Dakwah
Islamiah merupakan ajakan atau seruan ke arah penerimaan dan penghayatan ajaran
dan nilai-nilai Islam. Aspirasi ini dapat direalisasikan melalui pengurusan dan
perancangan dakwah yang sistematik sesuai dengan saranan al-Quran supaya dakwah
disampaikan dan disebar luaskan secara hikmat dan berkesan. Pelaksanaan dakwah
juga memerlukan kesungguhan dan
istiqamah.Matlamat dakwah
tidak akan tercapai jika usaha dakwah hanya dianggap sebagai satu hobi masa
lapang atau sekadar memenuhi keperluan sesuatu masa atau tempat. Sikap berpuas
hati dengan usaha dakwah yang minimum tidak seharusnya wujud di kalangan
pengikut Nabi Muhammad s.a.w.
Salah satu
perkara penting yang menjayakan dakwah
Islamiah ialah aspek pengurusan dakwah.
Aspek pengurusan dakwah yang mantap dan sistematik adalah keperluan asas kepada
kemajuan dan kecemerlangan dakwah. Perkara-perkara yang berkaitan dengan aspek
perancangan, pengorganisasian, pemantauan dan kepimpinan adalah antara aspek
pengurusan yang perlu difahami oleh pendakwah dan organisasi. Pengurusan dakwah
yang terancang akan memastikan objektif dakwah iaitu keselamatan dan
kesejahteraan umat tercapai.
Bagi Syed Othman
al-Habsyi (1998), Pengurusan dakwah
adalah pengurusan yang mampu menentukan
dakwah matlamat dakwah yang sebenar, menentukan objektif, strategi dan
program yang wajar dilaksanakan, mengawal dan melaksanakan segala tugas yang telah ditentukan, mengenal pasti
segala masalah serta strategi pelaksanaannya dan membiayai segala program yang
dirancang. Berdasarkan kepada pengertian tersebut, pada umumnya pengurusan
dakwah perlu mempunyai perkara-perkara seperti, penentuan matlamat, objektif
dakwah, strategi dakwah, struktur
pengurusan, perancangan program dan juga belanjawan.
__________________________
Telah diterbitkan dalam Dewan Tamadun Islam Terbitan DBP bulan Disember 2020