Thursday, February 21, 2019

Model wakaf pertahanan relevan di Malaysia


Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya ‘, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu’, telah mendefinisikan wakaf,  ialah menahan harta yang kekal zatnya yang boleh digunakan manfaatnya untuk tujuan kebajikan sebagai usaha taqarrub kepada Allah SWT, harta yang diwakafkan diserahkan kepada pihak tertentu dan mereka tidak boleh menggunakan harta wakaf tersebut secara sewenang-wenangnya. Menurut istilah yang digunakan dalam perundangan Islam pula, wakaf difahami sebagai suatu bentuk dedikasi harta, sama ada secara terang (sarih) atau sindiran (kinayah) di mana harta (substance) berkenaan ditahan dan hanya manfaatnya sahaja yang diaplikasikan kepada tujuan-tujuan kebajikan sama ada berbentuk umum mahupun khusus. Sebenarnya amalan wakaf merupakan sistem yang telah lama wujud dalam kehidupan manusia sebelum Islam datang, walaupun tidak dinamakan dengan wakaf. Ianya terbukti dengan terdapat pembinaan dan pembiayaan tempat-tempat peribadatan dilakukan sesuai dengan konsep wakaf.

Selain dari itu, wakaf merupakan instrumen kewangan yang berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan sesebuah negara, malah terlibat dalam pembinaan tamadun suatu ketika dahulu. Hal ini kerana fungsi dan peranan wakaf atau juga disebut sebagai sektor ketiga ini adalah sangat besar. Sebagai buktinya adalah perkembangan negara dan peningkatan taraf hidup di negara Turki yang dibantu oleh mekanisme wakaf. Antara hasil daripada aktiviti wakaf adalah pembinaan institusi keagamaan dan pendidikan, kemudahan awam, pertanian, perladangan dan banyak lagi. Perkembangan wakaf ini dapat dilihat hampir ke seluruh dunia apabila negara Eropah juga menjadikan wakaf sebagai instrumen dalam pembinaan institusi pendidikan. Contohnya, pembinaan Universiti Harvard dan Universiti Cambridge. Perkembangan aktiviti wakaf dilihat berkembang ke rantau Asia termasuklah Malaysia.

            Dalam hal ini Institusi wakaf perlu terus berkembang mengikut arus pemodenan, iaitu konsep wakaf dilaksanakan mengikut keperluan dan keadaan semasa. Ia perlu dikembangkan dengan cara yang terbaik dan waspada demi memaksimumkan manfaatnya kepada umat Islam khususnya dan manusia seluruhnya. Pada hari ini wakaf seharusnya tidak harus disempitkan lagi malah ianya terus dikembangkan dengan lebih meluas mengikut keperluan semasa. Masyarakat Malaysia masa kini masih lagi dibayangi oleh pemahaman bahawa wakaf adalah berorientasikan tanah terbiar atau pembinaan masjid dan surau. Namun sedikit sebanyak dengan wujudnya saham tunai dan saham wakaf telah memberikan pendedahan tentang konsep sebenar wakaf itu iaitu ianya tidak hanya tertumpu kepada pembinaan rumah-rumah Allah sahaja.-BERITA HARIAN 19 FEB 2019 Muka surat 10

Wednesday, February 13, 2019

Didik jiwa benci gejala rasuah


Dari perspektif agama, rasuah bermaksud suatu tindakan curang bagi mendapatkan wang ataupun keuntungan dengan cara atau kaedah melangkau atau membelakangkan peraturan atau undang-undang negara.Tindakan atau perlakuan ini merangkumi memberi atau menerima suapan (bribery), mencuri (theft),  menggelapkan (embezzlement), melakukan pemalsuan, pemerasan atau ugutan (extortion), dan menyalah gunakan pangkat atau jawatan awam ketika berkuasa (graft). Semua perbuatan ini dari aspek agama hukumnya adalah haram.  Islam amat melarang amalan atau perbuatan rasuah dalam apa juga bentuk merangkumi menipu (ghissi), mencuri (sariqah), menggelapkan (ghulul) suapan (rasywah) atau meminta suapan (irtisya’). 

Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 161 yang bermaksud, “Siapa bertindak curang iaitu melakukan rasuah nescaya datang dengan kecurangannya itu pada hari kiamat kelak”. Imam al-Razi dalam kitab tafsir al-Kabir menjelaskan curang bermaksud mengambil hak negara secara diam-diam atau tersembunyi. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda yang bermaksud, “Wahai manusia, siapa pun yang menjalankan tugas untuk kami, lalu dia menyembunyikan dari kami barang sekecil jarum atau lebih, maka apa yang disembunyikannya itu adalah kecurangan [iaitu rasuah] yang kelak dibawanya pada hari kiamat”. (Hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad). Bahkan dalam hadis yang lain Nabi Muhammad SAW menegaskan, “Seutas tali sekalipun akan menjadi api neraka atau dua utas tali akan menjadi api neraka [seandainya tidak dikembalikan]”. (Hadis Riwayat Imām al-Bukhārī) serta hadis nabi yang bermaksud, “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan ke neraka” (Hadis Riwayat Imām al-Bukhārī dan Muslim). BERITA HARIAN - 9 FEB 2019

Thursday, February 7, 2019

HIJRAH: Daripada Krisis Kepimpinan Islam


Rencana yang telah disiarkan dalam Dewan Masyarakat- Januari 2019 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) antara lain mengupas tentang isu semasa kepimpinan umat Islam di Malaysia selepas PRU ke 14 pada 9 Mei yang lalu. 

Apakah sebenarnya yang menjadi punca umat Islam hilang arah kepimpinan. Dapatkan Majalah Dewan Masyarakat keluaran Januari 2019. Selamat membaca - Burhanuddin Jalal

Thursday, January 17, 2019

Dai muda mahir IT mampu perluaskan gerakan dakwah



PERADABAN Islam telah melalui proses yang amat panjang dan ternyata peradaban Islam telah banyak menyumbang kepada kemajuan manusia dan dunia seluruhnya. Ketika Eropah masih berada dalam abad kegelapan atau disebut sebagai dark ages khususnya dalam abad ke lima hingga abad ke 15, Islam telah maju dan mempunyai peradaban pada abad ke 7 Masihi khususnya di negara-negara Afrika Utara dan Timur Tengah.

Ternyata pengaruh Islam begitu menonjol secara global dalam pelbagai bidang kehidupan termasuk penyebaran ilmu pengetahuan, sehingga agama dan tamadun Islam diterima di seluruh pelosok dunia.
Selain dari itu wacana serta peradaban Islam terus disemarakkan melalui usaha-usaha dakwah Islamiah yang dilakukan oleh umat Islam melalui pendekatan perdamaian serta menerusi pelbagai instrumen yang lain berdasarkan kesesuaian masa, tempat dan zaman.  Sejarah juga telah mencatatkan perkembangan Islam di seluruh dunia telah dilakukan secara universal atau sejagat dengan menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan, perbezaan pendapat, penuh toleransi, kerukunan pelbagai budaya serta agama, tiada diskriminasi serta kekerasan dalam menyebarkan nilai-nilai universal Islam.
Sesungguhnya sejak 15 abad yang lalu nilai tersebut terus berkembang dan perlu terus disuburkan dalam kalangan umat Islam serta dilaksanakan dalam pelbagai kehidupan manusia. Kini kita sedang memasuki era Revolusi Industri 4.0, dan nilai-nilau murni Islam seperti yang telah dinyatakan perlu terus disebar luaskan dengan penuh integriti serta keikhlasan.
Peradaban kemanusiaan yang dibina melalui wacana Islam perlu terus disemarakkan melalui cahaya atau nur Islam yang membimbing kehidupan manusia ke arah yang diredai Allah. Cahaya atau sinar Islam juga perlu terus bersinar melalui ilmu pengetahuan yang membimbing manusia dan dengan adanya ilmu manusia terus mampu untuk membina tamadun serta peradaban baru.
Pelbagai cabaran yang dihadapi untuk terus menyebar dakwah serta syiar Islam dalam era Revolusi Industri 4.0 perlu disambut oleh umat Islam, khususnya generasi muda. Perkara ini penting kerana generasi muda pada hari ini mempunyai literasi teknologi maklumat yang tinggi, berkemahiran serta mempunyai minat yang tinggi serta mendalam. Selain dari itu revolusi industri 4.0 ini menggunakan konsep penggabungan teknologi digital dan internet serta kaedah konvensional yang bertujuan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan juga kepuasan pelanggan yang maksimum. ____________________________________________
Sebahagian dari rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian pada 12 Januari 2019.

TERIMA KASIH PAHLAWAN - PEJUANG AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Rencana berkaitan dengan KAGAT sempena 40 tahun telah disiarkan dalam DEWAN TAMADUN ISLAM , keluaran Julai 2025. Dalam tempoh 40 tahun yang ...