Friday, July 13, 2012

PENGERTIAN KONSEP HABLUN MINALLAH DAN HABLUN MINNAS

Pada asasnya manusia (man) mempunyai empat komponen psikologi iaitu fizikal, intelektual (kognitif), emosi dan spritual. Nilai atau tahap seseorang individu terhadap komponen tersebut dipanggil ‘kecerdasan’ atau ‘quotient’. Justeru setiap individu mempunyai tahap kecerdasan komponen psikologi berikut: a. Kecerdasan Spritual (SQ) b. Kecerdasan Emosi (EQ). c. Kecerdasan Intelektual (IQ) d. Kecerdasan Fizikal (PQ) Konsep Hablun MinAllah dan Konsep Hablun Minannas adalah tuntutan agama mengenai hukum/prinsip dan sistem perhubungan manusia dengan Allah (Hablun MinAllah) dan manusia sesama manusia (Hablun Minannas). Secara langsung tuntutan agama terhadap konsep Hablun MinAllah dan Konsep Hablun Minannas mempunyai hubungan dengan pembangunan dan perkembangan kecerdasan psikologi yang positif dan seimbang. Seterusnya pembangunan dan perkembangan tahap kecerdasan keempat-empat komponen psikologi (intelektual, kognitif, emosi, spiritual dan fizikal) yang berlatarkan konsep Hablun MinAllah dan Hablun Minnas pula akan menyumbang kepada pembentukan Jiwa dan Akal budi .
Manusia sebagai makhluk ciptaan Allah S.W.T, diamanahkan untuk memanfaat, mengurus, mentadbir dan membangun segala sumber yang telah dikurniakan-Nya dengan sebaik dan seamanah yang mungkin. Setiap tugas, peranan atau tanggungjawab yang telah diberikan hendaklah di laksanakan dengan sebaik mungkin dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Dalam konteks kerjaya ketenteraan, untuk memenuhi tuntutan hubungan dengan Allah (Hablun MinAllah) secara menegak dan pada masa yang sama memenuhi tuntutan hubungan sesama manusia (Hablun Minannas) setiap individu perlu melaksanakan suruhan Allah S.W.T dan mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang-Nya. Tanggungjawab ini hanya mampu dipikul oleh individu yang berusaha dengan penuh kesungguhan untuk mencari kejayaan di dunia dan juga kejayaan di akhirat. Bagi mencapai matlamat ini terdapat dua dimensi yang perlu dipenuhi oleh setiap anggota. Dimensi pertama, perlu meletakkan diri mereka sebagai seorang khalifah (pemimpin), manakala dimensi kedua, meletakkan diri mereka sebagai seorang hamba (petugas). Sebagai seorang khalifah, setiap anggota diamanahkan untuk mengurus, melaksanakan tugas, peranan atau tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh organisasi berdasarkan sumber yang sedia ada iaitu manusia, alat, dan kaedah (man, machine, method). Manakala sebagai seorang hamba, setiap anggota perlu tunduk dan patuh kepada segala arahan, larangan dan suruhan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Rajah berikut menjelaskan dinamika hubungan di antara konsep tuntutan Hablun MinAllah, Hablun Minannas dan kecerdasan komponen psikologi dengan pembentukan dan perkembangan jiwa serta akal budi.

Sunday, June 24, 2012

MENCARI PIMPINAN DAN PENGIKUT YANG BAIK



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Isu kepimpinan sentiasa dibincangkan dan baru-baru ini telah diadakan Seminar Fiqh Mentaati pemimpin. Tentunya salah satu tujuan seminar tersebut kemungkinan selain dari untuk membina kepimpinan yang baik ia juga bertujuan untuk membina pengikut yang baik atau dal;am erti kata lain mentaati pemimpin.

Kepimpinan yag baik akan meningkatkan moral dan  kepimpinan yang lemah akan menjatuhkan moral.

Untuk mencapai tujuan itu, seseorang pemimpin mestilah dapat menjaga dirinya demi kepentingan rakyat atau orang-orang di bawah kepimpinannya. Pemimpin mesti mengotakan apa yang dicakap, melaksanakan keputusan yang tepat dan patuh kepada peraturan sebelum ia menyuruh orang lain melakukannya. Seorang pemimpin juga perlu sedar bahawa tanggungjawab amanah, nilai-nilai akhlak yang mulia, mengambil berat terhadap nasib orang bawahan dan juga mengambil keputusan yang tepat serta tidak berat sebelah. Seorang pemimin juga mesti mempunyai pandangan hidup yang baik, beriman dan tidak bermuka-muka (hipokrit), serta sanggup mengorbankan kepentingan dirinya demi orang bawahan dan ia juga mesti sanggup tidak cepat jemu atau bosan dalam bekerja, tidak mudah dipengaruhi dan juga mempunyai idea yang cukup jelas dan baik untuk mengurus rakyat dan organisasi.


Pemimpin yang bersikap dan mempunyai ciri-ciri sedemikian, akan sanggup diikuti, ditaati dan dipatuhi oleh orang orang-orang di bawah pimpinannya walaupun berdepan dengan kematian demi kebaikan. Pemimpin seperti ini juga dapat meningkatkan moral dan daya juang rakyat setinggi-tingginya. Pemimpin seperti inilah yang mampu membawa pasukan dan angkatan ke arah kemenangan. Sebagai contoh orang-orang di bawah pimpinan Khalid al-Walid mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang dan berkesan kerana Khalid al-Walid tidak pernah lalai dan kepimpinannya serta ditambah lagi dengan beberapa keistimewaan yang ada dalam diri Khalid al-Walid. Ini sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Hajj ayat 40-41 yang bermaksud, “ Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "tuhan kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); sesungguhnya Allah maha kuat, lagi maha kuasa, iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.

Sunday, June 10, 2012

MENGUKUH DAYA JUANG TENTERA DAN RAKYAT

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal Daya juang ketenteraan atau military morale bermaksud tahap keyakinan, ketabahan, pengorbanan dan sikap keberanian yang tinggi bagi melaksanakan sesuatu tugas yang diperlukan oleh pasukan atau Tentera Darat secara amnya. Dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke 24, Jeneral Datuk Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin, telah menekankan tentang aspek pengukuhan daya juang atau disebut sebagai military morale ini untuk terus diperkukuh dan dimantapkan dalam kalangan seluruh warga Angkatan Tentera Darat Malaysia Bagi pengukuhan daya juang atau military morale, terdapat enam ciri yang perlu diperkukuhkan dalam kalangan seluruh warga Tentera Darat iaitu: • Penampilan kepahlawanan (warrior appearance). • Tingkah laku diri yang jelas ( Clear personal conduct). • Kesopanan ketenteraan (Standard of military courtesy). • Tanggungjawab kepada peralatan (responsibility for equipment). • Kemahiran Ketenteraan (Military skill). • Motivasi dalam latihan (Training motivation). Dalam usaha untuk mencapai dan merealisasikan enam akal budi tersebut, Panglima Tentera Darat seterusnya menekankan tentang tiga perkara yang perlu dititik beratkan iaitu: Pertama: Konsep Hablun MinAllah ( Hubungan dengan Allah). Konsep hubungan manusia dengan Alah yang mampu memperkasakan daya juang yang tulen. Kedua: Konsep Hablun Minnas (Hubungan sesama manusia). Konsep hubungan sesama manusia yang akan memperteguhkan tanggungjawab pengurusan anggota. Ketiga: Konsep trilogi pengurusan tingkah laku. Konsep yang merangkumi aspek pengurusan komponen kognitif (fikiran), emosi dan tingkah laku. Beberapa garis panduan yang telah ditekankan oleh PTD itu pada asasnya adalah untuk membangun dan menyuburkan daya juang atau moral yang mampu mewujudkan Tentera Darat yang mantap dan kukuh serta sebagai 1Angkatan: Tetap Gagah Tetap Setia bagi mendokong aspirasi rakyat dan kedaulatan negara. Dari segi sejarah, khususnya sebelum perang dunia kedua, moral ditakrifkan sebagai “sifat-sifat tentera yang terlatih dan diuji atas kepatuhan mutlak yang membezakan dengan kumpulan bersenjata biasa. Sifat-sifat ini terjelma dalam bentuk kepatuhan yang ditegakkan atas asas cinta menyuburkan keberanian dan melahirkan ketabahan di dalam menghadapi kesulitan dan kesukaran sekaligus menimbulkan sifat istimewa yang menjadikan seseorang tentera itu patuh, gagah dan tabah”. Definisi ini hanya meliputi pasukan tentera sahaja kerana peperangan pada masa itu adalah peperangan antara tentera dengan tentera sahaja, tetapi pada hari ini apabila berlakunya peperangan ia akan melibatkan pihak tentera, rakyat dan negara keseluruhannya. Oleh yang demikian, definisi moral dalam konteks masa kini ialah, “kuasa yang tersembunyi di dalam hati manusia yang membuatnya sanggup berterusan bekerja dan berfikir dengan penuh keazaman dan keberanian walau bagaimana keadaan persekitarannya”. Definisi ini meliputi keseluruhan negara dan rakyat dan bukan dalam konteks tentera semata-mata, dan definisi ini juga boleh dikatakan bahawa setiap individu rakyat mestilah berani, tidak penakut, tidak lemah, percaya diri, tidak rasa hina diri, sanggup mempertahankan negara, tidak mudah hilang pertimbangan, bersedia berkorban jiwa dan negara untuk negara atau dengan lebih tepat lagi setiap rakyat mesti mempunyai semangat patriotisme yang tinggi terhadap negara

Thursday, May 3, 2012

KAGAT 27 TAHUN: TINGKATKAN PERANAN

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal PADA 16 April 2012 yang lalu warga KAGAT meraikan ulangtahun penubuhannya ke 27 di Institut Latihan dan Kefahaman Islam ATM (ILMI) Port Dickson. Seperti biasa program sambutan dipenuhi dengan pelbagai acara termasuk perbarisan sebagai satu acara wajib dalam organisasi ketenteraan. Apa yang penting, KAGAT sebagai sebuah organisasi yang telah diamanahkan untuk membina kekuatan spritual dan mental anggota Angkatan Tentera Malaysia sekaligus melahirkan angota tentera yang berkualiti bagi mencapai misi ATM iaitu mewujud dan merealisasikan angkatan tentera yang sentiasa siaga dan melindungi kedaulatan dan integriti negara. Pada asasnya dalam tempoh 27 tahun ini KAGAT telah berjaya memainkan peranannya dengan berkesan, namum segala kejayaan yang telah capai, tidak akan membuatkan KAGAT lupa atau telah berpuas hati dengan apa yang telah dilaksanakan. Organisasi KAGAT, kepimpinan dan seluruh warganya perlu terus berusaha untuk meninggikan syiar Islam dalam ATM sekaligus sebagai elemen yang penting dalam organisasi ATM. Bagi mencapai hasarat tersebut warga KAGAT yang juga merupakan pendakwah perlu terus tekal dan mampu berperanan sebagai pegawai KAGAT dan pendakwah dalam ATM. Untuk itu, semua warga KAGAT perlu mempunyai beberapa ciri penting bagi memastikan KAGAT mampu mengharungi cabaran dalam menyampaikan dakwah yang berterusan dalam organisasi ketenteraan. Salah satu daripadanya ialah Mempunyai daya tahan dan motivasi yang tinggi. Daya tahan dan semnangat yang tinggi amat penting bagi pendakwah. Ini adalah untuk memastikan pendakwah tidak terjebak dengan cabaran-cabaran di sekelilingnya, yang memungkinkan akan memberikan kesan negatif terhadap diri dan dakwah yang ingin disampaikan. Perkara ini dapat diambil pengajaran dari kisah Anas bin Nazhir, salah seorang sahabat Nabi yang tidak berpeluang berjuang dalam Peperangan Badar, dan beliau telah berjumpa dengan Rasulullah dengan katanya, “ Wahai Rasulullah, aku tidak dapat ikut serta dalam Perang Badar pada kali ini dan jika ditakdirkan aku berpeluang untuk berjuang di medan lain aku akan buktikan kepadamu Wahai Rasulullah”. Dalam Perang Uhud beliau telah berpeluang ikut serta dan berjuang melawan tentera musyrikin setelah para pemanah tentera Islam meninggalkan tempat mereka. Lalu Anas bin Nazhir berkata, “ Ya Allah aku memohon maaf kepadaMu atas perbuatan rakan-rakanku dan ia terus be medan juang dengan penuh semangat lalu gugur syahid. Berdasarkan kisah tadi ternyata Anas bin Nazhir telah menunaikan janjinya kepada Allah dan menggunakan daya motivasi yang tinggi serta semangat yang kental untuk berjuang di jalan Allah. Dengan motivasi yang kuat, seseorang itu akan mendapat mencapai tahap tinggi. Ini berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, “ Sesiapa yang berdoa mati syahid dengan bersungguh-sungguh kerana Allah, maka Alah akan menyampaikannya ke tingkat orang yang mati syahid. Walaupun ia mati di atas katil” (hadis riwayat Muslim).

Wednesday, April 11, 2012

SALING MENASIHATI BINA MASYARAKAT BAHAGIA



Oleh: DR BURHANUDDIN ABDUL JALAL

KITA sering mendengar perkataan nasihat dan kata-kata nasihat. Menurut Kamus Dewan (2002), nasihat bermaksud ajaran, peringatan atau petunjuk yang baik. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Agama adalah nasihat."
Sesungguhnya nasihat merupakan aspek yang penting dalam kehidupan. Ia merupakan salah satu alat yang dapat mendidik dan membina masyarakat ke arah yang lebih baik. (rujuk Ali Imran: 110).

Sehubungan dengan itu kita disarankan memberikan nasihat dan menyelesaikan masalah umat yang memerlukan bantuan. Ini bersesuaian dengan prinsip yang telah difirmankan oleh Allah yang bermaksud: ...Dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (ar-Ra'd: 11)

Sebagai umat Islam kita dididik dan dilatih untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan saling menasihati bagi membina umat Islam ke arah yang terbaik.

Walaupun ada ketikanya mungkin nasihat kita tidak dapat diterima oleh orang, tetapi kita perlu menguatkan semangat untuk memberi nasihat dengan penuh keikhlasan sebagai tanda cinta kita kepada Allah SWT.
Kita mungkin bertanya kepada diri kita: "Apakah ganjaran yang diperoleh jika memberi nasihat kepada orang lain?"

Untuk itu mari kita teliti sabda Rasulullah yang bermaksud: "Tiga orang pertama yang masuk syurga ialah orang yang syahid, seorang yang menjaga kesucian diri dan seseorang yang menyembah Allah dengan baik dan sempurna serta menasihatkan manusia."
Dalam hidup ini mungkin kita sering menjadi orang pertama memasuki masjid, tetapi adakah kita sering menasihati orang lain.

Jika demikian, kita tidak terpilih di antara orang yang pertama masuk syurga, kerana kita tidak memberi nasihat atau peringatan kepada orang lain.

Oleh itu, kita perlu mula untuk menasihati orang lain bersesuaian dengan kemampuan kita dan janganlah pula kita berkata: "Nasihat saya tidak memberi kesan kepada sesiapa dan tidak merubah keadaan." Tetapi yakinlah bahawa usaha itu akan mengubah keadaan atau seseorang dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang. Sesungguhnya masyarakat akan berubah apabila telah biasa mendengar nasihat.

Dalam satu peristiwa seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah aku hendak berikrar janji setia bersama Islam, apakah syarat yang perlu dipenuhi?" Lalu Rasulullah bersabda: "Hendaklah memberi nasihat kepada setiap Muslim."
Umar al-Khattab pernah berkata: "Tidak ada kebaikan yang dapat diharapkan dari umat yang enggan untuk saling menasihati dan umat yang tidak mahu menerima nasihat. Semoga Allah merahmati seseorang yang menasihati dari kekeliruan."

Kepada orang-orang yang enggan menerima nasihat, dengarlah firman Allah yang bermaksud: Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertakwalah Engkau kepada Allah" timbullah kesombongannya Dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahanam dan demi sesungguhnya, (neraka jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal. (al-Baqarah: 206).

Islam sentiasa mengamalkan konsep nasihat menasihati dalam masyarakat dan ini telah berjalan di kalangan umat Islam.
Sehubungan itu, tidak hairanlah bahawa umat Islam pernah mencapai kegemilangan pada masa lalu dan kegemilangan itu perlu dikembalikan dengan kesediaan umat untuk memberi dan menerima nasihat pada masa kini dan akan datang.

Sunday, April 1, 2012

MENGHIDARI SINDROM RABUN DALAM DAKWAH



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

TUGAS dakwah memerlukan usaha yang serius, tersusun rapi, kesungguhan dan penuh istiqamah. Walau bagaimanapun mungkin terdapat beberapa kelemahan yang berpunca daripada kurangnya penelitian atau pendedahan kepada kaedah-kaedah pengurusan moden yang akhirnya memberi kesan negatif terhadap kelancaran dan kejayaan kepada aktivis serta organisasi dakwah.

Salah satu kelemahan atau gejala penyakit yang berbahaya dalam organisasi gerakan dakwah ialah sindrom rabun. Penyakit ini akan menyebabkan organisasi dakwah menjadi kehilangan arah dan hanya sibuk dengan kerja-kerja atau pengurusan harian harian dan melaksanakan aktiviti yang bersifat ritual semnata-mata. Pada asas program dan aktiviti dakwah yang sewajarnya dilaksanakan oleh organisasi dakwah amat banyak dan ia melibatkan pelbagai aspek dan komitmen yang tinggi.

Mengikut Kamus Dewan (2002), rabun ditakrifkan sebagai kabur ataupun kurang jelas. Manakala takrif yang diguna pakai dalam risalah yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihanat Malaysia (2010), rabun mata bermaksud mata tidak dapat membiaskan cahaya dengan baik dan ini akan menyebabkan penglihatan jadi kabur. Pada umumnya rabun mata terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

a. Rabun dekat(myopia). Ini bermaksud objek dekat boleh dilihat dengan jelas tetapi objek jauh menjadi kabur.
b. Rabun jauh (hypropia). Objek dekat menjadi kabur tetapi objek jauh boleh dilihat dengan jelas.
c. Astigmatism. Objek dekat dan jauh kelihatan tidak sempurna dan kabur.

Bagi organisasi dakwah yang hanya menumpukan kepada beberapa aspek aktiviti dan ingin mencapai objektif tertentu sahaja, bermakna organisasi dakwah tersebut serta para pendokongnya tidak mampu melihat perjalanan dan matlamat organisasi dakwah yang didokong dengan lebih jauh.

Beberapa aspek teknikal seperti data, statisik, senarai nama, aspek kewangan peningkatan jumlah tertentu sasaran yang terlibat dengan aktiviti atau peningkatan jumlah anggota atau ahli dalam organisasi pada tahun-tahun dan penting dalam pelaksanaan dakwah. Amat malang sekali bagi para pendokong organisasi dakwah yang hanya melihat sasaran-saran tertentu berdasarkan tahun-tahun yang telah ditetapkan sahaja, sedangkan ada perkara lain yang amat penting untuk dilihat dan dikaji berdasrkan sasaran yang telah ditetapkan. Para pendokong organisasi dakwah perlu melihat dengan lebih jauh tentang sasaran yang telah ditetapkan itu. Jika sekiranya jumlah keanggotaan yang diiingini telah dicapai pada tahun tertentu, tetapi perkara yang lebih penting ialah apakah dan ke manakah arah potensi anggota dakwah yang ramai dan yang telah terpilih itu hendak disalurkan dan bagaimana pula ahli-ahli lama, serta bagaimana untuk mengoptimumkan kepakaran dan pengalaman yang telah mereka miliki bersama organisasai selama ini? Selain dari itu, mungkin banyak lagi persoalan yang boleh dikaji dan dianalisis setelah statistik dan data tertentu dicapai.

Melihat situasi gerakan dakwah yang terdapat di negara kita pada masa kini, para pendokong dan aktivis dakwah disaran untuk menghindari penyakit atau gelaja rabun dalam mengurus organisasi dakwah.

Wednesday, March 7, 2012

HARI TD KE 79: IKRAR KESATERIA PENGUKUH PERJUANGAN



Oleh DR BURHANUDDIN ABDUL JALAL

TARIKH 1 Mac setiap tahun sentiasa diingati seluruh warga Tentera Darat Malaysia kerana ia merupakan tarikh ulang tahun Tentera Darat. Sempena ulang tahun ke-79 tahun tahun ini tema yang diambil ialah1Angkatan Tetap Gagah Tetap Setia.

Aspek kesetiaan dalam budaya tentera darat sentiasa dititikberatkan mulai seseorang anggota itu memasuki perkhidmatan.

Salah satu amalan yang sering dilakukan berhubung dengan kesetiaan ialah amalan membaca ikrar kesatria.

Ikrar tersebut jelas mempunyai nilai penghayatan Islam yang kuat oleh itu mematuhi pemerintah adalah sesuatu yang wajib. Ini berdasarkan surah al-Nisa' ayat 59.

Para ulama tafsir seperti Ibnu Kathir, Imam al-Qurtubi dan Jalalain, memberikan makna yang pelbagai dalam mentafsirkan ulil amri. Jika digabungkan makna tersebut ia menepati apa yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW: Barang siapa yang mentaati aku, sesungguhnya ia telah mentaati Allah dan barang siapa yang menderhaka aku, sungguhnya ia telah menderhaka Allah dan barang sesiapa yang mentaati amir aku ia telah mentaati aku, dan sesiapa yang menderhaka amir aku, ia telah derhaka aku. (Bukhari dan Muslim)

BULI DALAM PERKHIDMATAN TENTERA

Temubual bersama wartawan BERITA HARIAN . Latifah Ariffin berkaitan dengan isu buli dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Telah disi...