Friday, November 19, 2010

KEYAKINAN KEPADA ALLAH

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam aspek syahid di jalan Allah, keyakinan seseorang kepada Allah (s.w.t.) dan yakin kepada janji yang telah ditetapkan, telah mendorong seseorang itu mengambil keputusan untuk menjadi berani dan tidak takut mati, seperti pernah dinyatakan oleh seorang panglima Perang Islam, “aku datang kepada kamu semua dengan kecintaan kepada kematian lebih besar dan tinggi dari kecintaan kamu terhadap keduniaan”. Persoalannya sekarang, mengapakah mereka mencintai dan inginkan kematian? Jawapannya sudah jelas bahawa, mereka telah mengenal pasti bahawa dengan kematian cara itu mereka akan memperoleh memasuki syurga. Salah satu contoh ialah dalam peristiwa Perang Yarmuk, di mana kaum Muslimin mengumpulkan sejumlah 40,000 orang anggota, sementara tentera Rom telah mengumpulkan anggota seramai 240,000 orang anggota. Setelah Khalid al-Walid mempersiapkan pasukan tentera Islam, Abu Sufyan yang telah diberi peranan untuk memotivasikan tentera-tentera Islam dan berkata, “apa yang kamu lakukan dan hadir pada hari ini adalah amanah Rasulullah, syurga ada di hadapanmu dan neraka ada di belakangmu”. Dengan kata-kata itu, Khalid al-Walid mengarahkan tentera-tentera Islam terus menyerbu dan menggempur pasukan musuh. Ternyata para tentera Islam melangkah ke medan perang tanpa takut dan gentar kerana mereka yakin bahawa kematian di medan perang akan menghantar mereka ke syurga Allah (Wakil 1986).

Tuesday, November 9, 2010

MENELADANI SALAHUDDIN AL-AYUBI

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Sejarah mencatatkan bahawa Salahuddin al-Ayubi adalah seorang tokoh pemimpion yang gemilang. kejayaan Salah al-Din al-Ayyubi mengalahkan tentera Salib dengan bilangan tentera yang terhad.

Di sebalik kekaguman itu tidak ramai yang menyedari rahsia kejayaan Salah al-Din al-Ayyubi. Ahli sejarah mencatatkan setiap malam Salah al-Din al-Ayyubi akan meronda khemah-khemah tenteranya untuk memerhatikan apa yang mereka lakukan. Kemudian pada keesokan harinya beliau akan memilih tentera dalam kalangan mereka yang menghidupkan malam dengan qiamullail seperti solat sunat, membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya persiapan rohani untuk menghadapi tentera musuh. Sebaliknya tentera yang tidur, berehat atau berbual-bual kosong akan ditinggalkan. Kejayaan Salah al-Din al-Ayyubi menjinakkan Richard The Lion Heart kerana beliau telah memimpin tentera yang memiliki tentera yang mempunyai ciri ‘abid’ di malam dari dan umpama ‘singa di siang hari’. Inilah juga ciri-ciri yang dimiliki oleh para sahabat, tabi’ dan tabien serta orang yang soleh pada zaman dahulu (Abdul Rahman 2002). Mereka hebat berjuang pada siang hari tetapi tetap menghidupkan malam dengan ibadah. Inilah yang dapat mereka contohi daripada peribadi Rasulullah (s.a.w.) sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah (s.w.t.) dalam Surah al-Ahzab (33:21) maksudnya:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.

Sunday, November 7, 2010

PASTIKAN LIDAH TIDAK BERCABANG!

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Pada umumnya lidah atau percakapan merupakan gambaran hati dan juga peribadi seseorang itu. Ini adalah kerana kegagalan untuk menjaga lidah akan menyebabkan perkara gerikut berlaku:
a. Percakapan yang tidak bermanfaat.
b. Bercakap atau berbual tentang perkara yang berhubung dengan kemaksiatan.
c. Sering berbantahan dan perdebatan.
d. Memaksa orang lain atau orang bawahan membuat-buat kefasiqan dan melakukan sesuatu di luar batas kewajaran.
e. Bercakap keji, buruk dan cacian.
f. Sumpah seranah sesama rakan dan sering menjadi bahan gurauan.
g. Suka kepada nyanyian dan hiburan.
h. Senda gurau yang berlebihan.
i. Ejekan dan cemuhan.
j. Menyebarkan rahsia.
k. Janji palsu dan berdusta.
l. Mengumpat (Ghibah).
m. Perbuatan lidah bercabang.
n. Sanjungan atau pujian yang berlebihan.
o. Kurang cermat dalam percakapan.
p. Melibatkan diri secara tidak bijak terhadap beberapa perkara atau pertanyaan yang tidak berfaedah.
q. Amalan mengejek (Namimah).

Oleh yang demikian, dalam ajaran Islam, seorang yang tidak menjaga lidahnya iaitu berkata-kata tanpa memikirkan akibat buruk dari kata-katanya boleh menjerumuskannya masuk ke dalam neraka seperti kata-kata menghina Allah dan para nabi. Ajaran Islam menghendaki hubungan sesama manusia terutama saudara Islam itu terselamat daripada segala penganiayaan sama ada berbentuk perbuatan atau perkataan. Orang Islam yang lebih utama ialah mereka yang memelihara lidah dan tangannya.

Dari perspektif ajaran Islam, percakapan yang baik adalah percakapan atau perbualan yang membawa kepada mengingat Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Oleh itu, umat Islam perlu memelihara lidahnya dari melakukan perkara yang dilarang oleh ajaran Islam. Jalan selamat dalam memelihara lidah adalah membanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan mempelajari ilmu. Dengan itu, lidah akan mengangkat seseorang itu menjadi mulia dan membawa kejayaan kepada tuannya apabila digunakan pada jalan yang betul dan benar.

Monday, November 1, 2010

HINDARKAN MAKSIAT

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Terdapat beberapa akibat atau kesan dari perbuatan maksiat terhadap diri, keluarga atau umat. Antara akibat atau kesan dari perbuatan maksiat, antaranya ialah:

a. Kemurkaan Allah SWT.
b. Kebencian kaum di kalangan Mukminin.
c. Terhalangnya mendapat ilmu.
d. Malapetaka yang dahsyat.
e. Ada Jarak dengan Allah.
f. Terdapatnya jarak antara diri dengan masyarakat atau individu sekeliling.
g. Hati dan wajah menjadi gelap.
h. Berat dalam melakukan ibadah.
i. Melakukan maksiat-maksiat lain.
j. Mendapat kehinaan di hadapan Allah SWT.
k. Mempunyai hati yang kerdil.
l. Maksiat boleh menyebabkan pelakunya menjadi lemah akal.
m. Keburukan maksiat dan akibatnya disebut oleh Allah dalam al-Quran.
n. Pengkhianatan lidah berterusan setiap hari.

Berdasarkan senarai di atas, akibat atau kesan dari perbuatan maksiat adalah amat sukar diterima jika seseorang itu terus bergelumang dengan maksiat dan dosa.

Saturday, October 23, 2010

TRANSFORMASI DIRI MENDAYA BANGSA

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Bagaimanakah untuk mendaya bangsa menuju kemakmuran? Langkah pertama yang perlu kita lakukan, ialah kita jangan sekali-kali menyerah kalah atau berputus asa dan perlu sentiasa berusaha untuk berbuat sesuatu bagi memperbaiki keadaan.
Oleh itu marilah kita bangun dan berganding bahu sesama umat Islam untuk menolong saudara kita yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Untuk itu marilah kita berazam dalam diri kita untuk sama-sama berperanan dan memberikan sumbangan kepada umat Islam seluruhnya berdasarkan kemampuan yang ada pada diri kita. Sesungguhnya kejayaan sesuatu bangsa atau umat terletak dalam jiwa bangsa atau umat itu sendiri dan bukan dalam jiwa umat atau bangsa-bangsa yang lain. Persoalannya sekarang, mengapalah kita menyatakan demikian? Jawapannya ialah kerana diri, hati dan jiwa kita telah menerima Islam. Oleh yang demikian, diri, hati dan jiwa perlu menjadikan Islam sebagai petunjuk serta pedoman dalam kehidupan ini.

Dalam kitab suci al-Quran kita akan menemui petunjuk yang mampu menjelaskan kesilapan kita. Firman Allah SWT,

” Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum”

Tuesday, October 12, 2010

SEMANGAT DAN TEKAD UNTUK KEJAYAAN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Kekentalan semangat dan tekad untuk memikul tanggungjawab bagi mencapai kemenangan dalam perjuangan adalah kualiti-kualiti penting yang diperlukan dari orang yang benar-benar beriman, lebih-lebih lagi anggota tentera. Dari perspektif Islam, Allah telah menjanjikan bahawa orang terkorban atau gugur di jalan Allah ketika dalam perjuangan melawan musuh akan di balas dengan kehidupan abadi dan kegembiraan. Firman Allah dalam Surah Al ‘Imran (3:169-171) yang bermaksud, ‘Dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi tuhan mereka dengan mendapat rezeki (dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnia-Nya, dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang yang beriman”.

Selain dari itu Allah juga telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 154 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang mati; bahkan mereka itu orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya”.

Wednesday, September 29, 2010

BAGAIMANA SIKAP PARA PEJUANG MASA KINI?

Oeleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam satu sesi perbincangan dengan para peserta program Bina Insan di salah sebuah kem Tentera Darat Negeri Semnbilan, beberpa hari yang lau, penulis telah ditanya dengan soalan, bagimanakah sikap para pejuang masa kini? khususnya merujuk kepada angota pasukan keselamtan. Bagi menjawab soalan tersebut, penulis telah menyebutkan bahawa majoritinya para pejuang atau tentera Islam zaman dahulu memiliki peribadi istimewa, dalam menghadapi kesusahan, masa-masa kritikal, garang, tegas, bercita-cita tinggi mencapai kemuliaan mati syahid, berdisiplin, taat, setia, tenang, bertimbang rasa, menghormati kewajipan dan berjuang berasaskan akidah serta iman yang bersih. Sebab itu mereka sukar digugat, kerana Islam adalah rahsia di sebalik segala-galanya. Memadai dengan membandingkan keadaan bangsa Arab sebelum dan selepas Islam, untuk menilai dan mengetahui perubahan besar yang berlaku kepada mereka selepas Islam. Masyarakat Arab sebelum Islam terkenal sebagai bangsa yang sentiasa berperang dan mereka mempunyai banyak pengalaman perang. Justeru itu mereka memiliki ciri-ciri yang seharusnya ada pada setiap perajurit seperti tidak takut mati, sanggup menumpahkan darah secara murah untuk mempertahankan kumpulannya, Namun demikian mereka tidak dapat mencapai kejayaan sepenuhnya seperti mana selepas Islam. Tidak sampai 100 tahun mereka telah berjaya meluaskan kawasan pemerintahan dari Siberia di Utara hingga ke India di Selatan, dari China di utara hinggalah ke Perancis di Barat (Nawawi 1992: 91).

Berdasarkan kenyataan tersebut jelaslah bahawa Islam merupakan perkara yang membawa perubahan besar kepada bangsa Arab sehingga mereka mampu menakluki sebahagian dari dunia ini. Kejayaan yang belum pernah diperoleh oleh mana-mana bangsa sebelumnya. Dengan semangat dan penghayatan jihad yang unggul dan akhlak yang mulia, mereka telah merealisasikan firman Allah (s.w.t.) dalam Surah Al ‘Imran (3:110). Maksudnya:

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenal-benar iman), dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka, (tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik” .

Oleh yang demikian bagi menjawab persoalan tersebut, jawapannya, adakah para pejuang kini telah memiliki sifat-sifat yang dipunyai oleh para pejuang dahulu? Jika tidak kita perlu sama-sama berubah ke arah yang lebih baik, jika tidak kita akan rebah. Tidak sekarang, bila? tidak kita, siapa?.

BULI DALAM PERKHIDMATAN TENTERA

Temubual bersama wartawan BERITA HARIAN . Latifah Ariffin berkaitan dengan isu buli dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Telah disi...