Saturday, January 28, 2012

HARGAI MASA!




Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Dapatkah kita memahami mengapa waktu ini begitu penting bagi kita? Mungkin persoalan ini tidak mempengaruhi diri kita sedikit pun kerana kita telah terbiasa dalam kehidupan seharian dengan ketidakpedulian kita terhadap waktu atau masa. Tulisan berikut mungkin akan menyedarkan diri kita kembali mengapa waktu begitu penting serta berharga dalam hidup ini.

Dalam al-Quran Allah SWT banyak bersumpah dengan waktu dan Allah menyebut perkara tersebut dalam banyak tempat dan ini menunjukkan bahawa waktu adalah amat penting sekali. Berikut adalah ayat-ayat dalam al-Quran di mana Allah telah bersumpah dengan waktu. Firman Allah SWT yang bermaksud,

”Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya),Dan siang apabila ia lahir terang-benderang”. ( al-Lalil 92: 1-2).

” Demi waktu dhuha, Dan malam apabila ia sunyi-sepi” ( ad-Dhuha 93: 1-2).

”Demi waktu fajar;Dan malam Yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)” (al-Fajr 89: 1-2)

”Demi matahari dan cahayanya Yang terang-benderang;Dan bulan apabila ia mengiringinya”

“Demi Masa!( Al-Quran, al-Asr 103: 1)


Apakah sebabnya Allah menyuruh manusia memikir dan merenung tentang sumpah tentang waktu yang telah disebutkan oleh Allah SWT? Ia berhubung dengan waktu, anugerah paling mahal yang diberikan kepada seluruh manusia. Umat atau manusia yang tidak tahu menghargai waktu tidak mungkin akan menjadi manusia atau umat yang maju. Dalam al-Quran kita telah pun membaca firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud, 

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia”.

Dalam ayat di atas Allah menyebut bahawa manusia adalah umat yang terbaik, namun demikian pada prinsipnya ia akan menjadi umat yang terbaik apabila manusia mampu memanfaatkan seluruh kurnia Allah dan tidak menyalahgunakannya segala anugerah tersebut khususnya waktu atau masa. Sebagai manusia yang terbaik adakah kita telah dapat merasakan kepentingan waktu dalam hidup kita ini?

Sesungguhnya seluruh kehidupan dan amal umat Islam sentiasa berhubung dan berkaitan dengan waktu. Lebih-lebih lagi yang berkait rapat dengan ibadat. Dalam ibadat solat umpamanya, aspek waktu amat dititik beratkan. Ketika di tanya oleh para sahabat kepada Rasulullah tenang apakah amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT?”. Baginda menjawab. “solat tepat pada waktunya”. Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada Dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan Yang Diwajibkan atas orang-orang Yang beriman, Yang tertentu waktunya”

Sunday, January 22, 2012

MEMAHAMI TRANSFORMASI




Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Sejak akhir-akhir ini istilah tranformaasi amat popular dan banyak orang telah memberikaan pelbagai tafsiran dan pendekatan. Bagi penulis, tranformasi atau islah dalam konteks Islam yang berteraskan dua aspek yang disebutkan iaitu al-Islah al-insan (transformasi kehidupan insan) dan al-Islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia) adalah saling berkaitan di antara satu sama lain, kegagalan pada satu aspek akan memberi kesan kegagalan kepada aspek yang satu lagi. Ia umpama benih dan juga tanah yang saling berkaitan dalam bidang pertanian. Manusia seumpama benih yang perlu ditanam di tanah yang sesuai dan sistem (manhaj) merupakan tanah yang subur perlu bagi pertumbuhan benih yang baik. Benih-benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah yang gersang atau kering. Jika sebaliknya, walaupun tanahnya subur dan baik tetapi benihnya tidak baik atau rosak, kita tidak boleh mengharapkan pokok akan tumbuh dengan subur dan akan berbuah dengan lebat dan segar. Oleh yang demikian, dalam menghadapi tahun baru 2012 kita perlu membina semangat baru dan berazam untuk menjadi individu yang bersedia untuk melakukan perubahan yang lebih baik dan berkesan serta menjadi insan yang berguna, seperti mana yang telah diperingatkan oleh Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25 yang bermaksud,

Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)”

Monday, December 26, 2011

BERSEDIA MENGHADAPI CABARAN



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

BEBERAPA hari lagi kita semua akan menyambut tahun baru masehi 2012. Ini bermakna masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak membuat tindakan bijak kita akan terus tertinggal malahan cabaran baru kian menghimpit kita.

Menyedari perkara ini, Islam telah menyarankan agar umatnya sentiasa peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan kehidupan umat dan Islam terus terjamin. Pada hari ini pihak kepimpinan negara telah menyarankan agar kita melakukam transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai dalam aspek ekonomi, politik dan sosial dan juga memperbaiki keadaan negara dan rakyat seluruh agar lebih baik dan sempurna. Dalam Islam transformasi ini disebut sebagai islah dan ia bermaksud perubahan ke arah kehidupan atau keadaan yang lebih baik. Proses islah atau transformasi ini pada asasnya terdapat dua aspek yang perlu dilihat iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).

Pertama: Al-Islah al-insan (transformasi kehidupan insan). Islam telah menetapkan manusia sebagai alat yang dapat mengubah atau mencipta sesuatu perubahan. Oleh yang demikian segala bentuk perubahan atau pembaikan adalah bertujuan membina kualiti kemanusiaan. Kitab suci al-Quran yang mengandungi pelbagai aspek pengajaran yang menyentuh aspek akidah, hukum-hakam, akhlak, seerah dan juga sains dan teknologi. Kesemua aspek tersebut disebut oleh Allah SWT sebagai satu petunjuk kepada manusia untuk mencapai perubahan atau membina peradaban kemanusian. Ini jelas seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah ar- Ra’du ayat 11 yang bermaksud,

“ Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.

Perubahan diri (taghir al-anfus) atau disebut sebagai self reform dapat dilakukan dengan wujudnya kesedaran dalam diri seseorang untuk melakukan perubahan. Ini disebut sebagai self introspection atau muhasabah diri dan selanjutnya disusuli dengan tindakan untuk membangun semangat ke arah kebaikan dan juga pembaikan diri (self correction atau self improvement).

Muhasabah diri merupakan suatu tuntutan yang penting pada hari ini kerana kehidupan yang kian mencabar dari pelbagai aspek. Amat sedih sekali kerana ramai di kalangan umat Islam pada hari ini hanya sibuk melemparkan pelbagai tuduhan dan sering mencari kesalahan orang lain sehingga tidak mampu dan gagal menemukan faktor-faktor kelemahan diri sendiri. Oleh yang demikian, dalam hal ini kita perlu mengingati apa yang telah disebut oleh Khalifah Umar al-Khattab yang telah mengingatkan, “hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung”. Walaupun ramai yang mentafsirkan peringatan tersebut merujuk kepada persiapan kematian, tetapi kepentingan untuk bermuhasabah dalam pelbagai aspek kehidupan perlu kita lihat dalam konteks yang lebih luas.

Untuk itu kita perlu bermuhasabah dan tindakan tersebut perlu dimulakan oleh diri kita sendiri seperti mana saranan Rasulullah SAW yang menyebut ‘ibda’ binafsika’
(mulakan dari diri kamu sendiri). Perlu kita sedari bahawa umat Islam tidak akan terjatuh atau terperosok ke lembah kehinaan jika seluruh umat Islam mengamalkan dan memegang teguh ajaran Islam. Pelabai cabaran dan kehinaan akan menimpa umat jika umat Islam gagal untuk mengambil ajaran Allah sebagai petunjuk dan panduan kehidupan.

Berdasarkan keadaan tersebut, beberapa tindakan untuk memperbaiki diri dan membetulkan keadaan umat perlu dilakukan. Keadaan ini perlu dimulakan dengan membetulkan dari aspek visi keislaman yang jelas, akidah yang murni, ibadah yang kukuh dan disertai dengan ilmu serta sifat ikhlas yang mantap. Jika ini dapat dilakukan ia akan melahirkan akhlak yang baik dan semangat penyebaran syiar Islam yang menyeluruh.

Friday, December 2, 2011

MENGUASAI ENAM JENIS ILMU FIQH



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Tokoh ilmuwan dan Gerakan Islam Dr. Yusuf al-Qardhawiy menyebutkan enam jenis ilmu yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh setiap individu Muslim khususnya para pendakwah iaitu, ilmu syariah, ilmu sejarah, ilmu bahasa, ilmu sosial, ilmu sains dan teknologi serta ilmu yang berkaitan informasi atau malah realiti.

Selain dari itu dalam suasana alat baru masa kini, yang turut membawa pelbagai cabaran dan kerenah yang perlu dihadapi oleh semua generasi manusia. Dalam hal ini organisasi dan juga para pendakwah yang terlibat dengan usaha-usaha dakwah tidak dapat mengelak diri dari berdepan dengan cabaran yang muncul di abad ini. Sehubungan dengan itu, para pendakwah, organisasi dakwah memerlukan persiapan dari segi mental, fizikal dan juga spritual.

Selain dari itu para pendakwah perlu meningkatkan lagi aspek keintelektualan dengan menguasai enam jenis fikah yang pernah disebut oleh Dr. Yusuff al-Qardhawiy dalam beberapa buah bukunya. Penguasaan ilmu fikah yang dimaksudkan di sini bukanlah ilmu fikah sebagaimana kita maklum, iaitu melibatkan ilmu ibadah, muamalat, jenayah, akhlak dan lain-lainnya, tetapi ilmu fikah di sini bermaksud penguasaan terhadap al-Quran dan ilmu Islam iaitu memahami sesuatu perkara secara mendalam dan tidak terbatas kepada ilmu fikah dalam bentuk memberi hukum dari nas yang berbagai-bagai dalam menghadapi sesuatu isu yang tidak didapati nas terhadapnya.

Enam jenis fikah yang dimaksudkan ialah Fiqh al-Ikhtilaf (Fikah perbezaan), Fiqh al-Muwazanat (Fikah keseimbangan), Fiqh al-Nusus (Fikah nas-nas syarak), Fiqh al-Awlawiyat (Fikah keutamaan), Fiqh al-Waqi’ (Fikah realiti atau semasa) dan Fiqh al-Taghir (Fikah perubahan). Dengan mengetahui keenam-enam jenis fikah ini, pendakwah akan dapat mengetahui aspek yang perlu didahulukan dan aspek mana yang perlu dikemudiankan serta mana aspek yang bersifat dasar dan mana aspek dakwah bersifat ranting. Ini penting bagi mengelakkan berlakunya penumpuan tenaga kepada perkara yang kurang penting atau berbalah sesama sendiri sedangkan perkara yang lebih besar diketepikan begitu sahaja.

Friday, November 25, 2011

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1433



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Sempena dengan sambutan tahun baru hijrah 1433 ini, sewajarnya setiap individu muslim melakukan muhasabah diri atau tindakan pembetulan serta melakukan sesuatu amalan atau kegiatan yang tidak bertentangan dengan syariat Islam agar sambutan yang diadakan agar lebih bermakna. Ini selaras dengan persetujuan para ulama yang memahami peristiwa hijrah nabi merupakan satu titik perkembangan dakwah Islamiah bagi membina masyarakat yang lebih bermakna bagi membawa seluruh umat Islam melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.

Dalam konteks umat Islam di Malaysia pada hari ini, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW yang sarat dengan pengajaran dan iktibar itu perlu difahami dan diserap segala pengajaran dan hikmatnya. Ini merangkumi aspek hijrah pembinaan masyarakat yang lebih harmoni, penghayatan Islam yang lebih bermakna dan juga mengajak diri masing-masing meninggalkan perbuatan yang kotor dan maksiat dengan berhijrah ke arah memperbaiki diri, hati dan jiwa menjadi suci dan bersih dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam. Ini menepati apa yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 100 yang bermaksud,

“ Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka Sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Selain dari itu semoga kita sama-sama dapat menghayati maksud doa awal tahun yang sering kita baca bagi menyambut tahun baru hijrah yang bermaksud,

“ Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.”


Catatan: Sebahagian artikel yang telah disiarkan dalam sisipan Mega- utusan Malaysia pada 24 Nov 2011

Sunday, November 20, 2011

DAKWAH PERINGKAT TINGGI



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan jelas menzahirkan kedudukan istimewa kepada agama Islam. Perkara 3 telah menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam perkara 160 pula dengan jelas mendefinisikan seorang Melayu itu sebagai seseorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan berbudaya dengan budaya kehidupan seorang Melayu. Peruntukan ini nyata sekali menzahirkan hakikat keterikatan umat Melayu dengan agama Islam di negara ini. Perkara 11 pula menjamin kebebasan agama kepada semua individu, namun dengan jelas melarang agama-agama lain daripada disebarkan kepada seorang Muslim sebagaimana yang dinyatakan secara jelas dalam peruntukan tersebut.

Berdasarkan fakta tersebut ternyata dakwah Islamiah di Malaysia telah sekian lama memasuki apa yang disebut sebagai ‘ marhalah mihwar muasasi’ iaitu tahap atau era dakwah aktif dalam pemerintahan negara. Berdasarkan tahap yang telah jauh itu, ia tidak bererti kita perlu meninggalkan tahap atau sejarah yang lama. Memasuki tahap yang baru ini, juga bererti kita akan memasuki era dakwah yang lebih berat, penuh cabaran dan memerlukan komitmen yang lebih kuat dan mantap dalam usaha menyampaikan dakwah. Oleh yang demikian semua isu yang berkaitan dengan dakwah sama ada kecil atau besar perlu ditangani oleh dengan penuh hikmat dan kebijaksanaan.

Saturday, November 12, 2011

RUANG DAKWAH TERBUKA LUAS



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Ruang dan peluang untuk berdakwah pada asasnya terbuka luas kepada semua orang. Seluruh umat Islam khususnya para pendakwah atau individu yang terlibat dalam organisasi dakwah perlu berjuang untuk melaksanakan objektif meninggikan syiar Islam, ini seperti mana yang telah disebut oleh Muhammad Abduh (2004) dalam bukunya ‘Madza ya’ni intimaai lid-dakwah’ menjelaskan tiga aspek penting dalam kejayaan dakwah iaitu:
• Iman yang kukuh.
• Organisasi dan kepimpinan yang mantap.
• Aktiviti atau gerak kerja yang berterusan.

Untuk itu dalam pelbagai strategi dan pendekatan yang digunakan dalam dakwah, kita juga sentiasa perlu menghayati firman Allah dalam surah firman Allah dalam ayat 125 Surah Al-Nahl yang bermaksud,

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk”.

BULI DALAM PERKHIDMATAN TENTERA

Temubual bersama wartawan BERITA HARIAN . Latifah Ariffin berkaitan dengan isu buli dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Telah disi...