Serangan pemikiran atau Ghazwul Fikri telah sekian lama melanda
dunia Islam. Ianya terdiri dari dua patah perkataan iaitu al-Ghazw
dan al-Fikr. Al-Ghazw bermakna perang atau serangan manakala al-Fikr
pula bermakna pemikiran (minda). Dari aspek definisi secara umum, ianya adalah
satu gagasan usaha yang dilakukan oleh satu pihak atau bangsa untuk menjajah
pihak atau bangsa yang lain dengan mempengaruhi mindanya sehingga mereka
menghala ke arah yang sama. Strategi al-Ghazwul fikri yang dilakukan
oleh pihak musuh Islam ini dalam mengawal minda umat Islam pada umumnya
boleh dikategorikan kepada empat aspek:
Pertama: – Tasykik, iaitu gerakan yang berupaya
menciptakan keraguan dan kedangkalan (superficiality) akidah umat Islam
terhadap ajaran agamanya. Misalnya, tindakan segelintir manusia yang menyerang
(memperlecehkan) Al-Qur’an dan Hadis, menghina Nabi Muhammad S.A.W atau
berkempen bahawa hukum Islam tidak sesuai dengan tuntutan cara hidup zaman
sekarang.
Kedua: – Tasywih, iaitu gerakan yang berupaya menghilangkan
kebanggaan umat Islam terhadap ajaran agamanya. Anologinya dengan memberikan
gambaran Islam secara buruk sehingga timbul rasa rendah diri (inferiority)
dalam kalangan umat Islam. Melalui kaedah ini, mereka melakukan penceritaan
atau naratif yang negatif tentang agama Islam melalui media massa dan ceramah
dengan menggambarkan bahawa agama Islam itu kelihatan menyeramkan, kejam,
sadis, radikal dan lain-lain istilah yang kurang menyenangkan pendengarnya.
Ketiga : – Tadzwib, iaitu usaha pencairan budaya dan
pemikiran (dilution of culture and thought). Melalui kaedah ini pihak kuffar
dan munafiqin telah mencampur-adukkan antara hak dan batil di antara
ajaran Islam dan bukan Islam. Sehingga umat Islam kekeliruan dan kebingungan
untuk mendapatkan bimbingan atau pedoman hidup.
Keempat : – Taghrib, iaitu usaha menceritakan kelebihan pihak
luar Islam dengan mengalak atau mendorong umat Islam untuk menerima pemikiran
dan budaya mereka seperti sekularisme, pluralisme, nasionalisme songsang, dan
liberalisme.


No comments:
Post a Comment