Tuesday, July 27, 2010

TANGGUNGJAWAB AGAMA ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

Al-Quran juga menyamakan lelaki dan perempuan dalam hal menerima tanggungjawab agama dan aspek sosial kemasyarakatan yang asas. Firman Allah dalam surah al-Taubah ( 9:71) yang bermaksud,

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah maha kuasa, lagi maha bijaksana”.

Dalam ayat yang lain pula Allah (s.w,t.), memberikan gambaran kesetaraan lelaki dan perempuan dalam nilai amal sehala yang mereka lakukan dan balasan yang dijanjikan. Firman Allah dalam surah al-Nahl ( 16: 97) yang bermaksud,

“sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka Sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan”.


Selanjutnya, Allah (s.w.t.) menegaskan dalam ayat yang lain kesamaan nilai amalan di antara lelaki dan perempuan. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ (4:124) yang bermaksud,

“ Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun”.

Oleh yang demikian, ternyata terdapat kesamaan atau kesetaraan antara lelaki dan perempuan dari aspek tanggungjawab dan juga peluang serta potensi untuk membuat kebajikan dan kebajikan dam kehidupan ini.

Selain dari itu, menurut M. Quraish Shihab (2006), kekuatan akidah merupakan iman dan ia adalah keyakinan. Mereka yang mantap imannya adalah mereka yang membuktikan pengakuan iman dengan perbuatan sehingga apabila disebut nama Allah gentar hati mereka kerana sedar tentang kekuasaan Allah, dan antara wanita yang telah digambarkan mempunyai kekuatan akidah dan imannya kepada Allah ialah Ummu al-Darda’ yang pernah menggambar ke getaran hatinya ketika mengingati Allah dengan katanya, “ke getaran hati, serupa dengan terbakarnya jerami, tidakkah anda mendengar suara getaran? Orang yang ditanya, menjawab: Ya, ketika engkau mendapat perkara itu dalam hatimu, maka berdoalah kepada Allah (dan Alah akan menggantikannya dengan ketenangan”.

Monday, July 12, 2010

AKIDAH ASAS PENDIDIKAN ISLAM

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Sesungguhnya mengenal Allah, mentauhidkan Allah, meyakini diri kepada Allah, tidak dapat tidak, menjadi asas kepada pendidikan Islam yang perlu diberikan kepada golongan sasar dakwah. Meninggalkan dasar ini bererti melakukan kesalahan dan kelalaian yang amat besar bahkan merupakan satu pengkhianatan terhadap golongan yang didakwahi. Allah s.w.t. telah menjelaskan tentang pendidikan tauhid ini melalui kisah wasiat Luqman yang mengajar tauhid kepada anaknya. Firman Allah dalam Surah al-Luqman (31: 13-14) yang bermaksud,

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayangan-ku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar, dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa-mu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.

Dari ayat di atas dapat dijelaskan didikan tauhid amat penting sehingga tertanam di sanubari setiap individu Muslim bahawa Allah adalah tempat bergantung. Ajaran tauhid juga dapat membentuk keperibadian supaya tabah, sabar, berani mengharungi cabaran hidup, berani mengorbankan jiwa bagi menegakkan kebenaran dan ajaran Ilahi. Melalui pendidikan tauhid juga akan terbentuk sifat ikhlas, kejujuran, keberanian dan tanggungjawab untuk melaksanakan tugas yang diyakini kebenarannya. Keyakinan dan keesaan Allah akan menempa peribadi yang tabah dan sabar dalam melaksanakan tugas kemanusiaan sebagai hamba Allah (al-Attas, Syed Muhammad Naquib (1992).

Wednesday, July 7, 2010

AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB MANUSIA

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Manusia mempunyai tugas besar dalam hidup yang tertumpu kepada mengagungkan Allah dan beribadat kepadanya. Ini seperti yang telah dijelaskan oleh Allah dalam Surah al-Dhariyat (51:50). Maksudnya:

(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutus Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata”

Ibadat dalam perspektif Islam bukan tertakluk kepada ‘prescribe ritual atau ibadat khusus seperti mendekatkan diri pada Allah dengan melaksanakan syiar-syiarnya, berzikir serta bersyukur sahaja (al-Qaradawi 1980:20), malah mencakupi segala perbuatan yang baik yang dilakukan secara ikhlas dan mengikut syariat Islam. (Mohd Kamal 1988). Dalam kitabnya yang lain, al-Qaradawi (2000:104), mengemukakan pandangan seperti yang telah diberikan oleh Ibn Taymiyyah (1983: 6-7) mengenai keluasan skop ibadah seperti berikut,

“...‘ibadah’ adalah kata yang menyeluruh, meliputi apa sahaja yang dicintai dan diredai Allah, menyangkut seluruh ucapan dan perbuatan yang tidak nampak ataupun yang nampak seperti solat, zakat, puasa, haji, berkata benar, menunaikan amanah, berbuat baik kepada ibu bapa, bersilaturahim, menunaikan janji, menyuruh berbuat baik, melarang dari perbuatan mungkar, berperang melawan kekufuran dan kemunafikan, berlemah lembut terhadap tetangga dan anak yatim, menyantuni orang miskin, ibnu sabil, hamba sahaya dan binatang serta berdoa, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya”.

Wednesday, June 30, 2010

TERLAJAK KATA BURUK PADAHNYA!

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Pada umumnya lidah atau percakapan merupakan gambaran hati dan juga peribadi seseorang itu. Dalam kehidupan harian terdapat individu yang gagal dalam penjagaan lidah ke tahap yang sewajarnya bagi seorang Muslim. Antara kegagalan menjaga lidah merangkumi aspek berikut:
a. Percakapan yang tidak bermanfaat. Bercakap sesuatu yang tidak bermanfaat dan tidak diperlukan meskipun tidak berdosa (mubah) akan mengakibatkan beratnya hisab di hari kiamat kelak. Ini adalah kerana menyibukkan diri dengan percakapan seperti itu bererti mensia-siakan masa, dan telah menggantikan ucapan-ucapan yang baik dengan ucapan yang tidak baik. Melibatkan diri dalam percakapan yang batil .
b. Bercakap atau berbual tentang perkara yang berhubung dengan kemaksiatan, seperti menceritakan kisah perempuan, kesenangan orang fasiq dan lain sebagainya.
c. Sering berbantahan dan perdebatan dalam perkara-perkara yang melihat kerja dan juga yang berhubung dengan kehidupan harian.
d. Memaksa orang lain atau orang bawahan membuat-buat kefasiqan dan melakukan sesuatu di luar batas kewajaran. Perkara-perkara ini termasuk perkataan yang tercela karena menyebabkan berlanjutan perbincangan, dan boleh menimbulkan salah faham.
e. Bercakap keji, buruk dan cacian. Perkara ini amat tercela dan dilarang karena menjadi sumber keburukan dan kehinaan.
f. Sumpah seranah sesama rakan dan sering menjadi bahan gurauan.
g. Suka kepada nyanyian dan hiburan. Nyanyian atau syair yang baik atau yang tidak mengandung kata-kata yang dibenci adalah baik, tetapi nyanyian atau perkataannya buruk perlu ditinggalkan.
h. Senda gurau yang berlebihan. Senda gurau pada asasnya dibolehkan tetapi yang dibenarkan ialah ianya tidak menyakiti, tidak berbohong dan tidak berlebihan, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi.
i. Ejekan dan cemuhan. Perbuatan mengejek atau mencemuh orang lain juga sering berlaku dalam kelompok masyarakat. Dalam perkara ini Allah berfirman (Surah al-Hujurat 49 : 11) yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasiq, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim”.
j. Menyebarkan rahsia. Perbuatan ini juga sering dilakukan dalam kalangan mayarakat, khususnya rahsia yang berkaitan dengan peribadi seseorang dengan tujuan untuk menjatuhkan diri atau reputasi orang lain atas kepentingan tertentu khusus dalam mengejar kedudukan dan jawatan.
k. Janji palsu dan berdusta. Perkara ini juga sering berlaku dalam kehidupan. Janji dan pembohongan dalam perkara-perkara tertentu banyak berlaku.
l. Mengumpat (Ghibah). Mengumpat atau ghibah adalah menyebut hal saudaranya dengan perkara yang tidak disukainya seandainya ia mendengarnya (baik penyebutannya dengan lisan, tertulis, isyarat atau dengan cara “memburukkan” seseorang untuk merendahkan saudaranya). Antara faktor atau penyebab ghibah antara lain ialah melepaskan kemarahan, bertolak ansur dengan kawan, membanggakan diri, dengki, bersenda gurau, ingin melepaskan diri dari perbuatan yang dituduh kepada dirinya, merendahkan teman, atau memburukkan orang lain.


Dari perspektif ajaran Islam, percakapan yang baik adalah percakapan atau perbualan yang membawa kepada mengingat Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Oleh itu, umat Islam perlu memelihara lidahnya dari melakukan perkara yang dilarang oleh ajaran Islam. Jalan selamat dalam memelihara lidah adalah membanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan mempelajari ilmu. Dengan itu, lidah akan mengangkat seseorang itu menjadi mulia dan membawa kejayaan kepada tuannya apabila digunakan pada jalan yang betul dan benar.

Monday, June 28, 2010

HENTIKAN SANJUNGAN ATAU PUJIAN BERLEBIHAN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam kehidupan masyarakat pada hari ini, terdapat satu sindrom atau 'gejala' pujian berlebihan yang diberikan kepada seseorang, kumpulan, kelompok, organisasi atau sesiapa sahaja yang mungkin boleh ditakrifkan' apa saja yang sama waktu dengannya". Apakah kesan sanjungan atau pujian yang berlebihan. Sanjungan atau pujian berlebihan mungkin akan mengakibatkan oleh enam kesan negatif; empat daripadanya terhadap orang yang menyanjung, dan dua lagi kepada orang yang disanjung. Penyakit atau kesan negatif terhadap orang yang menyanjung adalah :
• Berlebih-lebihan sehingga sampai kebohongan.
• Kemungkinan menutupi kesilapan dan kesalahan
• Kadang-kadang mengatakan hal yang tidak sebenarnya.
• Bila mendapat sanjungan tersebut membuat senang orang yang disanjung sedangkan ia orang zalim atau fasiq.
Penyakit atau kesan negatif terhadap orang yang disanjung adalah:
• Kesombongan dan ujub.
• Menyenangi sanjungan dan berpuas atau berasa hairan terhadap dirinya sendiri (ujub).

Saturday, June 26, 2010

KITA ORANG BAIK?

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Al-Quran menggambarkan bahawa salah satu ciri penting orang yang dekat dengan Allah ialah orang yang mesra dengan orang lain dan orang yang tidak mesra dan tidak berbuat baik dengan orang lain adalah orang yang jahil. Firman Allah (s.w.t.) dalam Surah al-Furqan (25: 63) yang bermaksud, “Dan hamba-hamba (Allah) al-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi Dengan sopan santun, dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini”.

Ayat ini memberikan contoh berkaitan dengan orang yang dekat dengan Allah. Antara cirinya ialah ramah-tamah sehingga bertutur sapa dengan semua orang termasuk orang yang jahil. Dalam ayat tersebut terdapat perkataan’salama’ dan imam Qurtubi mentafsirkan ‘salama’ itu bermaksud, “para wali berkata kepada orang jahil dengan ungkapan yang ramah dan lembut”. Bagi Ibn Kathir pula makna salama itu bermaksud, “apabila mereka disumpahi orang bodoh dengan kata-kata yang buruk, mereka tidak membalasnya, bahkan memaafkannya dan berkata dengan baik kepada mereka”.Perkara ini disebabkan al-mahabbah (rasa cinta yang mendalam dalam dirinya sehingga tidak ada lagi tempat dalam hati untuk membenci atau memusuhi orang lain.

Friday, June 18, 2010

RELAKS DENGAN SOLAT DAN BERZIKIR

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Pada asasnya Istirehat atau relaks melalui pendekatan agama dapat dilakukan dengan cara berfikir, bertafakur kepada Yang Maha Esa. Islam menyarankan individu yang mengalami stres supaya berwuduk, membaca al-Quran, berzikir dan juga menunaikan solat sama ada solat fardu atau sunat. Ternyata berdasarkan kajian-kajian yang telah dilakukan solat dapat memberikan kesan yang positif kepada seseorang yang pada mulanya mengalami stres. Ketika solat, kita mengerahkan seluruh kekuatan fizikal, pemikiran dan perasaan kepada Allah serta mengetepikan segala urusan. Dengan cara ini, secara automatik kita melakukan solat dengan jiwa yang tenang dan fikiran yang lapang.

Kesan dari solat tersebut dapat memberikan kesan rawatan yang penting kepada saraf dalam mengatasi tekanan hidup dan dapat mengurangkan kegelisahan. Kajian yang dilakukan oleh Arif Wibisono Adi menyebut bahawa terdapat hubungan korelasi negatif yang signifikan antara keteraturan melakukan solat dengan kecemasan. Makin teratur seseorang melakukan solat, semakin rendah tahap cemas dalam diri. Alexis Carrel, seorang doktor bangsa Perancis pernah meneliti aktiviti solat dan antara lain beliau berpendapat bahawa solat merupakan aktiviti ilmiah yang dapat menyembuhkan para pesakit di tempat ibadah hai dan di tempat-tempat ibadah secara berkesan (Najati 2005). Sementara Dr. Thomas H, menyatakan, “elemen hidup terpenting yang saya ketahui selama bertahun-tahun melalui pengalaman dan berbagai-bagai eksperimen adalah solat. Saya ingin menyampaikan pengalaman saya sebagi doktor, sampai sekarang, solat merupakan cara yang paling penting yang saya ketahui, untuk memberikan ketenteraman dan jiwa dan ketegangan dalam saraf”.

TERIMA KASIH PAHLAWAN - PEJUANG AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Rencana berkaitan dengan KAGAT sempena 40 tahun telah disiarkan dalam DEWAN TAMADUN ISLAM , keluaran Julai 2025. Dalam tempoh 40 tahun yang ...