Thursday, April 14, 2011

PROGRAM PEMBINAAN MENTAL DAN KEROHANIAN ISLAM DALAM ATM

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Beberapa hari lagi KAGAT akan menyambut ulangtahun penubuhannya kali ke 26. Oleh yang demikian adalah wajar dan penting sekali untuk seluruh warga KAGAT menilai kembali usaha-usaha dan gerak kerja yang telah dijalankan dalam usaha-usaha penghanyatn Islam atau lebih tepat lagi program pembinaan mental dan kerohainiamn dalam ATM.

KAGAT pada umumhya bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan dan penghayatan Islam yang lebih kukuh kepada setiap warga negara Malaysia yang beragama Islam yang masuk berkhidmat dengan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Untuk itu, KAGAT telah mengusahakan satu dasar yang dinamakan Dasar Pembinaan Mental dan Kerohanian Islam. Melalui dasar ini setiap anggota Tentera Malaysia yang beragama Islam. Dalam setahun setiap anggota diwajibkan menerima pendidikan dan program penghayatan Islam sebanyak 857 jam bagi tujuan pembinaan mental dan spritual Islam dengan bimbingan-bimbingan dan panduan-panduan tertentu yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa (PMAT 9/91).

Melalui dasar yang telah diwartakan ini, terdapat dua bentuk pembinaan yang dibentangkan dalam dasar ini sebagai tambahan kepada dasar latihan jasmani yang sedia ada, bertujuan melahirkan perajurit yang memiliki ketahanan fizikal, mental dan spiritual. Bentuk pembinaan tersebut adalah seperti berikut menguasai perkara-perkara berikut:

a. Ketahanan mental, melalui pengisian ilmu pengetahuan Islam yang mencakupi ilmu-ilmu fardu ain dan ilmu-ilmu fardu kifayah.

b. Ketahanan spritual latihan dan penghayatan amal Islam yang sahih dan tepat.

Ketahanan Mental

Dalam aspek ketahanan mental, setiap anggota Islam yang berkhidmat dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia, boleh dan mampu melaksanakan tuntutan fardu ain dan fardu kifayah dengan betul dan sempurna. Perlakuan, perbuatan atau amalan menyeleweng dari ajaran agama adalah tidak dibenarkan dalam Angkatan Tentera Malaysia, oleh itu selama seseorang anggota itu berkhidmat dengan perkhidmatan tentera mereka diwajibkan:

a. Memiliki fikiran keislaman yang matang dan mantap serta bersih dari sebarang unsur-unsur negatif yang terpelihara dari terpengaruh dengan aliran-aliran pemikiran salah yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya.

b. Menerima pendidikan-pendidikan asas keislaman yang merangkumi perkara-perkara berikut:

i. Pendidikan asas fardu ain.
ii. Pendidikan asas fardu kifayah.
iii. Pendidikan jihad.
iv. Pendidikan kekeluargaan.
v. Pendidikan akhlak.
vi. Pendidikan kepimpinan.
vii. Pendidikan al-Qur’an dan Sunnah.
viii. Pendidikan ibadah.
ix. Pendidikan tamadun Islam.
x Tasawwur Islam.

Semua pusat latihan, formasi, dan pasukan hendaklah wajib menyediakan masa tidak kurang dari 857 jam setahun untuk membolehkan anggota-anggota di bawah pemerintahan mereka mendapat pendidikan Islam seperti yang telah ditetapkan.

Ketahanan kerohanian

Dalam aspek ketahanan kerohanian semua anggota tentera Malaysia yang beragama Islam, di sepanjang perkhidmatan akan diberikan latihan dan pendidikan agar menjadi tentera yang mempunyai ciri-ciri berikut:

a. Muslim
b. Mukmin
c. Muhsin

Tuesday, April 12, 2011

MENYEDARI GERAKAN PENJAJAHAN PEMIKIRAN (AL-GHAZW AL-FIKRI)

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Umat Islam pada umumnya kurang menyedari tentang proses penjajahan pemikiran yang sedang dan telah dilakukan oleh musuh Islam sepanjang masa. Ini dapat dibuktikan dengan ramainya orang-orang Islam yang secara sedar atau tidak, mengikuti pemikiran, tingkah laku dan gaya hidup orang bukan Islam (kafir dan budaya Barat). Kealpaan orang Islam terhadap perkara ini menjadikan umat Islam (sebahagian darinya) kehilangan identiti dan harga diri sebagai seorang muslim. Bahkan terdapat sebahagian dari mereka bangga dengan tingkah laku dan amalan yang mereka lakukan, bahkan menjadi sebahagian dari kehidupan mereka.

Perkara ini perlu sentiasa disebut dan diulang-ulang bagi menyedarkan sebahagian rakan-rakan muslim kita tentang perkara ini serta sentiasa diberikan contoh , bukti tentang apa yang dikatakan al-Ghazw al-fikri atau penjajahan pemikiran ini., sehingga umat Islam mempunyai benteng yang kukuh serta kesedaran yang tinggi untuk menghayati Islam sepenuhnya.

Golongan kuffar memang terus berazam untuk menghancurkan Islam sejak dulu lagi. Mereka tidak pernah berhenti menyerang Islam sehinga umat Islam mengikut jalan dan cara hidup mereka (millah). Strategi penjajahan fikiran atau ghazw al-fikri ini memang dipilih bagi menghancurkan umat Islam iaitu dengan kaedah serangan budaya, pemikiran, dan serangan ini berterusan dan berpanjangan tanpa henti.

Selain dari itu al-ghazw al-fikri adalah bertujuan untuk merosakkan akhlak, menghancurkan pemikiran dan mengajak muslim murtad dari agamanya. Pelaku al-Ghazw al-fikr ini pada umumnya terdiri daripada orang Yahudi, Nasrani, Majusi, Musyrikin, Munafikin, Atheis dan orang kafir. Cara yang digunakan adalah dengan menyerang segenap penjuru umat Islam melalui propaganda, pendidikan, buku, majalah, media cetak, kelab-kelab hiburan, filem dan juga muzik.

Oleh yang demikian umat Islam perlu berwaspada dan sentiasa mengingati firman Allah dalam surah al-Maidah (5:51) yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka Sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim”.

Sunday, April 10, 2011

ASPIRASI PALESTIN DI ILMI

Oleh : Dr Burhanuddin Abdul Jalal

PARA penuntut Kursus kerjaya Pembantu Agama Rendah (PEMARA)Siri 20/2011 telah mengadakan projek persembahan kumpulan di Dewan Utama ILMI pada minggu lalu. Ternyata projek atau muhadhorah yang mereka tampilkan dengan tema Palestin itu, telah memberikan satu impak yang besar kepada warga ILMI seluruhnya sama ada dari segi kemampuan dan daya kreatif mereka dan juga menyuntik kesedaran tentang isu
Palestin di kalangan mereka yang hadir pada malam tersebut.

Perlu kita sedari bahawa masalah Palestin bukan semata-mata masalah warga Palestin dan Arab semata-mata, ia adalah masalah bersama umat Islam di mana juga umat Islam berada. Menurut Dr Yusuff al-Qardawiy dalam bukunya ‘al-Quds: Qadhiyyatu kulli muslim’ (2009), masalah Palestine adalah masalah bersama umat Islam adalah kerana lima faktor berkut:

Pertama: Masjid al-Aqsa atau al-Quds yang terletak di Palestin adalah kiblat pertama yang Rasulullah SAW dan para sahabatnya menghadap ke arahnya dalam solat mereka sejak diwajibkan solat pada malam israk dan mikraj pada tahun ke 10 setelah Nabi diutus sebagai Rasul.

Kedua: Palestin atau al-Quds adalah bumi atau tempat berlakunya israk dan mikraj Nabi Muhammad SAW. Umat Islam perlu menyedari bahawa Allah SWT menjadikan bumi Palestin atau al-Quds sebagai tempat berhentinya perjalanan Israk di bumi dan tempat bertolaknya mikraj nabi ke langit. Sesunggunya iradah Allah yang menentukan perjalanan nabi Muhammad SAW pada malam yang penuh barakah itu bermula dari Makkah di Masjidil Haram dan berakhir di Masjid al-Aqsa.

Ketiga: Palastine atau Baitul Muqaddis adalah tempat ketiga yang dimuliakan selepas Makkah dan Madinah. Oleh yang demikian, kota suci umat Islam ini perlu terus dipertahankan oleh umat Islam.

Keempat: Bumi yang penuh Barakah. Baitul Muqaddis ataau al-Quds adalah sebahagian dari Palestin dan di situ bumi yang penuh barakah kerana Allah telah menggambarkan tempat tersebut sebagai bumi yang penuh barakah dan telah Allah telah menyebtnya sebanyak lima kali dalam al-Quran iaitu dalam surah al-Israk ayat 1, surah al-Anbiyaa ayat 71, surah al-A’raf atau 137, surah al-Anbiyaa ayat 81 dan surah Saba ayat 18.

Kelima. Bumi tempat berjuang dan berjihad umat Islam. Bagi umat Islam , al-Quds adalah peluang untuk umat Islam berjuang dan berjihad samada dengan harta, tenaga atau apa sahaja yang termampu untuk sama-sama membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Yahudi.

Oleh yang demikian marilah kita sama-sama bertanggungjawab terhadap bumi Palestin dan merasi kesengsaraan umat dan rakyat dan saudara kita di Palestine. Untuk itu semoga kita sentiasa menghayati firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 105 yang bermaksud,

Dan Katakanlah (Wahai Muhammad), Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Friday, April 8, 2011

WASIAT ULAMA SALAF

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Kita selalu mendengar perkataan ‘wasiat’. Berdasarkan takrif dari beberapa kamus arab, wasiat dapat ditakrifkan sebagai ‘ perkara penting berhubungan dengan sesuatu hal” (Kamus munjid: 1986). Dalam konteks dakwah wasiat dapat dimaksudkan dengan ucapan berupa arahan (taujih) Kepada orang lain (mad’u) terhadap sesuatu perkara yang belum atau akan terjadi ( Quraish Shihab: 2000).

Berdasarkan kitab-kitab yang muktabar, para ulama salaf telah memberikan wasiat pada tahap yang tinggi sebagai kaedah dakwah di kalangan mereka pada waktu itu. Antara wasiat ukama salaf yang telah memberikan wasiat dan boleh kita ambil iktibar adalah seperti berikut:

Wasiat Ali bin Abi Talib. Ali bin Abi Talib pernah mewasiatkan Kepada Kumail bin Ziyad dengan katanya. “Wahai Kumail, sesungguhnya hati adalah bekas dan hati yang paling baik adalah hati yang sedar. Maka jagakan hati seperti mana yang aku wasiatkan”.

Wasiat Sufyan al-Thauri Kepada al-Khawash. “Janganlah engkau menjadi orang yang ingin ucapannya diamalkan, ucapannya disebar luaskan dan ucapannya didengarkan akan tetapi ia sendiri tidak melakukan”.

Wasiat Umar Abdul Aziz. Khirasy berkata bahawa Umar Abdul Aziz menulis surat kepada seseorang dan di dalamnya tertulis, “ Sesunguhnya aku mewasiatkan kepadamu agar engkau bertaqwa kepada Allah , mengikut sunnah Rasul dan meningalkan semua bidaah yang diciptakan para pembuat bidaah selepas nabi”.

Begitulah antara wasiat ualama soleh yang pada asasnya adalah interpretasi dari al-Quran dan as-sunnah yang perlu kita renung dan hayati bersama.

Sunday, April 3, 2011

28 PENYEBAB GAGALNYA DAKWAH

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Kegiatan dakwah merupakan tugas yang perlu dilaksanakan oleh setiap muslim. Allah telah berfirman dalam surah Saba’ ayat 28 yang bermaksud,

“ Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”.

Firman Alah swt itu telah membawa maksud bahawa tidak semua manusia yang bersedia untuk melaksanakan tugas amanah dakwah, bahkan di kalangan umat Islam sendiri terdapatya halangan dan juga cabaran tersendiri dalam usaha untuk menyampaikan dakwah di kalangan manusia muslim ataupun bukan muslim. Dalam perkara ini Dr Sayyid Muhammad Nuh dalam bukunya Aafatun ala at-tariq (1993) telah membahaskan 28 perkara yang menyebabkan gagalnya dakwah. Antara fakor tersebut ialah:

a. Futuur
b. Israaf
c. Isdti’jal
d. Uzlah atau tafarrud
e. I’jaab binnafsi
f. Ghurur
g. Takabur
h. Riya dan sum’ah
i. Ittiba’ul hawa
j. At-tathallu’ ila al-shadaarah wa thalabal-riya’.
k. Dhiiqul ak-qasrun nazhar.
l. Dhaf aw thalaasyii al-iltizam
m. Adamut tatsabbut aw attabayyun
n. At-tafrith amalil-yaumi wa allailailati.
o. Su’uzan
p. Ghibbah
q. Namimah
r. Faudhal waqti
s. Taswif
t. Tasya’um
u. At-Tanaththu’ aw al-ghuluw fiddin
v. Al-mira
w. Al-Qu’ud
x. Asy-syuh
y. Al-Ghadb
z. Al-Hiqd
aa. At-Tanafus
bb. Al-ihtiqar


Sehubungan dengan itu, penulis akan cuba menghuraikan satu persatu faktor yang menyebabkan gagalnya dakwah berdasarkan apa yang telah dihuraikan oleh Dr Sayyid Muhammad Nuh serta akan dikaitkan dengan isu-su semasa untuk renungan pembaca sekalian. Selain dari itu semoga kita terus berdakwah dan sentiasa menghayati firman Allah yang bermaksud,

“Dan (bukanlah tanggungjawabmu Wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (janganlah Engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka Patutkah Engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?” ) Surah Yunus; 99).

DAKWAH DAN PENDEKATAN LATIHAN

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Program dakwah juga adalah program latihan atau kini selalu disebut sebagai ‘training’. Latihan yang baik ialah satu proses menambahkan ideologi dan penglibatan organisasi secara progresif. Latihan juga merupakan satu sistem untuk memperoleh kemahiran yang berkaitan dan memperkenalkannya secara berterusan untuk menambah dan meningkatkan tahap kemahiran. Berdasarkan tujuan tersebut, program latihan yang baik serta progresif memerlukan bahan latihan atau modul yang lebih sofistikated.

Program latihan yang efektif mestilah mempunyai ciri-ciri perancangan yang berterusan. Keadaan latihan berterusan juga akan memastikan para pelatih tidak sahaja berdiam diri, tetapi perlu meningkatkan keupayaannya. Selain dari itu, program latihan yang dilakukan secara berterusan juga dapat memberikan peluang kepada pihak pengurus latihan membuat penilaian terhadap peserta dan juga tempat latihan.

Dalam konteks usaha-usaha dakwah, kita biasanya berhadapan dengan audience kumpulan sasaran dewasa. Oleh yang demikian sebagai pendakwah kita juga perlu memahami kaedah pembelajaran dewasa yang mungkin dapat membantu usaha-usaha dakwah yang dilakukan. Antara aspek keberkesanan bahan latihan pembelajaran dewasa ialah:

a. Menarik. Bahan pengajaran mesti menarik dan dapat merangsang sasaran dewasa terhadap bahan pengajaran yang disampaikan.
b. Berhubungkait. Memastikan maklumat yang ingin disampaikan mempunyai hubungan dengan apa yang telah mereka ketahui dan juga memastikan maklumat tersebut adalah baru kepada mereka dan benar bermakna serta dapat meningkatkan kebolehan dan kemahiran sasaran.
c. Memudahkan. Bahan yang disampaikan mudah dan tidak menyusahkankan atau berbelit-belit sehingga sukar untuk difahami.
d. Pengukuhan. Pengukuhan dalam pembelajaran boleh dilakukan dengan sedikit latihan dan berkait dengan diri dan seterusnya membuat kesimpulan dengan bentuk poin dan mengingatkan sasaran dapat meneruskan latihan-latihan secara individu dan berterusan.

Semoga dakwah yang disampaiakn dapat dfahami serta berterusan diamalkan oleh sasaran dan kita sebagai pendakwah, mudah-mudahan dapat digolongakan dari sebahagian insan yang sentiasa menyarankan amal makruf dan nahi mungkar seperti mana firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud,

" Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya".

Friday, April 1, 2011

VISI DAN MISI DAKWAH ISLAMIAH

Oleh; Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Setiap organisasi ada visi dan misi. Begitu juga dengan agenda dakwah yang turut mempunyai visi dan misi. Visi dakwah ialah untuk memastikan terlaksananya ubidiyah lillah iaitu manhaj Allah ditegakkan di muka bumi ini. Menurut Dr Abd. Hamid al-Ghazali dalam kitab Haula Asasiyat Masruk Islami li Nahdatil al-Ummah dakwah adalah proses membina peradaban, projek ketamadunan manusia. Selanjutnya, Imam Al-Bana telah menggariskan agenda utama dakwah dalam risalah Ta’lim iaitu :

1. Islahul nafs (Membaiki diri).
2. Takween Bait Muslim (Membentuk keluarga Islam).
3. Irsyadul Mujtamak (Memimpin masyarakat).
4. Tahrirul watan ( Membebaskan negara )
5. Islahul hukumah ( Membetulkan kerajaan).
6. I’adah Al-kiyan ad-dauli ( mengembalikan keupayaan negara).
7. Ustaziyatul alam ( Megetuai dunia).

Oleh yang demikian dalam memastikan visi dan misi dakwah berjaya, pelaksanaan strategi dakwah secara bersepadu, mempunyai strategi dan matlamat yang jelas amat diperlukan. Miswan Thahadi menyatakan gerakan dakawah secara massa yang melibatkan para daie ke dalam pelbagai aktiviti masyarakat dan segala bidang kehidupan politik, ekonomi, teknologi dan sosial amat penting dan ini akan dapat melakukan tranformasi masyarakat dan individu muslim menuju suasana sosio-budaya yang Islamik. Ini bermakna para daie bergerak bersama masyarakat untuk terlibat membangun pelbagai aspek kehidupan, ekonomi,budaya,sosial,pendidikan dan sebagainya.

Dari aspek strategi struktural pula ialah penyebaran para kader-kader dakwah ke dalam bidang perundangan,eksekutif,penggubalan polisi dalam kerangka membangun dan memimpin umat melalui mekanisme perlembagaan dan politik. Tujuannya ialah membangunkan sistem, membuat polisi-polisi dalam rangka pembinaan dan perubahan ummah . Kedua-dua strategi ini perlu saling mengukuh antara satu sama lain, bagi mencapai visi dan misi dakwah. Untuk menggerakkan perkara ini, ia mesti dipelopori dan dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai visi dan misi Islam.

TERIMA KASIH PAHLAWAN - PEJUANG AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Rencana berkaitan dengan KAGAT sempena 40 tahun telah disiarkan dalam DEWAN TAMADUN ISLAM , keluaran Julai 2025. Dalam tempoh 40 tahun yang ...