Friday, September 11, 2026

TERIMA KASIH PAHLAWAN - PEJUANG AGAMA, BANGSA DAN NEGARA









Rencana berkaitan dengan KAGAT sempena 40 tahun telah disiarkan dalam DEWAN TAMADUN ISLAM , keluaran Julai 2025. Dalam tempoh 40 tahun yang lepas, pada asasnya KAGAT telah memainkan peranan yang penting dalam ATM dan telah berjaya mentarbiah atau mendidik anggota-anggota Islam dalam ATM untuk menghayati Islam. KAGAT mungkin antara agensi agama yang kompeten dalam kalangan agensi agama perkhidmatan awam Malaysia, mengatur dan melaksanakan pelbagai program untuk mendidik secara dalaman anggota atau staf dalam organisasi secara terancang dan teratur.


 Namun demikian, KAGAT perlu terus memainkan peranannya serta perlu melaksana anjakan paradigma pelaksanaan dalam pengurusan dakwah yang dilakukan masa kini, kerana banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan dalam usaha meningkatkan penghayatan Islam dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia. Bagi menghadapi cabaran tersebut KAGAT perlu mengukuhkan dan memantapkan aspek pengurusan, modul dan juga pendekatan dalam berdakwah yang dilakukan oleh KAGAT pada masa kini, serta perlu dilaksanakan mengikut kesesuaian masa, golongan sasar dan tempat. Pendekatan ini termasuklah apa yang disebut oleh Franklin Covey ‘The 7 habits effective people’ (2001) yang telah menyenaraikan aspek “Seek First to Understand, then to be Understood”. Aspek tersebut merupakan prinsip penting yang perlu dihayati oleh para pendakwah dan juga organisasi dakwah seperti KAGAT. Kegagalan memperkayakan pendekatan dakwah dan cara Islam dipersembahkan, bukan sahaja menjadikan manusia itu bosan dan menjauhkan diri apabila didekati, malah pendekatan yang tidak relevan itu bakal menjadi fitnah kepada agama. Selain dari aspek pendekatan atau program ceramah agama perlu dipertingkatkan dan perlu mengenal pasti objektif dan hasil pembelajaran yang bakal diperoleh setelah tamat program dan bukan sekadar memenuhi keperluan masa dan tempat.

 


Tuesday, September 8, 2026

KEMULIAAN PARA SAHABAT NABI



PARA sahabat Nabi merupakan manusia biasa dan bukanlah maksum, tetapi kedudukan mereka amat tinggi di sisi Allah berdasarkan perjuangan, pengorbanan dan keimanan mereka kepada Allah dan rasulNya. Para sahabat nabi telah melakukan pengorbanan jiwa raga dan harta dalam usaha menegak dan meninggikan syiar Islam semasa mereka bersama Nabi dan meneruskan perjuangan mereka setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW. Walaupun kemungkinan ada kesalahan atau kesilapan yang dilakukan, namun kesemuanya itu tidak  dapat dibanding dengan banyaknya kebaikan, kebaktian atau pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka.

Perlu diperjelaskan tidak ada seorang pun yang dapat menandingi ilmu dan amal mereka ataupun setara dengan apa yang telah para sahabat Nabi lakukan. Para sahabat nabi merupakan manusia terbaik dan terpiih, namun ini tidak bermakna mereka maksum,  kerana yang maksum adalah nabi dan para malaikat sahaja. Ini berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, “ Sebaik-baik manusia adalah pada zaman generasiku, dan kemudian selepasnya, dan kemudian selepasnya” . (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Umat Islam selepas zaman sahabat dan juga generasi masa kini merupakan generasi yang memperoleh didikan dan mencontohi sifat kepahlawanan para sahabat nabi, kerana generasi sahabat merupakan generasi yang terbaik dan generasi yang paling dekat dengan Rasulullah kerana mereka mencontohi kehidupan nabi secara langsung dalam kehidupan mereka. 

____________________ sebahagian dari rencana yang telah diterbitkan dalam Dewan Tamadun Islam, September 2026 Bil 9 2026 muka surat 28 hingga 31. 



 

MENGORAK LANGKAH KE ERA DAKWAH DIGITAL

  "Kajian tentang agama dan internet sudah banyak dilakukan, termasuklah kesan penggunaan internet terhadap agama serta pola kepelbagai...