Thursday, May 3, 2012
KAGAT 27 TAHUN: TINGKATKAN PERANAN
Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal
PADA 16 April 2012 yang lalu warga KAGAT meraikan ulangtahun penubuhannya ke 27
di Institut Latihan dan Kefahaman Islam ATM (ILMI) Port Dickson. Seperti biasa program sambutan dipenuhi dengan pelbagai acara termasuk perbarisan sebagai satu acara wajib dalam organisasi ketenteraan.
Apa yang penting, KAGAT sebagai sebuah organisasi yang telah diamanahkan untuk membina kekuatan spritual dan mental anggota Angkatan Tentera Malaysia sekaligus melahirkan angota tentera yang berkualiti bagi mencapai misi ATM iaitu mewujud dan merealisasikan angkatan tentera yang sentiasa siaga dan melindungi kedaulatan dan integriti negara.
Pada asasnya dalam tempoh 27 tahun ini KAGAT telah berjaya memainkan peranannya dengan berkesan, namum segala kejayaan yang telah capai, tidak akan membuatkan KAGAT lupa atau telah berpuas hati dengan apa yang telah dilaksanakan. Organisasi KAGAT, kepimpinan dan seluruh warganya perlu terus berusaha untuk meninggikan syiar Islam dalam ATM sekaligus sebagai elemen yang penting dalam organisasi ATM. Bagi mencapai hasarat tersebut warga KAGAT yang juga merupakan pendakwah perlu terus tekal dan mampu berperanan sebagai pegawai KAGAT dan pendakwah dalam ATM. Untuk itu, semua warga KAGAT perlu mempunyai beberapa ciri penting bagi memastikan KAGAT mampu mengharungi cabaran dalam menyampaikan dakwah yang berterusan dalam organisasi ketenteraan. Salah satu daripadanya ialah Mempunyai daya tahan dan motivasi yang tinggi.
Daya tahan dan semnangat yang tinggi amat penting bagi pendakwah. Ini adalah untuk memastikan pendakwah tidak terjebak dengan cabaran-cabaran di sekelilingnya, yang memungkinkan akan memberikan kesan negatif terhadap diri dan dakwah yang ingin disampaikan. Perkara ini dapat diambil pengajaran dari kisah Anas bin Nazhir, salah seorang sahabat Nabi yang tidak berpeluang berjuang dalam Peperangan Badar, dan beliau telah berjumpa dengan Rasulullah dengan katanya, “ Wahai Rasulullah, aku tidak dapat ikut serta dalam Perang Badar pada kali ini dan jika ditakdirkan aku berpeluang untuk berjuang di medan lain aku akan buktikan kepadamu Wahai Rasulullah”. Dalam Perang Uhud beliau telah berpeluang ikut serta dan berjuang melawan tentera musyrikin setelah para pemanah tentera Islam meninggalkan tempat mereka. Lalu Anas bin Nazhir berkata, “ Ya Allah aku memohon maaf kepadaMu atas perbuatan rakan-rakanku dan ia terus be medan juang dengan penuh semangat lalu gugur syahid. Berdasarkan kisah tadi ternyata Anas bin Nazhir telah menunaikan janjinya kepada Allah dan menggunakan daya motivasi yang tinggi serta semangat yang kental untuk berjuang di jalan Allah. Dengan motivasi yang kuat, seseorang itu akan mendapat mencapai tahap tinggi. Ini berdasarkan sabda nabi yang bermaksud,
“ Sesiapa yang berdoa mati syahid dengan bersungguh-sungguh kerana Allah, maka Alah akan menyampaikannya ke tingkat orang yang mati syahid. Walaupun ia mati di atas katil” (hadis riwayat Muslim).
Wednesday, April 11, 2012
SALING MENASIHATI BINA MASYARAKAT BAHAGIA

Oleh: DR BURHANUDDIN ABDUL JALAL
KITA sering mendengar perkataan nasihat dan kata-kata nasihat. Menurut Kamus Dewan (2002), nasihat bermaksud ajaran, peringatan atau petunjuk yang baik. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Agama adalah nasihat."
Sesungguhnya nasihat merupakan aspek yang penting dalam kehidupan. Ia merupakan salah satu alat yang dapat mendidik dan membina masyarakat ke arah yang lebih baik. (rujuk Ali Imran: 110).
Sehubungan dengan itu kita disarankan memberikan nasihat dan menyelesaikan masalah umat yang memerlukan bantuan. Ini bersesuaian dengan prinsip yang telah difirmankan oleh Allah yang bermaksud: ...Dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (ar-Ra'd: 11)
Sebagai umat Islam kita dididik dan dilatih untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan saling menasihati bagi membina umat Islam ke arah yang terbaik.
Walaupun ada ketikanya mungkin nasihat kita tidak dapat diterima oleh orang, tetapi kita perlu menguatkan semangat untuk memberi nasihat dengan penuh keikhlasan sebagai tanda cinta kita kepada Allah SWT.
Kita mungkin bertanya kepada diri kita: "Apakah ganjaran yang diperoleh jika memberi nasihat kepada orang lain?"
Untuk itu mari kita teliti sabda Rasulullah yang bermaksud: "Tiga orang pertama yang masuk syurga ialah orang yang syahid, seorang yang menjaga kesucian diri dan seseorang yang menyembah Allah dengan baik dan sempurna serta menasihatkan manusia."
Dalam hidup ini mungkin kita sering menjadi orang pertama memasuki masjid, tetapi adakah kita sering menasihati orang lain.
Jika demikian, kita tidak terpilih di antara orang yang pertama masuk syurga, kerana kita tidak memberi nasihat atau peringatan kepada orang lain.
Oleh itu, kita perlu mula untuk menasihati orang lain bersesuaian dengan kemampuan kita dan janganlah pula kita berkata: "Nasihat saya tidak memberi kesan kepada sesiapa dan tidak merubah keadaan." Tetapi yakinlah bahawa usaha itu akan mengubah keadaan atau seseorang dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang. Sesungguhnya masyarakat akan berubah apabila telah biasa mendengar nasihat.
Dalam satu peristiwa seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah aku hendak berikrar janji setia bersama Islam, apakah syarat yang perlu dipenuhi?" Lalu Rasulullah bersabda: "Hendaklah memberi nasihat kepada setiap Muslim."
Umar al-Khattab pernah berkata: "Tidak ada kebaikan yang dapat diharapkan dari umat yang enggan untuk saling menasihati dan umat yang tidak mahu menerima nasihat. Semoga Allah merahmati seseorang yang menasihati dari kekeliruan."
Kepada orang-orang yang enggan menerima nasihat, dengarlah firman Allah yang bermaksud: Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertakwalah Engkau kepada Allah" timbullah kesombongannya Dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahanam dan demi sesungguhnya, (neraka jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal. (al-Baqarah: 206).
Islam sentiasa mengamalkan konsep nasihat menasihati dalam masyarakat dan ini telah berjalan di kalangan umat Islam.
Sehubungan itu, tidak hairanlah bahawa umat Islam pernah mencapai kegemilangan pada masa lalu dan kegemilangan itu perlu dikembalikan dengan kesediaan umat untuk memberi dan menerima nasihat pada masa kini dan akan datang.
Sunday, April 1, 2012
MENGHIDARI SINDROM RABUN DALAM DAKWAH

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal
TUGAS dakwah memerlukan usaha yang serius, tersusun rapi, kesungguhan dan penuh istiqamah. Walau bagaimanapun mungkin terdapat beberapa kelemahan yang berpunca daripada kurangnya penelitian atau pendedahan kepada kaedah-kaedah pengurusan moden yang akhirnya memberi kesan negatif terhadap kelancaran dan kejayaan kepada aktivis serta organisasi dakwah.
Salah satu kelemahan atau gejala penyakit yang berbahaya dalam organisasi gerakan dakwah ialah sindrom rabun. Penyakit ini akan menyebabkan organisasi dakwah menjadi kehilangan arah dan hanya sibuk dengan kerja-kerja atau pengurusan harian harian dan melaksanakan aktiviti yang bersifat ritual semnata-mata. Pada asas program dan aktiviti dakwah yang sewajarnya dilaksanakan oleh organisasi dakwah amat banyak dan ia melibatkan pelbagai aspek dan komitmen yang tinggi.
Mengikut Kamus Dewan (2002), rabun ditakrifkan sebagai kabur ataupun kurang jelas. Manakala takrif yang diguna pakai dalam risalah yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihanat Malaysia (2010), rabun mata bermaksud mata tidak dapat membiaskan cahaya dengan baik dan ini akan menyebabkan penglihatan jadi kabur. Pada umumnya rabun mata terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
a. Rabun dekat(myopia). Ini bermaksud objek dekat boleh dilihat dengan jelas tetapi objek jauh menjadi kabur.
b. Rabun jauh (hypropia). Objek dekat menjadi kabur tetapi objek jauh boleh dilihat dengan jelas.
c. Astigmatism. Objek dekat dan jauh kelihatan tidak sempurna dan kabur.
Bagi organisasi dakwah yang hanya menumpukan kepada beberapa aspek aktiviti dan ingin mencapai objektif tertentu sahaja, bermakna organisasi dakwah tersebut serta para pendokongnya tidak mampu melihat perjalanan dan matlamat organisasi dakwah yang didokong dengan lebih jauh.
Beberapa aspek teknikal seperti data, statisik, senarai nama, aspek kewangan peningkatan jumlah tertentu sasaran yang terlibat dengan aktiviti atau peningkatan jumlah anggota atau ahli dalam organisasi pada tahun-tahun dan penting dalam pelaksanaan dakwah. Amat malang sekali bagi para pendokong organisasi dakwah yang hanya melihat sasaran-saran tertentu berdasarkan tahun-tahun yang telah ditetapkan sahaja, sedangkan ada perkara lain yang amat penting untuk dilihat dan dikaji berdasrkan sasaran yang telah ditetapkan. Para pendokong organisasi dakwah perlu melihat dengan lebih jauh tentang sasaran yang telah ditetapkan itu. Jika sekiranya jumlah keanggotaan yang diiingini telah dicapai pada tahun tertentu, tetapi perkara yang lebih penting ialah apakah dan ke manakah arah potensi anggota dakwah yang ramai dan yang telah terpilih itu hendak disalurkan dan bagaimana pula ahli-ahli lama, serta bagaimana untuk mengoptimumkan kepakaran dan pengalaman yang telah mereka miliki bersama organisasai selama ini? Selain dari itu, mungkin banyak lagi persoalan yang boleh dikaji dan dianalisis setelah statistik dan data tertentu dicapai.
Melihat situasi gerakan dakwah yang terdapat di negara kita pada masa kini, para pendokong dan aktivis dakwah disaran untuk menghindari penyakit atau gelaja rabun dalam mengurus organisasi dakwah.
Wednesday, March 7, 2012
HARI TD KE 79: IKRAR KESATERIA PENGUKUH PERJUANGAN

Oleh DR BURHANUDDIN ABDUL JALAL
TARIKH 1 Mac setiap tahun sentiasa diingati seluruh warga Tentera Darat Malaysia kerana ia merupakan tarikh ulang tahun Tentera Darat. Sempena ulang tahun ke-79 tahun tahun ini tema yang diambil ialah1Angkatan Tetap Gagah Tetap Setia.
Aspek kesetiaan dalam budaya tentera darat sentiasa dititikberatkan mulai seseorang anggota itu memasuki perkhidmatan.
Salah satu amalan yang sering dilakukan berhubung dengan kesetiaan ialah amalan membaca ikrar kesatria.
Ikrar tersebut jelas mempunyai nilai penghayatan Islam yang kuat oleh itu mematuhi pemerintah adalah sesuatu yang wajib. Ini berdasarkan surah al-Nisa' ayat 59.
Para ulama tafsir seperti Ibnu Kathir, Imam al-Qurtubi dan Jalalain, memberikan makna yang pelbagai dalam mentafsirkan ulil amri. Jika digabungkan makna tersebut ia menepati apa yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW: Barang siapa yang mentaati aku, sesungguhnya ia telah mentaati Allah dan barang siapa yang menderhaka aku, sungguhnya ia telah menderhaka Allah dan barang sesiapa yang mentaati amir aku ia telah mentaati aku, dan sesiapa yang menderhaka amir aku, ia telah derhaka aku. (Bukhari dan Muslim)
Wednesday, February 15, 2012
MENGUKUH KEYAKINAN KEPADA ALLAH

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal
Setiap hari memohon doa ke hadrat Allah SWT sama ada pada waktu malam atau pun siang. Namun doa yang kita baca, lafaz atau dipohon ke hadrat Allah SWT itu, adakah dilakukan dengan penuh kesungguhan dan keyakinan? Soalan ini perlu kita tanya pada diri sendiri dan perlu dijawab dengan penuh jujur dan keikhlasan.oleh Ini adalah kerana kita mesti meyakini Allah dengan keyakinan yang sekuat-kuatnya tanpa batasan.
Keyakinan dengan penuh tulus dan keikhlasan tanpa kepentingan-kepentingan tertentu. Sebagai seorang Islam kita wajib meyakini di atas segala kekuasaan Allah SWT, Yang Maha Menguasai dan Maha Mengetahui. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada Kami dan benarlah (Apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah”( al-Ahzab 33:22)
Pada umumnya kehidupan manusia bergantung kepada suasana keadaan sekeliling, namun bagi mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT perlu meyakini bahawa kehidupan ini adalah ketentuan dan ketetapan Allah di samping usaha yang dilakukan dan tawakal kepada Allah SWT. Ini diperkukuh lagi dengan doa atau kata-kata yang sentiasa terucap di bibir, “ Ya Allah aku sambut panggilanmu, aku menerima perintahmu dan aku reda atas kehendakmu”.
Saturday, January 28, 2012
HARGAI MASA!

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal
Dapatkah kita memahami mengapa waktu ini begitu penting bagi kita? Mungkin persoalan ini tidak mempengaruhi diri kita sedikit pun kerana kita telah terbiasa dalam kehidupan seharian dengan ketidakpedulian kita terhadap waktu atau masa. Tulisan berikut mungkin akan menyedarkan diri kita kembali mengapa waktu begitu penting serta berharga dalam hidup ini.
Dalam al-Quran Allah SWT banyak bersumpah dengan waktu dan Allah menyebut perkara tersebut dalam banyak tempat dan ini menunjukkan bahawa waktu adalah amat penting sekali. Berikut adalah ayat-ayat dalam al-Quran di mana Allah telah bersumpah dengan waktu. Firman Allah SWT yang bermaksud,
”Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya),Dan siang apabila ia lahir terang-benderang”. ( al-Lalil 92: 1-2).
” Demi waktu dhuha, Dan malam apabila ia sunyi-sepi” ( ad-Dhuha 93: 1-2).
”Demi waktu fajar;Dan malam Yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)” (al-Fajr 89: 1-2)
”Demi matahari dan cahayanya Yang terang-benderang;Dan bulan apabila ia mengiringinya”
“Demi Masa!( Al-Quran, al-Asr 103: 1)
Apakah sebabnya Allah menyuruh manusia memikir dan merenung tentang sumpah tentang waktu yang telah disebutkan oleh Allah SWT? Ia berhubung dengan waktu, anugerah paling mahal yang diberikan kepada seluruh manusia. Umat atau manusia yang tidak tahu menghargai waktu tidak mungkin akan menjadi manusia atau umat yang maju. Dalam al-Quran kita telah pun membaca firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud,
“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia”.
Dalam ayat di atas Allah menyebut bahawa manusia adalah umat yang terbaik, namun demikian pada prinsipnya ia akan menjadi umat yang terbaik apabila manusia mampu memanfaatkan seluruh kurnia Allah dan tidak menyalahgunakannya segala anugerah tersebut khususnya waktu atau masa. Sebagai manusia yang terbaik adakah kita telah dapat merasakan kepentingan waktu dalam hidup kita ini?
Sesungguhnya seluruh kehidupan dan amal umat Islam sentiasa berhubung dan berkaitan dengan waktu. Lebih-lebih lagi yang berkait rapat dengan ibadat. Dalam ibadat solat umpamanya, aspek waktu amat dititik beratkan. Ketika di tanya oleh para sahabat kepada Rasulullah tenang apakah amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT?”. Baginda menjawab. “solat tepat pada waktunya”. Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada Dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan Yang Diwajibkan atas orang-orang Yang beriman, Yang tertentu waktunya”
Sunday, January 22, 2012
MEMAHAMI TRANSFORMASI

Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal
Sejak akhir-akhir ini istilah tranformaasi amat popular dan banyak orang telah memberikaan pelbagai tafsiran dan pendekatan. Bagi penulis, tranformasi atau islah dalam konteks Islam yang berteraskan dua aspek yang disebutkan iaitu al-Islah al-insan (transformasi kehidupan insan) dan al-Islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia) adalah saling berkaitan di antara satu sama lain, kegagalan pada satu aspek akan memberi kesan kegagalan kepada aspek yang satu lagi. Ia umpama benih dan juga tanah yang saling berkaitan dalam bidang pertanian. Manusia seumpama benih yang perlu ditanam di tanah yang sesuai dan sistem (manhaj) merupakan tanah yang subur perlu bagi pertumbuhan benih yang baik. Benih-benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah yang gersang atau kering. Jika sebaliknya, walaupun tanahnya subur dan baik tetapi benihnya tidak baik atau rosak, kita tidak boleh mengharapkan pokok akan tumbuh dengan subur dan akan berbuah dengan lebat dan segar. Oleh yang demikian, dalam menghadapi tahun baru 2012 kita perlu membina semangat baru dan berazam untuk menjadi individu yang bersedia untuk melakukan perubahan yang lebih baik dan berkesan serta menjadi insan yang berguna, seperti mana yang telah diperingatkan oleh Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25 yang bermaksud,
“ Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)”
Subscribe to:
Posts (Atom)
BULI DALAM PERKHIDMATAN TENTERA
Temubual bersama wartawan BERITA HARIAN . Latifah Ariffin berkaitan dengan isu buli dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Telah disi...
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal Tokoh ilmuwan dan Gerakan Islam Dr. Yusuf al-Qardhawiy menyebutkan enam jenis ilmu yang perlu dipelajari d...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...
