Monday, May 2, 2011

DAKWAH KONTEMPORARI MENGGUNAKAN ILMU KONTEMPORARI

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Ilmu teras yang merangkumi fardhu ain wajib dikuasai oleh setiap individu dan ilmu ini perlu diperkukuhkan dengan ilmu kontemporari yang selari dengan ajaran Islam. Penguasaan ilmu memerlukan pengorbanan serta keazaman yang tinggi dan untuk itu kerja-kerja yang tidak berfaedah perlu ditinggalkan. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Mukmimun ayat 3, telah menyebutkan bahawa antara sifat orang mukmin yang berjaya ialah golongan atau kumpulan yang meninggalkan perkara-perakra ‘lagha’ atau sia-sia. Ibn Kathir dalam tafsirnya telah menyebut bahawa ‘lagha’ itu adalah "segala perbuatan batil termasuk yang mempunyai unsur-unsur syirik, perbuatan maksiat serta semua perkara yang tidak berfaedah sama ada berbentuk perwatakan atau pun perbuatan”.

Membuang masa pada perkara yang tidak berfaedah menjadi salah satu punca kejatuhan umat Islam sebelum ini seperti yang telah disebutkan oleh As-Syeikh Hassan Ali An-Nadwi(1951), dalam bukunya ‘ Kerugian dunia kerana kemunduran umat Islam”, “ Tetapi sayang sekali, kaum muslimin tidak mensyukuri nikmat Allah SWT. Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuang waktu dan tenaga berfikir dan berfalsafah berhubung dengan perkara yang tidak bermanfaat. Jika mereka memfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan Islam dan kaum muslimin, kedudukan mereka tidak menjadi separah itu. Umat hanya berbicara tentang perkara kecil dan saling berbahas untuk falsafah semata-mata. Kesemua ini memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit. Hasil penemuan kaum muslim yang ada dari sudut kuantiti dan kualiti tidak mendatangkan apa-apa makna jika dibandingkan dengan penemuan Barat pada abad ke 17 dan ke 18 masehi (Hassan Ali An-Nadwi, 1951).

Oleh yang demikian apabila umat menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, kewajipan akan terabai dan keutamaan akan terbabas. Hasilnya ialah kejahilan dan kemunduran. Untuk itu sudah sampai masanya bagi umat Islam memfokuskan kepada ilmu-ilmu penting demi masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Saturday, April 30, 2011

BERGURU PADA BINATANG

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Beberapa hari lalu penulis berkesempatan membaca buku Baha Zain (2000) bertajuk Berguru pada binatang'. Antara lain beliau menyatakan kita boleh belajar sesuatu dari pelbagai sumber yang ada disekeliling kita termasuk haiwan. Hakikat kehidupan haiwan dengan pelbagai rupa dan resminya yang aneh sewaktu makan, berjalan, berjuang dan sebagainya boleh kita lihat dan perhatikan secara sengaja atau tidak sengaja dalam kehidupan kita seharian.

Binatang bertindak mengikut naluri dan lebih bersifat mekanikal. Ini membezakannya daripada manusia di samping perbezaan-perbezaan lain yang ketara seperti bahasa dan kebudayaan yang diamalkan oleh manusia.

Manusia boleh memanfaatkan kehidupan haiwan sepanajang hayatnya sebagai sumber makanan, alat pengangkutan, penjaga keselamatan, hibiran dan lain-lain. Perhubungan antara manusia dan haiwan atau binatang banyak tergambar dalam cerita-cerita silam, penglipur lara, satira dan peribahasa. Dunia haiwan dan dunia manusia seolah-olah serupa dan saling bergantungan. Bagi anak-anak, cerita-cerita haiwan adalah suatu realiti dalam imaginasi mereka. Selain dari itu manusia yang ingin menunjukkan kebenaran, kebaikan atau mendidik selalu menampilkan dunia haiwan sebagai perbandingan, kiasan serta contoh. Semoga kita dapat mengambil iktibar dan kebaikan dari makhluk Allah ini dan meninggalkan tabie keji binatang dan jangan jadikan amalan dalam kehidupan seharian. Fikir-fikirkanlah..

Tuesday, April 26, 2011

MENINGKATKAN PRESTASI ORGANISASI MENERUSI PENYELIDIKAN

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Semenjak kelmarin (25 Apr) penulis bersama sekumpulan penyelidik yang ditugaskan oleh organisasi untuk menyiapkan laporan penyelidikan, tugas yang telah dilaksanakan sejak Julai 2010 yang lalu.

Seperti yang sedia maklum, penyelidikan dapat digolongkan kepada pelbagai jenis ragam, sesuai dengan kriteria dan kepentingannya. Dari segi tujuan, penyelidikan terbahagi kepada eksploratif, pengembangan atau verifikatif. Dari segi pendekatan pula, penyelidikan mungkin dalam bentuk longitudinal atau cross sectional. Namun penyelidikan secara umum dibezakan kepada kualitatif dan kuantitatif.

Penyelidikan kini sudah menjadi tugas yang utama kepada ahli akademik dan juga kepada organisasi yang ingin maju dan juga yang ingin meningkatkan prestasinya supaya tidak sekadar 'suam-suam kuku'. Ilmu baharu diterokai dan ilmu yang sedia ada dikembangkan menerusi penyelidikan. Penyelidikan tidak dilakukan semata-mata untuk memperoleh maklumat atau kesan sesuatu perkara, tetapi ia sudah menjadi kerja yang perlu dilakukan. Justeru, keterampilan dalam menjalankan penyelidikan kini benar-benar diperlukan oleh ahli akademik, organisasi apatah lagi penyelidik.

Atas kesedaran inilah organissai tempat penulis berkhidmat mengambil inisatif untuk melakukan penyelidikan bagi mengukur sejauh manakah usaha-uasaha yang dilakukan selama ini berkesan dan sampai kepada khalayak dengan tepat dan memenuhi kehendak khalayak.

Dis amping itu perkampungan selama tiga hari di negeri 'baba dan nyonya' ini, telah memberi peluang kepada penulis dan rakan-rakan menyelami lebih mendalam lagi dunia penyelidikan serta memahirkan diri dengan cara yang sistematik bagi penyediaan laporan penyelidikan yang baik daripada guru-guru kami yang sentiasa membantu dan membimbing. Terima kasih kepada Dr Zainurin, Dr Johary, Dr Sheikh Ismail, Dr Kamal Basha dan juga tidak ketinggalan Dr Sahari. Terima kasih dan barakallah,

Saturday, April 23, 2011

PENGURUS PROFESIONAL DAN AMANAH

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Pada 21 April yang lalu penulis diberi peluang untuk menyampaikan ceramah kepada para penuntut program sarjana pengurusan di Institut Latihan Pegawai Kanan Tentera Darat (INSPEKA). Ceramah yang bertajuk ’Pengurusan konvensional dan pengurusan Islam: Satu perbandingan".

Pada umumnya isi ceramah tertumpu kepada fakta-fakta perbandingan kedua-dua jenis pengurusan tersebut dengan mengambil pendapat dari tokoh-tokoh penmgursan Barat dan Islam. Penulis juga menyarankan agar seseorang itu tidak terus menolak kebaikan-kebaikany ang dibawa oleh pengurusan moden atau Barat ke dalam praktis pengurusan hari ini. Para pengurus Islam boleh mengambil teknik dan pendekatan pengurusan Barat selagi prinsip dan tenik tersebut tidak bercanggah dengan Islam. Dalam hal ini bermakna pengurusan Islam tidak menolak bulat-bulat mana-mana prinsip dan teknik pengurusan konvensional yang tidak bertentangan dengan Islam.

Selain dari itu apa yang ingin penulis sampaikan kepada para peserta ialah berkaitan dengan pembinaan para pengurus yang mempunyai sifat dan ciri al-qawiul-amin , yang bermaksud al-Qawiy (kuat merujuk kepada professional) dan al-Amin (amanah). Dengan kata lain matlamat akhir atau end product yang ingin dilahirkan dari sistem pengurusan Islam ialah para pengurus yang mukmin dan professional iaitu yang menpunyai nilai-nilai yang baik (sifat mahmudah)serta mempunyai kepakaran dan ketrampilan. Kesemua ini dapat dicapai dengan banyak fikir (membaca, mengkaji, menyelidik) dan zikir( secara sedar, memahami dan mengambil iktibar secara langsung dari ayat-ayat Allah). Ini bertepatan dengan firman Allah dalam ayat 191 surah Ali Imran yang bermaksud,

“Orang-orang yang menyebut dan berzikir mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan berbaring dan mereka pula berfikir tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata)’ wahai tuhan kamni, tidaklah engkau menjadikan semuanya ini dengan sia-sia, Maha suci engkau maka peliharalah kami daripada azab neraka”.

NYATA DAN TERSELINDUNG

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Ramai orang beranggapan bahawa kualiti ibadah hanya ditentukan oleh syarat, rukun dan kekhusyukan dalam pelaksanaannya. Umpamnaya solat yang berkualiti adalah didahului dengan wuduk yang sempurna, suci pakaian, tempat ibadah dan juga sempurna segala rukun dan syaratnya. Persoalannya adakah begitu?

Dalam hal ini Saad bin Abi Waqas r.a telah bertanya Kepada Rasulullah tentang apakah rahsia agar ibadah dan doa-doanya diterima oleh Allah SWT. Rasulullah menjawab, “Perbaikilah apa yang kamu makan, wahai Saad”. (Hadis Riwayat Tabrani).

Berdasarkan hadis tersebut, apa yang hendak disampaikan oleh Rasulullah ialah bahawa kebanyakan manusia cenderung untuk memerhatikan ‘kulit luar’ tapi lupa kepada perkara-perkara yang lebih penting dan fundamental.

Setiap muslim tahu bahawa solat atau haji perlu dilakukan dengan pakaian yang suci bersih tetapi betapa ramai di antara umat Islam yang lupa dan lalai bahawa makanan yang diperoleh dari cara-cara yang salah juga akan menyebabkan segala doa, ibadah dan munajat kita kepada Allah akan tertolak. Oleh yang demikian marilah kita fikir-fikirkan.

Wednesday, April 20, 2011

PESANAN UNTUK PENDAKWAH




Keratan akhbar di atas adalah rencana penulis yang telah tersiar di Utusan Malaysia pada 19 April 2011. Semoga mendapat pandangan dari para pembaca dan pengunjung blog ini. Terima kasih
_________________________________________

Pesanan kepada pendakwah

Oleh BURHANUDDIN ABDUL JALAL

BERDAKWAH bukanlah sekadar 'laluan mudah' atau 'gaya bebas'. Usaha dakwah penuh dengan kesulitan, kepayahan, pengorbanan dan perjalanan yang jauh. Ia juga bukan jalan pintas dan jalan mudah untuk mendapatkan hasil dalam jangka pendek.
Sebagai aktivis dakwah, segala persiapan diri perlu dipenuhi bagi menghadapi pelbagai cabaran.
Allah SWT mengingatkan kita sebagai aktivis dakwah melalui firmannya yang bermaksud: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. (al-Ankabut: 2-3.
Sehubungan itu, menurut al-Bahi al-Khuli dalam bukunya Tazkirat duat (1984) menggariskan beberapa peringatan kepada pendakwah sebagai persiapan berdakwah di samping akan menjadi tumpuan masyarakat atau menjadi tempat rujukan.
Antara peringatan itu menyebut tentang beberapa perkara negatif yang perlu dihindarkan oleh para pendakwah iaitu:
l Mengutamakan masalah peribadi melebihi tugas, kerja atau kepentingan organisasi atau hanya melakukan kerja-kerja yang boleh memberi keuntungan peribadi.
l Hilangnya sifat tolong menolong.
l Tidak sanggup berkorban.Selain itu, al-Bahi al-Khuli juga telah memberi pesanan kepada para pendakwah agar menjaga dan memerhatikan diri masing-masing berkaitan aktiviti-aktiviti berikut:
l Masalah pergaulan. Perkara ini perlu dititik beratkan di kalangan para pendakwah atau orang yang terlibat dalam organisasi agama kerana mereka sering menjadi perhatian masyarakat.
l Ananiah. Ananiah dalam konteks ini bermaksud, keinginan seseorang pendakwah menunjuk-nunjuk diri rajin bekerja apabila di hadapan masyarakat bertujuan mengejar gelaran semata-mata. Apabila mendapat status yang baik, seterusnya berusaha mengekalkan kedudukan tersebut dengan menolak setiap individu yang cuba menandingi dan menghancurkan setiap individu yang boleh mengancam dan merebut tempatnya.
Ia berpunca daripada sifat kasihkan dunia dan sekali gus melahirkan sifat hasad dan dengki.
l Mengikut hawa nafsu. Ini bermaksud mementingkan dunia dan tertarik hanya dengan pendapat sendiri. Sifat-sifat ini perlu dihapuskan dalam diri pendakwah atau individu yang berada dalam organisasi Islam.
l Sahsiah yang lemah. Para pendakwah perlu menyedari bahawa mereka adalah da'ie yang menyeru masyarakat kembali kepada Islam.
Oleh yang demikian sebelum melibatkan diri ke arena perjuangan, maka mereka perlulah memperbaiki diri sendiri sebelum memperbaiki diri orang lain.
Akibat kelemahan sahsiah ini, akan timbulnya sikap dan sifat pendakwah yang mempunyai ciri-ciri berikut:
l Tidak beramal dengan apa yang diperkatakan.
l Tidak mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
l Kurangnya kesedaran dan malas serta cuai dalam melaksanakan kewajipan yang dituntut.
l Tidak mampu menjadi qudwah hasanah. Para pendakwah perlu menjadi qudwah dan uswah kepada golongan sasaran (mad'u) kerana ia amat mempengaruhi mereka.
Tanpa teladan yang baik akan menyebabkan mad'u menjauhi dakwah yang dibawanya dan adakalanya boleh memberi fitnah kepada organisasi dakwah yang diwakilinya,
Bagi mengatasi gejala negatif ini, para pendakwah perlulah sedar betapa buruknya sifat ini kepada seorang daie. Ini kerana, di antara syarat awal kejayaan seorang daie itu adalah sifatnya yang suka memberi khidmat dan menolong orang lain serta bekerja untuk menyempurnakan keperluan mereka dengan mengenepikan kepentingan diri sendiri.
Islam telah menekankan sifat tolong menolong serta menjauhi sifat-sifat negatif yang telah dinyatakan. Jika kita tinjau dan menyorot sirah Nabi SAW dan juga kisah para sahabat, banyak kisah yang menggambarkan bagaimana beratnya pengorbanan mereka sebagai para pendakwah generasi awal lakukan sama ada dalam bentuk tenaga, harta benda, waktu dan juga jiwa raga.
Para pendakwah mesti menyedari bahawa mengenepikan diri sendiri, sanggup berkorban harta benda, tenaga, waktu dan jiwa adalah merupakan pendahuluan yang membantu kepada kejayaan kerja-kerja amal Islami.
Selanjutnya, al-Bahi al-Khuli menyarankan beberapa perkara bagi mengatasi masalah yang negatif sekiranya berlaku di kalangan para pendakwah. Antaranya:
l Mengadakan program ziarah yang berterusan oleh kumpulan pendakwah kepada pendakwah yang bermasalah.
l Menggalakkan pendakwah untuk membiasakan diri bagi menghadiri program-program dan tempat-tempat umum.
l Perlunya nasihat yang berterusan dan tunjuk ajar dengan cara yang sewajarnya.
Perlu kita sedari bahawa kesemua perkara-perkara negatif yang menyerang golongan daie ini juga adalah berpunca dan berhubung kait dengan permasalahan hati.
Oleh yang demikian, cara untuk mengatasinya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Hujjatul Islam al-Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin, dalam bab merawat penyakit hati. Mengikut Imam al-Ghazali penyakit hati boleh diatasi dengan tiga perkara berikut:
Pertama: Hendaklah seseorang itu duduk dan belajar dengan seseorang guru yang bijaksana, mempunyai keistimewaan dan kepandaian tentang penyakit jiwa, yang mampu mengubati penyakit hati, kemudian ikutilah nasihatnya serta selanjutnya melakukan perubahan dan kebaikan dengan kesungguhan hati, azam yang kuat dan keikhlasan.
Kedua: Seseorang itu perlu mencari seorang sahabat yang boleh dipercayai, yang suka membetulkan kesalahan. Selain itu, kawan tersebut perlunya yang pandai memeriksa dan kuat pula agamanya.
Ketiga: Seseorang itu perlu mengambil manfaat tentang wujudnya keaiban di jiwanya daripada mulut musuh-musuhnya, kerana pandangan orang yang membenci itu dapat melihat keburukan yang tidak mungkin dapat diketahui oleh orang-orang yang menyayangi.

Sunday, April 17, 2011

MENGURUS AMANAH UMAT

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Isu kepimpinan selalu diperdebat dan dibincangkan di mana-mana. Namun sebagai warga negara dan juga sekaligus sebagai umat Islam, kita berkewajipan mendukung dan menyokong setiap langkah kepimpinan yang ingin memajukan agama, bangsa dan negara mengikut landasan yang betul dan berteraskan Islam.

Dari sudut agama, masyarakat dinamakan sebagai umat dan pemimpin adalah imam. Kedua-dua perkataan tersebut, “imam dan makmum” diambil dari kata akar yang sama dengan erti ‘ sesuatu yang dituju”. Nabi Muhammad pernah bersabda yang bermaksud, “ Tidak diangkat seorang imam di dalam atau di luar salat kecuali untuk diikuti”.

Oleh yang demikian, menjadi kewajipan setiap umat atau masyarakat untuk mengikuti atau mentaati pemimpinnya walaupun ‘ imam itu seorang bekas hamba yang berkulit hitam”. Namun demikian sebagai imam atau pemimpin yang telah dilantik atau terlantik, ia berkewajipan untuk membela seluruh umat dan masyarakat tanpa gagal. Ini seperti yang pernah diucapkan oleh Saidina Abu Bakar ketika dilantik menjadi khlaifah dengan katanya, “ Yang lemah di antara kamu, kuat di mata saya, hingga saya menyerahkan kembali hak kepadanya; dan yang kuat di antara kamu , lemah di mata saya, sehingga saya mengambil kembali hak orang lain yang ada padanya”.

Oleh yang demikian para pemimpin, ketua atau imam perlu sentiasa menghayati firman Allah dalam sarah An-Nisa’ 4: 58 yang bermaksud,

“ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat”.

TERIMA KASIH PAHLAWAN - PEJUANG AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Rencana berkaitan dengan KAGAT sempena 40 tahun telah disiarkan dalam DEWAN TAMADUN ISLAM , keluaran Julai 2025. Dalam tempoh 40 tahun yang ...