Thursday, May 6, 2010

PERSIAPAN MENGHADAPI INDIVIDU SUKAR

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam beberapa mingu yang lalu saya telah memperkatakan tentang wujudnya individu-individu sukar dalam dunia dakwah. Oleh yang demikian para pendakwah perlu dibekalkan dengan persiapan yang rapi dan teknik yang mencukupi agar dakwah yang disampaikan itu berkesan dan dapat diterima oleh golongan sasaran. Antara teknik yang perlu dibina di kalangan pendakwah adalah perkara-perkara berikut:
• Sifat ikhlas.
• Jika tidak mampu melawan sertai mereka.
• Hadapinya bukan lari dari mereka.
• Berikan kesempatan untuk kebaikan.
• Targhib dan Tarhib (berita gembira dan peringatan).
• Melengkapi ilmu dakwah dengan kesesuaian zaman dan masa.
• Sabar dan tidak cepat marah.
• Mesti berani, jika undur susun strategi.
• Gunakan perkataan lemah lembut,
• Bantuan dan adat bantu
• Latihan ke arah penyempurnaan
• Sentiasa berserah dan bergantung harap kepada Allah.

Semoga beberapa perkara ini dapat kita manfaatkan bersama. Selamat berdakwah.

Saturday, May 1, 2010

MENULIS DAN KEINSAFAN

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Pada setiap malam jumaat kita akan hadir ke surau, masjid atu di rumah masing-masing akan membaca surah Yaasin. Dalam ayat 65,surah Yaasin Allah SWT telah menegaskan:
الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
“Pada hari Kami menutup rapat mulut mereka, manakala tangan mereka mengatakan kepada Kami keperihalannya, kaki mereka menjadi saksi terhadap segala perbuatan mereka yang lalu.”

Ini bermakna penulisan apa juga bentuknya mestilah disertai dengan rasa tanggungjawab yang tinggi. Manusia tidak terjerumus dalam neraka kecuali hasil penuturan lisan atau pengungkapan penanya. Seorang penulis blog umpamanya mestilah:
1. Mengikhlaskan niat menulis kerana Allah. Tulisan kerana Allah menghalakan kandungannya kepada suatu yang benar, betul dan berfaedah. Niat berkenaan mengangkat martabat penulisan itu sebagai ibadah yang diganjari oleh Allah dengan pahala dan kebaikan.
2. Penulisan itu mestilah menyebarkan nilai-nilai kebenaran dan kandungan ayat dan wahyu agama. Ia wajar menampilkan saranan yang berguna dan tidak bersifat munkar dan fahsya’.
3. Penulis blog perlu memainkan peranan sebagai penyeru ke arah kebaikan atau al Aamir bil ma’ruf dengan kepintaran berbahasa, mengadun warna atau imej grafik yang bernilai tinggi, menampilkan blog yang mesra pembaca dan sebagainya.
4. Penulis blog juga perlu melaksanakan tugas nahy ’anil munkar. Mencegah kecenderungan ke arah kejahatan serta meminggirkan pautan-pautan buruk yang boleh menyeret muda mudi serta pengunjung blog ke laman-laman web lucah dan porno.
5. Sebagai pemangkin kepada reformasi pemikiran, sosial, politik , ekonomi dan budaya maka bloger perlu mempersiapkan diri dengan ilmu serta keupayaan kepimpinan setakat yang terluang oleh persekitaran.
Tidak menggunakan blog untuk memfitnah dan menganiayakan orang lain, mencerca dan sebagainya.

Semoga kutipan daripda kertas kerja yang ditulis oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dalam satu seminar dapat dimanfaatkan bersama dalam keaktifan kita dunia siber ini.

Friday, April 30, 2010

LIDAH TIDAK BERTULANG!

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Pencermah kuliah subuh di Surau Kampung Jiboi Baru pagi ini menyentuh tentang pentingnya menjaga lidah atau kepntingan menjaga mulut. Pepatah melayu ada berkata, " sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa". Pada umumnya juga lidah atau percakapan merupakan gambaran hati dan juga peribadi seseorang itu. Berdasarkan penelitian, masalah penjagaan lidah di kalangan masyarakat masih lagi di tahap yang rendah kerana dalam amalan dan percakapan mereka tidak menggambarkan penjagaan lidah yang sewajarnya bagi seorang Muslim. Ini adalah kerana kegagalan mereka untuk menjaga lidah yang merangkumi aspek berikut:

a. Percakapan yang tidak berguna Bercakap sesuatu yang tidak bermanfaat dan tidak diperlukan meskipun tidak berdosa (mubah) akan berakibat beratnya hisab di hari kiamat kelak. Ini adalah kerana menyibukkan diri dengan percakapan seperti itu bererti mensia-siakan masa, dan telah menggantikan ucapan-ucapan yang baik dengan ucapan yang lebih rendah. Rasulullah s.a.w bersabda, “Termasuk tanda baiknya keislaman seseorang adalah ia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya.” (HR Ibnu Majah dan Turmudzi).
b. Melibatkan diri dalam percakapan yang batil . Bercakap atau berbual tentang perkara yang berhubung dengan kemaksiatan, seperti menceritakan kisah perempuan, kesenangan orang fasiq dan lain sebagainya. Nabi bersabda, “Orang yang paling besar dosanya pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak melibatkan diri dalam pembicaraan yang batil.” (HR Ibnu Abid Dunya).
c. Sering berbantahan dan perdebatan. Nabi saw bersabda, “Janganlah kamu mendebat saudaramu, dan janganlah kamu bersenda gurau dan janganlah kamu membuat janji dengannya lalu tidak kamu tepati.” (HR Turmudzi).
d. Memaksa orang lain atau orang bawahan membuat-buat kefasiqan dan mengatakan perumpamaan di luar batas kewajaran. Perkara-perkara ini termasuk perkataan yang tercela karena menyebabkan berlanjutan perbincangan, dan boleh menimbulkan salah faham. Nabi bersabda, “Akan datang suatu masa kepada manusia, mereka mengunyah pembicaraan dengan lidah seperti sapi mengunyah makanan dengan lidahnya.” (HR Ahmad).
e. Bercakap keji, jelik dan cacian.. Ia tercela dan dilarang karena menjadi sumber keburukan dan kehinaan, Nabi bersabda, “Mencaci-maki mukmin adalah kefasiqan, sedangkan membunuhnya adalah kekafiran.” (HR Bukhari Muslim)
f. Sumpah seranah. Ini bermaksud menyumpah atau melaknati binatang, benda mati atau manusia, kesemuanya itu adalah sifat yang tercela. Rasulullah s.a.w bersabda, yang bermaksud, “Orang mukmin itu bukan orang yang suka melaknat.” (HR Turmudzi).
g. Suka kepada nyanyian dan hiburan. Nyanyian atau syair yang baik atau yang tidak mengandung kata-kata yang dibenci adalah baik, tetapi nyanyian atau perkataannya buruk perlu ditinggalkan.
h. Senda gurau yang berlebihan. Senda gurau pada asasnya dibolehkan tetapi yang dibenarkan ialah ianya tidak menyakiti, tidak berbohong dan tidak berlebihan, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi.
i. Ejekan dan cemuhan. Perbuatan mengejek atau mencemuh orang lain juga sering berlaku dalam masyarakat . Dalam perkara ini Allah berfirman dalam Surat 49 : 11.

” Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasiq, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
j. Menyebarkan rahsia. Perbuatan ini juga sering dilakukan di kalangan anggota tentera, khususnya rahsia yang berkaitan dengan peribadi seseorang dengan tujuan untuk menjatuhkan diri atau reputasi orang lain atas kepentingan tertentu khusus dalam mengejar pangkat dan jawatan. Dalam hal ini nabi telah bersabda yang bermaksud, “Apabila seseorang berbicara dengan suatu pembicaraan kemudian berpaling dari isi pembicaraan tersebut adalah amanah.” (HR Abu Dawud dan Turmudzi)
k. Janji palsu dan berdusta. Perkara ini juga sering berlaku dalam kehidupan atau dalam kerjaya. Janji dan pembohongan dalam perkara-perkara tertentu banyak berlaku. Dalam aspek ini Rasulullah telah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya dusta membawa kepada kederhakaan, sedangkan kederhakaan menyeret ia kepada neraka, dan sesungguhnya seseorang berdusta hingga ditulis di sisi Allah sebagai pendusta.” (HR Bukhari Muslim)
l. Mengumpat (Ghibah). Mengumpat atau ghibah adalah menyebut hal saudaranya dengan perkara yang tidak disukainya seandainya ia mendengarnya (baik penyebutannya dengan lisan, tertulis, isyarat atau dengan cara “memburukkan” seseorang untuk merendahkan saudaranya). Antara faktor atau penyebab ghibah antara lain ialah melepaskan kemarahan, bertolak ansur dengan kawan, membanggakan diri, dengki, bersenda gurau, ingin melepaskan diri dari perbuatan yang dituduh kepada dirinya, merendahkan teman, atau memburukkan orang lain.
m. Perbuatan lidah bercabang. Ini bermaksud percakapan atau perkataan yang bolak-balik antara dua orang berselisih dan kepada masing-masing ia mengatakan apa yang disetujuinya. Dalam hal ini Nabi pernah bersabda yang bermaksud, “Kalian mendapati di antara hamba Allah yang paling buruk pada hari kiamat adalah orang yang memiliki dua wajah. Ia datang kepada dua pihak dengan suatu persetujuan dan datang kepada pihak (lain) dengan persetujuan yang (lain pula).”
n. Sanjungan atau pujian yang berlebihan. Sanjungan atau pujian berlebihan mungkin akan mengakibatkan oleh enam kesan negatif; empat daripada terhadap orang yang menyanjung, dan dua lagi kepada orang yang disanjung. Penyakit atau kesan negatif terhadap orang yang menyanjung adalah :
• Berlebih-lebihan sehingga sampai kebohongan.
• Kemungkinan menutupi kesilapan dan kesalahan
• Kadang-kadang mengatakan hal yang tidak sebenarnya. Nabi bersabda,“Celaka kamu, kamu telah memenggal leher temanmu seandainya dia mendengarnya nescaya dia tidak akan beruntung.”
• Bila mendapat sanjungan tersebut membuat senang orang yang disanjung sedangkan ia orang zalim atau fasiq.
Penyakit atau kesan negatif terhadap orang yang disanjung adalah:
• Kesombongan dan ujub.
• Menyenangi sanjungan dan berpuas tau berasa hairan terhadap dirinya sendiri (ujub).
o. Kurang cermat dalam percakapan. Banyak bercakap dan kurang cermat bila berkata-kata juga berlaku di kalangan anggota. Jika ini tidak dijaga atau cermat ia merupakan ancaman yang berbahaya bagi seseorang kecuali jika lidahnya “fasih”, didukung ilmu yang luas, sifat warak, berhati-hati dan sentiasa berawas dengan ketat. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “Barang siapa diam maka pasti selamat.” (HR Turmudzi)
p. Melibatkan diri secara tidak bijak terhadap beberapa perkara atau pertanyaan yang tidak berfaedah. Dalam perkara terdapat sebahagian di kalangan anggota yang suka bertanya atau melibatkan diri dengan perkara yang pelik-pelik. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, “Biarkan apa yang aku tinggalkan untuk kamu semua, karena sesungguhnya orang-orang sebelum binasa karena banyak bertanya, dan menentang Nabi mereka. Apa yang aku larang untuk kamu maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa yang aku perintahkan kepada kamu maka hendaklah kalian mengerjakannya sebaik mungkin.” (Hadis Riwayat Bukhari Muslim)
q. Amalan mengejek (Namimah). Namimah bermaksud mengejek apa saja yang tidak disukai oleh diri atau kumpulannya terhadap pihak lain sama ada secara melaporkan kepada orang lain atau yang dilaporkan oleh pihak ketiga melalui perkataan, tulisan, isyarat dan sebagainya. Firman Allah s.w.t dalam al-Quran surah Al-Qalam 11
”Yang suka mencaci, lagi Yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), -

Oleh yang demikian, dalam ajaran Islam, seorang yang tidak menjaga lidahnya iaitu berkata-kata tanpa memikirkan akibat buruk dari kata-katanya boleh menjerumuskannya masuk ke dalam neraka seperti kata-kata yang membawa kukur seperti menghina Allah dan para nabi. Ajaran Islam mernhendaki hubungan sesama manusia terutama saudara Islam itu terselamat daripada segala penganiayaan sama ada berbentuk perbuatan atau perkataan. Orang Islam yang lebih utama ialah mereka yang memelihara lidah dan tangannya.Diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud, “ Wahai Rasulullah! Orang muslimin yang bagaimanakah yang paling utama?” Nabi menjawab: “Orang yang orang-orang Islam yang lain selamat dari lidah dan tangannya.”.

Dari perspektif ajaran Islam, percakapan yang baik adalah percakapan atau perbualan yang membawa kepada mengingat Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.Oleh itu, umat Islam perlu memelihara lidahnya dari melakukan perkara yang dilarang oleh ajaran Islam. Jalan selamat dalam memelihara lidah adalah membanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan mempelajari ilmu. Dengan itu, lidah akan mengangkat seseorang itu menjadi mulia dan membawa kejayaan kepada tuannya apabila digunakan pada jalan yang betul dan benar.

Wednesday, April 28, 2010

MEMAHAMI DAN MELAKSANA DAKWAH BIL HAL

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Istilah dakwah bil hal amat popular di kalangan umat Islam di Malaysia dan nusantara. Apakah yang dimaksudkan dengan dakwah bil hal itu? Pada pengerttian istilah dakwah bil hal merujuk kepada ungkapan lisan al-hal afsah min lisan al-maqal (bicara realiti keadaan, lebuh berkesan daripada bicara yang diucapkan). Pada hakikatnya dakwah bil hal adalah pelaksanaan dakwah bil qudwah (keteladanan) dan dakwah bil amal (perbuatan). Dengan kata lain dakwah bil hal adalah dakwah yang dilakukan melalui penampilam kualiti peribadidan aktiviti-aktiviti yang secara langsung menyentuh keperluan masyarakat. Menurut Ali Yaakub Matondang (2006), Dakwah bil hal sebagai satu manhaj atau pendekatan dakwah sosial (manhaj al-amal ma’a al-jamaah), perlu menjadikan kaedah-kaedah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sebagai garis panduan. Terdapat lapan kaedah dakwah sosial yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w iaitu:

a. Komitmen dan jati diri pendakwah (thiqah al-dai’iyyah).
b. Matlamat dan objektif yang jelas (tahdid al-hadaf).
c. Memahami situasi dan keadaan masyarakat (al-taaruf ala tabi’at al-mujtama’).
d. Penyediaan kepimpinan (tarbiyyah qiyadiah).
e. Penyampaian dakwah secara jelas ( al-ard al-wadih).
f. Menciptakan keunggulan dan daya penarik dakwah (ijad istiqtab hawl al-dakwah).
g. Moral dan akhlak mulia ( al-suluk al-mutabiq li al-mabadi’).
h. Sabar dan tabah menghadapi cabaran ( al-sabr wa al-tahammul).

Kaedah-kaedah yang di atas merupakan tonggak yang kukuh dalam mengaplikasikan dakwah terutama dalam melaksanakan dakwah bil hal. Selain dari itu dalam pelaksanaan dakwah bil hal ia memerlukan pendekatan yang sesuai dengan keadaan yang dihadapi. Di antaranya ialah pendekatan dalam bentuk berikut:

a. Taui’yyah (kesedaran). Ini bermaksud mengarahkan kesedaran agar sumbangan dakwah semakin jelas. Dengan demikian kerja-kerja dakwah menjadi lebih bertenaga, efisien dan produktif, kerana masyarakat atau golongan sasar telah menyedari potensi yang ada serta memiliki orientasi yang jelas dan ini akan memudahkan golongan sasar di arah untuk melakukan kebaikan-kebaikan.
b. Irsyad (bimbingan). Ini bermaksud memberi bimbingan sehingga masyarakat tidak terjebak dalam ranjau-ranjau kesesatan serta berada di jalan yang benar. Mampu menghadapi rintangan secara bermaruah, tidak pesimis dan tidak berputus asa dalam menghadapi sebarang situasi.
c. Himayah (perlindungan). Ini bermaksud memberikan perlindungan terhadap nilai-nilai murni sehingga tidak dicemari oleh tingkah laku menyimpang dan juga memberikan perlindungan kepada golongan sasar dari segala bentuk kezaliman.
d. Tanmiyyah (pembangunan). Bermaksud pembangunan dan pengembangan kehidupan masyarakat ke arah kemajuan yang membawa kepada kecemerlangan dan kebahagiaan mental dan fizikal, dunia serta akhirat.

Oleh yang demikian adalah wajar suatu tindakan drastik perlu diambil terhadap kaedah dan pendekatan dakwah yang dilakukan oleh semua pihak selama ini, kerana tahap penghayatan Islam masyarakat awam secara keseluruhannya tidak banyak berubah kerana masih belum pencapaian tahap mukmin dan muhsin seperti yang menjadi harapan kita bersama.

Tuesday, April 27, 2010

MEMBINA KESEDARAN SIVIK

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Hari ini saya ke Kuala Lumpur bagi menyelesaikan urusan yang perlu ditunaikan saban tahun iaitu urusan dengan Jabatan Hasil Dalam Negeri atau lebih ringkasnya urusan cukai pendapatan! Anda pula bagaimana telah beres? Semasa dalam teksi, saya telah dikejutkan dengan kenyataan pemandu teksi yang saya naiki dengan katanya, " Orang di KL ini tak ada kesedaran sivik, hanya mementingkan diri masing-masing". Rungut pemandu teksi yang bernama Samad itu. Saya terdiam dan terus memikirkan sesuatu apakah benar begitu?. Untuk itu saya teringat dengan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

“ Mukmin dan Mukmin yang lainnya adalah seumpama sebuah bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain”.


Jelas sekali itulah wajah dan ajaran Islam. Oleh yang demikian sewajarnya setiap individu Muslim atau setiap umat Islam perlu membebaskan diri dari mementingkan diri sendiri atau bersifat egoistik. Oleh kita marilah kita bertekad dan bersatu untuk bersedia mengorbankan diri demi kepentingan umat berbanding kepentingan diri dan keluarga semata-mata. Oleh yang demikian, ternyata Islam menyuruh dan menuntut kita umat Islam bersatu, tetapi kita kini berpecah- belah, mengapa?

Rasulullah SAW amat cinta dan kasih kepada umatnya. Sirah menjelaskan bahawa ketikan hampir wafat Nabi Muhammad SAW masih mengingati umatnya dengan linangan air mata. Baginda sentiasa menyebut,

“Ya Allah, umatku, umatku...”Kemudian Jibrail berkata kepada Nabi Muhammad menyampaikan aman Allah SWT, Allah menyatakan kepadamu bahawa Kami tidak akan menyakiti umatmu”. Baginda bersabda, “Para nabi mempunyai doa yang mendapat pengabulan di dunia, kecuali aku. Aku menunda doaku sebagai syafaat bagi umatku di hari kiamat kelak”.

Untuk itu kita lihat kisah beberapa oeang sahabat nabi yang sentiasa berjuang untuk berubah dan membina Islam. Antaranya:

a. Jabir bin Abdullah. Dalam peristiwa persiapan tentera Islam untuk menghadapi tentera kafir Quraisy, iaitu dalam peperangan Khandak, Nabi dan para sahabat bekerja keras menggali parit dan kubu selama 15 hari. Bagi menahan lapar akibat kekurangan makanan, nabi dan para sahabat mengikut perut dengan tali. Pada satu hari sahabat Nabi bernama Jabir bin Abdullah berjumpa Nabi dan berkata. “ Wahai Rasulullah, di rumahku ada sedikit daging dan roti, aku ingin menjemputmu datang ke rumah untuk makan bersamaku”.

Rasulullah memandang wajah Jabir dan bertanya, “ hanya aku seorang?”, Rasulullah menjawab, “ boleh mengajak seorang atau dua orang untuk pergi bersama”.Rasulullah kemudian naik ke atas bukit dan berkata, “ Wahai kaum Muhajirin, kaum Ansar, hari ini kita akan makan di rumah Jabir bin Abdullah”. Selepas itu Jabir bin Abdullah bergegas balik ke rumah dan menyatakan kepada isterinya, “ tolong aku, Rasulullah akan datang bersama semua tentera Muslimin untuk makan di rumah kita”, dengan nada kebingungan. “Apakah engkau memaklumkan kepada Rasulullah?” Tanya isterinya. “Ya”. Jawab Jabir. “ Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”. Jawab isteri Jabir. Apabila sampai pada waktu yang dijanjikan, Rasulullah datang ke rumah Jabir dan terus berjumpa Jabir, “ Wahai Jabir tugasmu menjaga pintu pada hari ini”, perintah Rasulullah. Seterusnya Rasulullah mencedok makan dan Jabir mempersilakan sepuluh orang demi sepuluh orang tentera untuk menikmati jamuan secara bergilir sehingga semua dapat makan dan kenyang. Jabir kemudian masuk dan berkata kepada Rasulullah, “ aku fikir makanan ini tidak cukup untuk semua orang makan dan ada orang yang tidak dapat menikmati makanan, tetapi ternyata mereka dapat makan semuanya”. Rasulullah menjawab, “Allah memberkatimu dan keluarga serta makanan yang kamu hidangkan”. Jabir kemudian melihat periuk makanan yang dimasak dan makanan tersebut tidak berkurang sedikit pun.


b. Umar al-Khattab Terdapat beberapa kisah berhubung dengan Umar al-Khattab khalifah Islam kedua. Sebagai seorang khalifah kedudukannya mulia dan tinggi di kalangan masyarakat dan umat pada waktu itu. Pada satu hari Umar melihat beberapa orang budak kecil dan terus mendukung budak kecil itu tanpa segan silu atau masalah.

Pada kisah yang lain pula, ketika menjelang saat-saat akhir hayatnya, Umar yang sakit terbaring di atas katil, masih sempat bertanya ,“ sudahkah orang-orang itu menunaikan solat?’.

Berdasarkan kisah di atas ternyata terdapat gambaran tentang kesatuan umat, kasih sayang, kekhuatiran terhadap umat serta tiadanya sikap egoisme dalam diri.


c. Anak-anak Jaafar bin Abu Thalib. Setelah Jaafar bin Abu Thalib meninggal dunia secara syahid di medan perang, Rasulullah bertanya keada para sahabat,”sesiapakah yang bersedia untuk menjaga anak-anak yatim itu?”.
Seorang sahabat berkata, “ Saya ya Rasulullah”.
Seorang sahabat lain turut berkata, “ Saya ya, Rasulullah”.
Seterusnya seorang lain sahabat juga menyatakan kesediaannya dan berkata, “Saya ya, Rasulullah”. Berdasarkan sirah, ketiga-tiga sahabat itu adalah antara yang termiskin di kalangan para sahabat yang lain. Tidaklah menghairankan terjadi kepada ketiga-tiga sahabat untuk menjadi bapa kepada anak yatim itu kerana Jaafar Abu Thaib ketika hidupnya sangat bersikap kasih sesama Muslim dan mendapat gelaran ‘bapa kaum miskin’ daripada Rasulullah.

Dalam peristiwa hijrah, Rasulullah telah mempersaudarakan orang Ansar (penduduk Madinah) dengan orang-orang Muhajirin (Orang yang berhijrah bersama Rasulullah). Setelah berlaku penghijrahan tersebit, orang-orang Ansar menyatakan kepada orang-orang Muhajirin, “Marilah kita berkongsi rumah, pakaian dan makanan”.

Dalam kisah yang lain di catatkan bahawa Salahudin al-Ayubi tidak pernah ketawa semasa hayatnya. Ketika ditanya tentang keengganannya untuk ketawa, ia menjawab, “ Bagaimana aku hendak ketawa, sedangkan Aqsa masih tertawan. Aku malu untuk senyum di hadapan Allah, ketika saudara-saudara ku di sana sedang menghadapi penderitaan”.

Jelas sekali tujuan hidup kita adalah untuk mempersembahkan sesuatu yang terbaik untuk umat dan menghindarkan sikap dan sifat egoisme atau kepentingan diri semata-mata. Hidup yang individualistik adalah kehidupan yang sempit. Orang yang hidup sedia berkorban demi umat, usianya akan bertambah dengan bertambahnya usia umat.

Monday, April 26, 2010

MENGENALI INDIVIDU SUKAR DALAM BERDAKWAH

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam melaksanalkan usaha-usaha dakwah, para pendakwah kemungkinan berhadapan dengan 'sekelompok individu sukar',yang tegar atau payah untuk didakwahi atau golongan yang sukar didekati. Dalam sebuah buku yang ditulis oleh Dr.Rick Brinkman dan Dr. Rick Kirchner (1985) dalam buku yang berjudul, “Dealing with people you can’t stand; How to bring out the best in people at their worst’ telah menyebutkan 10 kategori yang disebut individu sukar iaitu:
pada umumnya termasuk dalam kategori ‘individu yang sukar’ seperti yang disebut
i. ‘Kereta kebal’ (the tank) – Jenis orang yang suka berkonfrontasi, suka menyalahkan orang lain, panas baran dan suka mendesak serta agresif sifatnya.
ii. ‘Penembak curi’ (the sniper) – Jenis orang yang suka memberi komen dan kritikan yang kurang sopan, sindiran tajam, jelingan yang menyakitkan hati dan melihat orang lain dengan kebodohan melampau.
iii. ‘Bom tangan’ (the granade) – Jenis orang yang cepat melenting, suka menggembar-gemburkan dan merapu perkara-perkara yang tidak menentu dan tidak fokus serta sering tersasar daripada topik sebenar apa yang perkatakan.
iv. “Diri serba tahu’ (the know it all) –Jenis orang yang jarang melihat dirinya ada keraguan, dia merasakan dirinya telah tahu segala-galanya. Memiliki sifat toleransi yang rendah untuk diperbetulkan dan suka kepada percanggahan pendapat. Jika sesuatu yang buruk berlaku, orang kita akan berkata yang sama, bagaimana untuk menyalahkan orang lain.
v. “Fikir diri sudah serba tahu’ (the think they know it all)- Jenis orang seperti ini alah yang tidak akan membodohkan semua orang pada setiap masa, tetapi mampu membodohkan sesetengah orang pada masa-masa tertentu. Supaya dengan harapan dapat untuk mendapat perhatian ramai pihak.
vi. ‘Semua ya’ (the yes person) – Jenis orang yang usahanya untuk menyenangkan semu orang dan mengelakkan konfrontasi, tetapi orang jenis ini tidak berfikir dahulu sebelum menyatakan ‘ya’ pada orang lain. Akhirnya berlaku juga konfrontasi. Selalu bertindak kepada permintaan akhir dengan melupakan komitmen yang terpenting. Memberi terlalu banyak tanggungjawab kepada orang lain hinggakan tiada untuk diri sendiri. Akhirnya orang lain sakit hati.
vii. ‘Kebarangkalian’ (the maybe person) - Jenis orang yang suka menangguhkan keputusan ketika kata putus hendak dilaksanakan kerana berharapan pilihan yang terbaik akan muncul dengan sendurinya. Malangnya apabila tiba masanya, keadaan telah suntuk, akhirnya ia terpaksa membuat apa jua keputusan yang terlintas di fikiran.
viii. “Buta harap’ (the nothing person) – Jenis orang yang tidak mempunyai kata-kata, tidak ada tindakan susulan sebagai maklum balas. Tidak ada apa-apa yang boleh diharapkan dari orang seperti ini.
ix. ‘Semuanya tidak’ (the no person) – Jenis orang seperti ini lebuh bahaya dari peluru yang laju. Semua orang lain lakukan tidak bagus dan tidak betul. Dipengaruhi keinginan untuk melakukan sesuatu dengan tepat dan sempurna tanpa melakukan kesilapan (perfectoholic).
x. ‘Merengek’ (the winner) –Jenis orang yang sentiasa merasakan seperti tiada harapan. Suka merungut dan menyalahkan orang takdir. Mereka bijak melibatkan kita dengan masalah mereka dan jika kita terlibat dengan masalah mereka rengekan mereka akan bertambah kuat.

Oleh yang demikian para pendakwah umumnya perlu dibekalkan dengan persiapan yang rapi dan teknik yang mencukupi agar dakwah yang disampaikan itu berkesan dan dapat diterima oleh golongan sasaran atau kelompok yang dikategorikan dalam kumpulan individu sukar yang dimaksudkan.

Friday, April 23, 2010

JOM MENCARI ILMU!

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Penguasaan ilmu dapat menyerlahkan potensi individu. Berhubung dengan ini, Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, "Manusia laksana lombong emas dan perak. Mereka yang terbaik pada zaman jahiliah, mereka juga terbaik dalam Islam jika mereka memiliki kefahaman agama." Hadis ini menunjukkan, manusia secara umumnya berpotensi untuk mencapai kejayaan. Bagi menyerlahkan potensi yang sedia ada, manusia perlu diproses dan digilap seperti emas dan perak. Apabila ia digilap berdasarkan kefahaman agama yang betul, potensi itu akan meledak ke tahap optimum dan hasilnya adalah kecemerlangan dan kejayaan dalam bidang yang diceburi. Justeru, perjuangan yang dilakukan tanpa ilmu mendatangkan banyak kerosakan pada manusia. Khalifah Omar Abdul Aziz pernah berkata, "Sesiapa yang melakukan sesuatu tanpa ilmu, dia akan mendatangkan lebih banyak kerosakan daripada kebaikan." Islam membahagikan ilmu kepada dua bahagian. Pertama, fardu ain, dan kedua, fardu kifayah.

Di dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mendefinisikan ilmu fardu ain sebagai ilmu yang wajib diketahui dan dilaksanakan oleh semua hamba Allah yang berakal serta baligh. Ilmu fardu ain yang dituntut adalah yang berkaitan dengan akidah, tasawuf dan fikah. Ilmu-ilmu ini wajib dipelajari oleh setiap individu Muslim dan Muslimah. Ilmu fardu kifayah adalah bidang-bidang yang wajib dikuasai oleh sebahagian umat Islam. Bidang-bidang ini amat diperlukan dalam kehidupan namun tidak semua individu Muslim dan Muslimah diwajibkan menceburi bidang-bidang ini. Jika sebahagian umat Islam sahaja yang menceburinya ia sudah memadai. Berhubung dengan ini, dalam surah at-Taubah ayat 122, Allah berfirman, "Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepada mereka supaya mereka itu dapat menjaga diri."

Ayat ini menjelaskan tentang kepentingan sebahagian daripada umat Islam mendalami ilmu-ilmu agama supaya mereka dapat mengingatkan rakan-rakan mereka yang lain tentangnya. Inilah yang dimaksudkan sebagai bidang fardu kifayah. Imam al-Ghazali membahagikan ilmu-ilmu fardu kifayah kepada dua iaitu ilmu syariat seperti ilmu tafsir al-Quran dan ilmu bukan syariat seperti ilmu perubatan. Walaupun penguasaan ilmu adalah penting, namun ilmu itu hanya bermanfaat apabila ia difahami dengan betul, bersesuaian dengan kaedah keutamaan yang disepakati, bertepatan dengan tuntutan suasana serta mampu melahirkan amalan yang salih lagi bermanfaat. Antara kalimat yang ditekankan al-Quran dalam konteks ilmu adalah fiqh. Contohnya, dalam surah al-An’am ayat 65, Allah berfirman, "Perhatikanlah bagaimana Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti agar mereka memahaminya." Kalimat penting dalam ayat ini adalah yafqahuun yang bermaksud "mereka memahaminya." Ia berasal dari kalimat fiqh. Imam Ibn Kathir, semasa mentafsirkan kalimat yafqahuun di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, "(Ia bermaksud) memahami serta merenungi tanda-tanda, hujah serta bukti berhubung kebesaran Allah."

Oleh yang demikian,ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang direnungi secara mendalam supaya rahsianya dapat disingkap dan maksudnya dapat difahami dengan tepat, selaras dengan kehendak al-Quran dan Sunnah

MENGORAK LANGKAH KE ERA DAKWAH DIGITAL

  "Kajian tentang agama dan internet sudah banyak dilakukan, termasuklah kesan penggunaan internet terhadap agama serta pola kepelbagai...