Wednesday, January 20, 2010

BRIG JEN DATO' HAJI NAJMI HAJI AHMAD - PENGARAH KAGAT KEDUA

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal



Berikut di catatkan sedikit profil berhubung dengan Brig Jen Dato' Haji Najmi sebagai Pengarah KAGAT yang kedua.Tentunya catatan ini dapat mengimbau kenangan serta dapat melihat bagaimana Dato' Najmi mentarbiah anggota KAGAT ke arah yang sewajarnya sebagai 'daie askari'.

Brig Jen Dato’ Haji Najmi Bin Haji Ahmad meneruskan perjuangan untuk menerajui KAGAT selepas Brig Jen Dato’ Abdul Hamid melepaskan jawatan Pengarah KAGAT. Sebagai ‘orang lama’ dalam perkhidmatan agama ATM dan KAGAT beliau tidak banyak mengalami masalah malah terus memacu KAGAT ke arah landasan yang sewajar untuk KAGAT berperanan dengan lebih efektif dan berwibawa.

Antara tindakan awal yang dilaksanakan oleh beliau ialah dengan membina dan menyedarkan kembali peranan yang perlu dimainkan oleh anggota dan pegawai KAGAT iaitu sebagai pendakwah. Istilah ‘daie askari’ diperkenalkan sebagai pemangkin atau menyedarkan kembali setiap individu dalam KAGAT adalah daie yang mempunyai peranan yang cukup besar untuk menyemarakkan penghayatan dan keilmuan Islam di kalangan warga ATM seluruhnya. Untuk itu penekanan aspek ruhiyyah, ilmu, tawaduk dan thiqah serta pengukuhan daie askari dengan konsep 13 M iaitu:

• Meneroka kematangan berfikir.
• Mengukuhkan pembangunan spritual.
• Membangun kemantapan akhlak.
• Meningkat daya kecekapan bertindak.
• Menggiat daya rancang.
• Memintas gelombang taasub.
• Mereda gejolak material.
• Menyegar kelesuan minda.
• Menyanggah arus budaya kufar.
• Merapat jurang perbezaan.
• Menajam cinta terhadap sunnah.
• Menyemai nilai-nilai murni.
• Menggiat percambahan ilmu.

Dalam tempoh kepimpinan Brig Jen Dato’ Najmi serta faktor perubahan kepimpinan ATM dan negara yang turut membantu KAGAT ke arah yang lebih baik banyak kejayaan dan perubahan telah dicapai dalam era kepimpinannya. Sebagai penerus usaha-usaha membetulkan tradisi ketenteraan yang bercanggahan dalam Islam beberapa dasar dan peraturan telah diperkenal dan luluskan, antaranya:

• Pengharaman arak dalam ATM.
• Pindaan dasar perkahwinan dalam ATM.
• Pelaksanaan pemakaian menutup aurat bagi anggota wanita ATM.
• Pemansuhan acara tepung tawar dalam ATM.


Selain dari itu salah satu kejayaan besar yang dicapai oleh KAGAT dalam era kepimpinan Brig Jen Dato’ Najmi adalah siap dan tertubuh Institut Latihan dan Kefahaman Islam ATM (ILMI) yang terletak di Port Dickson, setelah usaha-usaha awal penubuhan institut tersebut sejak beberapa tahun sebelum itu. Dengan adanya ILMI hasrat KAGAT untuk memberikan latihan dan pendidikan Islam akan lebih tersusun dan menyerlah.

Sebagai seorang yang pernah terlibat dalam gerakan Islam beliau menyedari bahawa organisasi KAGAT dan pendukungnya perlu terus di perhebatkan dari segenap aspek. Usaha-usaha penambahbaikan dari segi perjawatan, kebajikan anggota dan keberkesanan perancangan organisasi sering diteliti, di bincang dan dibengkelkan bersama pegawai dan anggota. Ini adalah untuk memastikan KAGAT benar-benar berperanan dan mempunyai sarana yang kukuh dan mantap.

Kecintaan terhadap ilmu dan pengukuhan ruhiah para daie merupakan satu aspek yang sentiasa ditekankan, pemantapan dan penguasaan al-Quran, usrah dan pembacaan adalah di antara perkara-perkara yang selalu diingatkan oleh beliau, ternyata Brig Jen Dato Haji Najmi telah meninggalkan ‘selautan mutiara dan segunung jasa’ kepada KAGAT dan warganya.


Kesungguhan dan keterampilan KAGAT sebagai organisasi agama masih terserlah di mata masyarakat umum dan pihak kerajaan. Atas kejayaan kemampuan KAGAT memainkan peranan penting di dalam penghayatan Islam dalam ATM, dalam tempoh kepimpinan Dato’ Najmi, KAGAT turut dirujuk bersama untuk menubuhkan unit agama di dalam PDRM, Penjara Malaysia dan juga penubuhan unit agama dalam Angkatan Tentera Diraja Brunei.

Antara aspek yang selalu ditekankan oleh beliau bagi memastikan pegawai dan anggota KAGAT serta organisasi KAGAT dapat terus berada di persada kegemilangan ialah penekanan terhadap wahdatulfikri atau kesatuan pemikiran. Al-wala’ atau ketaatan kepada pemimpin dan penerusan tarbiyyah. Menurut beliau ini amat penting kerana dakwah itu akan terus berjalan dan berkembang selagi da’e atau pendakwah itu komited dengan tugas, peranan, tanggungjawab serta amanah yang dipikul.

Ternyata KAGAT bertambah mantap dan gemilang di bawah kepimpinan Brig Jen Dato’ Najmi Haji Ahmad dalam tempoh 10 tahun, dan beliau mewariskan legasi kegemilangan KAGAT kepada kita seluruhnya untuk diteruskan.

Monday, January 18, 2010

DATO' ABDUL HAMID ZAINAL ABIDIN - PENGARAH KAGAT PERTAMA

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal





Era kepimpinan Brig Jen Dato’ Abdul Hamid Bin Zainal Abdin sebagai Pengarah KAGAT yang pertama adalah bermula pada 6 April 1985 hingga 30 Jun 1995. Era tersebut merupakan era permulaan penubuhan KAGAT. Dalam tempoh tersebut ternyata banyak sekali cabaran yang perlu diharungi oleh KAGAT dalam usaha untuk memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada pihak kerajaan bahawa penubuhan KAGAT benar-benar tepat pada masanya khusus untuk memperbaiki pentadbiran dan pengurusan Hal Ehwal Islam dalam Angkatan Tentera Malaysia serta beranding bahu menjayakan Dasar penerapan nilai-nilai Islam telah mula dilaksanakan pada waktu itu.

Ternyata cabaran pada peringkat awal penubuhan KAGAT ini amat getir sekali, masalah kekurangan sumber manusia, pentadbiran dan logistik serta pandangan pesimis dari sebahagian pihak terhadap KAGAT telah melemahkan usaha-usaha KAGAT di bawah pimpinan Brig Jen Dato’ Abdul Hamid. Hubungan baik beliau dengan pihak kepimpinan tertinggi ATM amat erat sekali walaupun beliau amat terkenal dengan sikap tegasnya.

Tempoh awal ini juga memperlihatkan bagaimana beliau dan KAGAT juga menyelesaikan beberapa masalah pentadbiran, masalah adat resam ketenteraan yang bercanggah dengan Islam dan juga norma kebudayaan Timur. Tradisi ketenteraan British yang telah lama diwarisi oleh Angkatan Tentera Malaysia dan sebahagiannya yang bercanggahan dengan syarak perlu diubah dan disesuaikan dengan cara yang selaras dengan kehendak Islam. Ternyata usaha-usaha berjalan dengan baik dan dapat diubah secara hikmah dan teratur.


Menyedari hakikat bahawa KAGAT pada waktu perlu mengorak langkah dengan lebih cepat dan mantap, dan untuk itu pada sambutan ulang KAGAT yang ke lapan beliau telah memberikan amanatnya, yang antara beliau menyatakan,

“Melaksanakan perkhidmatan agama dan memperjuangkan dakwah Islamiah dalam era pembangunan, pemodenan dan perubahan ATM hendaklah dilihat sebagai satu keperluan antara kemestian dan kenyataan. Sejak tahun 1933, aspek perkhidmatan agama menjadi satu tunjang utama dalam kekuatan dan kemantapan organisasi ATM seluruhnya. Namun demikian setelah penubuhan KAGAT pada 16 April 1985 telah menjadikan perkhidmatan agama satu bentuk perkhidmatan yang berorganisasi yang mempunyai wawasan dan matlamat yang amat murni. Sesungguhnya prinsip dan matlamat berdakwah yang dilaksanakan secara sistematik perlu dilaksanakan dan diteruskan”. (Amanat Pengarah KAGAT Ulang tahun ke 8 pada 16 April 1994).

Seterusnya dalam kepimpinan Brig Jen Dato’ Abdul Hamid juga KAGAT telah mencapai satu kejayaan dalam usahanya untuk memantapkan penghayatan Islam di kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia dengan perakuan yang diberikan oleh Majlis Angkatan Tentera Malaysia melalui sidangnya kali ke 9/91 dengan meluluskan Dasar Pembinaan Mental dan Kerohanian Islam untuk dilaksanakan dalam ATM sepenuhnya.

Sebagai seorang tokoh agama, pendidik, pendakwah dan pentadbir yang baik beliau sentiasa melihat masa depan KAGAT dengan penuh optimistik. Usaha-usaha terus dilakukan untuk menambah bilangan anggota dan perjawatan dalam KAGAT masa memastikan KAGAT akan terus maju dan cemerlang. Penambahan jawatan organisasi KAGAT khusus di Jabatan Arah KAGAT telah berjaya diperoleh pada tahun 1993.

Ketokohan Brig Jen Dato’ Abdul Hamid khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan telah turut memberikan kelebihan atau ‘advantage” kepada KAGAT sekali gus mengenalkan nama KAGAT dan mengharumkannya ke seluruh pelosok negara.

Dalam tempoh 10 tahun pertama KAGAT di bawah kepimpinan beliau serta dibantu oleh pegawai-pegawai kanan KAGAT yang lain ternyata KAGAT telah berjaya dan memainkan peranannya secara berkesan dalam ATM. Berdasarkan ketokohan dan kecemerlangan peribadi, Brig Jen Dato’ Abdul Hamid, beliau terpaksa meninggalkan KAGAT apabila telah beri kepercayaan oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad, Perdana Menteri Malaysia, atas kepentingan untuk menjawat Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam,(BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri Malaysia mulai 1 Julai 19985. Sesungguhnya beliau telah meletakkan batu asas yang kukuh kepada KAGAT untuk terus berperanan dan meninggikan Islam dalam Angkatan Tentera Malaysia. Sebagai cinta dan sayang beliau kepada KAGAT, bahawa beliau mengingatkan bahawa anggota dan pegawai KAGAT perlu terus berperanan sepanjang masa dan buka dan tempoh yang pendek sahaja seperti “rama-rama yang hanya hidup untuk tempoh sehari sahaja”, dan untuk beliau pernah mengingatkan perkara tersebut dengan kata-kata, “ dalam hidup ini kita perlu merasakan bahawa kita merupakan satu mata rantai yang panjang, disebut sebagai sejarah, sehingga kita mampu menilai satu peristiwa atau teladan itu dari aspek sejarah itu”.

KEPIMPINAN KAGAT 1985-2010



Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Menjelang 16 April 2010 KAGAT akan menyambut ulang tahun penubuhannya kali ke 25. Banyak pahit manis yang pernah dilalui oleh KAGAT. Antara aspek yang selalu menjadi topik perbincangan ialah darihal aspek kepimpinan. Dalam beberapa mingu ini penulis cuba untuk mengungkapkan nostaljia kepimpinan KAGAT sejak zaman YB Brig Jen Dato' Abdul Hamid Zainal Abidin, YBhg Brig Jen Dato' Haji Najmi Haji Ahmad. YB Mej Jen Dato' Jamil Khir Baharom dan terkini Brig Jen Haji Kamaruddin Mamat.

Sebagai mukadimah kepada perkara tersebut, berikut adalah tulisan awal yang boleh diperbincangkan bersama.

Kepimpinan tentera didefinisikan sebagai seni mempengaruhi dan mengarah anggota mengikut sesuatu cara agar memperolehi kepatuhan, keyakinan, rasa hormat dan kerjasama setia mereka secara rela untuk mencapai misi. Kepimpinan merupakan adunan pujukan yang menjadikan anggota melakukan apa yang pemerintah inginkan daripada mereka walaupun tugas tersebut sebenarnya tidak mereka sukai. Pencapaian melalui pujukan, galakan dan teladan adalah lebih baik berbanding dengan paksaan. Namun begitu, ada kalanya paksaan merupakan satu keperluan apabila anggota telah letih atau ketakutan. Anggota Tentera secara nalurinya akan mematuhi perintah tegas daripada pemerintah berleluasa yang mempunyai keperibadian, pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan.

Perintah sebagaimana yang didefinisikan oleh Fil Masryal Montgomery ialah yang mempunyai “keupayaan dan kehendak untuk menyatukan lelaki dan wanita ke arah satu matlamat, dan ciri yang mengaspirasikan keyakinan”. Seni memerintah merupakan perkara yang sangat peribadi di mana walaupun tidak akan terdapat dua pemerintah yang melaksanakan tugas dalam cara yang sama, namun semua pemerintah akan mempunyai sifat-sifat tertentu yang sama. Dari masa ke semasa kerjaya sebagai seorang pegawai tentera akan meningkat dan beliau pasti akan memerintah unit sama ada unit tempur, logistik atau institusi latihan. Banyak hasil penulisan telah menyatakan bahawa untuk menjadi pemimpin yang berjaya, seseorang pemerintah hendaklah mempunyai pengetahuan menyeluruh tentang jenis manusia dan jenis keadaan yang beliau perlu uruskan sebagai pemimpin. Beliau hendaklah mempunyai cara berfikir yang efektif berhubung dengan manusia dan keadaan yang dihadapi. Daripada keperluan-keperluan ini, pertama sekali ia hanya boleh dipenuhi melalui pengalaman dan walaupun pengalaman membantu, ia juga memerlukan usaha dan kajian menyeluruh serta kefahaman berhubung dengan subjek kepimpinan. Tanpa pemahaman fungsi pemerintahan, seseorang pasti akan gagal dan akibatnya unit yang akan gagal untuk mencapai objektif-objektif yang diinginkan. Tanggungjawab yang akan dihadapi adalah sangat mencabar, terutamanya untuk mereka yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin yang baik. Menurut Jen (B) Tan Sri Abdul Hamid Bidin, bekas Panglima Angkatan Tentera sewaktu perbarisan tamat latihan di Pusat Latihan Tentera Udara di Kepala Batas pada tahun 1970 dalam ucapan beliau,

“Untuk menjadi pemimpin cemerlang, seseorang hendaklah memiliki kemahiran profesional yang tinggi termasuklah mempunyai keperibadian seimbang yang diperlukan daripada seorang pemimpin dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia”.


Terdapat andaian secara umum menyatakan bahawa pemerintahan dinyatakan dalam bentuk kuasa untuk menyampaikan kepada orang lain apa yang perlu dilakukan dan bersamanya, kuasa untuk mendominasi. Seseorang pemimpin adalah diharapkan untuk mengamalkan kemahiran kepimpinan dan pengurusannya ke tahap yang paling tinggi dalam menentukan profesionalisme dalam organisasinya. Bagi mencapai perkara ini, beliau mestilah berupaya memahami peranan dan tugas beliau serta berupaya untuk memahami harapan anggota tentera di bawah pemerintahannya. Sebagai pemimpin, adalah menjadi tugasnya untuk memastikan bahawa harapan-harapan ini dipenuhi bagi faedah anggota dan organisasinya agar misi yang diberikan oleh pihak berkuasa atasan dapat disempurnakan. Secara umumnya, pemerintah-pemerintah adalah juga bertanggungjawab untuk penyempurnaan misi yang mana ianya bergantung kepada usaha dan aktiviti anggota. Dari itu, aspek pemerintahan yang sangat penting ialah kepimpinan. Adalah menjadi fungsi pemimpin untuk mendorong, mengawal dan mengarah aktiviti para individu dengan cara-cara yang konstruktif agar tahap prestasi organisasi boleh dioptimumkan dan dikekalkan untuk penyempurnaan misi. Sehubungan itu, kepimpinan adalah berkaitan dengan prestasi manusia.

Kepimpinan yang cemerlang dan berwibawa amat penting dalam organisasi dakwah khususnya dalam harakah Islamiah. Menurut Zawawi Ali dan Mohammad Kamil Abdul Majid (1983) dalam Gerakan Islam- Kepimpinan, Syura dan tarbiyyah, telah menjelaskan bahawa harakah Islamiah mempunyai tiga tahap atau peringkat dalam usaha menyampaikan dakwah atau berkembang. Tahap yang dimaksudkan itu ialah at-Taarif (tahap penyebaran fikrah secara umum kepada orang ramai), tahap at-takwim (era pembentukan organisasi dan bersedia untuk terus menyampaikan dakwah) dan tahap Tanfiz (tahap pelaksanaan dakwah secara lebih menyeluruh dan berterusan). Sehubungan dengan usaha-usaha yang dilakukan untuk terus mengukuhkan dan mengembangkan organisasi merupakan salah satu cara untuk membina kekuatan dan keberkesanan organisasi mencapai matlamat dan tujuan penubuhannya.

Ternyata dalam tempoh 25 tahun ini KAGAT dan kepimpinannya telah melalui tahap usaha dakwah yang disebut era penyebaran dan kefahaman Islam kepada khalayak atau sasaran dakwahnya khususnya di peringkat awal penubuhan KAGAT dalam tahun-tahun 1985 – 1995. Kemudian KAGAT terus berkembang dan peranan untuk memantapkan organisasi di samping terus melaksanakan usaha-usaha dakwah, pemahaman Islam, penghayatan dan juga meninggikan syiar Islam dalam tahun 1996-2006. Selanjutnya kepimpinan KAGAT terus beralih dan tahap kepimpinan seterusnya ialah tahap pelaksanaan dakwah secara lebih menyeluruh dan berterusan dalam usaha untuk membina Angkatan Tentera Malaysia yang berwibawa serta mempunyai daya tempur yang kuat serta rohani yang mantap. ( spritual combat power), dan ini berlaku dalam era kepimpinan Pengarah KAGAT yang ketiga antara tahun 2005-2008.

Teraju kepimpinan telah berganti dan seterusnya akan memacu organisasi ke arah wawasan yang lebih gemilang bagi membina modal insan yang benar-benar mampu mempertahan kedaulatan negara, agama dan bangsa.

Monday, January 11, 2010

APA ITU STRES?

Mejar Burhanuddin Abdu Jalal

Kita sering mendengar stres. Stres merupakan ungkapan yang sering dikaitkan dengan hal-hal yang negatif seperti gila, gelisah, tertekan, tidak mampu berfikir, jiwa yang resah, pemarah atau hal-hal negatif yang lain. Kita barangkali amat biasa dengan istilah atau ungkapan ini. Ini adalah kerana mungkin setiap hari kita mengalami stres. Mengapa ini berlaku? Ini adalah kerana, stres berlaku apabila keadaan tubuh badan atau jiwa kita mengalami suatu keadaan atau situasi di luar kebiasaan diri kita.

Pada umumnya manusia pada segenap peringkat dan usia memerlukan rangsangan atau stimulus untuk berkembang. Tanpa stimulus atau rangsangan perkembangan manusia sama ada dari aspek fizikal dan psikologi tidak akan berkembang secara optimum. Umpamanya kanak-kanak atau remaja yang tinggal di bandar amat mudah untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan isu-isu seksual. Ini kita sedia maklum bahawa pelbagai maklumat yang boleh dicapai oleh golongan anak-anak atau remaja yang tinggal di bandar akan menyebabkan anak-anak atau golongan remaja ini cepat matang dalam usia remaja mereka berbanding dengan anak-anak atau remaja yang tinggal di kampung atau di daerah pedalaman. Ini membuktikan rangsangan atau stimulus memberikan sumbangan yang cukup besar pertumbuhan dan perkembangan jiwa manusia sama ada dari aspek positif ataupun negatif. Secara umumnya manusia terdedah kepada rangsangan-rangsangan dalam kehidupan yang menyebabkan stres berlaku.

Sunday, January 10, 2010

ISU PEMAKAIAN KALIMAT ALLAH OLEH PIHAK KRISTIAN: APA KEFAHAMAN KITA?

Isu penggunaan atau pemakaian nama Allah di kalangan agama lain khususnya Kristian banyak diperkatakan oleh banyak orang dalam beberapa minggu ini. Berikut adalah kenyataan dari Presiden Wadah Kecerdasan Umat malaysia (WADAH), Dato' Dr. Siddiq Fadzil berhubung perkara tersebut. Semoga kita dapat memahami isu tersebut dan peka kepada apa yang berlaku kepada umat dan keprihatinan umat Islam di Malaysia terhadap Islam agama yang suci lagi benar. Selamat membaca!

KONTROVERSI PEMAKAIAN KALIMAT ALLAH:
SUATU PERNYATAAN KEPRIHATINAN

Oleh:
Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).


Selama berabad-abad negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay States) ini durujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi. Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai. Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan rumah”. Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan. Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini. Memang dalam sejarahnya Negeri-Negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam. Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini. Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya. Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusek atau diganggu.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam.

Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka. Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.

Bagi umat Islam Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin.

Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa). Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (`alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.

Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius. Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, “Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”.

Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi s.`a.w. memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik, nama yang menolak syirik, dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan). Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “...a Personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.

Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani. Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau trinity. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid. Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik.

Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya? Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Katolitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan leluasa. Ajaran Katolik dapat difahami oleh para penganutnya, malah telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif. Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini. Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam.

Rasanya wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:

What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution. Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist.

Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries. Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes) without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss.

Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of a good Catholic education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values.

It is a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation.

In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision. It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts.

The church may do so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia’s majority (Rujukan: http://takemon.wordpress.com/about/ ).

Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya. Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut. Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi. Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah erti dan isinya. Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat pribumi Melayu. Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini, S. Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society. Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan pribumi Melayu itu dilakukan atas nama “...cultivating the waste and barren soil of the native mind”.

Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat Abdullah Munsyi. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan “Abdullah Paderi”.

Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi “perkara masa lalu” yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian. Provokasi-provokasi keagamaan sehausnya dihindari, dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan. Apa pun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat secara kontekstual. Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman. Fiqh kita mengambilkira `uruf ahl al-balad (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah mafsadah atau kesan buruknya yang perlu dihindari.

Thursday, January 7, 2010

DAKWAH DAN PENGUASAAN TEORI KOMUNIKASI

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan FPI UKM baru-baru ini menjemput Prof. Dr Andi Faisal Bakti, ilmuwan dari salah sebuah universiti dari negara Indonesia sebagai malim jemputan Jabatan. Sebagai ilmuwan dalam bidang dakwah dan komunikasi, beliau menyatakan saudara kembar kepada ilmu dakwah ialah ilmu komunikasi. Ini adalah kerana ilmu dakwah berkait rapat dengan pengaruh individu ke atas individu lain. Pengaruh ini mendorong orang lain menukar sama ada fikiran, perasaan, tingkah laku dan sebagainya.


Oleh itu kita sebagai pendakwah sudahkah menguasai teori atau ilmu komunikasi moden hari ini? Antara teori komunikasi yang perlu kita fahami dan perlu kita bersama kuasai adalah seperti berikut:
Teori Motivasi
Teori Albert Bandura
Teori Abraham Maslow
Teori David McClelland
Teori Leon Festinger
Teori Carl Hovland
Teori Heider-Newcomb
Teori Muzafer Sherif
Teori Milton Rokeach
Teori March-Simon
Teori Victor Vroom
Teori R.W. Rogers
Teori Adorno
Teori Kenneth Burke
Teori Brehm
Komunikasi Interpersonal
Model Komunikasi Interpersonal
Komunikasi Berkesan
Jenis-jenis Pengaruh
Mengubah Sikap dan Tingkah Laku
Teori Konsep Diri
Komunikasi Bukan Lisan
Bahasa dan Estim
Mendengar
Memuji dan Mengkritik


Untuk itu mari kita menelaah buku-buku komunikasi moden dalam usaha kita menjadi pendakwah yang berkesan, efektif, berkaliber serta cemerlang, gemilang lagi terbilang.

Monday, January 4, 2010

SERING DIRUNDUNG KETAKUTAN?

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Sebagai manusia biasa kita sering dirundung ketakutan dan juga kegelisahan. Apa yang sering ditakuti oleh manusia? Allah telah berfirman yang bermaksud,

"Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar’ – al-Baqarah 2: 155.

Ayat tersebut menerangkan bahawa Allah telah menetapkan kejadian yang akan membuat diri kita merasa takut. Oleh yang demikian, apakah yang menjadi masalah kepada diri kita apabila ketakutan atau kecemasan itu merupakan ketentuan Allah? Bagaimana ketentuan Allah itu dapat kita urus dengan baik dan menjadi pendorong ke arah sesuatu yang positif? Atau ketentuan tersebut merupakan bencana yang akan menghancurkan keseluruhan hidup ini? Oleh yang demikian perkara yang paling penting ialah bagaimanakah sikap kita untuk menyelesaikan dan menghadapi musibah dari Allah itu.

Pelbagai perasaan takut dan kegelisahan bukan sahaja di alami oleh diri kita tetapi juga pernah dirasai oleh orang-orang yang terdahulu dari kita. Terdapat beberapa kisah dalam al-Quran yang menceritakan bagaimana perasaan takut yang dialami oleh manusia seperti takut mati, takut menjadi miskin dan juga takut kepada sesama manusia.

Takut kepada Allah merupakan rasa takut yang amat penting dalam kehidupan seseorang Muslim. Ini adalah kerana rasa takut seperti ini akan mendorong untuk lebih bertakwa kepada Allah dan mencari keredaan-Nya, mematuhi ajaran-Nya, meninggalkan larangan-Nya dan melaksanakan segala perintah dan suruhan-Nya. Takut kepada Allah merupakan satu unsur dalam aspek keimanan kepada Allah dan ia merupakan asas yang penting dalam membentuk keperibadian seseorang mukmin. Firman Allah SWT yang bermaksud,

”Seungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal Yang tetap), Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan Merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. balasan Yang demikian itu untuk orang-orang Yang takut (melanggar perintah) Tuhannya”. Al-Baiyinnah 98: 7-8.


Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. – al-Anfaal 8: 2


”Katakanlah lagi: "Sesungguhnya Aku takut - jika Aku menderhaka kepada Tuhanku - akan azab hari Yang besar (soal jawabnya)". – az-Zumar 39: 13


"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut ia kenakan Kami azab hari Yang padanya muka orang-orang Yang bersalah: masam berkerut-kerut".- al-Insan 76: 10


Antara ketakutan yang umumnya ada pada semua manusia ialah ketakutan terhadap kematian. Ini seperti mana yang telah difirmankan oleh Allah SWT,


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut Yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui Segala Yang ghaib dan Yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa Yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".al-Jumaah 62: 8


Ketakutan kepada kematian dialami oleh semua manusia dan tidak ada manusia yang terkecuali kepada ketakutan kepada kematian ini. Takut kepada kematian ini adalah kerana amal yang masih kurang, perlu meninggalkan orang-orang yang disayangi, takut mati kerana hartanya sedikit dan khuatir nanti keluarganya hidup melarat dan sebagainya. Bahkan dalam al-Quran juga menjelaskan bagaimana Nabi Musa pun berasa bimbang kalau dirinya dibunuh oleh Firaun. Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT,


"Dan lagi mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah terhadapku; oleh itu Aku takut mereka akan membunuhku".- as-Syuara’ 26: 14.

Nabi Musa merayu Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, Bahawa Aku telah membunuh seorang dari kalangan mereka; oleh itu Aku takut mereka akan membunuhku ". al-Qashash 28: 33



Keimanan yang benar-benar mantap dan kukuh kepada Allah SWT akan menghindarkan diri seseorang itu dari perasaan takut kepada kematian. Ini adalah kerana seseorang yang mukmin meyakini bahawa kematian akan memindahkan dirinya kepada kehidupan di alam baqa’ yang kekal abadi. Di sana dia akan memperoleh kerahmatan dan keredaan-Nya. Ini berbeza dengan orang-orang yang banyak melakukan maksiat dan banyak dosa yang sudah tentu kematian sesuatu yang benar-benar amat menakutkan.

Bagi orang-orang yang berfahaman ateis, yang tidak mempercayai hari kebangkitan dan hari akhirat, merasakan kematian itu sesuatu yang menghancurkan diri mereka. Sebahagian besar dari mereka takut kepada kematian kerana mereka tidak tahu apa nasib mereka selepas berlaunya kematian itu dan ketidakfahaman itulah yang menyebabkan mereka takut kepada kematian.

Selain dari kematian, kemiskinan juga sering ditakuti oleh manusia. Oleh itu, manusia sentiasa berusaha untuk mencari makanan sama ada untuk diri dan juga untuk keluarga. Selain dari itu manusia juga berlumba-lumba mencari rezeki dan juga pendapatan dalam bentuk wang dan kekayaan bagi memenuhi keperluan dan kesenangan keluarga selain untuk dipandang tinggi dan dihargai. Dalam hal ini Allah telah berfirman yang bermaksud,



“Lihatlah Bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian Yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan Sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya”- al-Isra’ 17: 21.




“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka”. – al-An-am 6: 151

Keimanan yang kukuh kepada Allah juga dapat menghilangkan rasa takut terhadap kemiskinan. Ini adalah kerana orang-orang yang benar-benar beriman akan meyakini bahawa rezeki itu berada dalam kekuasaan Allah. Oleh yang demikian tidak ada alasan untuk berasa gusar atau takut kepada kemiskinan. Firman Allah,


“Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dia lah sahaja) Yang mempunyai kekuasaan Yang tidak terhingga, lagi Yang Maha kuat kukuh kekuasaan-Nya”. – al-Zariyat 51: 58


”Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu”. - al-Zariyat 51: 22

Perasaan takut merupakan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian, persoalan di sini adakah ketakutan itu suatu ketetapan dan ketentuan Allah? Adakah manusia dapat mengurus ketakutan sehingga dapat menjadikan ia sesuatu yang positif atau ia mungkin menjadi bebanan yang boleh menghancurkan kehidupan. Untuk itu sekali lagi yang memainkan peranan penting bagi menyelesaikan masalah ini adalah sikap.

Sesungguhnya Allah SWT mengetahui tahap kemampuan setiap hambanya apabila diuji. Sebagai hamba Allah yang taat kepadanya, sesungguhnya Allah tidak akan membebani hambanya kecuali dengan kadar kesanggupan hambanya. Firman Allah,


“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya”-al-Baqarah 2: 286.

Menurut Abdullah Gymnastiar (2005) dalam bukunya ‘Manajmen qalbu’ telah menggariskan memberikan nasihat dalam menghadapi kehidupan ini. Antara lain beliau menyatakan:

Pertama: Bersedia menerima kenyataan. Sesuatu perkara atau usaha yang dilakukan, walau sebaik mana persiapan atau perancangan yang telah dilakukan, pasti ada kecenderungan untuk gagal. Semua manusia inginkan kejayaan dengan cemerlang, gemilang dan terbilang kerana itulah impian semua orang, tetapi sebagai manusia biasa kia juga perlu mempersiapkan mental dan fizikal jika usaha-usaha-usaha yang kita lakukan itu gagal. Terimalah saat kegagalan tersebut dan mengatakan bahawa kita sedang diuji oleh Allah. Hindarkan meratapi kegagalan dalam tempoh yang berpanjangan. Perlu cepat bangkit semula dan mencari jalan penyelesaian permasalahan supaya waktu yang ada tidak terbuang dengan sia-sia.

Kedua: Berfikiran positif. Sesungguhnya amat beruntung sekali jika seseorang itu sentiasa berfikiran positif dan serta sentiasa menilai setiap langkah atau tindakan yang akan diambil dan mengambil pengajaran bagi setiap kejadian yang dilalui oleh dirinya. Dengan berfikiran positif, kita akan lebih efektif mencari jalan keluar dan menyelesaikan masalah yang timbul dengan cara pelbagai kaedah atau alternatif yang ada.

Ketiga: Menerima sesuatu kejadian atau keadaan dengan penuh keredaan. Apabila kita melaksanakan dengan penuh perancangan dan persiapan, tetapi masih gagal , terimalah keadaan tersebut dengan penuh reda sebagai satu ketetapan Allah yang terbaik bagi kita. Firman Allah,



“kamu Diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara Yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”. Al-Baqarah 2: 216



Apa yang penting bagi kita ialah jangan menilai sesuatu itu dari pandangan diri kita semata-mata yang selalu menginginkan yang baik-baik atau yang muluk-muluk sahaja serta cepat dan segera untuk diperoleh. Mungkin kita gagal pada hari ini dan siapa yang tahun bahawa Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik pada masa hadapan.

Keempat: Sentiasa berusaha dan berikhtiar. Sebagai hamba Allah, selain dari menerima segala ketetapan-Nya, manusia juga wajib berikhtiar dan berusaha bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi sama ada melalui doa atau usahalah. Jangan berharap masalah akan selesai sendiri tanpa ada tindakan yang dilakukan. Walau apa pun keadaan masalah yang timbul, kita perlu berusaha untuk menyelesaikannya. Yakinlah bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka merubah nasib diri mereka sendiri. Firman Allah,



Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri. –al-Ra’du 13: 11



Kelima: Allah pasti akan menolong. Setelah melakukan ikhtiar, doa dan usaha yang maksimum, kita berserah kepada Allah. Dalam hal ini Allah berfirman,



“Sesiapa Yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya)”. Al-Talaq 65: 2.


Kita mesti yakin bahawa Allah SWT pasti akan menolong hambanya. Oleh yang demikian kita perlu bersangka baik kepada Allah dan InsyaAllah akan membantu hambanya yang sentiasa berserah kepada-Nya.

Dengan langkah-langkah yang telah diambil seperti yang disarankan di atas, adalah diharapkan kita dapat menyelesaikan dan menghadapi segala permasalahan yang timbul setiap hari dalam kehidupan ini.

MENGORAK LANGKAH KE ERA DAKWAH DIGITAL

  "Kajian tentang agama dan internet sudah banyak dilakukan, termasuklah kesan penggunaan internet terhadap agama serta pola kepelbagai...