Sunday, April 1, 2012

MENGHIDARI SINDROM RABUN DALAM DAKWAH



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

TUGAS dakwah memerlukan usaha yang serius, tersusun rapi, kesungguhan dan penuh istiqamah. Walau bagaimanapun mungkin terdapat beberapa kelemahan yang berpunca daripada kurangnya penelitian atau pendedahan kepada kaedah-kaedah pengurusan moden yang akhirnya memberi kesan negatif terhadap kelancaran dan kejayaan kepada aktivis serta organisasi dakwah.

Salah satu kelemahan atau gejala penyakit yang berbahaya dalam organisasi gerakan dakwah ialah sindrom rabun. Penyakit ini akan menyebabkan organisasi dakwah menjadi kehilangan arah dan hanya sibuk dengan kerja-kerja atau pengurusan harian harian dan melaksanakan aktiviti yang bersifat ritual semnata-mata. Pada asas program dan aktiviti dakwah yang sewajarnya dilaksanakan oleh organisasi dakwah amat banyak dan ia melibatkan pelbagai aspek dan komitmen yang tinggi.

Mengikut Kamus Dewan (2002), rabun ditakrifkan sebagai kabur ataupun kurang jelas. Manakala takrif yang diguna pakai dalam risalah yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihanat Malaysia (2010), rabun mata bermaksud mata tidak dapat membiaskan cahaya dengan baik dan ini akan menyebabkan penglihatan jadi kabur. Pada umumnya rabun mata terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

a. Rabun dekat(myopia). Ini bermaksud objek dekat boleh dilihat dengan jelas tetapi objek jauh menjadi kabur.
b. Rabun jauh (hypropia). Objek dekat menjadi kabur tetapi objek jauh boleh dilihat dengan jelas.
c. Astigmatism. Objek dekat dan jauh kelihatan tidak sempurna dan kabur.

Bagi organisasi dakwah yang hanya menumpukan kepada beberapa aspek aktiviti dan ingin mencapai objektif tertentu sahaja, bermakna organisasi dakwah tersebut serta para pendokongnya tidak mampu melihat perjalanan dan matlamat organisasi dakwah yang didokong dengan lebih jauh.

Beberapa aspek teknikal seperti data, statisik, senarai nama, aspek kewangan peningkatan jumlah tertentu sasaran yang terlibat dengan aktiviti atau peningkatan jumlah anggota atau ahli dalam organisasi pada tahun-tahun dan penting dalam pelaksanaan dakwah. Amat malang sekali bagi para pendokong organisasi dakwah yang hanya melihat sasaran-saran tertentu berdasarkan tahun-tahun yang telah ditetapkan sahaja, sedangkan ada perkara lain yang amat penting untuk dilihat dan dikaji berdasrkan sasaran yang telah ditetapkan. Para pendokong organisasi dakwah perlu melihat dengan lebih jauh tentang sasaran yang telah ditetapkan itu. Jika sekiranya jumlah keanggotaan yang diiingini telah dicapai pada tahun tertentu, tetapi perkara yang lebih penting ialah apakah dan ke manakah arah potensi anggota dakwah yang ramai dan yang telah terpilih itu hendak disalurkan dan bagaimana pula ahli-ahli lama, serta bagaimana untuk mengoptimumkan kepakaran dan pengalaman yang telah mereka miliki bersama organisasai selama ini? Selain dari itu, mungkin banyak lagi persoalan yang boleh dikaji dan dianalisis setelah statistik dan data tertentu dicapai.

Melihat situasi gerakan dakwah yang terdapat di negara kita pada masa kini, para pendokong dan aktivis dakwah disaran untuk menghindari penyakit atau gelaja rabun dalam mengurus organisasi dakwah.

Wednesday, March 7, 2012

HARI TD KE 79: IKRAR KESATERIA PENGUKUH PERJUANGAN



Oleh DR BURHANUDDIN ABDUL JALAL

TARIKH 1 Mac setiap tahun sentiasa diingati seluruh warga Tentera Darat Malaysia kerana ia merupakan tarikh ulang tahun Tentera Darat. Sempena ulang tahun ke-79 tahun tahun ini tema yang diambil ialah1Angkatan Tetap Gagah Tetap Setia.

Aspek kesetiaan dalam budaya tentera darat sentiasa dititikberatkan mulai seseorang anggota itu memasuki perkhidmatan.

Salah satu amalan yang sering dilakukan berhubung dengan kesetiaan ialah amalan membaca ikrar kesatria.

Ikrar tersebut jelas mempunyai nilai penghayatan Islam yang kuat oleh itu mematuhi pemerintah adalah sesuatu yang wajib. Ini berdasarkan surah al-Nisa' ayat 59.

Para ulama tafsir seperti Ibnu Kathir, Imam al-Qurtubi dan Jalalain, memberikan makna yang pelbagai dalam mentafsirkan ulil amri. Jika digabungkan makna tersebut ia menepati apa yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW: Barang siapa yang mentaati aku, sesungguhnya ia telah mentaati Allah dan barang siapa yang menderhaka aku, sungguhnya ia telah menderhaka Allah dan barang sesiapa yang mentaati amir aku ia telah mentaati aku, dan sesiapa yang menderhaka amir aku, ia telah derhaka aku. (Bukhari dan Muslim)

Wednesday, February 15, 2012

MENGUKUH KEYAKINAN KEPADA ALLAH




Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Setiap hari memohon doa ke hadrat Allah SWT sama ada pada waktu malam atau pun siang. Namun doa yang kita baca, lafaz atau dipohon ke hadrat Allah SWT itu, adakah dilakukan dengan penuh kesungguhan dan keyakinan? Soalan ini perlu kita tanya pada diri sendiri dan perlu dijawab dengan penuh jujur dan keikhlasan.oleh Ini adalah kerana kita mesti meyakini Allah dengan keyakinan yang sekuat-kuatnya tanpa batasan.

Keyakinan dengan penuh tulus dan keikhlasan tanpa kepentingan-kepentingan tertentu. Sebagai seorang Islam kita wajib meyakini di atas segala kekuasaan Allah SWT, Yang Maha Menguasai dan Maha Mengetahui. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada Kami dan benarlah (Apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah”( al-Ahzab 33:22)

Pada umumnya kehidupan manusia bergantung kepada suasana keadaan sekeliling, namun bagi mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT perlu meyakini bahawa kehidupan ini adalah ketentuan dan ketetapan Allah di samping usaha yang dilakukan dan tawakal kepada Allah SWT. Ini diperkukuh lagi dengan doa atau kata-kata yang sentiasa terucap di bibir, “ Ya Allah aku sambut panggilanmu, aku menerima perintahmu dan aku reda atas kehendakmu”.

Saturday, January 28, 2012

HARGAI MASA!




Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Dapatkah kita memahami mengapa waktu ini begitu penting bagi kita? Mungkin persoalan ini tidak mempengaruhi diri kita sedikit pun kerana kita telah terbiasa dalam kehidupan seharian dengan ketidakpedulian kita terhadap waktu atau masa. Tulisan berikut mungkin akan menyedarkan diri kita kembali mengapa waktu begitu penting serta berharga dalam hidup ini.

Dalam al-Quran Allah SWT banyak bersumpah dengan waktu dan Allah menyebut perkara tersebut dalam banyak tempat dan ini menunjukkan bahawa waktu adalah amat penting sekali. Berikut adalah ayat-ayat dalam al-Quran di mana Allah telah bersumpah dengan waktu. Firman Allah SWT yang bermaksud,

”Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya),Dan siang apabila ia lahir terang-benderang”. ( al-Lalil 92: 1-2).

” Demi waktu dhuha, Dan malam apabila ia sunyi-sepi” ( ad-Dhuha 93: 1-2).

”Demi waktu fajar;Dan malam Yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)” (al-Fajr 89: 1-2)

”Demi matahari dan cahayanya Yang terang-benderang;Dan bulan apabila ia mengiringinya”

“Demi Masa!( Al-Quran, al-Asr 103: 1)


Apakah sebabnya Allah menyuruh manusia memikir dan merenung tentang sumpah tentang waktu yang telah disebutkan oleh Allah SWT? Ia berhubung dengan waktu, anugerah paling mahal yang diberikan kepada seluruh manusia. Umat atau manusia yang tidak tahu menghargai waktu tidak mungkin akan menjadi manusia atau umat yang maju. Dalam al-Quran kita telah pun membaca firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud, 

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia”.

Dalam ayat di atas Allah menyebut bahawa manusia adalah umat yang terbaik, namun demikian pada prinsipnya ia akan menjadi umat yang terbaik apabila manusia mampu memanfaatkan seluruh kurnia Allah dan tidak menyalahgunakannya segala anugerah tersebut khususnya waktu atau masa. Sebagai manusia yang terbaik adakah kita telah dapat merasakan kepentingan waktu dalam hidup kita ini?

Sesungguhnya seluruh kehidupan dan amal umat Islam sentiasa berhubung dan berkaitan dengan waktu. Lebih-lebih lagi yang berkait rapat dengan ibadat. Dalam ibadat solat umpamanya, aspek waktu amat dititik beratkan. Ketika di tanya oleh para sahabat kepada Rasulullah tenang apakah amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT?”. Baginda menjawab. “solat tepat pada waktunya”. Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada Dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan Yang Diwajibkan atas orang-orang Yang beriman, Yang tertentu waktunya”

Sunday, January 22, 2012

MEMAHAMI TRANSFORMASI




Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Sejak akhir-akhir ini istilah tranformaasi amat popular dan banyak orang telah memberikaan pelbagai tafsiran dan pendekatan. Bagi penulis, tranformasi atau islah dalam konteks Islam yang berteraskan dua aspek yang disebutkan iaitu al-Islah al-insan (transformasi kehidupan insan) dan al-Islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia) adalah saling berkaitan di antara satu sama lain, kegagalan pada satu aspek akan memberi kesan kegagalan kepada aspek yang satu lagi. Ia umpama benih dan juga tanah yang saling berkaitan dalam bidang pertanian. Manusia seumpama benih yang perlu ditanam di tanah yang sesuai dan sistem (manhaj) merupakan tanah yang subur perlu bagi pertumbuhan benih yang baik. Benih-benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah yang gersang atau kering. Jika sebaliknya, walaupun tanahnya subur dan baik tetapi benihnya tidak baik atau rosak, kita tidak boleh mengharapkan pokok akan tumbuh dengan subur dan akan berbuah dengan lebat dan segar. Oleh yang demikian, dalam menghadapi tahun baru 2012 kita perlu membina semangat baru dan berazam untuk menjadi individu yang bersedia untuk melakukan perubahan yang lebih baik dan berkesan serta menjadi insan yang berguna, seperti mana yang telah diperingatkan oleh Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25 yang bermaksud,

Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)”

Monday, December 26, 2011

BERSEDIA MENGHADAPI CABARAN



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

BEBERAPA hari lagi kita semua akan menyambut tahun baru masehi 2012. Ini bermakna masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak membuat tindakan bijak kita akan terus tertinggal malahan cabaran baru kian menghimpit kita.

Menyedari perkara ini, Islam telah menyarankan agar umatnya sentiasa peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan kehidupan umat dan Islam terus terjamin. Pada hari ini pihak kepimpinan negara telah menyarankan agar kita melakukam transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai dalam aspek ekonomi, politik dan sosial dan juga memperbaiki keadaan negara dan rakyat seluruh agar lebih baik dan sempurna. Dalam Islam transformasi ini disebut sebagai islah dan ia bermaksud perubahan ke arah kehidupan atau keadaan yang lebih baik. Proses islah atau transformasi ini pada asasnya terdapat dua aspek yang perlu dilihat iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).

Pertama: Al-Islah al-insan (transformasi kehidupan insan). Islam telah menetapkan manusia sebagai alat yang dapat mengubah atau mencipta sesuatu perubahan. Oleh yang demikian segala bentuk perubahan atau pembaikan adalah bertujuan membina kualiti kemanusiaan. Kitab suci al-Quran yang mengandungi pelbagai aspek pengajaran yang menyentuh aspek akidah, hukum-hakam, akhlak, seerah dan juga sains dan teknologi. Kesemua aspek tersebut disebut oleh Allah SWT sebagai satu petunjuk kepada manusia untuk mencapai perubahan atau membina peradaban kemanusian. Ini jelas seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah ar- Ra’du ayat 11 yang bermaksud,

“ Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.

Perubahan diri (taghir al-anfus) atau disebut sebagai self reform dapat dilakukan dengan wujudnya kesedaran dalam diri seseorang untuk melakukan perubahan. Ini disebut sebagai self introspection atau muhasabah diri dan selanjutnya disusuli dengan tindakan untuk membangun semangat ke arah kebaikan dan juga pembaikan diri (self correction atau self improvement).

Muhasabah diri merupakan suatu tuntutan yang penting pada hari ini kerana kehidupan yang kian mencabar dari pelbagai aspek. Amat sedih sekali kerana ramai di kalangan umat Islam pada hari ini hanya sibuk melemparkan pelbagai tuduhan dan sering mencari kesalahan orang lain sehingga tidak mampu dan gagal menemukan faktor-faktor kelemahan diri sendiri. Oleh yang demikian, dalam hal ini kita perlu mengingati apa yang telah disebut oleh Khalifah Umar al-Khattab yang telah mengingatkan, “hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung”. Walaupun ramai yang mentafsirkan peringatan tersebut merujuk kepada persiapan kematian, tetapi kepentingan untuk bermuhasabah dalam pelbagai aspek kehidupan perlu kita lihat dalam konteks yang lebih luas.

Untuk itu kita perlu bermuhasabah dan tindakan tersebut perlu dimulakan oleh diri kita sendiri seperti mana saranan Rasulullah SAW yang menyebut ‘ibda’ binafsika’
(mulakan dari diri kamu sendiri). Perlu kita sedari bahawa umat Islam tidak akan terjatuh atau terperosok ke lembah kehinaan jika seluruh umat Islam mengamalkan dan memegang teguh ajaran Islam. Pelabai cabaran dan kehinaan akan menimpa umat jika umat Islam gagal untuk mengambil ajaran Allah sebagai petunjuk dan panduan kehidupan.

Berdasarkan keadaan tersebut, beberapa tindakan untuk memperbaiki diri dan membetulkan keadaan umat perlu dilakukan. Keadaan ini perlu dimulakan dengan membetulkan dari aspek visi keislaman yang jelas, akidah yang murni, ibadah yang kukuh dan disertai dengan ilmu serta sifat ikhlas yang mantap. Jika ini dapat dilakukan ia akan melahirkan akhlak yang baik dan semangat penyebaran syiar Islam yang menyeluruh.

Friday, December 2, 2011

MENGUASAI ENAM JENIS ILMU FIQH



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Tokoh ilmuwan dan Gerakan Islam Dr. Yusuf al-Qardhawiy menyebutkan enam jenis ilmu yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh setiap individu Muslim khususnya para pendakwah iaitu, ilmu syariah, ilmu sejarah, ilmu bahasa, ilmu sosial, ilmu sains dan teknologi serta ilmu yang berkaitan informasi atau malah realiti.

Selain dari itu dalam suasana alat baru masa kini, yang turut membawa pelbagai cabaran dan kerenah yang perlu dihadapi oleh semua generasi manusia. Dalam hal ini organisasi dan juga para pendakwah yang terlibat dengan usaha-usaha dakwah tidak dapat mengelak diri dari berdepan dengan cabaran yang muncul di abad ini. Sehubungan dengan itu, para pendakwah, organisasi dakwah memerlukan persiapan dari segi mental, fizikal dan juga spritual.

Selain dari itu para pendakwah perlu meningkatkan lagi aspek keintelektualan dengan menguasai enam jenis fikah yang pernah disebut oleh Dr. Yusuff al-Qardhawiy dalam beberapa buah bukunya. Penguasaan ilmu fikah yang dimaksudkan di sini bukanlah ilmu fikah sebagaimana kita maklum, iaitu melibatkan ilmu ibadah, muamalat, jenayah, akhlak dan lain-lainnya, tetapi ilmu fikah di sini bermaksud penguasaan terhadap al-Quran dan ilmu Islam iaitu memahami sesuatu perkara secara mendalam dan tidak terbatas kepada ilmu fikah dalam bentuk memberi hukum dari nas yang berbagai-bagai dalam menghadapi sesuatu isu yang tidak didapati nas terhadapnya.

Enam jenis fikah yang dimaksudkan ialah Fiqh al-Ikhtilaf (Fikah perbezaan), Fiqh al-Muwazanat (Fikah keseimbangan), Fiqh al-Nusus (Fikah nas-nas syarak), Fiqh al-Awlawiyat (Fikah keutamaan), Fiqh al-Waqi’ (Fikah realiti atau semasa) dan Fiqh al-Taghir (Fikah perubahan). Dengan mengetahui keenam-enam jenis fikah ini, pendakwah akan dapat mengetahui aspek yang perlu didahulukan dan aspek mana yang perlu dikemudiankan serta mana aspek yang bersifat dasar dan mana aspek dakwah bersifat ranting. Ini penting bagi mengelakkan berlakunya penumpuan tenaga kepada perkara yang kurang penting atau berbalah sesama sendiri sedangkan perkara yang lebih besar diketepikan begitu sahaja.

BULI DALAM PERKHIDMATAN TENTERA

Temubual bersama wartawan BERITA HARIAN . Latifah Ariffin berkaitan dengan isu buli dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Telah disi...