Monday, October 26, 2026

MENGORAK LANGKAH KE ERA DAKWAH DIGITAL


 


"Kajian tentang agama dan internet sudah banyak dilakukan, termasuklah kesan penggunaan internet terhadap agama serta pola kepelbagaian amalan beragama dalam masyarakat. Satu kajian yang dilakukan oleh Armfield dan Holbert (2003), menyatakan terdapatnya kaitan antara agama dengan pemodenan khususnya pengaruh internet dalam amalan dan kepercayaan dalam beragama, dan beliau menyatakan, “the more religious an individual is, the less likely he or she will use internet) (semakin tinggi tahap beragama seseorang, maka akan cenderung untuk tidak menggunakan internet).

     Hilangnya kepercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa agama secara tradisional dan lemahnya kesedaran secara kolektif terhadap amalan beragama berpunca dari salah faham mereka terhadap peranan internet (Barker, 2005). Namun pandangan ini disangkal oleh Bunt (2003), yang menyatakan keyakinan serta penghayatan beragama seseorang itu tidak menghalang dirinya untuk menggunakan internet sebagai media komunikasi yang baru. Penghayatan beragama yang dimaksudkan oleh Bunt itu merujuk agama Islam penggunaan internet di negara-negara Islam telah menunjukkan angka yang memberangsangkan Beberapa kajian lain yang telah dilakukan oleh Campbell (2015), yang menyatakan masyarakat masa kini memandang agama, tidak sama seperti masyarakat dulu, kerana pada masa kini telah berlakunya transformasi dalam pemahaman dalam pengamalan beragama disebabkan pengaruh teknologi khususnya internet. Dalam ajaran agama secara tradisional, ritual atau amalan beragama merupakan sesuatu yang amat ketat fahamannya dan amat sukar untuk dipersoalkan, di bantah atau dilaksanakan di luar kebiasaan. Agama kadangkala dianggap bersifat peribadi dan tidak mudah untuk dipersoalkan secara umum.

            Namun demikian, keadaan tersebut telah berubah masa kini dan semua pihak boleh mendapatkan maklumat atau informasi berkaitan agama dengan lebih mudah dan terbuka serta tidak perlu lagi untuk hadir ke masjid atau pusat ibadah secara fizikal serta boleh mempelajari ilmu agama melalui atas talian. Melalui kaedah internet juga sesiapa sahaja boleh menyebarkan agama dan pada masa kini melalui media secara atas talian terdapat sebahagian amalan agama yang boleh dilaksanakan secara langsung dan bersama atas talian (Siti Suriani Othman, 2017)".

 ----------------------

Rencana ini telah diterbitkan dalam Majalah Dakwah terbitan YADIM Bil 63 / 2025


WASPADA TERHADAP SERANGAN PEMIKIRAN


Rencana ' Waspada terhadap serangan pemikiran ' telah disiarkan dalam Majalah Dakwah terbitan YADIM Bilangan 63. Sebahagian dari rencana saya catatkan di bawah dan untuk rencana penuh, bolehj rujuk dalam majalah tersebut: 
 

Serangan pemikiran atau Ghazwul Fikri telah sekian lama melanda dunia Islam. Ianya terdiri  dari dua patah perkataan iaitu al-Ghazw dan al-Fikr. Al-Ghazw bermakna perang atau serangan manakala al-Fikr pula bermakna pemikiran (minda). Dari aspek definisi secara umum, ianya adalah satu gagasan usaha yang dilakukan oleh satu pihak atau bangsa untuk menjajah pihak atau bangsa yang lain dengan mempengaruhi mindanya sehingga mereka menghala ke arah yang sama. Strategi al-Ghazwul fikri yang dilakukan oleh pihak musuh Islam ini dalam mengawal minda umat Islam pada umumnya  boleh dikategorikan kepada empat aspek:

Pertama: – Tasykik, iaitu gerakan yang berupaya menciptakan keraguan dan kedangkalan (superficiality) akidah umat Islam terhadap ajaran agamanya. Misalnya, tindakan segelintir manusia yang menyerang (memperlecehkan) Al-Qur’an dan Hadis, menghina Nabi Muhammad S.A.W atau berkempen bahawa hukum Islam tidak sesuai dengan tuntutan cara hidup zaman sekarang.


Kedua: – Tasywih, iaitu gerakan yang berupaya menghilangkan kebanggaan umat Islam terhadap ajaran agamanya. Anologinya dengan memberikan gambaran Islam secara buruk sehingga timbul rasa rendah diri (inferiority) dalam kalangan umat Islam. Melalui kaedah ini, mereka melakukan penceritaan atau naratif yang negatif tentang agama Islam melalui media massa dan ceramah dengan menggambarkan bahawa agama Islam itu kelihatan menyeramkan, kejam, sadis, radikal dan lain-lain istilah yang kurang menyenangkan pendengarnya.


Ketiga :  – Tadzwib, iaitu usaha pencairan budaya dan pemikiran (dilution of culture and thought). Melalui kaedah ini pihak kuffar dan munafiqin telah mencampur-adukkan antara hak dan batil di antara ajaran Islam dan bukan Islam. Sehingga umat Islam kekeliruan dan kebingungan untuk mendapatkan bimbingan atau pedoman hidup.


Keempat : – Taghrib, iaitu usaha menceritakan kelebihan pihak luar Islam dengan mengalak atau mendorong umat Islam untuk menerima pemikiran dan budaya mereka seperti sekularisme, pluralisme, nasionalisme songsang, dan liberalisme.

 


Friday, October 9, 2026

PEMIKIRAN SIDDIQ FADZIL DALAM ASPEK PERTAHANAN DAN PEMBINAAN BANGSA MALAYSIA


 Turut membentangkan kertas kerja dalam Simposium Fikrah Siddiq Fadzil (SAF) 2026

Simposium Fikrah Siddiq Fadzil (SAF) 2026 ✨
📌 Tema: Siddiq Fadzil & Negara Madani
📅 Rabu, 7 Oktober 2026
🕒 8.00 pagi – 5.30 petang
📍 Dewan Senat, UNISEL Kampus Bestari Jaya
Dalam usaha untuk menghargai warisan pemikiran Siddiq Fadzil yang terus relevan dalam membina masyarakat madani.Simposium satu hari ini ini menghimpunkan tokoh akademik, pemikir, dan aktivis untuk membincangkan isu-isu besar bangsa dan negara.
----------------------------


Pemikiran Dakwah Siddiq Fadzil: Sumbangan Terhadap Pertahanan dan Keselamatan Serta Pembinaan Bangsa Malaysia

[1] * Burhanuddin Jalal, [2] Amnah Saayah Ismail

[1] Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

[2] Akademi PertahananIslam dan Keselamatan,

Universi Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur

* drburhan63@gmail.com

ABSTRAK

Ruanglingkup pertahanan dan ketahanan sesebuah negara pada era moden tidak lagi terhad kepada lingkungan keselamatan fizikal, sempadan geografi, atau kekuatan ketenteraan semata-mata. Dalam persekitaran global yang semakin kompleks dilingkungi ancaman ketidaktentuan geopolitik, krisis identiti, serta pencerobohan pemikiran menerusi fenomena neokolonialisme. Konsep ketahanan nasional memerlukan pendekatan yang lebih holistik dan berteraskan peradaban. Kajian ini menganalisis secara kritikal kerangka pemikiran Siddiq Fadzil dan relevansinya dalam konteks pertahanan nasional, keselamatan, serta pembinaan umat di Malaysia. Tujuan kajian ini ialah untuk menganalisis konsep dan falsafah pemikiran Siddiq Fadzil berkaitan isu keselamatan, ketahanan peradaban, dan pembinaan umat di Malaysia, serta menganalisis secara kritikal tiga teras utama pemikiran beliau iaitu ketahanan gagasan, kepelbagaian fekah (Fiqh al-Ta‘ayush), serta kedaulatan bahasa dan budaya dalam konteks pertahanan nasional serta menilai sejauh mana wacana beliau boleh diangkat sebagai kerangka asas atau  soft power  bagi mendepani cabaran neokolonialisme dan polarisasi sosio-budaya semasa. Metodologi kajian menggunakan kaedah analisis kandungan (content analysis) terhadap teks ucapan, artikel, dan karya-karya terpilih berkaitan dengan pemikiran Siddiq Fadzil, terutamanya yang berkaitan dengan gagasan Fiqh al-Ta‘ayush, pembinaan Bangsa Malaysia, dan pemerkasaan peradaban berasaskan acuan tempatan. Dapatan kajian mendapati terdapat tiga teras utama pemikiran beliau dapat mengukuh pertahanan dan keselamatan negara bangsa Malaysia iaitu ketahanan gagasan dan minda melalui agenda pencerdasan umat untuk menangkis ekstremisme, kepelbagaian fikah berasaskan kebersamaan yang mengiktiraf kemajmukan etnik sebagai reka bentuk Ilahi demi keharmonian sosial dan kedaulatan bahasa dan budaya sebagai instrumen menyatukan pemikiran dan membina jati diri nasional. Implikasi kajian mencadangkan agar gagasan pemikiran beliau dapat diarus perdanakan dalam Pelan Strategik Pertahanan Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan dalam RancanganPendidikan Negara sebagai usaha berterusan demi kelangsungan peradaban Malaysia yang harmoni dan berdaulat.

Kata kunci: Siddiq Fadzil, fiqh, al-Ta‘ayush, fikrah madani, dakwah, pertahanan dan keselamatan.

ANUGERAH BUKU NEGARA 2019

 Sekadar mengenang salah satu pencapaian terbaik masa lalu....