Friday, November 15, 2013
PENGUKUHAN SPRITUAL PENDAKWAH
OLEH: DR BURHANUDDIN JALAL
SETIAP pendakwah atau daie perlu menyedari bahawa dirinya adalah pendakwah dan sering menjadi contoh teladan serta menjadi rujukan dan teladan. Oleh yang demikian, aspek pengukuhan iman dan takwa perlu sentiasa ada dalamn diri pendakwah. Pengukuhan spiritual atau iman ini serta menyedari bahawa diri mereka adalah pendakwah yang perlu terus melaksanakan tugas menyebarkan Islam secara berterusan. Bagi melaksanakan tugas yang berat ini, para pendakwah perlu kepada kekuatan iman dan spiritual bagi memastikan kejayaan berdakwah dapat diraih serta terus mendapat bantuan, pertolongan dan juga hidayah dari Allah SWT.
Kepentingan perkara ini pernah disebutkan oleh Ibnu Rawhah yang mengajak temannya yang bernama, Ibn Dardak, supaya terus menguatkan iman dan sedar tentang peranan sebagai pendakwah dengan katanya, “ akhi, ta’al nu’minu sa’ah yang bermaksud, “wahai saudaraku, marilah kita teguhkan iman’. Perkara yang sama turut dilakukan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang telah meminta ulama terkenal pada waktu itu yang bernama Bakar bin Amar bin Hazmi untuk memberikannya nasihat serta mengingatkan tentang iman dan ketakwaan kepada Allah.
Konsep pengukuhan iman ini diperlukan bagi melembutkan hati, mengasah jiwa agar sentiasa wujudnya nilai-nilai kebaikan dalam diri serta untuk melatih diri agar sentiasa sentitif terhadap keburukan hingga kita mampu menjauhkan diri dari kesemua perkara tersebut. Selain dari itu ia juga dapat melatih diri serta memberi kekuatan untuk menghalang kemaksiatan dan kemungkaran dari menghampiri diri.
Pengukuhan iman ini dapat dilakukan secara individu ataupun dalam bentuk kumpulan. Dalam peringkat secara individu ia dapat dilakukan dengan melakukan pemeriksaan diri atau muhasabah tentang apa yang telah dilakukan sehingga mampu meningkatkan diri untuk terus berdakwah dan berazam tinggi untuk meninggikan syiar Islam menerusi pendekatan dan idea yang baru. Sementara program pengukuhan iman secara berkumpulan pula dapat dilakukan dengan cara melaksanakan amalan ruhaniah secara kolektif serta memperbaharui tekad bersama untuk terus berdakwah dalam bentuk kolektif dengan lebih produktif lagi.
Selain dari itu program pengukuhan iman yang dilaksanakan turut memberi kepentingan sekurang-kurangnya dari dua aspek yang lain iaitu:
• Pertama: Untuk memantau keseimbangan dan perubahan yang berlaku dalam gerak kerja dakwah serta dapat memantaunya.
• Kedua: Untuk mengukuhkan kembali semangat berdakwah serta menghilangkan perkara-perkara negatif yang ada dalam diri dengan nilai kerohanian dan usaha mendapatkan tenaga baru.
Dalam aspek pengukuhan iman dalam kalangan pendakwah, Abdullah Nasikh Ulwan telah menyebutkan tentang kepentingan perkara ini dengan kata-katanya, “ Ketika jiwa para daie penuh dengan ketakwaan kepada Allah, akan merasakan kedekatan dirinya dengan Allah, kekuatan jiwanya dipenuhinya dengan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan sentiasa mengamalkan ibadah sunnah, maka ketika bercakap, berkhutbah atau mengajak orang lain ke jalan Allah akan ternampak pancaran cahaya dari matanya, keikhlasan terserlah dari raut wajahnya, kejujuran terus mengalir bersama kelembutan suaranya, nada kata-katanya dan juga lenggok tangannya. Bahkan perkataannya akan meresap ke dalam hati dan melenyapkan kegelapan jiwa seperti air sejuk yang meresap di kerongkong orang yang kehausan”.
Begitulah penting dan berkesannya kekuatan dan kejernihan iman para pendakwah. Kualiti sedemikian perlu menjadi keutamaan bagi setiap pendakwah, lebih-lebih lagi para pendakwah yang tentunya menghadapi pelbagai cabaran, halangan dan tribulasi dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah.
Sunday, August 18, 2013
PERKASAKAN DAKWAH ISLAMIAH
Oleh: Dr Burhanuddin Jalal
Walaupun cabaran dakwah masa kini makin banyak dan hebat, pendakwah perlu terus melaksanakan tugas menyampaikan risalah Islam seperti yang diperintah Allah SWT dan Rasul-Nya.
Peringatan mengenai cabaran dalam berdakwah ini dinyatakan Nabi Muhammad SAW melalui sabdanya yang bermaksud: "Akan datang suatu masa nanti, umat-umat lain akan mengerumuni umat Islam seperti mereka merebut makanan. Salah seorang sahabat bertanya, adakah jumlah kami pada ketika itu sedikit? Rasulullah menjawab: Tidak, bahkan jumlah kamu pada ketika itu ramai tetapi kamu sekalian pada waktu itu seperti buih-buih di lautan. Sesungguhnya Allah akan mencabut dari dada-dada musuh kamu rasa takut terhadap kamu sekalian dan Allah akan menambah wahn dalam dada-dada kamu sekalian. Salah seorang sahabat, bertanya lagi: Apakah wahn itu ya, Rasulullah?. Rasulullah menjawab: Cintakan dunia dan takutkan mati".
Berdasarkan hadis itu, ternyata jumlah yang ramai belum tentu menjadi penentu perubahan atau berkuasa untuk mengubah orang lain.
Malah, musuh Islam tidak gentar terhadap umat Islam yang ramai kerana sudah diserang penyakit wahn atau lebih mengutamakan keduniaan, kepentingan diri dan tidak lagi mengutamakan agama atau cintakan kematian berteraskan mempertahankan agama yang suci.
Tergoda dengan harta ditinggalkan musuh
Ini seperti yang berlaku dalam perang Uhud, apabila tentera Islam tergoda dengan harta yang ditinggalkan musuh dan terus melanggar perintah dan ketaatan terhadap pesanan Rasulullah SAW.
Ternyata jumlah yang banyak bukan menjadi faktor penentu dan jumlah yang kecil sekalipun mampu memberikan kesan atau impak dengan izin Allah SWT.
Ini seperti yang berlaku dalam perang Badar. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, ayat 249)
Sesungguhnya dalam gerakan dakwah, khususnya dalam peringkat yang lebih besar merangkumi kepentingan umat dan negara seluruhnya, dukungan dakwah daripada peringkat kepimpinan negara sehingga kepada rakyat jelata amat diperlukan.
Pihak berkuasa pemerintahan perlu melihat secara jelas kepentingan agama dan syiar Islam perlu terus ditingkatkan. Tentunya negara kita Malaysia tergolong dalam kategori ini. Faktor ini adalah kerana dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menzahirkan kedudukan istimewa kepada agama Islam.
Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam Perkara 11 pula, menjamin kebebasan agama kepada semua individu, namun dengan jelas melarang agama lain daripada disebarkan kepada seorang Muslim.
Berdasarkan fakta tersebut ternyata dakwah Islamiah di Malaysia sudah sekian lama memasuki apa yang disebut sebagai `marhalah mihwar muasasi' iaitu tahap atau era dakwah aktif dalam pemerintahan negara.
Berdasarkan tahap yang jauh itu, ia tidak bererti kita perlu meninggalkan tahap atau sejarah yang lama. Memasuki tahap yang baru ini juga bererti kita akan memasuki era dakwah yang lebih berat, penuh cabaran dan memerlukan komitmen yang lebih kuat dan mantap dalam usaha menyampaikan dakwah.
Catatan: Rencana telah disiarkan dalam Ruangan Agama Berita Harian pada 15 Ogos 2013.
Wednesday, August 14, 2013
SERAH TERIMA TUGAS PENGARAH PSIKOLOGI TENTERA DARAT
Kuala Lumpur, 29 Jul - Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Abu Muslim bin Ismail telah menyaksikan acara menandatangani nota serah terima tugas Pengarah Psikologi Tentera Darat antara Kol Dr Mohd Kenali bin Basiron dan Lt Kol Dr Burhanuddin bin Jalal.
Acara menandatangani nota tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat Cawangan Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan pada 29 Julai 13. Kol Dr Kenali akan mengikuti Kursus National Security And War Course di Islamabad, Pakistan mulai 19 Ogos 2013 hingga 20 Ogos 2014.
Sumber: Fatin Izzati Amir - Portel Tentera Darat.
Friday, April 26, 2013
SEMANGAT ITSAR DALAM BERPOLITIK
OLeh: Dr Burhanuddin Jalal
Negara sedang berada di ambang Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) dan beberapa hari yang lalu telah diadakan hari penamaan calon. Antara isu yang besar dalam setiap kali pilihanraya adalah berkaitan dengan pemilihan calon. Begitu juga pada pilihanraya kali ini, terdapatnya individu yang tidak terpilih menjadi calon atau yang digugurkan oleh parti-parti politik yang bertanding. Ada individu atau kumpulan yang tidak puas hati kerana namanya, dirinya atau individu yang disokong tidak terpilih atau digugurkan menjadi calon untuk mewakili parti politik tertentu. Ada yang berdiam diri, memprotes atau mengambil keputusan untuk terus menjadi calon pilihanraya dengan menjadi calon bebas. Kekecewaan akibat tidak terpilih atau digugurkan sebagai calon sering menjadi pertikaian, saling menyalahi antara satu sama lain dan ini semua menimbulkan perasaan sakit hati atau dendam yang tidak berkesudahan.
Dari satu aspek, sebagai insan muslim kita telah diajar tentang ajaran atau semangat persaudaraan sesama insan. Kita juga menyedari semangat persaudaraan atau ukhuwah itu sebenarnya sangat indah. Dalam hal pemilihan calon ini, tentu kita menyedari bahawa pihak kepimpinan telah memilih individu tertentu berdasarkan kriteria tertentu. Oleh yang demikian, calon yang tidak terpilih perlu mematuhi arahan tersebut dan tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri atau ego yang ada dalam diri tanpa mempertimbangkan orang lain dari dirinya. Dalam Islam ia disebut sebagai itsar yang bermaksud bersedia mendahulukan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri. Sejauh manakah umat seluruhnya telah menghayati sifat itsar ini dalam kehidupan seharian khususnya semangat setiakawan yang telah dididik dalam berpolitik?
Semangat itsar telah menjadi pengajaran penting sejak generasi awal Islam. Dalam peristiwa hijrah, para sahabat daripada kalangan ansar dan muhajirin telah mempamerkan semangat itsar yang luar biasa. Orang Ansar (penduduk asal Madinah) telah mempamerkan dan memiliki sikap dan semangat yang sangat tulus dalam memuliakan saudara-saudara mereka dalam kalangan orang Muhajirin. Kecintaan, pembelaan, keutamaan, keprihatinan terhadap saudara mereka berbanding dengan diri mereka sendiri telah disebut oleh Allah dalam kitab al-Quran melalui firmannya dalam surah al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud, “ Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya”.
Negara sedang berada di ambang Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) dan beberapa hari yang lalu telah diadakan hari penamaan calon. Antara isu yang besar dalam setiap kali pilihanraya adalah berkaitan dengan pemilihan calon. Begitu juga pada pilihanraya kali ini, terdapatnya individu yang tidak terpilih menjadi calon atau yang digugurkan oleh parti-parti politik yang bertanding. Ada individu atau kumpulan yang tidak puas hati kerana namanya, dirinya atau individu yang disokong tidak terpilih atau digugurkan menjadi calon untuk mewakili parti politik tertentu. Ada yang berdiam diri, memprotes atau mengambil keputusan untuk terus menjadi calon pilihanraya dengan menjadi calon bebas. Kekecewaan akibat tidak terpilih atau digugurkan sebagai calon sering menjadi pertikaian, saling menyalahi antara satu sama lain dan ini semua menimbulkan perasaan sakit hati atau dendam yang tidak berkesudahan.
Dari satu aspek, sebagai insan muslim kita telah diajar tentang ajaran atau semangat persaudaraan sesama insan. Kita juga menyedari semangat persaudaraan atau ukhuwah itu sebenarnya sangat indah. Dalam hal pemilihan calon ini, tentu kita menyedari bahawa pihak kepimpinan telah memilih individu tertentu berdasarkan kriteria tertentu. Oleh yang demikian, calon yang tidak terpilih perlu mematuhi arahan tersebut dan tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri atau ego yang ada dalam diri tanpa mempertimbangkan orang lain dari dirinya. Dalam Islam ia disebut sebagai itsar yang bermaksud bersedia mendahulukan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri. Sejauh manakah umat seluruhnya telah menghayati sifat itsar ini dalam kehidupan seharian khususnya semangat setiakawan yang telah dididik dalam berpolitik?
Semangat itsar telah menjadi pengajaran penting sejak generasi awal Islam. Dalam peristiwa hijrah, para sahabat daripada kalangan ansar dan muhajirin telah mempamerkan semangat itsar yang luar biasa. Orang Ansar (penduduk asal Madinah) telah mempamerkan dan memiliki sikap dan semangat yang sangat tulus dalam memuliakan saudara-saudara mereka dalam kalangan orang Muhajirin. Kecintaan, pembelaan, keutamaan, keprihatinan terhadap saudara mereka berbanding dengan diri mereka sendiri telah disebut oleh Allah dalam kitab al-Quran melalui firmannya dalam surah al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud, “ Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya”.
Saturday, March 2, 2013
80 TAHUN PERKHIDMATAN DIUTAMAKAN
Selamat menyambut Ulangtahun ke 80 Tentera Darat Malaysia. Tema yang dipilih pada tahun ini ialah ' 80 tahun perkhidmatan diutamakan' atau dalam Bahasa Inggerisnya ' 80 years selfless servise'.
Dalam usaha untuk terus memperkukuh pertahanan negara, setiap warga tentera perlu terus menimgkatkan kesiapsiagaan dan sentiasa menghayati firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud, “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.
Wednesday, January 30, 2013
DOKTRIN PERANG BERASASKAN TAUHID
Oleh : Dr Burhanuddin Jalal
Rencana ini telah disiarkan dalam Berita Harian 21 Jan 2013. Mohon pandangan dan ulasan dari pembaca selanjutnya. Terima kasih.
Thursday, January 24, 2013
SAYANGI SESAMA INSAN
Salah satu pendidikan ditekankan Rasulullah SAW ialah ukhuwah atau persaudaraan yang dibina atas dasar kasih sayang sesama insan. Ukhuwah dan kasih sayang atas nama Allah tidak hanya mendapat ganjaran, ia juga meningkatkan kualiti iman. Sabda Rasulullah SAW: “Mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah adalah penguat simpul-simpul keimanan.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Setiap individu Muslim perlu mencintai Muslim lain kerana Allah dan membenci kaum kafir munafik kerana Allah. Rasulullah SAW bersabda: “Dua orang Muslim yang bertemu kemudian bersalam, maka mereka mendapat keampunan sebelum mereka berpisah.” (Riwayat Abu Daud)
“Allah berfirman: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Ternyata banyak sekali kebajikan yang boleh dilakukan dalam Islam serta mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT. Malah, menyapa dan bersalam dengan saudara seagama pun akan mendapat rahmat serta keampunan Allah. Sesungguhnya ini semua anugerah Allah yang amat besar dan indah.
Abdul Rahman bin Auf ialah Muhajirin yang berhijrah dan Saad bin Rabi pula kalangan orang Ansar. Abdul Rahman berhijrah tanpa membawa harta, tetapi Saad berkata kepadanya: “Saudaraku, rumah, kekayaan, pakaian dan seluruh harta milikku akan aku bahagi dua. Separuh untuk aku dan separuh untuk engkau.”Kedua-duanya tidak pernah kenal antara satu sama lain, tidak mempunyai hubungan kekeluargaan atau apa-apa kepentingan, tetapi oleh kerana kesan tarbiah Rasulullah SAW, Saad melakukan sesuatu yang amat dituntut Islam.Ini diingatkan Allah melalui firman: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat menitikberatkan nilai kasih sayang dan persaudaraan. Mungkin kita tertanya apakah sahabat Rasulullah tidak pernah melakukan kesalahan terhadap sahabat mereka yang lain?
Ketika Umar al-Khattab menjawat jawatan khalifah, beliau ingin menguji sejauh mana perasaan ukhuwah, persaudaraan, kasih sayang dan mengasihi dalam kalangan sahabat. Apakah pendidikan atau benih yang disemai Rasulullah SAW benar-benar hidup dalam jiwa mereka. Umar al-Khattab telah memberikan 1,000 dirham kepada pembantunya dan berkata, “Pergilah berjumpa Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan katakan kepadanya, Amir al-Mukminin telah memberikan wang untuk dibelanjakan sesuka hati tuan. Kemudian, tunggu sebentar lihat apa dilakukan Abu Ubaidah al-Jarrah.”Pembantu Umar melaksanakan apa diarahkan dan melihat Abu Ubaidah al-Jarrah mengagihkan wang yang diterima kepada pelbagai pihak yang memerlukan sehingga tiada yang tinggal. Pembantu Umar kembali dan melaporkan apa telah dilihatnya. Kemudian Umar memberikan lagi wang 1,000 dirham untuk diberikan pula kepada Mu’adz bin Jabal. Tindakan sama juga dilakukan Mu’adz bin Jabal dengan menyedekahkan kembali wang itu kepada orang ramai. Selanjutnya Umar memberikan wang kepada Sa’ad bin Abi Waqas. Beliau juga menyedekahkan wang itu. Melihat tindakan ketiga-tiga sahabatnya itu, lantas Umar berkata, “Alhamdulillah masih ada persaudaraan di hati mereka.”
Besarlah harapan kita supaya nilai kemurahan hati dan sifat persaudaraan sentiasa ada dalam diri setiap insan Muslim. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membela kehormatan saudaranya, maka nescaya Allah akan menjauhkannya dari neraka pada hari kiamat.” Maksud hadis ini ialah bagi seseorang yang tidak sanggup mendengar saudaranya dihina oleh orang lain dan dia sendiri tidak menghina saudaranya bahkan membela kehormatannya, maka Allah akan membebaskannya daripada api neraka. Mulai saat ini lepaskan diri daripada sikap benci dan dengki terhadap saudara seagama sehingga Allah mengampuni kita.
____________
Telah disiarkan dalam BERITA HARIAN pada 24 Januari 2013
Subscribe to:
Posts (Atom)
BULI DALAM PERKHIDMATAN TENTERA
Temubual bersama wartawan BERITA HARIAN . Latifah Ariffin berkaitan dengan isu buli dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Telah disi...
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal Tokoh ilmuwan dan Gerakan Islam Dr. Yusuf al-Qardhawiy menyebutkan enam jenis ilmu yang perlu dipelajari d...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Ketika mengajar bab sembahyang dengan menggunakan kitab 'Bahrun Mazi" tulisan Sheikh Idris Marbawi di...

