Thursday, January 20, 2011

PENDAKWAH PERLU MENGHAYATI BUDAYA ILMU

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Mengapa disebut ‘menghayati’ dan tidak mempelajari ilmu? Jawapannya terletak kepada tuntutan agar ilmu-ilmu yang kita dapat daripada pelbagai sumber, tidak sekadar merupakan ilmu tanpa amal, ilmu tanpa yakin dan ilmu tanpa ruh, tetapi merupakan ilmu yang ‘hayat’ atau hidup hatta sampai ke dalam setiap pembuluh darah dan ruangan jiwa. Inilah garis besar yang membedakan para pendakwah dengan orang lain. Ya, benar, orang lain juga mementingkan ilmuj, tetapi bagi pendakwah, ilmu ini amat penting dan tinggi kedudukannya, sehinggakan apa jua justifikasi tindakan wajib berlandaskan ilmu yang ditunjangi al-Quran dan Hadith, dan bukan dilatari dengan emosi, fahaman politik sempit dan pertimbangan kepuakan yang melulu.

Oleh yang demikian para pendakwah perlu menggerakkan agenda ‘mencanai’ ilmu dan bukannya sekadar ‘mempelajari’ ilmu. Tidak sekadar dihadkan kepada tafsiran ayat-ayat yang tipikal, pembacaan hadith dengan gaya klasik, ruh ilmu perlu ‘dihadirkan’ dengan cara dan penyampaian ilmu yang baru dan menarik. Isinya masih sama seperti perbincangan Tafsir, Hadith, Sirah, Tasawwuf, Tauhid dan sebagainya, cuma cara ia disampaikan perlu menarik, penuh komitmen, bertenaga dan yang terpenting ada kaitan dengan realiti kontemporari. Natijahnya, golongan sasaran dakwah akan terlonjak semangatnya untuk terus menekuni dan menjiwai ilmu-ilmu yang disampaikan di pelbagai kuliah, ceramah atau pelbagai program yang lain. Pokoknya, ilmu di dalam diri pendakwah amat memerlukan agenda ‘re-branding’ untuk meraikan idealisme generasi muda yang sentiasa mahukan pembaharuan pada hari ini. Dalam kata lain, isi (content) ilmu yang ada perlu diperteguhkan, manakala dalam masa yang sama cara penyampainnya (delivery) juga harus menarik! Selamat berdakwah.

Monday, January 17, 2011

WARGA KAGAT NADI USAHA DAKWAH DALAM ATM

Oleh: Dr Burhanuddn Abdul Jalal

SELURUH warga KAGAT merupakan tonggak di dalam keseluruhan struktur organisasi KAGAT sebagai sebuah organisasi dakwah yang bersifat massa. Di dalam konteks ini, warga KAGAT seluruhnya merupakan Nadi Gerakan. Cita-cita utama KAGAT iaitu iltizam untuk membangunkan dan membangunkan umat terbaik atau Khayra Ummah tidak mungkin akan dapat dijayakan tanpa sumbangan fikiran, tenaga dan perkhidmatan yang diberikan oleh semua warga KAGAT.
KAGAT kini akan mengorak langkah ke 26 tahun dan sepanjang 25 tahun yang lalu, KAGAT merupakan antara penggerak di dalam mewujudkan gelombang kesedaran Islam dalam masyarakat ketenteraan. Gelombang dakwah ini merupakan fasa pertama dan kesannya dapat kita lihat secara jelas di dalam manifestasi keislaman masyarakat terhadap agama Islam pada masa kini.
Untuk tahun 2011 dan tahun-tahun yang akan mendatang kita perlu merangka agenda dakwah baru yang bersifat jangka panjang untuk tempoh 40 tahun akan datang. Dalam kata lain, kita perlu mulai hari ini perlu memulakan usaha perancangan bagi menggerakkan satu agenda dakwah ke arah menjana gelombang dakwah kedua sehingga tahun 2050. Apakah yang kita maksudkan sebagai gelombang kedua dakwah Islam? Gelombang ini boleh difahami menerusi beberapa ciri-cirinya.
Pertama: Tonggak yang menggerakkan gelombang kedua dakwah ini ialah dari kalangan generasi muda yang berusia 40 tahun ke bawah. Bagi tujuan ini, kita perlu memulakan usaha yang lebih serius bagi proses pembinaan generasi Islam yang kukuh dari segi idealisme perjuangan Islam serta berketerampilan secara profesional di dalam segenap aspek kehidupan.
Kedua: Pembangunan produk-produk dakwah yang menarik dan pelbagai bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di dalam segenap aspek kehidupan beragama mereka. Ini meliputi aspek perkhidmatan kemasyarakatan, pendidikan, perekonomian, teknologi, kebudayaan dan kesenian.
Ketiga: Penggemblengan seluruh potensi keagamaan di dalam satu pergerakan yang seiring dan terarah. Potensi keagamaan ini boleh dikenal pasti di peringkat individu dan organisasi dan keseluruhan mereka perlu berada di dalam satu rangkaian pergerakan yang bersifat inklusif.
Bagi tujuan mencapai cita-cita ini, KAGAT perlu menggerakkan gelombang baru dakwah ini. Tugas ini amat berat dan mencabar sekali dan ini menuntut seluruh komitmen kita semua segenap lapisan kepimpinan dan warga KAGAT. Semoga semuanya beriltizam untuk menggerakkannya. Tidak kita sesiapa dan tidak sekarang bila?

Saturday, January 15, 2011

USRAH SEBAGAI PEMANGKIN GERAKAN DAKWAH KAGAT

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Usaha untuk menggerakkan semula program Usrah di kalangan anggota KAGAT telah dilaksanakan di Institut Latihan dan Kefahaman Islam ATM (ILMI) baru-baru ini, telah menatijahkan satu gerakan kesedaran yang amat serius, betapa usrah perlu dibawa dan diletakkan ke ‘center stage’ semula atau menjadi awlawiyat di dalam organisasi.

Usrah, yang selama ini sinonim dengan majlis ilmu, majlis ukhuwwah dan majlis pertemuan berkala di kalangan anggota KAGAT wajar diangkat maknanya ke aras yang lebih tinggi. Kegagalan melihat impak dan gagasan yang boleh ‘dilancarkan’ menerusi usrah, bakal menjadikan usrah itu hambar, satu hala, terlalu longgar dan apa yang lebih teruk, tempias dari fenomena ini akan melembabkan organisasi kita secara total. Kejadian ‘kematian’ usrah di pelbagai formasi dan perkhidmatan yang acapkali kita dengar dan keadaan ini perlu diperbaiki.

Usrah tidak boleh sekali-kali ‘disassociate’ atau terpisah dengan asas budaya dakwah yang telah digagaskan selama ini. Anggota KAGAT seluruhnya perlu dan wajib dibudayakan dengan usrah. Program apa lagi yang kita harapkan untuk memperkasakan dan mengembalikan kecintaan terhadap kor kalau bukan usrah, satu program yang intim dan holistik sifatnya serta mampu menjadi pencetus kepada idea-idea besar yang mampu diterjemah kepada gelombang untuk merubah nasib umat serta masa depan KAGAT yang lebih gemilang.

Saturday, January 8, 2011

Model Ideal ‘The Towering Personality’ Seorang Dai’e

Model ideal dai’e yang dirujuk adalah berada pada diri individu bemama Muhammad bin Abdullah atau Nabi Muhamad SAW. Rasulullah memiliki akhlak dan peribadi yang tinggi dan mulia. Saidatina Aisyah pernah membuat rumusan bahawa Rasullah SAW adalah diibaratkan sebagai Al-Quran yang hidup atau berjalan. Di dalam konteks yang lain, disebutkan bahawa pengutusan Rasulullah SAW adalah sebagai pembawa khabar gembira kepada seluruh alam dan pada diri Baginda terdapat contoh dan ikutan yang terbaik (Uswatun Hasanah). Baginda adalah seorang manusia dan nabi serta rasul yang telah dilantik oleh Allah s.w.t. untuk menyebarkan syiar Islam atau menjalankan usaha dakwah bagi penyebaran agama Islam. Ketokohan baginda adalah tiada tolok banding pada kaca mata musuh Islam ataupun pada sahabat dan umatnya. Beliau diberi gelaran Al- Amin (orang yang benar-benar dapat dipercayai) (Muhammad Abdul Wahhab, 2006, 47). Ketokohan Nabi Muhammad dan berita pengutusannya membawa ajaran yang mengEsakan Allah disebutkan di dalam beberapa kitab-kitab yang lain (Abdul Ahad Dawud, 1978; Muhammad Abdul Wahhab, 2006).


Ketokohan Nabi Muhammad bukan sahaja sebagai seorang dai’e, tetapi juga merupakan seorang ketua negara, ahli perniagaan, panglima angkatan tentera, pakar strategik, dan pakar perunding yang utama. Ketokohan dan personaliti mulia yang ada pada Nabi Muhammad S.A.W, diikitiraf juga oleh pakar-pakar dan pengkaji terkemuka di dunia yang bukan beragama Islam. Apakah ciri-ciri yang pada Nabi Muhammad SAW sehingga beliau digelar pendakwah yang memiliki ciri dan sifat ‘the towering personality’? Baginda dapat disimpulkan mempunyai sifat yang begitu terpuji dan cemerlang dalam segala aspek yang perlu ada pada diri seseorang dai’e. Kaum muslimin wajib mengetahui kedudukan Rasul yang mulia kerana manusia berhukum kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya, dan berhias diri dengan akhlaknya. Rasulullah SAW memiliki sifat-sifat mulia berikut ; tabligh, amanah, fatanah dan sifat kepatuhan dan penyerahan diri pada Allah Taala yang total. Keimanan dan ketauhidan yang tinggi adalah prinsip utama kepada pembentukan model ideal seorang dai’e yang memiliki konsep ‘the towering personality’ yang sebenar-benarnya.


Timbul persoalan, mampukah para dai’e hari ini memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat yang ada pada model ideal di atas? Tidakkah tuntutan dan kaedah dakwah kini telah berubah kerana tuntutan masa dan zaman yang telah berubah? Jika diteliti secara mendalam, ia adalah sesuatu yang luar biasa untuk para dai’e masa kini untuk memiliki ciri-ciri dan personaliti seperti Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun adalah diyakini, bahawa ciri-ciri umum yang berkait dengan kompetensi din seorang dai’e adalah boleh dimiliki oleh setiap dai’e. Ciri-ciri personaliti unggul itu, dapat dipecahkan kepada empat aspek yang utama iaitu dari aspek jasmani atau fizikal, emosi atau kawalan perasaan, rohani atau keagamaan dan intelek atau penguasaan ilmu pengetahuan dan kepakaran.

Friday, December 31, 2010

BERJIHAD MELALUI HARTA. BERSEDIAKAH KITA?

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Umat Islam perlu bersedia untuk mengorbankan sebahagian dari harta yang dianugerahkan Allah kepada kaum Muslim untuk dinafkahkan ke jalan jihad dan untuk kepentingan Islam. Oleh yang demikian, umat Islam perlu berhemat dalam menggunakan perbelanjaan mereka serta mengetahui arah perbelanjaan, serta tidak membelanjakan wang yang ada untuk membeli barangan atau perkhidmatan yang bersekongkol dengan pihak Yahudi. Ini kerana terdapat sebahagian dari barangan atau perkhidmatan yang ada pada hari ini merupakan produk-produk Yahudi atau bersedia memperuntukkan sebahagian dari keuntungan yang diperoleh kepada tabung-tabung Yahudi atau agama lain yang bertujuan untuk memusnahkan orang Islam (www.ppim.org.my ).

Bagi memastikan perbelanjaan atau kegiatan ekonomi umat Islam berorientasikan pada kepentingan jihad, Shantut (2003: 118) telah mencadangkan beberapa langkah perlu dilaksanakan:

a. Rumah tangga Muslim hendaklah mendidik anak-anak dan ahli keluarga untuk sederhana dalam berbelanja, menghargai harta, menggunakan harta ke jalan yang manfaat dan tidak ke arah yang mudarat.
b. Pihak institusi pendidikan perlu mendidik para pelajar untuk tidak bersikap boros dan sentiasa memberi motivasi kepada para pelajar untuk bersedekah ke jalan Allah.
c. Orang Islam bersedia untuk memberikan sebahagian dari harta mereka untuk kepentingan Islam dan kepentingan mempertahankan Islam.

Wednesday, December 15, 2010

MEMAHAMI MAQASID AL-SYAR'IYYAH

Penghayatan syari`at dalam erti yang setepatnya harus meliputi kedua-dua: pelaksanaan hukum-hakam dan realisasi maqasidnya. Justeru, maqasid adalah umpama buah bagi pokok -- melaksanakan hukum, tetapi gagal mencapai maqasidnya adalah ibarat menanam pokok, tetapi gagal memetik buahnya, sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Raysuniy (al-Fikr al-Maqasidiy: h.17).



ومعنى هذا أن مقا صد الشريعة تمثل مراد الله وغا ية ما كلف به

عبا ده وما شرعه لهم فهي بمنزلة الثمرة من الشجرة.



Rumusan al-Maqasid

Al-Imam al-Ghazaliy r.`a. adalah perumus pertama al-maqasid yang meliputi lima objektif utama:



* Pemeliharaan agama (hifz al-din)
* Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
* Pemeliharaan akal (hifz al-`aql)
* Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
* Pemeliharaan harta (hifz al-mal).



Rumusan lima maqasid tersebut kemudian dikenali sebagai al-daruriyyat al-khamsa, al-kulliyyat al-khamsa dan al-usul al-khamsah. Kelima-lima prinsip yang juga merupakan keperluan asasi manusia itulah pula yang dipadatkan dengan satu kata: maslahah, dengan implikasi bahawa sebarang gangguan terhadapnya adalah mafsadah (kerosakan). Para ulama umumnya menyepakati kelima-lima objektif tersebut, meskipun ada perbezaan dari segi pengurutannya. Malah menurut Imam al-Maqasid al-Shatibiy lima maqasid tersebut bersifat universal. Namun demikian penetapan lima objektif tersebut sebenarnya bukanlah penetapan simpul mati. Kerana itu ada ulama (al-Qurafiy, al-Tufiy, al-Subkiy dan al-Shawkaniy) yang menambahnya menjadi enam dengan memasukkan al-`ird (maruah atau kehormatan diri). Sementara itu dalam wacana masa kini tentang maqasid al-shari`ah, ada saranan penambahan dan pengembangan kepada lima objektif tersebut. Memang ketika ini sedang berlaku fenomena keghairahan baru dalam pengkajian al-maqasid. Fenomena inilah yang disebut oleh al-Raysuniy sebagai al-sahwah al-maqasidiyyah (kebangkitan kembali pemikiran maqasidi). Pada era perubahan pesat dalam pelbagai bidang, dan timbulnya isu-isu baru yang memerlukan penyelesaian syar`i, para ilmuwan Muslim berasa terpanggil untuk berijtihad. Untuk itu mereka harus memahami sedalam mungkin tentang al-maqasid. Memang al-maqasid menempati posisi yang sentral dalam ijtihad dan istinbat. (Balajiy, `Abd al-Salam, 2007: 283-290). Di tengah semarak kesedaran baru tentang peri pentingnya al-maqasid itulah tampilnya tokoh-tokoh seperti al-Shaykh Muhammad al-Ghazaliy, Dr. Yusuf al-Qaradawiy dan lain-lain yang menyuarakan keperluan memasukkan objektif memelihara kebebasan, dan memelihara keadilan ke dalam komponen maqasid al-shari`ah.

Anjakan Gaya Pandang Terhadap al-Maqasid

Wacana masa kini tentang maqasid al-shari`ah memperlihatkan perkembangan baru dari segi gaya pandang. Al-Raysuniy misalnya cuba melihat persoalan al-maqasid dari perspektif hak asasi manusia. Beliau mengangkat hak-hak asasi manusia sebagai paksi al-maqasid. Sementara itu Dr. Jamal al-Din `Atiyyah menyarankan anjakan dari al-kulliyyat al-khamsa ke al-Majalat al-Arba`ah, realisasi al-maqasid dalam empat ranah kehidupan: individu (al-fard), keluarga (al-usrah), umat (al-ummah), dan kemanusiaan sejagat (al-insaniyyah).

Melaksanakan syari`at dalam konteks kehidupan individu adalah untuk merealisasikan objektif pemeliharaan jiwa-raganya, akal-budinya, penghayatan agamanya, kehormatan dirinya, dan keselamatan hartanya. Dalam konteks kehidupan kekeluargaan pula syari`at dilaksanakan untuk mencapai objektif pengaturan hubungan antara dua jenis makhluk manusia (lelaki-perempuan), kelanjutan zuriat, kedamaian dan kasih-sayang, kejelasan nasab keturunan, komitmen keagamaan (tadayyunlreligiosity), pemantapan keluarga sebagai sebuah institusi, dan pengurusan harta keluarga secara benar.

Al-maqasid di Ranah kemasyarakatan dan Kemanusiaan

Objektif murni syari`at yang terkandung dalam al-kulliyyat al-khamsa tidak hanya untuk kepentingan individu, tetapi harus meratai seluruh warga umat dan manusia sejagat. Al-Shaykh Ibn `Ashur disebut sebagai tokoh pertama yang memperingatkan hakikat tersebut. Mungkin peringatan inilah yang disambut oleh Dr. Jamal al-din `Atiyyah dengan membuat huraian tentang aktualisasi al-maqasid dalam pelbagai bidang kehidupan: perseorangan (individu), kekeluargaan, keumatan dan kemanusiaan. Makalah ini akan memakai acuan Dr. `Atiyyah dalam perbincangan tentang al-maqasid dengan tumpuan pada ranah keumatan dan kemanusiaan.

Dalam bidang kehidupan kolektif (keumatan dan kemanusiaan), antara objektif (maqasid) yang harus direalisasikan termasuklah:

Memastikan wujudnya umat secara nyata dengan esensi hakikinya, dan ciri-ciri khasnya. Untuk itu institusi-institusi keumatan seperti baitulmal, masjid, sekolah, mahkamah, kepolisan dan sebagainya harus diperkasa, ditingkatkan wibawa dan integritinya agar umat terus hidup sebagaimana layaknya walau apa pun perubahan -- sosial-ekonomi-politik -- yang berlaku. Untuk mencapai objektif kewujudan umat secara yang bererti, syari`at Islam sangat menekankan semangat kesatuan ummatik atau wahdat al-ummah berasaskan kesatuan `aqidah, kesatuan syari`ah, dan kesatuan budaya (khususnya bahasa). Ini tidak bererti bahawa serba-serbinya harus satu. Dalam bingkai kesatuan berasaskan tiga tonggak di atas (`aqidah, shari`ah, thaqafah/lughah), wujud ruang yang secupkupnya bagi perbezaan dan kepelbagaian. Kesatuan ummah tidak menghalang wujudnya kepelbagaian mazhab fiqh, kepelbagaian aliran ilmu kalam, dan kepelbagaian parti politik. Yang penting adalah kesepakatan prinsip-prinsip asasi dan kesamaan rujukan terakhirnya - al-Kitab dan al-Sunnah.

Objektif pewujudan ummah secara nyata dan real harus dicapai menerusi pembinaan ciri khayriyyat al-ummah, ciri keunggulan umat (khayra ummah): komitmen terhadap pengembangan nilai-nilai kemakrufan, dan pemberantasan elemen-elemen kemungkaran berasaskan semangat keimanan kepada Allah. Demikianlah umat yang religious, memiliki kepedulian sosial yang tinggi, dan komited terhadap idealisme pembinaan masyarakat berasaskan iman (faith-based) dan nilai-nilai sakral keagamaan. Objektif tersebut juga harus direalisasikan menerusi pembudayaan amal kolektif, beroganisasi dan bersemangat musyawarah (shura).

MEMAHAMI KEMUDAHAN DAN KERINGANAN ISLAM

Islam merupakan agama rahmat kepada manusia dan alam ini. Rasulullah memerintahkan untuk memudahkan sesuatu perkara dan tidak menyulitkan. Pengertian mudah di sini bererti mengikuti manhaj yang memberi keluasan dan toleransi, keringanan yang jauh daripada tindakan menyulitkan, sukar dan berat. Sementara 'mempersulit' adalah manhaj yang menimbulkan kesulitan, kesempitan dan kesukaran terhadap manusia. Allah menjadikan fitrah manusia untuk menyukai kemudahan dan keluasan. Dalam syariat Islam, hukum-hukum dilandaskan atas kemudahan,bukan atas kesulitan. Al-Qaradawi membawa dalil al-Quran bagi menyokong hujahnya seperti ayat al-Baqarah, ayat 185, al-Ma'idah ayat 6, al-Anfat, ayat 66. Namun, seruan kepada kemudahan bukanlah bermakna menghalalkan semua yang diharamkan berdasarkan dalil yang pasti seperti riba, minum arak, perjudian dan sebagainya. Semua yang tercantum dalam nas yang jelas tidak boleh diganggu-gugat lagi. Menurut al-Qaradawi, sikap keras bukan pada tempatnya sangat merugikan Islam kerana menimbulkan kerosakan dan menghilangkan banyak kemaslahatan. Beliau menyeru kepada para aktivis Islam membicarakan tanda-tanda kemenangan Islam dan kecerahan masa depannya. Tidak ada tempat untuk kita menghiburkan diri dengan cerita-cerita malapetaka hari kiamat, mengatakan dunia Islam seburuk-buruknya dan masa depan Islam selalunya lebih buruk dari masa lalu, keimanan akan punah dan kezaliman akan bermahajalela.Keadaan seperti ini akan menyebabkan umat Islam berputus asa dan berasa tidak mampu untuk melakukan perubahan, meluruskan yang bengkok dan merubah keadaan ke arah yang lebih baik.

BULI DALAM PERKHIDMATAN TENTERA

Temubual bersama wartawan BERITA HARIAN . Latifah Ariffin berkaitan dengan isu buli dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Telah disi...