Sunday, January 12, 2014
EMPAT MODEL PEMERINTAHAN ISLAM
Oleh: Dr Burhanuddin Jalal
Sejarah mencatatkan bahawa Islam mengalami pelbagai dimensi pemerintahan. Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW di kota Madinah, ia adalah puncak kejayaan politik Islam. Di bawah kepemimpinan Rasulullah SAW, masyarakat Madinah mencapai tahap kesejahteraan sosial yang amat tinggi.
Selepas Islam menguasai kehidupan umat, masyarakat yang sebelumnya suka untuk berperang, bertelingkah dan bahasa yang digunakan adalah `pedang' bertukar menjadi masyarakat yang lebih bertamadun dengan mengutamakan perdamaian, tidak berdendam, kelembutan, beramanah dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.
Kehidupan masyarakat Madinah di bawah kepemimpinan Rasulullah SAW itu juga mampu melahirkan masyarakat yang bertoleransi bukan saja sesama Muslim, bahkan dengan yang bukan Islam.
Masyarakat Madinah pada waktu itu juga adalah model yang terbaik bagi perkembangan Islam selepas itu. Masyarakat Madinah dibangunkan atas teladan, persaudaraan, persamaan, toleransi, musyawarah, tolong-menolong dan keadilan.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, pemerintahan Islam mula mengalami perubahan yang ketara dan semakin kompleks. Kualiti kepemimpinan umat Islam ada naik dan turunnya. Selepas berakhirnya zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin, dunia pemerintahan umat Islam mengalami perubahan yang amat drastik, khususnya pada zaman pemerintahan Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan seterusnya.
Pergolakan politik dalam kalangan umat dan negara pada waktu itu terlalu rumit dan pelbagai. Akhirnya pada 1341 Hijrah, Mustaffa Kamal Artatuk mengambil pemerintahan Othmaniah dari Abdul Majid II dan selepas itu politik negara Islam terus mengalami perubahan yang ketara.
Secara umumnya, perjalanan sistem pemerintahan Islam dapat digambarkan berdasarkan empat model yang utama iaitu zaman pemerintahan Rasulullah SAW, zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin, zaman pemerintahan negara Islam dan zaman pemerintahan dalam pembentukan negara.
Model paling membina masyarakat
Daripada keempat-empat model itu, ternyata model pemerintahan dan kepemimpinan pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah yang paling berjaya dalam membangun dan membina masyarakat.
Salah satu aspek teras kejayaan itu adalah disebabkan unsur peribadi yang ada pada diri Rasulullah SAW. Model terpenting yang diterapkan Rasulullah dalam aspek pentadbiran dan pemerintahan Baginda SAW adalah aspek modal insan atau keteladanan yang ditunjukkan Rasulullah SAW.
Ini seperti difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."
Kejayaan Rasulullah SAW dapat membina dan mewujudkan umat Islam dapat dilihat pada zaman kecemerlangan negara Islam Madinah.
Perlu kita sedari bahawa perubahan yang berlaku di Madinah itu bukanlah sesuatu yang bersifat `segera' dan `mudah', tetapi ia juga mengalami proses dan masa dalam mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.
Namun, apa yang berlaku di Madinah itu adalah lanjutan daripada pembentukan manusia yang dilakukan Rasulullah SAW sejak dari zaman Makkah lagi iaitu sebelum berlakunya peristiwa hijrah dan individu yang berjaya dibentuk itu menjadi daya penggerak kepada perubahan bagi membantu Rasulullah SAW.
Selain itu, beberapa aspek yang turut menyerlahkan kegemilangan kehidupan sosial, ekonomi dan politik di Madinah pada waktu itu adalah aspek pengukuhan iman yang diterapkan dalam diri sahabat dan setiap individu Mus- lim di Madinah.
Perkara utama dibentuk Rasulullah SAW dalam kalangan sahabat Baginda adalah keimanan kepada Allah SWT. Keimanan yang teguh dan mantap inilah yang menjadi teras dalam diri dan peribadi sahabat serta seluruh kehidupan masyarakat Islam Madinah.
Selain itu, kita dapat saksikan bahawa kejayaan kepemimpinan terdahulu ialah kerana mencontohi kepemimpinan Rasulullah SAW. Ini dapat dilihat pada zaman Umar Abdul Aziz yang melakukan perubahan drastik dalam pemerintahan, khususnya meninggalkan perkara buruk yang dilakukan oleh pemerintahan sebelum itu seperti mengamalkan kemewahan dan pembaziran.
Umar Abdul Aziz mengembalikan gaya pengurusan negara seperti yang pernah dipimpin oleh Khulafa al-Rasyidin, seperti kembali menyusun semula kehidupan masyarakat tanpa mengenal status, membina kestabilan sosial serta menaik taraf kehidupan rakyat dalam pelbagai aspek kemudahan dan prasarana yang sewajarnya disediakan oleh pihak kerajaan.
Tokoh pembaharuan pertama
Tindakan yang dilakukan Umar Abdul Aziz dalam zaman pemerintahannya itu diakui ulama dan mengiktiraf beliau sebagai tokoh pembaharuan yang pertama dalam dunia Islam selepas Rasulullah SAW. Ternyata fakta ini membuktikan bahawa aspek peribadi pemimpin yang ideal adalah satu aspek penting untuk kejayaan organisasi atau masyarakat dipimpin.
Dalam hal ini, Imam al-Mawardi dalam buku Ahkamul al-sultaniyyah mencatatkan mengenai satu syarat yang perlu dipenuhi pemimpin ialah aspek keadilan atau al-Adalah. Konsep adil ini mempunyai kaitan yang rapat dengan nilai keperibadian seseorang pemimpin.
Nilai keadilan dalam Islam tidak hanya berkaitan dengan aspek duniawi semata-mata, tetapi ia juga mencakupi aspek kerohanian dan akhirat. Pemimpin yang adil akan sentiasa menjauhi perbuatan yang bertentangan dengan nilai Islam dan syariat Allah SWT.
Untuk itu dalam suasana kita mengadakan sambutan Maulidur Rasul bagi tahun ini, agenda bertindak kita adalah untuk mengorak langkah ke arah membina kepemimpinan dalam setiap peringkat masyarakat dan organisasi agar mempunyai kepemimpinan yang mampu mencerap keteladanan Rasulullah SAW.
Ini merangkumi aspek siddiq (benar, dipercayai), amanah (jujur, amanah, ikhlas), fatonah (bijaksana, cerdik, pan- dai, intelektual) dan juga tabligh (menyampaikan, telus, kepimpinan, berwibawa). Jika ini dapat dilakukan sudah tentu negara kita sentiasa mendapat berkat dan rahmat daripada Allah SWT.
___________________
Catatan: Rencana telah disiar dalam Berita Harian 6 Jan 2014
Sunday, December 29, 2013
SENARAI PENULISAN 2013
Berikut adalah senarai penulisan yang telah disiarkan dalam media ctak tempatan sepanjang 2013, khususnya penulisam popular.
• Jauhi perbuatan menghina diri. Berita Harian. 6 Jan.
• Memahami sirah Rasul dapat mengenal Rasulullah . Berita Harian. 10 Januari.
• Musibah dugaan hidup untuk bermuhasabah. Berita Harian. 19 Januari.
• Doktrin perang berasaskan tauhid. Berita Harian. 21 Januari.
• Dakwah dan individu sukar. Majalah inilah Islam. Bil 3/Rabiulawal 1434.
• Bahaya tidak jaga lidah. Berita Harian. 18 Januari.
• Meningkatkan kualiti pendakwah. Majalah Inilah Islam Bil 3 1434.
• Berusaha untuk berubah. Majalah Inilah Islam. Bil 3 1434
• Pertahanan asset penting negara. Berita Harian. 25 Mac.
• Nabi Muhammad SAW pemimpin tentera Islam. Majalah Inilah Islam. Bil 5 1434
• Dakwah mampu memberikan alternatif. Majalah Inilah Islam. Bil 5 1434
• Penghayatan solat dalam kalangan generasi muda. Majalah Inilah Islam. Bil 5.
• Meningkat kredibiliti pendakwah. Majalah Inilah Islam. Bil 3 143
• Perspektif dakwah. Berita Harian. 9 April.
• Taubat seorang hamba. Berita Harian. 6 Mei.
• Balasan jika umat membelakangi al-Quran. Berita Harian. 9 Jun.
• Al-Quran pedoman hidup ummah. Berita Harian. 11 Jun.
• Senergi ulama dan umara. Berita Harian. 17 Jun.
• Memantapkan pengurusan dakwah satu keperluan. Majalah Inilah Islam Bil 7
• Tanpa syahadah iman runtuh. Berita Harian. 27 Jun.
• Penghayatan disebalik ibadah Ramadan. Berita Harian. 4 Julai.
• Fahamai falsafah dakwah tingkah semangat juang. Berita Harian. 9 Julai.
• Tarbiyyah ruhiyyah bina individu baik. Berita Harian. 14 Julai.
• Ibadah tidak ikhlas jika niat mahu dipuji. Berita Harian. 24 Julai.
• Perkukuh akhlak generasi muda. Berita Harian. 28 Julai.
• Kekuatan ilmu teras akhlak Muslim. Berita Harian. 6 Ogos.
• Bersatu perkasa dakwah hadapi cabaran semasa. Berita Harian. 15 Ogos.
• Misi dan visi kekalkan kemerdekaan. Berita Harian. 27 Ogos.
• Memahami pengertian tersirat ibadah haji. Berita Harian. 2 September.
• Tiga aspek bina shahsiah Islamiah, Berita Harian. 10 September.
• Ibadah korban dan kasih sayang. Berita Harian. 16 September.
• Tanamkan azam tunai haji. Berita Harian. 22 September.
• Umat Islam elak remeh temeh. Berita Harian. 28 September.
• Lima kaedah untuk kukuhkan iman. Berita Harian. 29 Oktober.
• Perkembangan ilmu tanda tegak peradaban. Berita Harian. 5 November.
• Nilai hidup berasaskan sumbangan bukan usia. Berita Harian. 19 November.
• Peringatan untuk pendakwah. Majalah Dakwah. Nov/Dis13.
• Sifat ikhlas penting untuk kejayaan dakwah. Majalah inilah Islam. Bil 12/13.
• Jangan harap pujian dalam dakwah. Berita Harian. 25 November.
• Sirah Nabi proses pendidikan insan. Berita Harian. 3 Dis.
• Dakwah tuntut pengorbanan daie. Berita Harian. 24 Dis.
• Islah diri iringi tahun baru. Berita Harian. 29 Dis.
Friday, November 15, 2013
PENGUKUHAN SPRITUAL PENDAKWAH
OLEH: DR BURHANUDDIN JALAL
SETIAP pendakwah atau daie perlu menyedari bahawa dirinya adalah pendakwah dan sering menjadi contoh teladan serta menjadi rujukan dan teladan. Oleh yang demikian, aspek pengukuhan iman dan takwa perlu sentiasa ada dalamn diri pendakwah. Pengukuhan spiritual atau iman ini serta menyedari bahawa diri mereka adalah pendakwah yang perlu terus melaksanakan tugas menyebarkan Islam secara berterusan. Bagi melaksanakan tugas yang berat ini, para pendakwah perlu kepada kekuatan iman dan spiritual bagi memastikan kejayaan berdakwah dapat diraih serta terus mendapat bantuan, pertolongan dan juga hidayah dari Allah SWT.
Kepentingan perkara ini pernah disebutkan oleh Ibnu Rawhah yang mengajak temannya yang bernama, Ibn Dardak, supaya terus menguatkan iman dan sedar tentang peranan sebagai pendakwah dengan katanya, “ akhi, ta’al nu’minu sa’ah yang bermaksud, “wahai saudaraku, marilah kita teguhkan iman’. Perkara yang sama turut dilakukan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang telah meminta ulama terkenal pada waktu itu yang bernama Bakar bin Amar bin Hazmi untuk memberikannya nasihat serta mengingatkan tentang iman dan ketakwaan kepada Allah.
Konsep pengukuhan iman ini diperlukan bagi melembutkan hati, mengasah jiwa agar sentiasa wujudnya nilai-nilai kebaikan dalam diri serta untuk melatih diri agar sentiasa sentitif terhadap keburukan hingga kita mampu menjauhkan diri dari kesemua perkara tersebut. Selain dari itu ia juga dapat melatih diri serta memberi kekuatan untuk menghalang kemaksiatan dan kemungkaran dari menghampiri diri.
Pengukuhan iman ini dapat dilakukan secara individu ataupun dalam bentuk kumpulan. Dalam peringkat secara individu ia dapat dilakukan dengan melakukan pemeriksaan diri atau muhasabah tentang apa yang telah dilakukan sehingga mampu meningkatkan diri untuk terus berdakwah dan berazam tinggi untuk meninggikan syiar Islam menerusi pendekatan dan idea yang baru. Sementara program pengukuhan iman secara berkumpulan pula dapat dilakukan dengan cara melaksanakan amalan ruhaniah secara kolektif serta memperbaharui tekad bersama untuk terus berdakwah dalam bentuk kolektif dengan lebih produktif lagi.
Selain dari itu program pengukuhan iman yang dilaksanakan turut memberi kepentingan sekurang-kurangnya dari dua aspek yang lain iaitu:
• Pertama: Untuk memantau keseimbangan dan perubahan yang berlaku dalam gerak kerja dakwah serta dapat memantaunya.
• Kedua: Untuk mengukuhkan kembali semangat berdakwah serta menghilangkan perkara-perkara negatif yang ada dalam diri dengan nilai kerohanian dan usaha mendapatkan tenaga baru.
Dalam aspek pengukuhan iman dalam kalangan pendakwah, Abdullah Nasikh Ulwan telah menyebutkan tentang kepentingan perkara ini dengan kata-katanya, “ Ketika jiwa para daie penuh dengan ketakwaan kepada Allah, akan merasakan kedekatan dirinya dengan Allah, kekuatan jiwanya dipenuhinya dengan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan sentiasa mengamalkan ibadah sunnah, maka ketika bercakap, berkhutbah atau mengajak orang lain ke jalan Allah akan ternampak pancaran cahaya dari matanya, keikhlasan terserlah dari raut wajahnya, kejujuran terus mengalir bersama kelembutan suaranya, nada kata-katanya dan juga lenggok tangannya. Bahkan perkataannya akan meresap ke dalam hati dan melenyapkan kegelapan jiwa seperti air sejuk yang meresap di kerongkong orang yang kehausan”.
Begitulah penting dan berkesannya kekuatan dan kejernihan iman para pendakwah. Kualiti sedemikian perlu menjadi keutamaan bagi setiap pendakwah, lebih-lebih lagi para pendakwah yang tentunya menghadapi pelbagai cabaran, halangan dan tribulasi dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah.
Sunday, August 18, 2013
PERKASAKAN DAKWAH ISLAMIAH
Oleh: Dr Burhanuddin Jalal
Walaupun cabaran dakwah masa kini makin banyak dan hebat, pendakwah perlu terus melaksanakan tugas menyampaikan risalah Islam seperti yang diperintah Allah SWT dan Rasul-Nya.
Peringatan mengenai cabaran dalam berdakwah ini dinyatakan Nabi Muhammad SAW melalui sabdanya yang bermaksud: "Akan datang suatu masa nanti, umat-umat lain akan mengerumuni umat Islam seperti mereka merebut makanan. Salah seorang sahabat bertanya, adakah jumlah kami pada ketika itu sedikit? Rasulullah menjawab: Tidak, bahkan jumlah kamu pada ketika itu ramai tetapi kamu sekalian pada waktu itu seperti buih-buih di lautan. Sesungguhnya Allah akan mencabut dari dada-dada musuh kamu rasa takut terhadap kamu sekalian dan Allah akan menambah wahn dalam dada-dada kamu sekalian. Salah seorang sahabat, bertanya lagi: Apakah wahn itu ya, Rasulullah?. Rasulullah menjawab: Cintakan dunia dan takutkan mati".
Berdasarkan hadis itu, ternyata jumlah yang ramai belum tentu menjadi penentu perubahan atau berkuasa untuk mengubah orang lain.
Malah, musuh Islam tidak gentar terhadap umat Islam yang ramai kerana sudah diserang penyakit wahn atau lebih mengutamakan keduniaan, kepentingan diri dan tidak lagi mengutamakan agama atau cintakan kematian berteraskan mempertahankan agama yang suci.
Tergoda dengan harta ditinggalkan musuh
Ini seperti yang berlaku dalam perang Uhud, apabila tentera Islam tergoda dengan harta yang ditinggalkan musuh dan terus melanggar perintah dan ketaatan terhadap pesanan Rasulullah SAW.
Ternyata jumlah yang banyak bukan menjadi faktor penentu dan jumlah yang kecil sekalipun mampu memberikan kesan atau impak dengan izin Allah SWT.
Ini seperti yang berlaku dalam perang Badar. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, ayat 249)
Sesungguhnya dalam gerakan dakwah, khususnya dalam peringkat yang lebih besar merangkumi kepentingan umat dan negara seluruhnya, dukungan dakwah daripada peringkat kepimpinan negara sehingga kepada rakyat jelata amat diperlukan.
Pihak berkuasa pemerintahan perlu melihat secara jelas kepentingan agama dan syiar Islam perlu terus ditingkatkan. Tentunya negara kita Malaysia tergolong dalam kategori ini. Faktor ini adalah kerana dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menzahirkan kedudukan istimewa kepada agama Islam.
Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam Perkara 11 pula, menjamin kebebasan agama kepada semua individu, namun dengan jelas melarang agama lain daripada disebarkan kepada seorang Muslim.
Berdasarkan fakta tersebut ternyata dakwah Islamiah di Malaysia sudah sekian lama memasuki apa yang disebut sebagai `marhalah mihwar muasasi' iaitu tahap atau era dakwah aktif dalam pemerintahan negara.
Berdasarkan tahap yang jauh itu, ia tidak bererti kita perlu meninggalkan tahap atau sejarah yang lama. Memasuki tahap yang baru ini juga bererti kita akan memasuki era dakwah yang lebih berat, penuh cabaran dan memerlukan komitmen yang lebih kuat dan mantap dalam usaha menyampaikan dakwah.
Catatan: Rencana telah disiarkan dalam Ruangan Agama Berita Harian pada 15 Ogos 2013.
Wednesday, August 14, 2013
SERAH TERIMA TUGAS PENGARAH PSIKOLOGI TENTERA DARAT
Kuala Lumpur, 29 Jul - Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Abu Muslim bin Ismail telah menyaksikan acara menandatangani nota serah terima tugas Pengarah Psikologi Tentera Darat antara Kol Dr Mohd Kenali bin Basiron dan Lt Kol Dr Burhanuddin bin Jalal.
Acara menandatangani nota tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat Cawangan Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan pada 29 Julai 13. Kol Dr Kenali akan mengikuti Kursus National Security And War Course di Islamabad, Pakistan mulai 19 Ogos 2013 hingga 20 Ogos 2014.
Sumber: Fatin Izzati Amir - Portel Tentera Darat.
Friday, April 26, 2013
SEMANGAT ITSAR DALAM BERPOLITIK
OLeh: Dr Burhanuddin Jalal
Negara sedang berada di ambang Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) dan beberapa hari yang lalu telah diadakan hari penamaan calon. Antara isu yang besar dalam setiap kali pilihanraya adalah berkaitan dengan pemilihan calon. Begitu juga pada pilihanraya kali ini, terdapatnya individu yang tidak terpilih menjadi calon atau yang digugurkan oleh parti-parti politik yang bertanding. Ada individu atau kumpulan yang tidak puas hati kerana namanya, dirinya atau individu yang disokong tidak terpilih atau digugurkan menjadi calon untuk mewakili parti politik tertentu. Ada yang berdiam diri, memprotes atau mengambil keputusan untuk terus menjadi calon pilihanraya dengan menjadi calon bebas. Kekecewaan akibat tidak terpilih atau digugurkan sebagai calon sering menjadi pertikaian, saling menyalahi antara satu sama lain dan ini semua menimbulkan perasaan sakit hati atau dendam yang tidak berkesudahan.
Dari satu aspek, sebagai insan muslim kita telah diajar tentang ajaran atau semangat persaudaraan sesama insan. Kita juga menyedari semangat persaudaraan atau ukhuwah itu sebenarnya sangat indah. Dalam hal pemilihan calon ini, tentu kita menyedari bahawa pihak kepimpinan telah memilih individu tertentu berdasarkan kriteria tertentu. Oleh yang demikian, calon yang tidak terpilih perlu mematuhi arahan tersebut dan tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri atau ego yang ada dalam diri tanpa mempertimbangkan orang lain dari dirinya. Dalam Islam ia disebut sebagai itsar yang bermaksud bersedia mendahulukan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri. Sejauh manakah umat seluruhnya telah menghayati sifat itsar ini dalam kehidupan seharian khususnya semangat setiakawan yang telah dididik dalam berpolitik?
Semangat itsar telah menjadi pengajaran penting sejak generasi awal Islam. Dalam peristiwa hijrah, para sahabat daripada kalangan ansar dan muhajirin telah mempamerkan semangat itsar yang luar biasa. Orang Ansar (penduduk asal Madinah) telah mempamerkan dan memiliki sikap dan semangat yang sangat tulus dalam memuliakan saudara-saudara mereka dalam kalangan orang Muhajirin. Kecintaan, pembelaan, keutamaan, keprihatinan terhadap saudara mereka berbanding dengan diri mereka sendiri telah disebut oleh Allah dalam kitab al-Quran melalui firmannya dalam surah al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud, “ Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya”.
Negara sedang berada di ambang Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) dan beberapa hari yang lalu telah diadakan hari penamaan calon. Antara isu yang besar dalam setiap kali pilihanraya adalah berkaitan dengan pemilihan calon. Begitu juga pada pilihanraya kali ini, terdapatnya individu yang tidak terpilih menjadi calon atau yang digugurkan oleh parti-parti politik yang bertanding. Ada individu atau kumpulan yang tidak puas hati kerana namanya, dirinya atau individu yang disokong tidak terpilih atau digugurkan menjadi calon untuk mewakili parti politik tertentu. Ada yang berdiam diri, memprotes atau mengambil keputusan untuk terus menjadi calon pilihanraya dengan menjadi calon bebas. Kekecewaan akibat tidak terpilih atau digugurkan sebagai calon sering menjadi pertikaian, saling menyalahi antara satu sama lain dan ini semua menimbulkan perasaan sakit hati atau dendam yang tidak berkesudahan.
Dari satu aspek, sebagai insan muslim kita telah diajar tentang ajaran atau semangat persaudaraan sesama insan. Kita juga menyedari semangat persaudaraan atau ukhuwah itu sebenarnya sangat indah. Dalam hal pemilihan calon ini, tentu kita menyedari bahawa pihak kepimpinan telah memilih individu tertentu berdasarkan kriteria tertentu. Oleh yang demikian, calon yang tidak terpilih perlu mematuhi arahan tersebut dan tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri atau ego yang ada dalam diri tanpa mempertimbangkan orang lain dari dirinya. Dalam Islam ia disebut sebagai itsar yang bermaksud bersedia mendahulukan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri. Sejauh manakah umat seluruhnya telah menghayati sifat itsar ini dalam kehidupan seharian khususnya semangat setiakawan yang telah dididik dalam berpolitik?
Semangat itsar telah menjadi pengajaran penting sejak generasi awal Islam. Dalam peristiwa hijrah, para sahabat daripada kalangan ansar dan muhajirin telah mempamerkan semangat itsar yang luar biasa. Orang Ansar (penduduk asal Madinah) telah mempamerkan dan memiliki sikap dan semangat yang sangat tulus dalam memuliakan saudara-saudara mereka dalam kalangan orang Muhajirin. Kecintaan, pembelaan, keutamaan, keprihatinan terhadap saudara mereka berbanding dengan diri mereka sendiri telah disebut oleh Allah dalam kitab al-Quran melalui firmannya dalam surah al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud, “ Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya”.
Saturday, March 2, 2013
80 TAHUN PERKHIDMATAN DIUTAMAKAN
Selamat menyambut Ulangtahun ke 80 Tentera Darat Malaysia. Tema yang dipilih pada tahun ini ialah ' 80 tahun perkhidmatan diutamakan' atau dalam Bahasa Inggerisnya ' 80 years selfless servise'.
Dalam usaha untuk terus memperkukuh pertahanan negara, setiap warga tentera perlu terus menimgkatkan kesiapsiagaan dan sentiasa menghayati firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud, “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.
Subscribe to:
Posts (Atom)
MENGORAK LANGKAH KE ERA DAKWAH DIGITAL
"Kajian tentang agama dan internet sudah banyak dilakukan, termasuklah kesan penggunaan internet terhadap agama serta pola kepelbagai...
-
Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau men...
-
Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal Tokoh ilmuwan dan Gerakan Islam Dr. Yusuf al-Qardhawiy menyebutkan enam jenis ilmu yang perlu dipelajari d...
-
Mejar Burhanuddin Abdul Jalal Istilah dakwah bil hal amat popular di kalangan umat Islam di Malaysia dan nusantara. Apakah yang dimaksudkan ...

