini. Rasulullah memerintahkan untuk memudahkan sesuatu perkara dan tidak menyulitkan. Pengertian mudah di sini bererti mengikuti manhaj yang memberi keluasan dan toleransi, keringanan yang jauh daripada tindakan menyulitkan, sukar dan berat. Sementara 'mempersulit' adalah manhaj yang menimbulkan kesulitan, kesempitan dan kesukaran terhadap manusia. Allah menjadikan fitrah manusia untuk menyukai kemudahan dan keluasan. Dalam syariat Islam, hukum-hukum dilandaskan atas kemudahan,bukan atas kesulitan. Al-Qaradawi membawa dalil al-Quran bagi menyokong hujahnya seperti ayat al-Baqarah, ayat 185, al-Ma'idah ayat 6, al-Anfat, ayat 66. Namun, seruan kepada kemudahan bukanlah bermakna menghalalkan semua yang diharamkan berdasarkan dalil yang pasti seperti riba, minum arak, perjudian dan sebagainya. Semua yang tercantum dalam nas yang jelas tidak boleh diganggu-gugat lagi. Menurut al-Qaradawi, sikap keras bukan pada tempatnya sangat merugikan Islam kerana menimbulkan kerosakan dan menghilangkan banyak kemaslahatan. Beliau menyeru kepada para aktivis Islam membicarakan tanda-tanda kemenangan Islam dan kecerahan masa depannya. Tidak ada tempat untuk kita menghiburkan diri dengan cerita-cerita malapetaka hari kiamat, mengatakan dunia Islam seburuk-buruknya dan masa depan Islam selalunya lebih buruk dari masa lalu, keimanan akan punah dan kezaliman akan bermahajalela.Keadaan seperti ini akan menyebabkan umat Islam berputus asa dan berasa tidak mampu untuk melakukan perubahan, meluruskan yang bengkok dan merubah keadaan ke arah yang lebih baik.

Friday, November 26, 2010

SELAMAT PULANG DARI KOTA MAKKAH

Minggu ini ramai di kalangan kita yang menyambut kepulangan ayah, ibu,datuk nenek rakan taulan, saudara mara atau pun 'boss' pulang ke tanah air setelah tamat menunaikan ibadah haji. Sebagimana yang kita sedia maklum adah haji merupakan salah satu ibadah yang paling utama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"tunaikanlah ibadah haji kerana ia akan menyucikan kamu dari dosa-dosa sebagaimana air membersihkan kotoran" (at-Tabrani).

Baginda juga bersabda yang maksudnya:
"haji mabrur itu tidak ada balasan lain untuknya, kecuali syurga" (Muslim)

Haji mabrur bermaksud haji yang diterima. Hakikatnya, siapakah yang tidak menginginkan ibadah haji yang mabrur? haji yang ganjarannya dihapuskan seluruh dosa dan layak memasuki syurga. Setiap muslim tentunya bercita-cita untuk mendapatnya.

Secara umum, untuk mencapai haji mabrur seseorang itu hendaklah memenuhi kriteria berikut:

- Haji itu dikerjakan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak riya' (ingin menunjuk-nunjuk).
- Menjamin kesucian peribadi - sebelum pergi ke tanah suci, seseorang itu dituntut supaya membersihkan diri daripada perasaan benci dan marah
- Kesemua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada sumber yang halal
melakukan fardhu haji dengan sempurna.
Selamat kembali ke tanaha air...

Friday, November 19, 2010

KEYAKINAN KEPADA ALLAH

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam aspek syahid di jalan Allah, keyakinan seseorang kepada Allah (s.w.t.) dan yakin kepada janji yang telah ditetapkan, telah mendorong seseorang itu mengambil keputusan untuk menjadi berani dan tidak takut mati, seperti pernah dinyatakan oleh seorang panglima Perang Islam, “aku datang kepada kamu semua dengan kecintaan kepada kematian lebih besar dan tinggi dari kecintaan kamu terhadap keduniaan”. Persoalannya sekarang, mengapakah mereka mencintai dan inginkan kematian? Jawapannya sudah jelas bahawa, mereka telah mengenal pasti bahawa dengan kematian cara itu mereka akan memperoleh memasuki syurga. Salah satu contoh ialah dalam peristiwa Perang Yarmuk, di mana kaum Muslimin mengumpulkan sejumlah 40,000 orang anggota, sementara tentera Rom telah mengumpulkan anggota seramai 240,000 orang anggota. Setelah Khalid al-Walid mempersiapkan pasukan tentera Islam, Abu Sufyan yang telah diberi peranan untuk memotivasikan tentera-tentera Islam dan berkata, “apa yang kamu lakukan dan hadir pada hari ini adalah amanah Rasulullah, syurga ada di hadapanmu dan neraka ada di belakangmu”. Dengan kata-kata itu, Khalid al-Walid mengarahkan tentera-tentera Islam terus menyerbu dan menggempur pasukan musuh. Ternyata para tentera Islam melangkah ke medan perang tanpa takut dan gentar kerana mereka yakin bahawa kematian di medan perang akan menghantar mereka ke syurga Allah (Wakil 1986).

Tuesday, November 9, 2010

MENELADANI SALAHUDDIN AL-AYUBI

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Sejarah mencatatkan bahawa Salahuddin al-Ayubi adalah seorang tokoh pemimpion yang gemilang. kejayaan Salah al-Din al-Ayyubi mengalahkan tentera Salib dengan bilangan tentera yang terhad.

Di sebalik kekaguman itu tidak ramai yang menyedari rahsia kejayaan Salah al-Din al-Ayyubi. Ahli sejarah mencatatkan setiap malam Salah al-Din al-Ayyubi akan meronda khemah-khemah tenteranya untuk memerhatikan apa yang mereka lakukan. Kemudian pada keesokan harinya beliau akan memilih tentera dalam kalangan mereka yang menghidupkan malam dengan qiamullail seperti solat sunat, membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya persiapan rohani untuk menghadapi tentera musuh. Sebaliknya tentera yang tidur, berehat atau berbual-bual kosong akan ditinggalkan. Kejayaan Salah al-Din al-Ayyubi menjinakkan Richard The Lion Heart kerana beliau telah memimpin tentera yang memiliki tentera yang mempunyai ciri ‘abid’ di malam dari dan umpama ‘singa di siang hari’. Inilah juga ciri-ciri yang dimiliki oleh para sahabat, tabi’ dan tabien serta orang yang soleh pada zaman dahulu (Abdul Rahman 2002). Mereka hebat berjuang pada siang hari tetapi tetap menghidupkan malam dengan ibadah. Inilah yang dapat mereka contohi daripada peribadi Rasulullah (s.a.w.) sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah (s.w.t.) dalam Surah al-Ahzab (33:21) maksudnya:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.

Sunday, November 7, 2010

PASTIKAN LIDAH TIDAK BERCABANG!

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Pada umumnya lidah atau percakapan merupakan gambaran hati dan juga peribadi seseorang itu. Ini adalah kerana kegagalan untuk menjaga lidah akan menyebabkan perkara gerikut berlaku:
a. Percakapan yang tidak bermanfaat.
b. Bercakap atau berbual tentang perkara yang berhubung dengan kemaksiatan.
c. Sering berbantahan dan perdebatan.
d. Memaksa orang lain atau orang bawahan membuat-buat kefasiqan dan melakukan sesuatu di luar batas kewajaran.
e. Bercakap keji, buruk dan cacian.
f. Sumpah seranah sesama rakan dan sering menjadi bahan gurauan.
g. Suka kepada nyanyian dan hiburan.
h. Senda gurau yang berlebihan.
i. Ejekan dan cemuhan.
j. Menyebarkan rahsia.
k. Janji palsu dan berdusta.
l. Mengumpat (Ghibah).
m. Perbuatan lidah bercabang.
n. Sanjungan atau pujian yang berlebihan.
o. Kurang cermat dalam percakapan.
p. Melibatkan diri secara tidak bijak terhadap beberapa perkara atau pertanyaan yang tidak berfaedah.
q. Amalan mengejek (Namimah).

Oleh yang demikian, dalam ajaran Islam, seorang yang tidak menjaga lidahnya iaitu berkata-kata tanpa memikirkan akibat buruk dari kata-katanya boleh menjerumuskannya masuk ke dalam neraka seperti kata-kata menghina Allah dan para nabi. Ajaran Islam menghendaki hubungan sesama manusia terutama saudara Islam itu terselamat daripada segala penganiayaan sama ada berbentuk perbuatan atau perkataan. Orang Islam yang lebih utama ialah mereka yang memelihara lidah dan tangannya.

Dari perspektif ajaran Islam, percakapan yang baik adalah percakapan atau perbualan yang membawa kepada mengingat Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Oleh itu, umat Islam perlu memelihara lidahnya dari melakukan perkara yang dilarang oleh ajaran Islam. Jalan selamat dalam memelihara lidah adalah membanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan mempelajari ilmu. Dengan itu, lidah akan mengangkat seseorang itu menjadi mulia dan membawa kejayaan kepada tuannya apabila digunakan pada jalan yang betul dan benar.

Monday, November 1, 2010

HINDARKAN MAKSIAT

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Terdapat beberapa akibat atau kesan dari perbuatan maksiat terhadap diri, keluarga atau umat. Antara akibat atau kesan dari perbuatan maksiat, antaranya ialah:

a. Kemurkaan Allah SWT.
b. Kebencian kaum di kalangan Mukminin.
c. Terhalangnya mendapat ilmu.
d. Malapetaka yang dahsyat.
e. Ada Jarak dengan Allah.
f. Terdapatnya jarak antara diri dengan masyarakat atau individu sekeliling.
g. Hati dan wajah menjadi gelap.
h. Berat dalam melakukan ibadah.
i. Melakukan maksiat-maksiat lain.
j. Mendapat kehinaan di hadapan Allah SWT.
k. Mempunyai hati yang kerdil.
l. Maksiat boleh menyebabkan pelakunya menjadi lemah akal.
m. Keburukan maksiat dan akibatnya disebut oleh Allah dalam al-Quran.
n. Pengkhianatan lidah berterusan setiap hari.

Berdasarkan senarai di atas, akibat atau kesan dari perbuatan maksiat adalah amat sukar diterima jika seseorang itu terus bergelumang dengan maksiat dan dosa.

Saturday, October 23, 2010

TRANSFORMASI DIRI MENDAYA BANGSA

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Bagaimanakah untuk mendaya bangsa menuju kemakmuran? Langkah pertama yang perlu kita lakukan, ialah kita jangan sekali-kali menyerah kalah atau berputus asa dan perlu sentiasa berusaha untuk berbuat sesuatu bagi memperbaiki keadaan.
Oleh itu marilah kita bangun dan berganding bahu sesama umat Islam untuk menolong saudara kita yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Untuk itu marilah kita berazam dalam diri kita untuk sama-sama berperanan dan memberikan sumbangan kepada umat Islam seluruhnya berdasarkan kemampuan yang ada pada diri kita. Sesungguhnya kejayaan sesuatu bangsa atau umat terletak dalam jiwa bangsa atau umat itu sendiri dan bukan dalam jiwa umat atau bangsa-bangsa yang lain. Persoalannya sekarang, mengapalah kita menyatakan demikian? Jawapannya ialah kerana diri, hati dan jiwa kita telah menerima Islam. Oleh yang demikian, diri, hati dan jiwa perlu menjadikan Islam sebagai petunjuk serta pedoman dalam kehidupan ini.

Dalam kitab suci al-Quran kita akan menemui petunjuk yang mampu menjelaskan kesilapan kita. Firman Allah SWT,

” Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum”

Tuesday, October 12, 2010

SEMANGAT DAN TEKAD UNTUK KEJAYAAN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Kekentalan semangat dan tekad untuk memikul tanggungjawab bagi mencapai kemenangan dalam perjuangan adalah kualiti-kualiti penting yang diperlukan dari orang yang benar-benar beriman, lebih-lebih lagi anggota tentera. Dari perspektif Islam, Allah telah menjanjikan bahawa orang terkorban atau gugur di jalan Allah ketika dalam perjuangan melawan musuh akan di balas dengan kehidupan abadi dan kegembiraan. Firman Allah dalam Surah Al ‘Imran (3:169-171) yang bermaksud, ‘Dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi tuhan mereka dengan mendapat rezeki (dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnia-Nya, dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang yang beriman”.

Selain dari itu Allah juga telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 154 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang mati; bahkan mereka itu orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya”.

Wednesday, September 29, 2010

BAGAIMANA SIKAP PARA PEJUANG MASA KINI?

Oeleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam satu sesi perbincangan dengan para peserta program Bina Insan di salah sebuah kem Tentera Darat Negeri Semnbilan, beberpa hari yang lau, penulis telah ditanya dengan soalan, bagimanakah sikap para pejuang masa kini? khususnya merujuk kepada angota pasukan keselamtan. Bagi menjawab soalan tersebut, penulis telah menyebutkan bahawa majoritinya para pejuang atau tentera Islam zaman dahulu memiliki peribadi istimewa, dalam menghadapi kesusahan, masa-masa kritikal, garang, tegas, bercita-cita tinggi mencapai kemuliaan mati syahid, berdisiplin, taat, setia, tenang, bertimbang rasa, menghormati kewajipan dan berjuang berasaskan akidah serta iman yang bersih. Sebab itu mereka sukar digugat, kerana Islam adalah rahsia di sebalik segala-galanya. Memadai dengan membandingkan keadaan bangsa Arab sebelum dan selepas Islam, untuk menilai dan mengetahui perubahan besar yang berlaku kepada mereka selepas Islam. Masyarakat Arab sebelum Islam terkenal sebagai bangsa yang sentiasa berperang dan mereka mempunyai banyak pengalaman perang. Justeru itu mereka memiliki ciri-ciri yang seharusnya ada pada setiap perajurit seperti tidak takut mati, sanggup menumpahkan darah secara murah untuk mempertahankan kumpulannya, Namun demikian mereka tidak dapat mencapai kejayaan sepenuhnya seperti mana selepas Islam. Tidak sampai 100 tahun mereka telah berjaya meluaskan kawasan pemerintahan dari Siberia di Utara hingga ke India di Selatan, dari China di utara hinggalah ke Perancis di Barat (Nawawi 1992: 91).

Berdasarkan kenyataan tersebut jelaslah bahawa Islam merupakan perkara yang membawa perubahan besar kepada bangsa Arab sehingga mereka mampu menakluki sebahagian dari dunia ini. Kejayaan yang belum pernah diperoleh oleh mana-mana bangsa sebelumnya. Dengan semangat dan penghayatan jihad yang unggul dan akhlak yang mulia, mereka telah merealisasikan firman Allah (s.w.t.) dalam Surah Al ‘Imran (3:110). Maksudnya:

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenal-benar iman), dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka, (tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik” .

Oleh yang demikian bagi menjawab persoalan tersebut, jawapannya, adakah para pejuang kini telah memiliki sifat-sifat yang dipunyai oleh para pejuang dahulu? Jika tidak kita perlu sama-sama berubah ke arah yang lebih baik, jika tidak kita akan rebah. Tidak sekarang, bila? tidak kita, siapa?.

Wednesday, September 22, 2010

SYARAT PATUH KEPADA PEMIMPIN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Setiap pengikut mesti taat kepada pemimpinnya. Walau bagaimanapun patuh dan taat ini hendaklah dilaksanakan selama mana seseorang pemimpin itu berada di landasan Islam yang betul dari segi matlamat, tindakan dan pengurusan peribadinya. Prinsip ini boleh dirumuskan dari pelaksanaan solat berjemaah, di mana makmum (pengikut) tidak perlu mengikuti imam (pemimpin) yang tidak mengikut rukun-rukun solat. Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud,
“Wajib ke atas setiap orang Islam mendengar dan mematuhi (perintah ketua/pemimpin) di dalam perkara-perkara yang disukai atau dibencinya, selagi tidak disuruh mengerjakan maksiat. Apabila disuruh mengerjakan maksiat tidak lagi ia diwajibkan mendengar dan taat”.

Ulama menggariskan tiga keadaan mewajibkan pengikut patuh dan taat kepada pemimpinnya iaitu:

i. Pemimpin yang melaksanakan ajaran Islam.
ii. Pemimpin yang adil dalam pengurusan dan tindakan terhadap semua orang.
iii. Pemimpin yang tidak menyuruh melakukan perkara jahat atau maksiat. Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda yang bermaksud: “Kamu tidak ada hak untuk mentaati orang yang tidak taat kepada Allah (s.w.t.)”(Hanbal 2000).

Sebagai tanda kepatuhan dan ketaatan, menghormati pemimpin yang akan membawa pada kehebatan dan keagungan yang sepatutnya. Sifat ini akan membawa kepada kecemerlangan sesebuah organisasi dan keamanan serta kedamaian sesebuah negara. Firman Allah (s.w.t.) dalam Surah al-Nisa’ (4:59):

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Thursday, September 16, 2010

SELAMAT HARI ATM KE 77'- Komitmen kami, keyakinan anda'

OLEH: MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL

Hari ini 16 September 2010 adalah hari ATM ke 77 dengan tema 'Komitmen kami, keyakinan anda' . Salah satu aspek penting dalam organisasi ATM ialah anggotanya atau yang disebut sebagai modal insan.

oleh yang demikian, membangun modal insan dalam erti kata sebenar amat berkait rapat dengan membangunkan potensi manusia secara menyeluruh sebagai khalifah Allah. Untuk itu manusia hendaklah berilmu dan menghayati ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w.) secara menyeluruh dalam kehidupan. Pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses untuk membina insan yang terbaik dan berguna kepada diri, masyarakat dan negara. Dalam konteks ini anggota ATM sebagai salah satu cabang benteng pertahanan negara perlu dibangunkan supaya menjadi insan yang bertakwa. Dalam hal ini Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Menteri Pertahanan Malaysia pernah menyatakan:

“Tanpa modal insan serta bersemangat waja, belum tentu organisasi besar seperti ATM dapat mengekalkan keselamatan dan kedaulatan negara hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. Sebagai pasukan beruniform sudah pasti rakyat melihat ATM sebagai sebuah organisasi yang mempunyai warga berkualiti, berdisiplin, berketerampilan, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi” (Utusan Malaysia 2009, 16 September).

Perkara ini telah diperkukuhkan lagi dengan rancangan pembangunan strategik jangka panjang ATM atau Fourth Dimension Malaysia Armed Forces (4D MAF). Dalam hal ini, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Azizan Ariffin telah menjelaskan ,

“Angkatan Tentera Malaysia telah memasuki dimensi keempatnya atau fourth dimension Malaysia Armed Forces iaitu era transformasi yang bercirikan keupayaan bersepadu dan keupayaan pelbagai dimensi. keadaan ini akan membolehkan Angkatan Tentera Malaysia beroperasi secara bersama serta dapat membina kesan sinergi yang optimum. ciri-ciri utama yang disasarkan oleh angkatan tentera Malaysia dalam era transformasi adalah kebersamaan, cegah rintang dan versatil yang diyakini akan membolehkannya menangani segala cabaran dalam sebarang situasi konflik masa hadapan dengan lebih mantap lagi berkesan. pada hemat saya, evolusi transformasi keupayaan angkatan tentera Malaysia ini perlu di perkasa secara menyeluruh yang bukan sahaja tertumpu kepada aspek penstrukturan organisasi dan perolehan aset-aset tempur berteknologi canggih, malahan membudayakan nilai teras yang berwibawa, kepimpinan berintegriti dan pembangunan modal insan yang berkualiti”(http://maf.mod.gov.my).

Saturday, September 11, 2010

PATUH KEPADA PEMERINTAH ADALAH SATU KEWAJIPAN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

SELAMAT idil fitri dan semoga kita sentiasa mendapat keberkatan dan rahmah dari Allah. Beberapa hari lalu ada kumpulan yang telah menyambul idil fitri lebih awal dan tidak mengikut ketetapan yang telah ditentukan oleh pihak pemerintah. Mengapa jadi begitu. Dalam hal ini Allah telah berfirman dalam Surah al-Nisa’ (4:59) yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Para ulama tafsir seperti Ibn Kathir, Imam al-Qurtubi dan Jalalain, memberikan makna yang pelbagai dalam mentafsirkan ’ulil amri’. Jika digabungkan makna-makna tersebut maka ulil amri menepati apa yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.), “Barang siapa yang mentaati aku, sesungguhnya ia telah mentaati Allah dan barang siapa yang menderhaka aku, sungguhnya ia telah menderhaka Allah dan barang sesiapa yang mentaati amir aku ia telah mentaati aku, dan sesiapa yang menderhaka amir aku, ia telah derhaka aku”. (Bukhari dan Muslim, Mausuaat al-hadis al-syarif al-kutub al-sittah: 2000).

Dari maksud hadis di atas jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan ulil amri ialah amir dan amir itu ialah penguasa yang mesti dipatuhi. Namun demikian sebagai berteraskan Islam ketaatan dilakukan dengan jika selari dengan kehendak Islam dan apabila bertentangan dengan kehendak Islam ia dilarang untuk ditaati seperti sabda nab yang bermaksud, “Tidak wajib mentaati pemimpin yang menyuruh melakukan maksiat”. (Mausuaat al-hadis al-syarif al-kutub al-sittah: 2000)

Tuesday, September 7, 2010

SETIAP INDIVIDU MUSLIM PERLU BERKORBAN HARTA DAN JIWA MEMPERTAHANKAN NEGARA

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Islam telah menyarankan kepada umatnya agar setipa individu bersedia berkorban untuk agama, bangsa dan negaranya dan tugas ini tidak hanya diserahkan kepada kerajaan semata-mata tetapi setiap individu Muslim turut bertanggungjawab untuk bersedia berkorban harta dan jiwa bagi mempertahankan negara. Ini berdasarkan firman Allah (s.w.t.) dalam Surah al-Saff (61:10-11) yang bermaksud,

“Wahai orang yang beriman! mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”.

Menurut Said Hawa (1979), menyatakan bahawa ayat di atas menuntut umat Islam bersedia untuk mengorbankan sebahagian dari harta yang dianugerahkan Allah kepada kaum Muslim untuk dinafkahkan ke jalan jihad dan untuk kepentingan Islam. Oleh yang demikian, umat Islam perlu berhemat dalam menggunakan perbelanjaan mereka serta mengetahui arah perbelanjaan, serta tidak membelanjakan wang yang ada untuk membeli barangan atau perkhidmatan yang bersekongkol dengan pihak Yahudi. Ini kerana terdapat sebahagian dari barangan atau perkhidmatan yang ada pada hari ini merupakan produk-produk Yahudi atau bersedia memperuntukkan sebahagian dari keuntungan yang diperoleh kepada tabung-tabung Yahudi atau agama lain yang bertujuan untuk memusnahkan orang Islam (www.ppim.org.my ).

Bagi memastikan perbelanjaan atau kegiatan ekonomi umat Islam berorientasikan pada kepentingan jihad, Shantut (2003: 118) telah mencadangkan beberapa langkah perlu dilaksanakan:

a. Rumah tangga Muslim hendaklah mendidik anak-anak dan ahli keluarga untuk sederhana dalam berbelanja, menghargai harta, menggunakan harta ke jalan yang manfaat dan tidak ke arah yang mudarat.
b. Pihak institusi pendidikan perlu mendidik para pelajar untuk tidak bersikap boros dan sentiasa memberi motivasi kepada para pelajar untuk bersedekah ke jalan Allah.
c. Orang Islam bersedia untuk memberikan sebahagian dari harta mereka untuk kepentingan Islam dan kepentingan mempertahankan Islam.

Saturday, September 4, 2010

PERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Pada 31 Ogos yang lalu kita baharu sahaja meyambut ulangtahun kemerdekaan negara ke 53. Perkara yang penting untuk kita sebagai rakyat ialah untuk sama-sama berganding bahu mengisi kemerdekaan itu dengan sebaik-baiknya. Salah satu perkara yang penting dalam konteks mengisi kemerdekaan itu ialah dengan mempertahankan kedaulatan negara sedaya yang mungkin berdasarkan kemampuan, kekuatan, kelebihan, kepakaran atau apa saya yang kita miliki.

Ternyata negara kita kini di serang dari dari semua sudut sama ada ekonomi, politik atau pun sosial. Oleh yang demikian kita perlu terus mempertahnakan negara kita dan mempertahankan negara adalah menepati kehendak Islam. Firman Allah, surah an-Nahl 16: 91-92 yang bermaksud, “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu; Sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan, dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh; Dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeterai) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya.”.

Dalam sebuah hadis Nabi bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu sekalian bersifat benar kerana sesungguhnya kebenaran membawa kebaikan, sedangkan kebaikan membawa syurga dan sesungguhnya seseorang yang melatih dirinya bersifat benar ia akan menjadi orang yang dikenal sangat besar dan sesungguhnya berdusta itu akan membawa maksiat, sedangkan maksiat itu membawa kepada neraka. Dan sesungguhnya seorang pendusta akan ditulis di sisi tuhannya sebagai orang yang sangat pendusta”- Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Mausuaat al-hadis al-syarif al-kutub al-sittah: 2000).

Saturday, August 21, 2010

IBADAH DAN AKIDAH SALING BERKAITAN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam Islam, aspek akidah memang mempunyai hubungan yang kuat dengan aspek ibadah. Ini adalah kerana seseorang yang beribadat kepada Allah s.w.t wajib mengakui keesaan Allah pada zat dan sifatNya. Menurut Fatullah Harun (1977), ibadat yang disertai dan di campur dengan syirik kepada Allah, tidak akan diterima. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Nisa’ (4: 36) yang bermaksud,

“ Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia Dengan sesuatu apa jua”.

Begitu juga terdapatnya hubungan antara akidah dengan akhlak Sifat ikhlas dalam beribadah iaitu suci hati dalam melakukan ibadah kepada Allah atau dengan menjauhkan segala macam syirik. Perlu diperjelaskan juga bahawa orang-orang yang beribadat kerana hendak dipuji atau takut dicela orang kalau tidak beribadat atau beribadat mengharapkan sesuatu, maka ibadahnya tidak ikhlas kerana Allah dan ibadah seperti ini tidak mendapat pahala dan orang seperti ini termasuk dalam golongan orang yang tidak beradab kepada Allah. Firman Allah dalam surah al-Bayyinah (98:5) yang bermaksud,

“ Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar”.

Saturday, August 14, 2010

RAMADAN SEBAGAI PENGUKUH KETAKWAAN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

RAMADAN KARIM. Begitulah ucapan yang sering kita lafazkan sesama kita bila bertemu dalm saling mengucapkan tahniah dan kesyukuran kerana berpeluang untuk bertemu ramadan untuk kesekian kalinya. Apakah harapan kita untuk ramadan kali ini? Semoga kita dapat menfaatkan ramadan dengan sebaik-baiknya dan tidak menjadi sebahagian apa yang telah disabdakan oleh Nabi yang bermaksud, "ramai yang berpuasa, tetapi yang dapat hanyalah lapar dan dahaga!".

Salah satu perara yang penting semoga ramadn kali ini dapat mengukuhkan penghayatan akidah, ibadah dan akhlak sekali gus dapat membentuk penghayatan Islam. Aspek ini menarik untuk diteliti kerana seseorang itu akan berubah tasawwur, perasaan dan tingkah lakunya ke arah yang lebih baik apabila seseorang itu mendalami ilmu dan berubah pandangannya terhadap Islam. Ini adalah kerana dalam al-Quran dan Hadis banyak menjelaskan agar setiap individu Muslim meningkat ilmu pengetahuannya. Aspek akidah memang mempunyai hubungan yang kuat dengan aspek ibadah. Ini adalah kerana seseorang yang beribadat kepada Allah s.w.t wajib mengakui keesaan Allah pada zat dan sifatNya. Menurut Fatullah Harun (1977), ibadat yang disertai dan di campur dengan syirik kepada Allah, tidak akan diterima. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Nisa’ (4: 36) yang bermaksud,

“ Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia Dengan sesuatu apa jua”.

Perlu diperjelaskan juga bahawa orang-orang yang beribadat kerana hendak dipuji atau takut dicela orang kalau tidak beribadat atau beribadat mengharapkan sesuatu, maka ibadahnya tidak ikhlas kerana Allah dan ibadah seperti ini tidak mendapat pahala dan orang seperti ini termasuk dalam golongan orang yang tidak beradab kepada Allah. Firman Allah dalam surah al-Bayyinah (98:5) yang bermaksud,

“ Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar”.

Semoga madrasah ramadan kali ini benar-benar memberi keinsafan dan ketaqwaan kepada kita semua.Selamat menjalani ibadah ramadan dan jumpa lagi.

Tuesday, July 27, 2010

TANGGUNGJAWAB AGAMA ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

Al-Quran juga menyamakan lelaki dan perempuan dalam hal menerima tanggungjawab agama dan aspek sosial kemasyarakatan yang asas. Firman Allah dalam surah al-Taubah ( 9:71) yang bermaksud,

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah maha kuasa, lagi maha bijaksana”.

Dalam ayat yang lain pula Allah (s.w,t.), memberikan gambaran kesetaraan lelaki dan perempuan dalam nilai amal sehala yang mereka lakukan dan balasan yang dijanjikan. Firman Allah dalam surah al-Nahl ( 16: 97) yang bermaksud,

“sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka Sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan”.


Selanjutnya, Allah (s.w.t.) menegaskan dalam ayat yang lain kesamaan nilai amalan di antara lelaki dan perempuan. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ (4:124) yang bermaksud,

“ Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun”.

Oleh yang demikian, ternyata terdapat kesamaan atau kesetaraan antara lelaki dan perempuan dari aspek tanggungjawab dan juga peluang serta potensi untuk membuat kebajikan dan kebajikan dam kehidupan ini.

Selain dari itu, menurut M. Quraish Shihab (2006), kekuatan akidah merupakan iman dan ia adalah keyakinan. Mereka yang mantap imannya adalah mereka yang membuktikan pengakuan iman dengan perbuatan sehingga apabila disebut nama Allah gentar hati mereka kerana sedar tentang kekuasaan Allah, dan antara wanita yang telah digambarkan mempunyai kekuatan akidah dan imannya kepada Allah ialah Ummu al-Darda’ yang pernah menggambar ke getaran hatinya ketika mengingati Allah dengan katanya, “ke getaran hati, serupa dengan terbakarnya jerami, tidakkah anda mendengar suara getaran? Orang yang ditanya, menjawab: Ya, ketika engkau mendapat perkara itu dalam hatimu, maka berdoalah kepada Allah (dan Alah akan menggantikannya dengan ketenangan”.

Monday, July 12, 2010

AKIDAH ASAS PENDIDIKAN ISLAM

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Sesungguhnya mengenal Allah, mentauhidkan Allah, meyakini diri kepada Allah, tidak dapat tidak, menjadi asas kepada pendidikan Islam yang perlu diberikan kepada golongan sasar dakwah. Meninggalkan dasar ini bererti melakukan kesalahan dan kelalaian yang amat besar bahkan merupakan satu pengkhianatan terhadap golongan yang didakwahi. Allah s.w.t. telah menjelaskan tentang pendidikan tauhid ini melalui kisah wasiat Luqman yang mengajar tauhid kepada anaknya. Firman Allah dalam Surah al-Luqman (31: 13-14) yang bermaksud,

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayangan-ku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar, dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa-mu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.

Dari ayat di atas dapat dijelaskan didikan tauhid amat penting sehingga tertanam di sanubari setiap individu Muslim bahawa Allah adalah tempat bergantung. Ajaran tauhid juga dapat membentuk keperibadian supaya tabah, sabar, berani mengharungi cabaran hidup, berani mengorbankan jiwa bagi menegakkan kebenaran dan ajaran Ilahi. Melalui pendidikan tauhid juga akan terbentuk sifat ikhlas, kejujuran, keberanian dan tanggungjawab untuk melaksanakan tugas yang diyakini kebenarannya. Keyakinan dan keesaan Allah akan menempa peribadi yang tabah dan sabar dalam melaksanakan tugas kemanusiaan sebagai hamba Allah (al-Attas, Syed Muhammad Naquib (1992).

Wednesday, July 7, 2010

AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB MANUSIA

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Manusia mempunyai tugas besar dalam hidup yang tertumpu kepada mengagungkan Allah dan beribadat kepadanya. Ini seperti yang telah dijelaskan oleh Allah dalam Surah al-Dhariyat (51:50). Maksudnya:

(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutus Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata”

Ibadat dalam perspektif Islam bukan tertakluk kepada ‘prescribe ritual atau ibadat khusus seperti mendekatkan diri pada Allah dengan melaksanakan syiar-syiarnya, berzikir serta bersyukur sahaja (al-Qaradawi 1980:20), malah mencakupi segala perbuatan yang baik yang dilakukan secara ikhlas dan mengikut syariat Islam. (Mohd Kamal 1988). Dalam kitabnya yang lain, al-Qaradawi (2000:104), mengemukakan pandangan seperti yang telah diberikan oleh Ibn Taymiyyah (1983: 6-7) mengenai keluasan skop ibadah seperti berikut,

“...‘ibadah’ adalah kata yang menyeluruh, meliputi apa sahaja yang dicintai dan diredai Allah, menyangkut seluruh ucapan dan perbuatan yang tidak nampak ataupun yang nampak seperti solat, zakat, puasa, haji, berkata benar, menunaikan amanah, berbuat baik kepada ibu bapa, bersilaturahim, menunaikan janji, menyuruh berbuat baik, melarang dari perbuatan mungkar, berperang melawan kekufuran dan kemunafikan, berlemah lembut terhadap tetangga dan anak yatim, menyantuni orang miskin, ibnu sabil, hamba sahaya dan binatang serta berdoa, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya”.

Wednesday, June 30, 2010

TERLAJAK KATA BURUK PADAHNYA!

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Pada umumnya lidah atau percakapan merupakan gambaran hati dan juga peribadi seseorang itu. Dalam kehidupan harian terdapat individu yang gagal dalam penjagaan lidah ke tahap yang sewajarnya bagi seorang Muslim. Antara kegagalan menjaga lidah merangkumi aspek berikut:
a. Percakapan yang tidak bermanfaat. Bercakap sesuatu yang tidak bermanfaat dan tidak diperlukan meskipun tidak berdosa (mubah) akan mengakibatkan beratnya hisab di hari kiamat kelak. Ini adalah kerana menyibukkan diri dengan percakapan seperti itu bererti mensia-siakan masa, dan telah menggantikan ucapan-ucapan yang baik dengan ucapan yang tidak baik. Melibatkan diri dalam percakapan yang batil .
b. Bercakap atau berbual tentang perkara yang berhubung dengan kemaksiatan, seperti menceritakan kisah perempuan, kesenangan orang fasiq dan lain sebagainya.
c. Sering berbantahan dan perdebatan dalam perkara-perkara yang melihat kerja dan juga yang berhubung dengan kehidupan harian.
d. Memaksa orang lain atau orang bawahan membuat-buat kefasiqan dan melakukan sesuatu di luar batas kewajaran. Perkara-perkara ini termasuk perkataan yang tercela karena menyebabkan berlanjutan perbincangan, dan boleh menimbulkan salah faham.
e. Bercakap keji, buruk dan cacian. Perkara ini amat tercela dan dilarang karena menjadi sumber keburukan dan kehinaan.
f. Sumpah seranah sesama rakan dan sering menjadi bahan gurauan.
g. Suka kepada nyanyian dan hiburan. Nyanyian atau syair yang baik atau yang tidak mengandung kata-kata yang dibenci adalah baik, tetapi nyanyian atau perkataannya buruk perlu ditinggalkan.
h. Senda gurau yang berlebihan. Senda gurau pada asasnya dibolehkan tetapi yang dibenarkan ialah ianya tidak menyakiti, tidak berbohong dan tidak berlebihan, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi.
i. Ejekan dan cemuhan. Perbuatan mengejek atau mencemuh orang lain juga sering berlaku dalam kelompok masyarakat. Dalam perkara ini Allah berfirman (Surah al-Hujurat 49 : 11) yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasiq, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim”.
j. Menyebarkan rahsia. Perbuatan ini juga sering dilakukan dalam kalangan mayarakat, khususnya rahsia yang berkaitan dengan peribadi seseorang dengan tujuan untuk menjatuhkan diri atau reputasi orang lain atas kepentingan tertentu khusus dalam mengejar kedudukan dan jawatan.
k. Janji palsu dan berdusta. Perkara ini juga sering berlaku dalam kehidupan. Janji dan pembohongan dalam perkara-perkara tertentu banyak berlaku.
l. Mengumpat (Ghibah). Mengumpat atau ghibah adalah menyebut hal saudaranya dengan perkara yang tidak disukainya seandainya ia mendengarnya (baik penyebutannya dengan lisan, tertulis, isyarat atau dengan cara “memburukkan” seseorang untuk merendahkan saudaranya). Antara faktor atau penyebab ghibah antara lain ialah melepaskan kemarahan, bertolak ansur dengan kawan, membanggakan diri, dengki, bersenda gurau, ingin melepaskan diri dari perbuatan yang dituduh kepada dirinya, merendahkan teman, atau memburukkan orang lain.


Dari perspektif ajaran Islam, percakapan yang baik adalah percakapan atau perbualan yang membawa kepada mengingat Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Oleh itu, umat Islam perlu memelihara lidahnya dari melakukan perkara yang dilarang oleh ajaran Islam. Jalan selamat dalam memelihara lidah adalah membanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan mempelajari ilmu. Dengan itu, lidah akan mengangkat seseorang itu menjadi mulia dan membawa kejayaan kepada tuannya apabila digunakan pada jalan yang betul dan benar.

Monday, June 28, 2010

HENTIKAN SANJUNGAN ATAU PUJIAN BERLEBIHAN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam kehidupan masyarakat pada hari ini, terdapat satu sindrom atau 'gejala' pujian berlebihan yang diberikan kepada seseorang, kumpulan, kelompok, organisasi atau sesiapa sahaja yang mungkin boleh ditakrifkan' apa saja yang sama waktu dengannya". Apakah kesan sanjungan atau pujian yang berlebihan. Sanjungan atau pujian berlebihan mungkin akan mengakibatkan oleh enam kesan negatif; empat daripadanya terhadap orang yang menyanjung, dan dua lagi kepada orang yang disanjung. Penyakit atau kesan negatif terhadap orang yang menyanjung adalah :
• Berlebih-lebihan sehingga sampai kebohongan.
• Kemungkinan menutupi kesilapan dan kesalahan
• Kadang-kadang mengatakan hal yang tidak sebenarnya.
• Bila mendapat sanjungan tersebut membuat senang orang yang disanjung sedangkan ia orang zalim atau fasiq.
Penyakit atau kesan negatif terhadap orang yang disanjung adalah:
• Kesombongan dan ujub.
• Menyenangi sanjungan dan berpuas atau berasa hairan terhadap dirinya sendiri (ujub).

Saturday, June 26, 2010

KITA ORANG BAIK?

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Al-Quran menggambarkan bahawa salah satu ciri penting orang yang dekat dengan Allah ialah orang yang mesra dengan orang lain dan orang yang tidak mesra dan tidak berbuat baik dengan orang lain adalah orang yang jahil. Firman Allah (s.w.t.) dalam Surah al-Furqan (25: 63) yang bermaksud, “Dan hamba-hamba (Allah) al-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi Dengan sopan santun, dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini”.

Ayat ini memberikan contoh berkaitan dengan orang yang dekat dengan Allah. Antara cirinya ialah ramah-tamah sehingga bertutur sapa dengan semua orang termasuk orang yang jahil. Dalam ayat tersebut terdapat perkataan’salama’ dan imam Qurtubi mentafsirkan ‘salama’ itu bermaksud, “para wali berkata kepada orang jahil dengan ungkapan yang ramah dan lembut”. Bagi Ibn Kathir pula makna salama itu bermaksud, “apabila mereka disumpahi orang bodoh dengan kata-kata yang buruk, mereka tidak membalasnya, bahkan memaafkannya dan berkata dengan baik kepada mereka”.Perkara ini disebabkan al-mahabbah (rasa cinta yang mendalam dalam dirinya sehingga tidak ada lagi tempat dalam hati untuk membenci atau memusuhi orang lain.

Friday, June 18, 2010

RELAKS DENGAN SOLAT DAN BERZIKIR

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Pada asasnya Istirehat atau relaks melalui pendekatan agama dapat dilakukan dengan cara berfikir, bertafakur kepada Yang Maha Esa. Islam menyarankan individu yang mengalami stres supaya berwuduk, membaca al-Quran, berzikir dan juga menunaikan solat sama ada solat fardu atau sunat. Ternyata berdasarkan kajian-kajian yang telah dilakukan solat dapat memberikan kesan yang positif kepada seseorang yang pada mulanya mengalami stres. Ketika solat, kita mengerahkan seluruh kekuatan fizikal, pemikiran dan perasaan kepada Allah serta mengetepikan segala urusan. Dengan cara ini, secara automatik kita melakukan solat dengan jiwa yang tenang dan fikiran yang lapang.

Kesan dari solat tersebut dapat memberikan kesan rawatan yang penting kepada saraf dalam mengatasi tekanan hidup dan dapat mengurangkan kegelisahan. Kajian yang dilakukan oleh Arif Wibisono Adi menyebut bahawa terdapat hubungan korelasi negatif yang signifikan antara keteraturan melakukan solat dengan kecemasan. Makin teratur seseorang melakukan solat, semakin rendah tahap cemas dalam diri. Alexis Carrel, seorang doktor bangsa Perancis pernah meneliti aktiviti solat dan antara lain beliau berpendapat bahawa solat merupakan aktiviti ilmiah yang dapat menyembuhkan para pesakit di tempat ibadah hai dan di tempat-tempat ibadah secara berkesan (Najati 2005). Sementara Dr. Thomas H, menyatakan, “elemen hidup terpenting yang saya ketahui selama bertahun-tahun melalui pengalaman dan berbagai-bagai eksperimen adalah solat. Saya ingin menyampaikan pengalaman saya sebagi doktor, sampai sekarang, solat merupakan cara yang paling penting yang saya ketahui, untuk memberikan ketenteraman dan jiwa dan ketegangan dalam saraf”.

Monday, May 31, 2010

ERTI TAKUT KEPADA ALLAH

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Takut kepada Allah merupakan rasa takut yang amat penting dalam kehidupan seseorang Muslim. Ini adalah kerana rasa takut seperti ini akan mendorong untuk lebih bertakwa kepada Allah dan mencari keredaan-Nya, mematuhi ajaran-Nya, meninggalkan larangan-Nya dan melaksanakan segala perintah dan suruhan-Nya. Takut kepada Allah merupakan satu unsur dalam aspek keimanan kepada Allah dan ia merupakan asas yang penting dalam membentuk keperibadian seseorang mukmin. Firman Allah SWT,

”Sesungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal Yang tetap), Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan Mereka pun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. balasan Yang demikian itu untuk orang-orang Yang takut (melanggar perintah) Tuhannya”. Al-Baiyinnah 98: 7-8.

Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. – al-Anfaal 8: 2


”Katakanlah lagi: "Sesungguhnya Aku takut - jika Aku menderhaka kepada Tuhanku - akan azab hari Yang besar (soal jawabnya)". – az-Zumar 39: 13


"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut ia kenakan Kami azab hari Yang padanya muka orang-orang Yang bersalah: masam berkerut-kerut".- al-Insan 76: 10


Antara ketakutan yang umumnya ada pada semua manusia ialah ketakutan terhadap kematian. Ini seperti mana yang telah difirmankan oleh Allah SWT,


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut Yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui Segala Yang ghaib dan Yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa Yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".al-Jumaah 62: 8


Ketakutan kepada kematian dialami oleh semua manusia dan tidak ada manusia yang terkecuali kepada ketakutan kepada kematian ini. Takut kepada kematian ini adalah kerana amal yang masih kurang, perlu meninggalkan orang-orang yang disayangi, takut mati kerana hartanya sedikit dan khuatir nanti keluarganya hidup melarat dan sebagainya. Bahkan dalam al-Quran juga menjelaskan bagaimana Nabi Musa pun berasa bimbang kalau dirinya dibunuh oleh Firaun. Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT,

"Dan lagi mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah terhadapku; oleh itu Aku takut mereka akan membunuhku".- as-Syuara’ 26: 14.


Nabi Musa merayu Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, Bahawa Aku telah membunuh seorang dari kalangan mereka; oleh itu Aku takut mereka akan membunuhku ". al-Qashash 28: 33


Keimanan yang benar-benar mantap dan kukuh kepada Allah SWT akan menghindarkan diri seseorang itu dari perasaan takut kepada kematian. Ini adalah kerana seseorang yang mukmin meyakini bahawa kematian akan memindahkan dirinya kepada kehidupan di alam baqa’ yang kekal abadi. Di sana dia akan memperoleh kerahmatan dan keredaan-Nya. Ini berbeza dengan orang-orang yang banyak melakukan maksiat dan banyak dosa yang sudah tentu kematian sesuatu yang benar-benar amat menakutkan.

Bagi orang-orang yang berfahaman ateis, yang tidak mempercayai hari kebangkitan dan hari akhirat, merasakan kematian itu sesuatu yang menghancurkan diri mereka. Sebahagian besar dari mereka takut kepada kematian kerana mereka tidak tahu apa nasib mereka selepas berlaunya kematian itu dan ketidakfahaman itulah yang menyebabkan mereka takut kepada kematian.

Selain dari kematian, kemiskinan juga sering ditakuti oleh manusia. Oleh itu, manusia sentiasa berusaha untuk mencari makanan sama ada untuk diri dan juga untuk keluarga. Selain dari itu manusia juga berlumba-lumba mencari rezeki dan juga pendapatan dalam bentuk wang dan kekayaan bagi memenuhi keperluan dan kesenangan keluarga selain untuk dipandang tinggi dan dihargai. Dalam hal ini Allah telah berfirman,

“Lihatlah Bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian Yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan Sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya”- al-Isra’ 17: 21.

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka”. – al-An-am 6: 151

Keimanan yang kukuh kepada Allah juga dapat menghilangkan rasa takut terhadap kemiskinan. Ini adalah kerana orang-orang yang benar-benar beriman akan meyakini bahawa rezeki itu berada dalam kekuasaan Allah. Oleh yang demikian tidak ada alasan untuk berasa gusar atau takut kepada kemiskinan. Firman Allah,

“Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dia lah sahaja) Yang mempunyai kekuasaan Yang tidak terhingga, lagi Yang Maha kuat kukuh kekuasaan-Nya”. – al-Zariyat 51: 58

”Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu”. - al-Zariyat 51: 22

Perasaan takut merupakan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian, persoalan di sini adakah ketakutan itu suatu ketetapan dan ketentuan Allah? Adakah manusia dapat mengurus ketakutan sehingga dapat menjadikan ia sesuatu yang positif atau ia mungkin menjadi bebanan yang boleh menghancurkan kehidupan. Untuk itu sekali lagi yang memainkan peranan penting bagi menyelesaikan masalah ini adalah sikap.

Sesungguhnya Allah SWT mengetahui tahap kemampuan setiap hambanya apabila diuji. Sebagai hamba Allah yang taat kepadanya, sesungguhnya Allah tidak akan membebani hambanya kecuali dengan kadar kesanggupan hambanya. Firman Allah yang bermaksud,

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya”-al-Baqarah 2: 286.

Saturday, May 29, 2010

BAGAIMANA MENGHADAPI KEHIDUPAN INI?

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Abdullah Gymnastiar (2005) dalam bukunya ‘Manajmen qalbu’ telah menggariskan memberikan nasihat dalam menghadapi kehidupan ini. Antara lain beliau menyatakan:

Pertama: Bersedia menerima kenyataan. Sesuatu perkara atau usaha yang dilakukan, walau sebaik mana persiapan atau perancangan yang telah dilakukan, pasti ada kecenderungan untuk gagal. Semua manusia inginkan kejayaan dengan cemerlang, gemilang dan terbilang kerana itulah impian semua orang, tetapi sebagai manusia biasa kia juga perlu mempersiapkan mental dan fizikal jika usaha-usaha-usaha yang kita lakukan itu gagal. Terimalah saat kegagalan tersebut dan mengatakan bahawa kita sedang diuji oleh Allah. Hindarkan meratapi kegagalan dalam tempoh yang berpanjangan. Perlu cepat bangkit semula dan mencari jalan penyelesaian permasalahan supaya waktu yang ada tidak terbuang dengan sia-sia.

Kedua: Berfikiran positif. Sesungguhnya amat beruntung sekali jika seseorang itu sentiasa berfikiran positif dan serta sentiasa menilai setiap langkah atau tindakan yang akan diambil dan mengambil pengajaran bagi setiap kejadian yang dilalui oleh dirinya. Dengan berfikiran positif, kita akan lebih efektif mencari jalan keluar dan menyelesaikan masalah yang timbul dengan cara pelbagai kaedah atau alternatif yang ada.

Ketiga: Menerima sesuatu kejadian atau keadaan dengan penuh keredaan. Apabila kita melaksanakan dengan penuh perancangan dan persiapan, tetapi masih gagal , terimalah keadaan tersebut dengan penuh reda sebagai satu ketetapan Allah yang terbaik bagi kita. Firman Allah yang bermaksud,

“kamu Diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara Yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”. Al-Baqarah 2: 216


Apa yang penting bagi kita ialah jangan menilai sesuatu itu dari pandangan diri kita semata-mata yang selalu menginginkan yang baik-baik atau yang muluk-muluk sahaja serta cepat dan segera untuk diperoleh. Mungkin kita gagal pada hari ini dan siapa yang tahun bahawa Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik pada masa hadapan.

Keempat: Sentiasa berusaha dan berikhtiar. Sebagai hamba Allah, selain dari menerima segala ketetapan-Nya, manusia juga wajib berikhtiar dan berusaha bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi sama ada melalui doa atau usahalah. Jangan berharap masalah akan selesai sendiri tanpa ada tindakan yang dilakukan. Walau apa pun keadaan masalah yang timbul, kita perlu berusaha untuk menyelesaikannya. Yakinlah bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka merubah nasib diri mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud,

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri. –al-Ra’du 13: 11



Kelima: Allah pasti akan menolong. Setelah melakukan ikhtiar, doa dan usaha yang maksimum, kita berserah kepada Allah. Dalam hal ini Allah berfirman nyang bermaksud,


“Sesiapa Yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya)”. Al-Talaq 65: 2.


Kita mesti yakin bahawa Allah SWT pasti akan menolong hambanya. Oleh yang demikian kita perlu bersangka baik kepada Allah dan InsyaAllah akan membantu hambanya yang sentiasa berserah kepada-Nya.

Dengan langkah-langkah yang telah diambil seperti yang disarankan di atas, adalah diharapkan kita dapat menyelesaikan dan menghadapi segala permasalahan yang timbul setiap hari dalam kehidupan ini.

Tuesday, May 18, 2010

KIKIS SIKAP FANATIK PEMIKIRAN



Antara kelemahan yang paling mengkhuatirkan sedang melanda umat Islam ketika ini ialah perpecahan yang diakibatkan oleh kepelbagaian aliran pemikiran. Walaupun Islam tidak pernah menolak hakikat kerencaman pendapat, namun perselisihan yang menimbulkan pertentangan tajam sehingga menenggelamkan hakikat persamaan risalah dan matlamat ditentang sama sekali.


Jika diperhatikan secara objektif, kebanyakan perselisihan yang membawa kepada pertentangan dan perpecahan amat terkait dengan sikap fanatik terhadap pendapat sendiri, lantas cuba memonopoli pemikiran dan tiada kesediaan untuk menghormati pandangan orang lain. Penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-`ijab bi al-ra’yi’ atau penyakit mengkagumi pendapat sendiri ini bagaikan wabak merbahaya yang sedang menjalar dalam urat saraf umat sehingga mereka tidak lagi mewarisi sikap dan adab para pejuang dan pendokong Islam terdahulu.

Para imam mazhab umpamanya turut berselisih pendapat dalam pelbagai persoalan semasa namun mereka tidak pernah mendabik dada sebagai pemonopoli kebenaran. Sebaliknya berpendirian: “Pendapatku betul tetapi masih berkemungkinan salah. Pendapat orang lain salah tetapi mungkin juga betul”.
Ungkapan seperti ini adalah manifestasi adab dan etika dalam perbezaan pendapat yang telah diwarisi sejak zaman para sahabat lagi. Sebab itulah jika disingkap tabir sejarah, kita akan dapati bagaimana para sahabat turut berselisih dalam banyak perkara cabang namun tidak pernah melunturkan iman apa lagi melemahkan mereka walau sedikitpun.

Diriwayatkan bahawa Khalifah Umar Abdul Aziz juga tidak pernah mengimpikan supaya para sahabat tidak berselisih faham sama sekali. Ini kerana baginya, perselisihan faham akan membuka pintu keluasan, keanjalan dan kemudahan kepada umat yang mempunyai tabiat dan keperluan yang berbeza (Al-Qaradawi, Fatawa Mu’asarah).


Pelbagai bukti sejarah mengenai perselisihan di kalangan sahabat dapat disaksikan sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi seperti perselisihan mereka mengenai arahan Nabi berkenaan sembahyang Asar sewaktu pergi ke Bani Quraizah. Ini adalah peristiwa terkenal yang mengungkapkan hakikat perselisihan tetapi Rasulullah s.a.w. sedikitpun tidak mencela kedua-dua kumpulan yang berselisih faham itu.

Perselisihan tidak hanya berlaku di zaman Rasulullah sahaja, namun seawal kewafatan baginda, para sahabat sekali lagi berselisih mengenai tempat sewajarnya di mana Rasulullah s.a.w. patut dimakamkan. Ada yang berpendapat baginda wajar dikebumikan bersama sahabat-sahabatnya, manakala sebahagian yang lain berpendapat agar dipusarakan jasad Nabi s.a.w. di dalam masjid. Namun setelah dirujuk kepada sebuah hadis Nabi s.a.w. yang disampaikan oleh Abu Bakar: “Tidaklah diwafatkan seorang Nabi melainkan ia dikebumikan di tempat ia diwafatkan itu”, para sahabat terus mengangkat tikar tempat Rasulullah diwafatkan dan digalikan pusara untuknya.

Banyak lagi contoh-contoh lain perbezaan dan perselisihan pendapat yang berlaku dikalangan sahabat seperti persoalan politik, pemilihan Khalifah, isu memerangi golongan yang enggan membayar zakat dan pelbagai perselisihan dalam masalah fekah yang kesemuanya ditangani tanpa mengikut hawa nafsu dan emosi melulu.
Begitulah tingginya adab dan etika perbezaan pendapat yang didokongi para sahabat Nabi s.a.w. yang kemudiannya diwariskan kepada generasi selepasnya, sehinggalah umat dihinggapi penyakit baru yang cepat membarah, sekaligus meranapkan akal budi dan peribadi umat.

Gara-gara penyakit inilah maka kita menyaksikan suasana umat yang amat menyayat hati dan meruntun emosi. Gamatnya pertelagahan di kalangan pendokong-pendokong wadah Islam sehingga mengakibatkan terabainya tanggungjawab utama menyelesaikan pelbagai masalah umat yang melanda kini. Sebaliknya seluruh tenaga dihabiskan dan tertumpu kepada polemik, “politiking”, adu-domba dan perlumbaan menambah bilangan penyokong pendapat masing-masing.

Justeru, dalam upaya mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan ke atas setiap umat Islam. Umat seharusnya kembali menjiwai budaya dan prinsip penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi awal Islam terutamanya dalam menangani fenomena perbezaan pendapat.


Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub atau fanatik kepada pandangan sendiri, berlapang dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Mungkin jalan keluar dari belitan konflik kefanatikan pemikiran yang melanda kini terumus dalam ungkapan keramat tokoh reformis Islam, Jamaluddin al-Afghani: Bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan berkompromi dalam hal-hal yang diperselisihkan.

Sesungguhnya kepelbagaian pendapat sebenarnya mampu memperkaya khazanah pemikiran Islam andainya kita bersedia menghadapinya secara dewasa. Tetapi andainya kita menanganinya dengan sikap keanak-anakan, menganggap mereka yang tidak sealiran sebagai musuh, maka perbezaan pendapat pasti menjadi bahan bakar penyemarak api persengketaan yang membinasakan.

Sumber: Minda Madani Online

Wednesday, May 12, 2010

ANDA STRESS?

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Apakah itu stress? Stres merupakan ungkapan yang sering dikaitkan dengan hal-hal yang negatif seperti gila, gelisah, tertekan, tidak mampu berfikir, jiwa yang resah, pemarah atau hal-hal negatif yang lain. Kita barangkali amat biasa dengan istilah atau ungkapan ini. Ini adalah kerana mungkin setiap hari kita mengalami stres. Mengapa ini berlaku? Ini adalah kerana, stres berlaku apabila keadaan tubuh badan atau jiwa kita mengalami suatu keadaan atau situasi di luar kebiasaan diri kita.

Pada umumnya manusia pada segenap peringkat dan usia memerlukan rangsangan atau stimulus untuk berkembang. Tanpa stimulus atau rangsangan perkembangan manusia sama ada dari aspek fizikal dan psikologi tidak akan berkembang secara optimum. Umpamanya kanak-kanak atau remaja yang tinggal di bandar amat mudah untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan isu-isu seksual. Ini kita sedia maklum bahawa pelbagai maklumat yang boleh dicapai oleh golongan anak-anak atau remaja yang tinggal di bandar akan menyebabkan anak-anak atau golongan remaja ini cepat matang dalam usia remaja mereka berbanding dengan anak-anak atau remaja yang tinggal di kampung atau di daerah pedalaman. Ini membuktikan rangsangan atau stimulus memberikan sumbangan yang cukup besar pertumbuhan dan perkembangan jiwa manusia sama ada dari aspek positif ataupun negatif. Secara umumnya manusia terdedah kepada rangsangan-rangsangan dalam kehidupan:

1. Faktor persekitaran iaitu keadaan di luar tubuh manusia yang bersifat fizikal atau pun bukan bersifat fizikal seperti:

• Cuaca. Keadaan cuaca atau suhu yang sangat panas menyebabkan kita berusaha untuk mengambil suatu untuk mengipas-ngipas diri sendiri supaya badan menjadi sejuk dan tidak berasa kepanasan.

• Bunyi. Bunyi yang terlalu kuat atau bising akan memekakkan telinga dan sekali gus mengganggu penumpuan diri kita untuk melakukan sesuatu serta mengganggu tahap rehat yang sempurna.

• Kepadatan atau kesesakan. Ruangan yang sempit dan dipenuhi dengan ramai orang akan menyebabkan kepadatan yang tinggi atau kesesakan dan ini menyebabkan orang-orang yang berada dalam keadaan tersebut, emosinya mudah terganggu atau tertekan.

• Harapan diri. Seseorang yang bercita-cita besar sering terganggu atau tertekan untuk mengharapkan agar cita-cita atau apa yang diharapkan itu akan dapat diperoleh dengan cepat dan mudah. Harapan yang tinggi ini akan menyebabkan dirinya stres dan amat buruk lagi jika harapan, impian atau cita-cita tersebut gagal.

• Hubungan dengan orang lain. Berhubung dengan individu yang ‘sukar’, mementingkan diri sendiri, bersifat kuku besi, bergantung pada orang lain atau mudah mencampuri urusan orang lain boleh menyebabkan timbulnya stres. Ini adalah kerana individu seperti ini amat mengganggu ketenangan dan ketenteraman hidup kita.

• Tekanan masa. Tugas atau bebanan kerja yang banyak sedangkan masa yang terbatas akan menyebabkan diri kita stres. Umpamanya kerja yang banyak perlu diselesaikan dalam tempoh dua hari.

• Keperluan penampilan diri. Umpamanya kita akan menghadiri majlis keramaian atau istiadat rasmi atau majlis perkahwinan yang menuntut penampilan diri atau imej yang anggun serta memerlukan pakaian atau aksesori tertentu. Perkara-perkara seumpama ini akan menyebabkan diri kita stres.

• Ketenangan dan harga diri. Perasaan gelisah, tidak tenteram serta tidak yakin terhadap diri sendiri yang timbulkan oleh fikiran kita sendiri akan memudahkan diri mengalami stres.

2. Faktor tubuh badan atau fisiologi iaitu perkara-perkara yang berkaitan dengan proses perubahan diri atau tumbesaran tubuh badan ataupun keadaan diri secara fisiologi berubah, seperti:

• Proses tumbesaran fizikal kanak-kanak ke alam remaja. Bagi remaja yang kurang memahami proses perubahan fizikal dan fisiologi yang berlaku ke atas diri mereka yang begitu mendadak seperti kedatangan haid, badan berbau, tumbuh misai, perubahan fizikal tubuh badan di bahagian punggung dan dada bagi remaja perempuan, suara berubah, tumbuh jerawat dan lain-lainnya telah menyebabkan mereka stres dan juga meresahkan jiwa mereka.

• Proses menopaus. Bagi kaum wanita yang telah kian meningkat umurnya akan mengalami peringkat menopaus atau terhentinya kitaran bulanan haidnya. Peringkat ini disebut sebagai menopaus. Pada peringkat atau tempoh tersebut, antara tanda-tanda yang dikenal pasti ialah seperti sakit-sakit atau sengal tubuh badan, muka terasa panas, kulit kering, susah untuk tidur dan sebagainya. Keadaan yang di luar kebiasaan diri ini akan menyebabkan ketidakselesaan serta menyebabkan mereka mengalami stres.

• Proses penuaan. Proses ini dialami oleh semua orang, seperti kulit berkedut, rambut beruban, pandangan makin kabur, perut buncit dan sebagainya. Bagi sebahagian orang keadaan ini amat meresahkan kerana aspek fizikal dirinya yang melibatkan kecantikan dan ketampanan kian hilang. Oleh sebab itu barangan kosmetik atau kecantikan seperti produk anti penuaan, menghitamkan rambut, mencerahkan wajah, menegangkan kulit dan sebaginya amat laris di pasaran.

• Tempoh kedatangan haid. Bagi kaum wanita tempoh menjelang dan ketika kedatangan haid amat meresahkan mereka. Badan terasa sengal-sengal, semangat menurun, perut memulas-mulas dan suhu badan lebih tinggi dari kebiasaan. Keadaan ini menyebabkan sebahagian wanita mudah tersentuh jiwa mereka.

• Menderita kerana penyakit. Keadaan emosi orang yang sihat dengan orang yang sakit sangat berbeza. Orang yang sedang sakit lebih emosional kerana keadaan fizikal tubuh badan yang tidak selesa serta mengalami kesakitan di bahagian-bahagian tertentu. Umpamanya kita mengalami sakit gigi, sudah tentu emosi kita mudah terganggu. Apabila terdapat orang membuat bising atau mengganggu diri kita mungkin kita boleh menjadi marah dan emosi terganggu.


3. Faktor fikiran iaitu bermaksud bagaimana kita mentafsirkan sesuatu kejadian dan mengambil sikap terhadap kejadian tersebut. Sebahagian orang mampu bersikap positif dan ada orang memandang negatif terhadap sesuatu yang berlaku terhadap diri kita. Sesungguhnya dalam sesuatu perkara yang berlaku terdapat orang yang berfikiran positif dan mengambil pengajaran dan iktibar dari peristiwa tersebut sehingga ia mampu bangkit kembali sedangkan terdapat juga insan atau manusia yang mengambil negatif dari sesuatu kejadian lalu ia kecewa, cemas, gundah-gulana sehingga mengakibatkan produktiviti kerja yang rendah dalam hidupnya.

Tuesday, May 11, 2010

TINGKAH LAKU MENGGAMBARKAN AKHLAK

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam sebuah buku yang berjudul Pendidikan Islam di Malaysia, Prof. Dr. Hassan Langgulung (1987) berpendapat bahawa nilai-nilai Islam dalam diri seseorang mempunyai dua fungsi yang saling bergantung di antar satu sama lain iaitu sebagai hasil pembelajaran dan sekali gus sebagai sebahagian dari proses pembelajaran tersebut. Pada masa yang sama tahap penghayatan Islam dalam sesuatu aspek turut memberi kesan terhadap penghayatan Islam yang lain.

Pandangan yang sama juga telah dikemukakan oleh para sarjana Islam seperti Imam al-Ghazali, Hassan al-Banna, al-Ahwani, As-Syatibi, Muhammad al-Ghazali dan Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menyatakan bahawa asas penghayatan Islam harus bermula dari penghayatan tauhid, ibadah, akhlak dan syariat dalam kehidupan Muslim. Sebaliknya berleluasanya segala gejala keruntuhan akhlak, moral dan tingkah laku buruk pada asasnya adalah berpunca dari rendahnya tahap keimanan dan penghayatan Islam dalam diri seseorang (Zakaria Stapa : 1999).

Perlu dijelaskan juga bahawa umumnya tahap akhlak seseorang itu adalah bersangkutan dengan pengetahuan, tasawur, perasaan dan amalan Islam yang asas dan setiap insan Muslim perlu mengetahui dengan baik. Dr. Salah al-Sawi (1995) dalam kitabnya, “Ma la yasuhu al- Muslim jahluhu’ menyatakan ada beberapa perkara yang tidak diberi kelonggaran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahuinya, perkara itu adalah yang berhubung dengan akidah dan ibadat. Jelas sekali penghayatan Islam itu perlu merangkumi segala aspek dan ini telah difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud,

“Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata".

Sunday, May 9, 2010

MENGENAL TOKOH DAN ULAMA BADIUZZAMAN SAID NURSI

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Pagi ini Ustaz Jaafar Muhammad dari Salam Perdana Consultant menyampaikan ceramahnya di surau Kampung Jiboi Baru Ampangan Seremban, telah menyebut tokoh dan ulamah Turki yang bernama Badiuzzaman Sauid Nursi. Siapakah tokoh ulama itu? Barangkali tulisan berikut dapat membantu pembaca untuk mengenal tokoh dan ulama tersebut. Selamat membaca.

RIWAYAT HIDUP RINGKAS BADIUZZAMAN SAID NURSI

Badiuzzaman Said Nursi dilahirkan pada tahun 1873 di kampung bernama “Nurs”, di timur Anatolia. Nama “Nursi” ialah sempena nama kampung ini. Beliau menerima pendidikan asas daripada para ulama terkenal di daerahnya. Ketika masih muda, beliau telah menunjukkan kecerdikan dan kemampuan yang luar biasa untuk belajar. Hal ini membuatkannya terkenal di kalangan guru-guru, kawan-kawan dan orang ramai. Ketika berusia 16 tahun, beliau mengalahkan beberapa ulama terkemuka yang telah menjemputnya ke satu majlis perbahasan (ketika itu perbahasan ialah satu amalan biasa di kalangan ulama). Kemudian beliau terus mengalahkan berbagai kumpulan ulama lain sebanyak beberapa kali dalam majlis perbahasan. Selepas peristiwa ini, beliau pun digelar Badiuzzaman (Kekaguman Zaman).

Pengalaman pendidikan yang telah beliau lalui telah membukakan fikirannya untuk memikirkan cara untuk menghasilkan sistem pendidikan yang bersepadu. Ketika itu, dunia sedang memasuki satu zaman baru yang membawa angin perubahan. Satu zaman di mana sains dan lojik memainkan peranan penting. Beliau berpendapat ilmu agama perlu diajar di sekolah-sekolah moden dan sekular, sebaliknya ilmu sains moden pula perlu diajar di sekolah-sekolah agama. Katanya, “Dengan cara ini, para pelajar di sekolah moden dilindungi dari kekufuran dan para pelajar di sekolah agama akan dilindungi dari sikap taksub”.

Dalam usaha merealisasikan cita-citanya, beliau telah pergi ke Istanbul sebanyak dua kali. Kali pertama adalah pada tahun 1896 dan kali keduaya adalah pada tahun 1907. Beliau cuba meyakinkan Sultan Abdul Hamid agar membina sebuah universiti di Anatolia yang mengajar ilmu agama dan ilmu sains secara bersepadu.

Ketika bercakap dengan Sultan Abdul Hamid, Badiuzzaman menggunakan bahasa yang agak kasar sehingga menyebabkan beliau dibicarakan di mahkamah tentera. Di mahkamah tentera pula, beliau masih menggunakan bahasa yang sama. Lantaran terkejut dengan hal ini, para hakim mahkamah tentera telah menghantarnya ke sebuah hospital sakit jiwa untuk diperiksa. Walaubagaimanapun, doktor yang memeriksanya melaporkan “Jika Badiuzzaman gila, maka tidak akan ada seorang manusia siuman pun di dalam dunia ini”. Dengan ini, beliau pun dibebaskan.

Kebebasan Pertama

Sering kali Badiuzzaman menjadi sasaran tuduhan (fitnah) yang bertentangan dengan niat dan cita-citanya. Ketika berlakunya pemberontakan Mac 31, 1909, beliau telah ditangkap dan dibicarakan di mahkamah tentera atas tuduhan mencetuskan kekacauan. Sebenarnya, beliau telah cuba mententeramkan keadaan dan telah berjaya melakukannya pada sesuatu peringkat tertentu. Ketika mayat-mayat orang yang dihukum gantung masih di tiang gantung di luar tingkap mahkamah, Badiuzzaman telah berjaya berhujah mempertahankan diri dan akhirnya telah dibebaskan.

Selepas itu, beliau kembali ke Timur Anatolia dan melawat kawasan-kawasan terpencil untuk menerangkan kepada rakyat bahawa gerakan pembebasan yang sedang ditubuhkan di Turki tidak bertentangan dengan Islam. Beliau telah memberitahu mereka bahawa semua bentuk pemerintahan kuku besi (diktator) ditolak oleh undang-undang Islam. Perundangan Islam akan berkembang dan menunjukkan kemuliaannya di dalam suasana yang bebas merdeka. Kemudian beliau telah mengumpulkan syarahan-syarahannya itu di dalam sebuah buku bertajuk Perbahasan.

Pada musim sejuk tahun 1911, Badiuzzaman pergi ke Damsyik untuk menyampaikan khutbah di Masjid Umayyad. Para pendengarnya termasuklah 100 ulama yang terkenal. Dalam ceramahnya, beliau berkata bahawa tamaddun sebenar yang berada pada Islam akan berdiri tegak di dunia moden ini. Selepas itu, beliau pergi ke Istanbul sekali lagi untuk meneruskan usahanya agar sebuah universiti didirikan di Anatolia Timur. Badiuzzaman merupakan wakil bagi timur Turki yang mengiringi Sultan Muhammad Resyad melawat Rumelia (daerah Balkan). Ketika di Kosovo Metohija, di mana Sultan bercadang untuk membina sebuah universiti, beliau pun berkata, "Kawasan Timur lebih memerlukan sebuah universiti kerana ia merupakan pusat Dunia Islam." Beliau berjaya meyakinkan Sultan Muhammad Resyad agar menyediakan peruntukan sebanyak 19,000 lira untuk tujuan itu. Beliau kemudian pergi ke Van dan meletakkan batu asas universiti tersebut. Tetapi malangnya, pembinaan universiti tersebut tidak dapat disiapkan kerana Perang Dunia Pertama meletus.

Dalam Perang Dunia Pertama, Badiuzzaman menjadi pemimpin pasukan sukarelawan di medan perang Kaukasia dan Anatolia Timur. Keperwiraan yang telah ditunjukkan oleh beliau di medan pertempuran mendapat pujian dari para panglima Tentera Turki Uthmaniah, termasuklah Anwar Pansya, Menteri Perang dan Ketua Turus Tentera ketika itu. Pasukannya telah digelar “Pasukan Topi Bulu”. Pasukan ini telah menggerunkan tentera Russia dan pengganas Armenia. Di medan perang inilah beliau telah menulis tafsirnya yang bertajuk “Isyaaratul I'jaz” di dalam bahasa Arab. Karyanya ini ditulis ketika beliau menunggang kuda di barisan hadapan dan di dalam kubu-kubu pertahanan. Tafsir ini kemudianya mendapat penghargaan daripada para ulama terkenal.
Dalam satu pertempuran menentang pencerobohan tentera Rusia, Badiuzzaman dan 90 orang pegawai lain ditawan. Beliau dihantar ke khemah tahanan perang di Kostromaa, iaitu di barat laut Russia dan ditahan di situ selama 2 tahun.

Badiuzzaman pernah dijatuhkan hukuman tembak sampai mati kerana menghina Jeneral Nicholas Nicolavich, Ketua Turus Tentera Rusia di medan perang Kaukasia, yang juga merupakan bapa saudara Czar, Raja Russia. Walau bagaimana pun, hukuman itu kemudianya dibatalkan. Peristiwa itu adalah seperti berikut:

Pada satu hari, Jeneral Nicholas Nicolavich melawat khemah tahanan tersebut dan berjalan di hadapan Badiuzzaman tetapi ulama itu tidak bangun menghormatinya. Bila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, beliau lantas berkata, “Saya seorang ulama Islam dan di dalam hati saya ada iman. Sesiapa saja yang ada iman di dalam hatinya adalah lebih mulia daripada mereka yang tiada. Saya tidak boleh bertindak bertentangan dengan iman saya.” Akibat dari peristiwa itu beliau kemudianya dibicarakan di mahkamah tentera dan dijatuhkan hukuman mati. Sebelum hukuman dijalankan, beliau telah sempat bersolat di hadapan pasukan penembak. Jeneral Nicholas Nicolavich melihat kelakuannya itu dan datang kepadanya untuk meminta maaf. Jeneral itu berkata beliau kini telah sedar bahawa Badiuzzaman bertindak demikian kerana ingin berpegang teguh kepada imannya. Beliau pun meminta maaf atas gangguan tersebut. Sungguh sedih sekali kerana penghormatan yang diberikan oleh orang Russia, musuh lama orang-orang Islam tidak ditunjukkan oleh sebahagian orang-orang Turki yang telah menyebabkan beliau menjalani hidup yang penuh dengan berbagai penderitaan.

Kekacauan yang meletus kerana Revolusi Komunis, memberi peluang kepada Badiuzzaman untuk melepaskan diri. Selepas melalui satu perjalanan yang jauh, beliau pun sampai ke Istanbul dalam tahun 1918. Di Istanbul, beliau dianugerahkan sebuah pingat penghormatan atas sumbangannya di medan perang. Anuar Pasya, telah menawarkan kepadanya beberapa jawatan di dalam kerajaan tetapi beliau menolak. Namun begitu, atas cadangan pihak tentera beliau dilantik menjadi anggota Darul Hikmah Al Islamiah tanpa pengetahuanya. Beliau tidak membantah kerana jawatan ini adalah jawatan ilmiah semata-mata.

Semasa negara Turki diceroboh oleh tentera penjajah selepas kalah dalam Perang Dunia Pertama. Badiuzzaman telah menunjukkan penentangan yang terang-terangan kepada penjajah British. Hal ini hampir membuatkan nyawanya melayang. Di antara kata-kata yang ditujukan kepada pihak British yang ditulis di dalam akhbar harian ialah, “Wahai anjing yang dianjingkan ke peringkat anjing yang tertinggi” dan “Ludahlah muka British yang terkutuk dan tidak tahu malu itu”. Lantaran itu beliau menjadi sasaran komplot bunuh pihak British. Dengan pertolongan Allah beliau terpelihara daripada ancaman tersebut dan terus berhadapan dengan tugas dan cabaran-cabaran baru yang sedang ditunggunya.

Dalam tahun 1922, kerajaan Turki telah menjemputnya ke Ankara tetapi beliau menolak. Akhirnya, selepas dijemput sebanyak 18 kali, barulah beliau bersetuju pergi ke Ankara. Beliau disambut oleh Dewan Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Turki) di Ankara dengan penuh istiadat. Walaubagaimanapun, beliau mendapati apa yang ada di Ankara tidaklah serupa dengan apa yang diharapkannya. Kebanyakan para perwakilan di Dewan Perhimpunan Kebangsaan lalai menunaikan kewajipan agama. Pada 19 Januari 1923, beliau mengeluarkan satu kenyataan untuk para perwakilan mengajak mereka menunaikan kewajipan bersolat. Hasilnya ialah, pada mulanya 50 hingga 60 daripada mereka mula menunaikan solat dan kemudiannya angka ini semakin bertambah.

Badiuzzaman menghabiskan masanya selama lapan bulan di Ankara dan kemudian ke Van. Beliau menghabiskan dua tahun di Van dengan mengasingkan diri, beribadat dan berzikir. Sementara itu, satu pemberontakan berlaku di timur Turki. Para pemberontak meminta sokongan Badiuzzaman kerana beliau sangat berpengaruh di kalangan rakyat tetapi beliau menolak dengan berkata, “Pedang hendaklah digunakan ke atas musuh dari luar. Ia bukanlah untuk digunakan di dalam negeri. Hentikan usaha kamu itu kerana ia akan gagal. Ia akan mengakibatkan beribu-ribu orang lelaki dan wanita yang tidak bersalah terbunuh lantaran tindakan beberapa orang penjenayah”.

Sekali lagi Badiuzzaman difitnah dan mengakibatkannya dibuang ke Burdur. Di Burdur, beliau dikenakan pengawasan ketat dan menderita akibat penindasan dari pihak berkuasa. Hal ini langsung tidak menyekatnya dari menyebarkan kebenaran iman kepada orang ramai di sekelilingnya dan mengumpulkan segala hasil penulisannya dalam bentuk buku. Kegiatannya ini telah dapat dikesan lalu dilapurkan ke Ankara dan satu rancangan diatur untuk menyekatnya. Pihak berkuasa kemudiannya menghantarnya ke Barla pula, sebuah tempat terpencil di bahagian tengah Anatolia. Tempat tersebut dikelilingi bukit-bukau dan mereka berharap Badiuzzaman akan mati di situ dalam keadaan tidak bermaya dan keseorangan.


Kemunculan Risale-i Nur (Risalah Yang Bercahaya)

Sebenarnya penyebaran iman bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Berdakwah juga bukanlah satu jenayah yang melayakkan nyawa seseorang diancam. Namun begitu, hal ini dianggap satu jenayah pada ketika itu. Pada masa itu, kezaliman menyelubungi negara Turki dengan segala kegelapan dan kezaliman. Azan telah diharamkan. Beratus-ratus masjid telah digunakan untuk tujuan bukan keagamaan. Perancangan telah dijalankan untuk memutuskan negara Turki daripada zaman silamnya yang terkenal dengan segala nilai-nilai akhlaknya yang mulia. Sesiapa yang bercakap mengenai agama memerlukan keberanian. Ketua Jabatan Percetakan Kerajaan boleh mengarah sidang pengarang akhbar memotong sebarang makalah yang menyentuh isu agama dalam tempoh 10 hari atas alasan merbahaya kerana boleh menyemai konsep agama di dalam pemikiran para belia.

Dalam suasana beginilah Badiuzzaman Said Nursi memasuki bahagian kedua hidupnya yang digelarnya "Said Jadid” (Said Baru). Bahagian kedua dalam hidupnya ini ditumpukan sepenuhnya kepada penulisan dan penyebaran mengenai iman dan Islam. Kebenaran iman ialah kebenaran sejagat yang terpenting. Membangkitkan semula iman dan Islam menjadi matlamatnya apabila beliau berkata, “Saya akan buktikan kepada dunia bahawa Al-Quran ialah matahari rohani yang tidak akan luntur dan tidak akan padam”. Maka itulah yang diperjuangkannya. Badiuzzaman tidak mati keseorangan di Barla tetapi yang muncul ialah “Said Jadid” yang seumpama matahari, menyinari dunia sains dan budaya. Semenjak itulah, beliau telah menyinari berjuta-juta manusia dengan cahaya iman.

Di Barla, pengawasan ketat dan penindasan sedang menunggu Badiuzzaman. Musuh-musuhnya masih belum mengenalinya lagi. Inilah orang yang ditakuti tentera Russia ketika Perang Dunia Pertama. Inilah orang yang sanggup meludah ke muka orang British yang menjajah Istanbul. Inilah orang yang berjaya terlepas dari tali gantung sebanyak beberapa kali. Walau bagaimanapun, mereka kemudian mengenalinya juga apabila terpaksa berkata, “Segala apa yang kami lakukan selama 25 tahun yang lepas tidak berjaya menyekat Said Nursi dari meneruskan kegiatannya”.

Beliau telah menghabiskan hidupnya di Barla selama 8 tahun setengah di bawah penindasan yang dahsyat. Dalam tempoh tersebut, beliau sempat menulis 3 suku daripada Risale-i Nurnya. Tafsirnya ini kesemuanya ditulis dengan tangan kerana pengarang dan para pelajarnya tidak mampu menyediakan belanja percetakan. Sekalipun mereka mampu, mereka tidak diberi kebebasan berbuat demikian. Tugas menulis tafsir ini dengan tangan adalah kerja merbahaya pada ketika itu. Mereka yang melakukannya telah disiksa di dalam penjara dan balai-balai polis. Pada masa yang sama, berbagai usaha dijalankan untuk menyekat orang ramai dari menghubungi Badiuzzaman.

Sebanyak 600,000 naskah ditulis dengan tangan.

Ketika itu penulisan atau penyebaran walaupun hanya 1 karya agama bukanlah sesuatu yang sesiapa pun berani lakukan. Inilah perjuangan berani yang berterusan yang menjadi pilihan Badiuzzaman dan para pelajarnya. Apabila keadaan di mana Risale-i Nur ditulis dan disebarkan ke seluruh Anatolia diambil kira, maka betapa benar kata Maryam Jameelah, “Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa apa saja keimanan Islam yang masih ada di Turki pada ketika itu adalah atas usaha tanpa penat dari Badiuzzaman Said Nursi”.

Mereka yang memahami intipati iman melalui Risale-i Nur mencapai tahap keimanan yang kental sehingga mampu menunjukkan keberanian dan keperwiraan Islam yang hebat. Badiuzzaman, yang mewakili roh Risale-i Nur sendiri telah menjadi pemimpin bagi ratusan ribu pelajar dan kini telah mencapai jutaan pelajar yang menghayati karya tersebut. Beliau menjadi contoh kepada orang-orang Islam lain di Turki ketika itu. Beliaulah penyokong mereka di hari-hari yang penuh bahaya, seumpama seorang ketua tentera yang memberi galakan kepada tenteranya melalui keberanian dan kewibawaannya sendiri. Dengan ini, mereka pun berjaya menghilangkan ketakutan dan syak wasangka dari hati orang ramai dan maruah negara dikembalikan. Mereka telah membawa harapan dari kelegaan dan menyelamatkan orang-orang Islam daripada rasa cemas dan kecewa.

Pada tahun 1935, Badiuzzaman bersama 125 orang pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah Eskisehir. Dalam tempoh perbicaraan berlangsung, mereka terpaksa menghabiskan selama 11 bulan di dalam penjara Eskisehir yang penuh dengan penderitaan. Walaupun begitu, mereka masih membawa harapan dari kelegaan dan menyelamatkan orang-orang Islam daripada perasaan cemas dan kecewa.

Badiuzzaman kemudianya dipindahkan ke Kastamonu selama 7 tahun. Di sana, Beliau masih terus menulis dan menyebarkan Risale-i Nur. Oleh sebab beliau dan para pengikutnya tidak diberi kebebasan, mereka telah menubuhkan rangkaian pengirim Risale-i Nur yang dinamakan “Posman Nur” (Nurju). Hasilnya, Posman Nur telah berjaya menyebarkan sebanyak 600,000 naskah Risale-i Nur ke seluruh Anatolia.

Pada tahun 1943, beliau bersama 126 orang pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah di Denizli. Kali ini beliau dituduh mencetak secara rahsia satu risalah di Istanbul mengenai kewujudan Tuhan.

Perjuangannya tidak pernah reda sama ada dalam buangan mahupun di penjara. Di dalam penjara, beliau telah bertindak memulihkan para banduan dan penjenayah yang dianggap tidak berguna oleh masyarakat. Beliau juga telah berjaya menghasilkan karya-karya baru walaupun kertas dan pen tidak dibenar masuk ke dalam penjara. Jadi, karyanya ditulis atas cebisan-cebisan kertas yang dikoyak dari kampit-kampit kertas. Karyanya kemudian diseludup keluar di dalam kotak-kotak mancis. Karyanya yang berjudul “Buah-buah Iman” telah ditulis dengan cara ini.

Perbicaraan di Denizli berakhir dengan keputusan beliau dibebaskan sebulat suara. Tetapi ini tidak bermakna beliau telah diberikan kebebasan sepenuhnya. Atas arahan daripada pihak berkuasa di Ankara, beliau pun dihantar ke sebuah bandar lain bernama Emirdag.

Kebebasan yang sudah lewat

Bagi Badiuzzaman, Emirdag juga sama dengan tempat-tempat yang lain. Sekali lagi beliau diawasi, ditindas dan diancam. Namun begitu, beliau terus memperjuangkan iman dan Islam. Tenmpohnya di Emirdag sekali lagi berakhir dengan penangkapanya. Kali ini beliau bersama dengan 53 pelajarnya telah ditahan dan dihantar ke Mahkamah Jenayah Afyon untuk dibicarakan. Beliau dipenjarakan di penjara Afyon selama 20 bulan. Kekejaman di penjara ini adalah lebih teruk berbanding yang lain. Badiuzzaman ketika itu berumur 75 tahun dan sedang menderita berbagai penyakit. Pihak berkuasa telah meletakkannya di sebuah bilik penjara bersendirian yang mempunyai tingkap-tingkap pecah walaupun beliau uzur. Di dalam bilik penjara bertingkap pecah inilah Badiuzzaman menghabiskan dua musim sejuk yang sangat mencabar. Apabila melihat musim sejuk pun tidak dapat membunuhnya, maka musuhnya telah meracuninya (ada pendapat mengatakan beliau diracun sebanyak 19 kali). Ketika beliau menderita kesakitan akibat racun tersebut, beberapa orang pelajarnya memberanikan diri untuk menolongnya tetapi telah dibelasah dengan kejam sekali.

Akhirnya hukuman ke atas Badiuzzaman telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung. Walau bagaimanapun, Mahkamah Agung telah mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Mahkamah membatalkan hukuman tersebut setelah Badiuzzaman dan para pengikutnya menghabiskan tempoh penjara yang sama panjang dengan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Afyon. Lapan tahun kemudian, akhirnya dalam tahun 1956, Mahkamah tersebut mengistiharkan mereka tidak bersalah selepas mereka menghabiskan dua tahun dalam penjara yang teruk.

Pilihanraya bebas dan adil yang pertama telah diadakan di Turki pada tahun 1950. Sistem pelbagai parti telah menggantikan sistem 1 parti. Pemerintahan kejam Parti Republikan Rakyat yang tidak suka pada agama telah tamat. Pelbagai bentuk kebebasan dan hak mula diikhtiraf. Satu zaman baru telah bermula bagi sejarah Republik Turki. Pengharaman ke atas azan telah dibatalkan dalam sidang pertama parlimen baru Turki. Dalam tahun-tahun berikutnya, Badiuzzaman terlibat dalam hanya 1 perbicaraan saja. Dalam perbicaraan di Istanbul ini, beliau tidak ditahan. Keputusannya ialah beliau dibebaskan sebulat suara.

Selepas hampir seabad berkhidmat untuk iman dan Islam, Badiuzzaman Said Nursi kembali ke rahmatullah pada pagi 23 hb. Mac, 1960. Beliau telah pergi dengan penuh kemuliaan dan kemenangan. Hasil karyanya akan terus menyinari abad ini dan abad-abad yang mendatang. Kasih sayang yang dipupuknya akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi untuk selama-lamanya.

Pandangan terhadap Risale-i Nur

Badiuzzaman telah memahami sebab yang paling penting dalam keruntuhan dunia Islam sebagai kelemahan dalam asas keimanan. Kelemahan ini bersama serangan-serangan pada asas keimanan pada abad ke 19 dan 20 ini yang dijalankan oleh fahaman kebendaan, ateis dan lainnya atas nama sains dan kemajuan menjadikannya insaf bahawa keperluan yang mustahak dan genting adalah untuk menguatkan dan menyelamatkan keimanan. Apa yang diperlukan adalah untuk mengerahkan semua tenaga untuk membangunkan ajaran Islam melalui asas keimanan dan untuk menjawab persoalan-persoalan keimanan ini pada tahap yang diperlukan dengan “Jihad yang Maknawi” atau “Jihad dengan Ayat”.

Dalam masa penahananya, Badiuzzaman telah menulis satu koleksi karya yang digelar Risale-i Nur, yang menerangkan dan menghuraikan asas-asas keimanan dari kebenaran Al-Quran kepada manusia moden. Metodologi yang digunakannya adalah dengan menganalisis keimanan dan kekufuran serta menunjukkan melalui hujah-hujah yang rasional dan terang bahawa bukan sahaja keimanan boleh dibuktikan, kesemua kebenaran yang terkandung dalam keimanan seperti keujudan Tuhan dan keEsaanNya, kerasulan dan kebangkitan manusia di hari akhirat dalam bentuk jasad juga dapat diterangkan sebagai satu satunya penjelasan yang rasional dari keujudan manusia dan alam semesta ini.
Dalam menjelaskan keadaan yang sebenarnya dari tujuan utama penciptaan manusia dan alam semesta ini, Risale-i Nur menunjukkan bahawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat hanya boleh diperolehi dalam keimanan dan ilmu ketuhanan. Ia juga menunjukkan akibat dari kekufuran, menyebabkan roh manusia dan hatinya mengalami kesakitan dan kesedihan yang amat sangat di mana biasanya orang-orang yang sesat berusaha untuk menghilangkannya melalui kelalaian dan menolak kenyataan. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai sebarang kesedaran boleh mengambil perlindungan dengan cara berpegang kepada keimanan.

Berikutnya adalah beberapa petikan yang di utarakan oleh tokoh-tokoh Islam ketika ini keatas Badiuzzaman dan Risale-i Nur:

Dalam sejarah Islam, tiga pergerakan Islam berikut telah bangkit dan meyerupai satu dengan yang lain di mana setiap satunya telah memainkan peranan yang besar dalam memelihara keimanan orang-orang Islam : 1. Pergerakan Imam Rabbani, Shaykh Ahmad Sirhindi di India. 2. Pergerakan Abdulhamid ibnu Badis di Algeria 3. Pergerakan Badiuzzaman Said Nursi di Turki.

Prof. Abdul Wadud Celebi
(Universiti Al-Azhar,Mesir)

Saya percaya bahawa penulisan dalam Risale-i Nur sahajalah yang melihat dengan secukupnya dan menyeluruh kepada kosmos seperti keadaaannya yang sebenarnya, menyampaikan keimanan dengan pentafsiran Al-Quran seperti yang dikehendakki oleh Rasul kita, mencari sebab penyakit yang menjangkiti manusia moden dan menawarkan ubat yang dapat menyembuhkan penyakit-penyakit ini dengan sepenuhnya. Sesungguhnya saya berkepecayaan bahawa pengarang Risale-i Nur layak untuk di gelar Mujaddid.

Dr. Colin Turner (Telah memeluk Islam)
(Universiti Manchester,England)


Rujukan

Abdul Wadud Celebi.1992. International Symposium : The construction of Islamic thought in the twentieth century and Bediuzzaman Said Nursi.Istanbul: Sozler Publication.

Collin Turner. 1992. The Risale-i-Nur as a New School of Belief. International Symposium : The construction of Islamic thought in the twentieth century and Bediuzzaman Said Nursi. Intanbul: Sozler Publication.

Umit Simsek. 1989. A brief biography of Bediuzzaman Said Nursi. Istanbul:Sozler Yayinevi.

Friday, May 7, 2010

PERTAHANAN DAN KEAMANAN KEPERLUAN MANUSIA

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Pertahanan dan keamanan merupakan satu keperluan yang penting (maslahat dharuriyyat) bagi setiap manusia, masyarakat serta negara pada setiap masa dan tempat. Dengan adanya pertahanan, keamanan dan keselamatan manusia, masyarakat dan negara akan dapat melaksanakan tugas, peranan dan tanggungjawab yang dimiliki ke tahap yang maksimum.

Para ulama menyebut kepentingan dan kebajikan manusia sebagai maslahat dan ia terbahagi kepada tiga iaitu:

i- Maslahat dharuriyyat. Sesuatu yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan ini bagi memastikan kehidupan mereka berjalan dalam keadaan yang normal dan tidak terancam. Sekiranya perkara ini tidak dijaga maka kehidupan manusia akan berjalan pincang dan tidak sempurna.
ii- Maslahat hajaiyyat. perkara yang diperlukan manusia untuk memudahkan perjalanan hidup mereka. Sekiranya perkara ini tidak wujud maka kehidupan mereka tidak akan pincang tetapi mereka berhadapan dengan sedikit kesusahan.
iii- Maslahat tahsiniyyat. Perkara yang dinilai menepati kebiasaan manusia dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara tersebut yang boleh mencacat dari segi penilaian dan adat kebiasaan (Yusuf al-Qardhawiy 1995).

Selain dari itu al-Qur’an telah menyebut bahawa antara keperluan asasi manusia itu antara lain diistilahkan sebagai ‘al-amn’ atau ‘keamanan’, iaitu kata bahasa Arab, yang bererti aman dan tenteram. Keamanan berkait rapat dengan keimanan kerana iman sebagai benteng kekuatan dalam hati untuk mencipta dan membina rasa keamanan dan ketenteraman, khususnya aman dan tenteram dari segala gangguan dan kegelisahan sama ada di dunia atau pun di akhirat. Al-Qur’an telah mengungkap adanya kaitan antara aspek iman dengan rasa aman dalam kehidupan manusia. Aspek ini telah difirmankan oleh Allah melalui firmannya yang bermaksud,
“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka Dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk”.

Dalam al-Qur’an perkataan al-amn (keamanan ) disebut sebanyak 45 kali dan istilah iman sebanyak 800 kali (Mu’jam al-Fahras al-lafzi al-Quran : 2000). Kedua perkataan tersebut mempunyai hubungan yang rapat berkaitan dengan keamanan dan pertahanan yang pada asasnya mempunyai makna atau pengertian yang cukup luas iaitu, pertama: Saling percaya mempercayai serta tidak saling mencurigai dan kedua: Makna ketenangan dan perdamaian dan bukan permusuhan atau pertentangan.

Oleh yang demikian, menjadi tugas dan tanggungjawab semua pihak untuk mewujudkan keamanan dan keselamatan atas nama kepentingan agama, bangsa dan negara. Oleh kerana betapa pentingnya kesatuan dan saling bekerjasama dalam usaha membina dan mewujudkan keamanan serta keselamatan, Iman Bukhari dalam kitab sahihnya telah menjelaskan keterangan yang cukup menarik tentang apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW berkaitan dengan keamanan dengan sabdanya yang bermaksud,

“Kehidupan sosial dan kemasyarakatan memerlukan pertahanan dan keamanan dan aspek tersebut adalah umpama penumpang kapal (ka rukkab al-safinah). Sebahagian penumpang berada di tingkat atas, sebahagian berada di tengah dan sebahagian lagi di tingkat bawah. Apabila penumpang yang berada di tingkat bawah ingin mengambil air, mereka perlu naik ke atas dan melalui bahagian yang berada di atas mereka. Lalu terdapat fikiran di kalangan mereka yang ingin mengambil jalan pintas untuk mengambil air dengan cara menebuk dinding kapal, agar mudah untuk mendapatkan air. Jika idea atau fikiran tersebut dibiarkan sudah tentu kapal tersebut akan karam, sebaliknya jika ada di kalangan mereka yang menyedari dan mencegah perbuatan tersebut, maka sudah tentu mereka akan selamat dan kapal tidak akan karam”.


Dalam konteks negara Malaysia, tugas menjaga keamanan dan keselamatan negara telah ditugaskan kepada organisasi Angkatan Tentera Malaysia (Malaysia Kita 2004). Oleh yang demikian tugas tersebut merupakan satu amanah yang tentunya berkait rapat dengan aspek keagamaan. Amanah tersebut telah dipikul dengan jayanya oleh Angkatan Tentera Malaysia sejak tahun 1933 hingga kini dan telah menjangkau 76 tahun.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .