Tuesday, December 16, 2008

Cabaran untuk jabatan, pegawai agama

PADA umumnya perkhidmatan hal-ehwal Islam bersifat dakwah Islamiah yang
menyeluruh. Persoalannya sekarang bagaimana imej dan tanggapan di kalangan
masyarakat terhadap perkhidmatan hal-ehwal Islam? Adakah senarionya
sebegini?
- Gambaran mengenai mutu perkhidmatan yang tidak cekap;
- Bangunan pejabat yang buruk dan tersorok;
- Sistem pengurusan yang tidak cekap; dan
- Profesionalisme penjawatnya yang tidak berketrampilan atau adakah
pegawai hal-ehwal Islam tidak mempunyai kuasa dan kebolehan tertentu?
Gambaran demikian boleh disimpulkan dari tulisan Robert Henssler dalam
bukunya British Rule in Malaya 1942-1957 yang telah membanding kuasa kadi
dengan pegawai daerah pada zaman itu. Antara lain beliau mempersendakan
tugas kadi hanya mengijabkabulkan pasangan tanpa memerlukan kebenaran
pegawai daerah.
Kenyataan seperti itu tentunya tidak betul lagi kerana perkhidmatan hal-
ehwal Islam sudah jauh meningkat ke tahap yang lebih baik pada masa ini.
Persoalannya adakah pegawai hal-ehwal Islam benar-benar berpuas hati
dengan mutu perkhidmatan mereka dan apakah masyarakat pula gembira dengan
peranan yang sudah dilaksanakan serta bersediakah mereka menghadapi
cabaran alaf baru?
Apakah peranan dan fungsi utama perkhidmatan hal-ehwal Islam?
Berdasarkan misi yang ingin dicapai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim), sebagai agensi pusat yang mengurus pembangunan hal-ehwal Islam di
Malaysia, misi perkhidmatan hal-ehwal Islam ialah: `Untuk membangunkan
sistem pengurusan berkualiti dalam hal-ehwal Islam bagi merealisasikan
penghayatan Islam sebagai ad-din melalui penyelidikan, pendidikan dan
penggunaan teknologi maklumat.'
Pada umumnya perkhidmatan hal-ehwal Islam perlu dilihat sebagai satu
pentadbiran organisasi yang perlu diuruskan dengan baik dan cemerlang.
Menurut SL Goel (184), pengurusan organisasi mempunyai lima sistem kecil,
iaitu pengurusan kewangan, pengurusan harta benda, perancangan pengurusan
strategik, pengurusan rekod dan pengurusan sumber manusia.
Adakah pengurusan hal-ehwal Islam telah berkhidmat dengan baik dan
cemerlang memenuhi standard atau piawaian seperti yang telah ditetapkan
oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Bagi menjawab persoalan ini,
barangkali kita boleh melihat dan menganalisis prestasi, mutu atau kualiti
organisasi kita khusus dari peringkat daerah, negeri dan seterusnya
peringkat pusat. Dari sudut organisasi, masyarakat menaruh harapan
terhadap peranan pengurusan hal-ehwal Islam sebagai organisasi yang
cemerlang dari setiap sudut perkhidmatannya supaya memenuhi segala
keperluan pengguna.
Pada umumnya harapan masyarakat terhadap pegawai hal-ehwal Islam di
setiap peringkat pada masa kini adalah seperti berikut:
a. Sebagai pendakwah berkaliber.
b. Individu yang boleh membuat keputusan dan rujukan khususnya dalam
aspek agama.
c. melaksana peranan dan tugas yang bersifat pemantauan dalam soal
agama.
d. Dapat memenuhi kualiti dan piawai tertentu dalam soal agama dan
sahsiah diri.
e. Menjadi teras dan pembimbing dalam masyarakat.
f. menjadi penggerak yang mengasuh serta mendidik dalam aspek kepimpinan
dalam masyarakat.
g. Sebagai mekanisme yang menggerakkan aktiviti masyarakat.
h. Sebagai ejen pengubah masyarakat atau periyakasaan sosial (sosial
engineering).
i. Dapat menyampaikan maklumat tepat khususnya dasar kerajaan dalam hal-
ehwal Islam dan memberikan perkhidmatan sampingan yang diperlukan.
Beberapa harapan dan cabaran perkhidmatan hal-ehwal Islam pada masa akan
datang perlu dihayati bersama bagi memastikannya dapat memenuhi cita rasa
dan keperluan masyarakat, iaitu dengan mewujudkan.
a. Usaha mengikis imej bahawa pegawai hal-ehwal Islam bersifat am
(generalist) dan berusaha mewujudkan pakar (specialist).
b. Aspek kepimpinan yang menyerlah.
c. Pengambilan pegawai dan anggota sokongan perlu dipelbagaikan.
d. Pegawai hal-ehwal Islam perlu mempunyai wawasan supaya dapat
melaksanakan tugas dengan bermutu dan boleh mencapai matlamat.
e. Mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi dalam melaksanakan tugas.
Pegawai hal-ehwal Islam tidak lagi bergantung kepada pengalaman setahun
yang diulang-ulang dan membuat kerja secara cuba sehingga betul (trial and
error).
f. Aspek latihan terancang. Pegawai hal-ehwal Islam perlu mahir dalam
soal pentadbiran, prosedur atau peraturan khususnya untuk melaksanakan
tugas.
g. Memahami masyarakat. Pegawai hal-ehwal Islam diberi tugas besar untuk
memenuhi kehendak rakyat. Oleh itu, mereka perlu memahami aspek psikologi
dan komunikasi serta unsur dinamik yang dapat mempengaruhi masyarakat dan
rakyat.
h. Menyesuaikan diri dengan perubahan sekeliling dan bersikap inovatif.
Pegawai hal-ehwal Islam mestilah responsif dan sensitif kepada perubahan
sekeliling dan perlu menyesuaikan diri dalam menghadapi perubahan.
Eksekutif yang berjaya ialah mereka yang dapat merancang atau meramal
perubahan besar yang berlaku di sekeliling mereka.
i. Melaksanakan dasar kerajaan. Jika berlaku ketidaklancaran dalam
pengurusan hal-ehwal Islam tentulah imej kerajaan pada umumnya terjejas.
Cabaran ini bukan sahaja penting untuk menjaga imej kerajaan tetapi juga
supaya jentera kerajaan tidak menjadi usang, misalnya masih wujud pejabat
agama yang usang, sistem pemprosesan atau prosedur pentadbiran berputar-
belit.
j. Soal sikap. Sikap pegawai hal-ehwal Islam perlu dipastikan baik dan
cemerlang. Wujud segelintir pegawai hal-ehwal Islam yang gagal mematuhi
nilai murni dalam perkhidmatan serta gagal menyelami slogan perkhidmatan
dan arahan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh JPA.
Kita perlu mengakui zaman akan berubah dan beberapa ahli pengurusan
pentadbiran awam menyatakan akan wujud perubahan dalam pengurusan
organisasi masa depan dan ini tidak terkecuali kepada organisasi yang
mengurus dan mentadbir hal-ehwal Islam.
Menurut Ahmad Atory (1997), pada abad akan datang, birokrasi akan
berakhir dan akan muncul satu sistem sosial yang baru, sesuai dengan
kehendak industrialisasi. Antara aspek yang akan memberikan cabaran kepada
organisasi dan mungkin dapat dijadikan panduan kepada kita untuk mengurus
dan memainkan peranan yang lebih baik dalam perkhidmatan hal-ehwal Islam
ialah:
1. Perubahan teknologi dan persekitaran. Perubahan teknologi yang pesat
membawa kepada saling hubungan di antara kerajaan dan organisasi lain.
Perkongsian antara kerajaan dan organisasi lain akan menjadi lebih lumrah.
Organisasi akan menjadi lebih saling bergantungan.
2. Sifat penduduk. Sifat dan aspirasi masyarakat berubah mengikut
pendidikan. Pendidikan orang dewasa meningkat dengan cepat serta
pertambahan dalam mobiliti kerja khususnya dalam organisasi.
3. Nilai kerja. Pertambahan tahap pendidikan dan mobiliti akan mengubah
nilai yang kita pegang mengenai kerja. Manusia akan lebih bertanggungjawab
terhadap kerjaya profesionalisme mereka dan barangkali memerlukan lebih
daripada pembabitan, penyertaan dan autonomi.
4. Tanggungjawab dan matlamat. Ahmad Atory meramalkan bahawa tugas
organisasi akan menjadi lebih rumit, teknikal dan tidak terancang.
Matlamat organisasi juga akan menjadi lebih rumit. Perniagaan akan diberi
perhatian oleh organisasi dan akhirnya wujud lebih banyak konflik dan
percanggahan yang boleh diramalkan daripada pelbagaian standard
keberkesanan organisasi.
5. Organisasi. Struktur organisasi masa depan akan mempunyai beberapa
ciri yang unik. Eksekutif akan menjadi penyelaras antara pelbagai
tanggungjawab. Manusia akan dinilai atau dihargai tidak secara menegak
berdasarkan kedudukan dan status tetapi secara anjal dengan merujuk kepada
kecekapan dan latihan professional.
Bagi mencapai hasrat itu, Ahmad Atory mencadangkan beberapa keperluan
bagi menghadapi cabaran baru atau peranan masa depan, perkara ini mungkin
dapat dikaitkan dengan peranan dan persediaan pegawai hal-ehwal Islam pada
masa hadapan. Perkara berkenaan ialah:
a. Latihan bagi perubahan. Satu aspek yang menarik mengenai generasi
kita ialah keinginan untuk berubah dalam tindakan dan pemikiran. Pegawai
kerajaan termasuk pegawai hal-ehwal Islam harus dilatih menangani
persoalan dan sesuatu yang baru dengan lebih bermakna. Latihan bagi
perubahan bermaksud membangunkan pegawai yang sentiasa menambah kemahiran
dan ilmunya.
b. Sistem kaunseling. Pengurus pembangunan dan latihan organisasi mesti
membentuk sistem penasihat yang berfungsi bagi menangani kesan sampingan
sesuatu latihan. Ini kerana sesuatu latihan yang dilaksanakan dalam
meningkatkan produktiviti perkhidmatan boleh memudaratkan dan menambah
buruk sesuatu nilai masyarakat jika matlamatnya tidak selaras matlamat
sistem sosial. Jika tidak ditangani dengan bijak, ia bukan saja boleh
mewujudkan konflik dalaman, malah membawa kesan buruk dan serius terhadap
masyarakat.
c. Perubahan motivasi. Faktor yang menggerakkan motivasi ialah dorongan
kuat bagi menjadikan seseorang profesional dan juga untuk dihormati rakan
sejawat selain kemajuan diri. Oleh itu, pegawai bekerja tidak semata-mata
untuk memuaskan kehendak organisasi tetapi yang lebih utama ialah
profesionnya.
d. Membentuk pasukan penyelesai masalah. Satu daripada cabaran penting
dan sukar bagi pengurus pembangunan dan latihan ialah tanggungjawab untuk
mewujudkan keadaan yang membolehkan kerjasama berkesan atau membina
pasukan petugas bersama. Kita akan berhadapan dengan lebih banyak masalah
yang lebih rumit. Oleh itu, perkhidmatan hal-ehwal Islam perlu menggarap
kemahiran dalam pelbagai disiplin pakar dan bidang bagi menghadapi cabaran
semasa dan akan datang.
Berdasarkan beberapa faktor dan cadangan yang dinyatakan, peranan
perkhidmatan hal-ehwal Islam perlu dipertingkatkan selaras kemajuan
masyarakat dan perubahan sekeliling. Jika pegawai hal-ehwal Islam terus
alpa dalam memahami dan menggarap perubahan masyarakat dari segi
pemikiran, sikap, toleransi dan kecemerlangan ilmu, mereka tidak boleh
menyalahkan orang lain apabila masyarakat masih mempunyai tanggapan
negatif terhadap imej perkhidmatan berkenaan. Rencana ini adalah sedutan kertas kerja yang dibentangkan oleh Kolonel
Najmi Aimad dan Mejar Burhanuddin Abdul Jalal dari Jabatanarah Kor Agama
Angkatan Tentera Malaysia di Seminar Pemantapan Pegawai Perkhidmatan Hal-
ehwal Islam anjuran Jakim, baru-baru ini

No comments:

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .