Thursday, July 30, 2020

ARTIKEL TENTANG DAKWAH DAN PENDAKWAH




Salah satu topik yang sering ditulis ialah beekaitan dengan dakwah dan pendakwah. Banyak sekali isu-isu yang boleh dibincangkan dalam topik ini. Perlu dijelaskan bahawa tugas dakwah memerlukan usaha yang serius, tersusun rapi, kesungguhan dan penuh istiqamah. Bagaimanapun mungkin terdapat beberapa kelemahan yang berpunca daripada kurangnya penelitian atau pendedahan kepada kaedah-kaedah pengurusan moden yang akhirnya memberi kesan negatif terhadap kelancaran dan kejayaan kepada aktivis serta organisasi dakwah. Salah satu kelemahan atau gejala penyakit yang berbahaya dalam organisasi gerakan dakwah ialah sindrom rabun. Penyakit ini akan menyebabkan organisasi dakwah menjadi kehilangan arah dan hanya sibuk dengan kerja-kerja atau pengurusan harian dan melaksanakan aktiviti yang bersifat ritual semata-mata. Mengikut Kamus Dewan (2002), rabun ditakrifkan sebagai kabur ataupun kurang jelas. Manakala takrif yang diguna pakai dalam risalah yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (2010), rabun mata bermaksud mata tidak dapat membiaskan cahaya dengan baik dan ini akan menyebabkan penglihatan jadi kabur. Bagi organisasi dakwah yang hanya menumpukan kepada beberapa aspek aktiviti dan ingin mencapai objektif tertentu sahaja, bermakna organisasi dakwah tersebut serta para pendukungnya tidak mampu melihat perjalanan dan matlamat organisasi dakwah yang didukung dengan lebih jauh..
 
SELAMAT AIDIL ADHA 31 Julai 2020

Friday, July 24, 2020

TINGKATKAN AKHLAK, NILAI DIRI DAN INTEGRITI PENJAWAT AWAM


Dalam konteks pekerjaan atau perkhidmatan, integriti merangkumi sifat-sifat menyeluruh seseorang individu atau sesebuah organisasi berdasarkan nilai-nilai murni sejagat termasuk aspek akauntabiliti (Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit, 2013). Justeru, untuk melangkah ke masa hadapan yang lebih cemerlang, negara kita seharusnya bijak mengurus kejayaan, mempunyai masyarakat beretika dan kakitangan yang amanah serta berintegriti. Selain itu, kakitangan organisasi perlu mempunyai prinsip lebih tegas, kuat dan amanah dalam mengatasi pelbagai kelemahan, kekurangan diri serta menjaga nama organisasi. Cabaran besar yang perlu ditangani dalam usaha tersebut ialah pemantapan etika dan integriti dalam sesebuah organisasi. Budaya etika dan integriti adalah selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etika serta para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh berteraskan budi pekerti yang luhur

Namun demikian, sejak akhir-akhir ini berita mengenai isu integriti terutamanya berkaitan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa terutama di peringkat pembuat dasar dan ahli politik sentiasa menjadi sorotan media massa. Terbaru, seperti yang dilaporkan oleh media tempatan merujuk teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang berpendapat ada hukuman dikenakan jabatan terhadap pegawai dan kakitangan awam yang cuai, tidak cekap dan tidak akur sebagai terlalu lembut dan ringan, beliau berkata, teguran itu dipandang serius oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Mohd Khairul Adib mengingatkan setiap ketua jabatan supaya mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kesalahan dilakukan penjawat awam berdasarkan peraturan sedia ada serta merit kesalahan yang dilakukan. "Ketua jabatan harus memainkan peranan dengan mengambil tindakan tegas dan segera terhadap penjawat awam apabila terdapat teguran dan ketidakakuran di agensi masing-masing seperti dilaporkan pihak audit. "Ini penting kerana kerajaan amat memandang serius isu ketirisan hasil negara, termasuk disebabkan oleh kesalahan atau kecuaian dilakukan penjawat awam, selain komited untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, berintegriti dan proaktif,".
______________________________
Rencana yang telah disiarkan dalam TINTA MINDA - BERNAMA online pada 24 Julai 2020

Sunday, July 12, 2020

ULASAN BUKU


Pada masa lalu banyak ruang atau kolum ulasan buku di media cetak atau surah khabar dan majalah. Dalam tempoh tersebut, banyak ulasan buku yang saya tulis  dan tersiar di pelbagai media, tetapi kini ruangan tersebut namaknya semakin kurang dan kalau ada pun, media tersebut tidak lagi membuka ruang kepada penulis bebas untuk membuat ulasan atau menghantar kepada mereka, Kebanyakan pada masa kini ruangan atau kolum ulasan buku dipenuhi oleh penulis atau wartawan yang bekerja dengan media tersebut. 

12 Julai 2020

Saturday, June 27, 2020

MENGHAYATI ERTI PEMIMPIN SEBENAR

Rencana pertama yang disiarkan melalui BERNAMA online, melalui ruangan 'Ketamadunan' TINTA MINDA pada 26 Jun 2020. Penerokaan penulisan dalam ruang lingkup  yang baru. Mungkin selama ini hanya tertumpu melalui media cetak khususya akhbar dan majalah. Perlu diakui bahawa pembaca kini telah berubah kepada pembacaan kepada bahan atas talian dan oleh itu penulis juga perlu  mengikut perkembangan dan keperluan tersebut. Semoga saya sebagai penulis dapat memenuhi keperlaun tersebut dan menulis apa yang 'audience'atau khalayak mahukan, isu atau maklumat yang mereka inginkan dan minat untuk mereka baca. Moga saya berusaha dan kerja kuat ke arah itu. Selamat membaca bahan yang berkaitan dengan kepimpinan yang telah disiarkan oleh BERNAMA on line. 

" Secara umumnya tugas dan peranan pemimpin bukanlah mudah. Untuk menjadi pemimpin yang berwibawa, ianya memerlukan tahap kemahiran yang tinggi tahapnya dan ia mungkin tidak sama dengan orang lain. Dalam Islam, seseorang pemimpin perlu mempunyai kemahiran untuk mengurus hal ehwal dunia (siyaasatud dun-ya) dengan penuh kebijakan agar rakyat dapat merasai faedah yang terbaik. Perlu ditekankan bahawa pemimpin perlu sentiasa memikirkan hal ehwal dan kebajikan orang yang dipimpin atau rakyat di akar umbi kerana kebijakan atau kepimpinan yang dilakukan sebenarnya membawa kepentingan umum atau kemaslahatan sekali gus untuk menghindarkan kemudaratan atau disebut sebagai dar-u al mafaasid.
Dalam hal ini Abu al-Hassan Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi atau lebih dikenali sebagai al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkamu Sultaniyyah, menyatakan bahawa kecerdasan akal dan sikap yang baik merupakan ciri terpenting atau kompetensi yang tinggi bagi seseorang pemimpin itu mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik terhadap rakyat atau orang yang dipimpin dalam keadaan atau situasi yang pelbagai dan tidak menentu. Perkara ini penting kerana tidak ramai pemimpin yang mampu menyerap atau menyesuaikan keadaan yang sukar dengan mudah dan cepat apatah lagi seperti suasana wabak atau pandemik COVID-19 ini yang menyerang dengan batas dan tempoh kesukaran yang panjang. 

Monday, May 18, 2020

SEBAGAI PEGAWAI PENERBITAN KAGAT 1992-2002




Pernah menjawat sebagai Pegawai Staf 3 Penerbitan dan PS 2  Penerbitan di Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera Markas ATM dari tahun 1992-2002. Berpeluang untuk menulis, menyusun, sebagai editor dan juga merancang bahan penerbitan buku-buku agama untuk kegunaan seluruh warga ATM. 

Terima kasih kepada Pengarah KAGAT dan pegawai Kanan KAGAT serta rakan-rakan yang telah menyokong bagi menjayakan tugas tersebut, juga staf yang pernah bersama di Sel Penerbitan Jabatan Arah KAGAT 1992-2002 seperti Kapt Shukor Mohd Said, Kapt Daud Mohd Salleh, Kapt Khairul Amilin, PW1 Masni Sabar, Sjn Abdul Halim Bakar, Lt Abdullah Alawi dan siapa lagi,tak ingat….dan tugas ini perlu diteruskan oleh generasi masa kini dan akan datang yang tentu ruang, peluang, kemudahan serta persekitaran yang lebih baik. Moga KAGAT terus berjayaTerima kasih dan semoga buku-buku terus diterbitkan di tambah baik. Selamat menjalani ibadah Ramadan.

InsyaAllah akan saya akan buat ulasan untuk kesemua buku yang pernah diterbitkan dalam tempoh tersebut sebanyak 50 judul dari masa ke masa sebagai nilai tambah terhadap kandungan blog dalam kesempatan masa 'Work from home' dalam tempoh PKPB - kesan COVID-19. Salam Ramadan dan moga dimanfaatkan. Terima kasih

Sunday, May 17, 2020

BUKU ' KEPIMPINAN KETENTERAAN'


Buku “KEPIMPINAN KETENTERAAN’ ini ialah hasil kerjasama bersama dengan Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Profesor Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin, Kolonel Dr. Zahimi bin Zainol Abidin dan Kolonel Profesor Madya Dr. Burhanuddin bin Jalal. Buku ini diusahakan bersama sebagai ‘tribute’ kepada Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Profesor Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin di atas usaha-usaha yang beliau lakukan sepanjang menjadi Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Buku diterbitkan oleh UPNM Press pada tahun 2018. 

Buku ini menjelaskan tentang kepimpinan dan juga tentang profesion ketenteraan. Perlu ditekankan bahawa profesion ketenteraan merupakan kerjaya yang dipandang mulia oleh Islam bahkan satu penghormatan yang tinggi terhadap orang yang terlibat secara langsung dengan tugas-tugas ketenteraan. Orang yang gugur di medan peperangan atau tugas yang telah diamanahkan demi kepentingan agama, bangsa dan negara layak untuk digelar sebagai ‘syuhada’ jauh lebih bernilai daripada penghargaan yang diberikan di dunia ini. Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya digelar sebagai syahid. Sesiapa yang mati kerana mempertahankan keluarga dan jiwa rakannya ia digelar sebagai syahid dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan agamanya maka akan digelar sebagai syahid”. (Hadis Riwayat Said bin Zayd, Sunan al-Tirmizi, No. Hadis: 1421)

Allah SWT telah memerintahkan umat Islam supaya membuat persiapan dan membentuk kekuatan bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Ini seperti mana  yang telah difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud;“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”. (Al-Quran, Al-Anfal, 8: 60).

Berdasarkan ayat tersebut, bagi menghadapi semua keadaan, sama ada aman atau perang kita perlu kepada kekuatan tentera agar kita tidak dipandang remeh atau rendah oleh pihak musuh. Sumbangan ketenteraan amat besar ertinya kepada agama, bangsa dan tanah air. Kajian tentang ketenteraan dalam Islam masih sedikit jika hendak dibandingkan dengan kajian-kajian Islam dalam bidang-bidang lain. Kajian dalam bidang ketenteraan Islam banyak dikaitkan dengan kekhalifahan, imamah dan juga  isu-isu yang berkaitan dengan politik dan juga pemerintahan dalam Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa konsep tentera dalam Islam pada mulanya hanyalah untuk mempertahankan agama (jihad) yang mempunyai kaitan dengan pemerintahan, nilai-nilai keadilan, kemerdekaan dan keselamatan.

Semoga buku ini dimanfaatkan oleh pembaca dan menambah lagi buku-buku yang berkaitan dengan ketenteraan dan kepimpinan. Selamat membaca. 

Judul Buku: KEPIMPINAN KETENTERAAN’
Penulis: Zulkifli Zainal Abidin, Zahimi Zainol Abidin, Burhanuddin Jalal.
Penerbit. UPNM Press
Tahun terbit: 2018

RAMADAN PERTINGKAT POTENSI DIRI, KEIMANAN


Secara umumnya ibadah puasa Ramadan ternyata dapat melatih serta membimbing diri serta jiwa ke arah yang lebih positif. Ini bermaksud ibadah puasa dapat membina kekuatan jiwa dan ketahanan diri dari pelbagai ujian serta godaan hawa nafsu dan ini menepati apa yang telah disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa puasa itu merupakan satu perempat daripada iman. Perkara ini turut diperkukuhkan dengan kata-kata Imam Shafie yang pernah menyatakan bahawa dirinya tidak pernah makan dengan kenyang dalam tempoh 16 tahun kecuali hanya sekali sahaja. Ternyata banyak makan atau makan dengan penuh kekenyangan akan menyebabkan pergerakan menjadi lembap, bersifat malas, cepat mengantuk serta berat untuk melaksanakan ibadah.
Oleh yang demikian, bagaimana dengan aspek pemakanan para pemimpin kita? Kita selalu mendengar dengan kata-kata, “apakah yang boleh aku makan hari ini? atau soalan, di mana aku akan makan hari ini? Atau siapakah yang akan aku makan hari ini? Ini barangkali beberapa persoalan sinis yang berlegar dalam kalangan para pemimpin secara umumnya. Untuk para pemimpin dalam pelbagai peringkat, ada baiknya untuk kita menghayati bersama kata-kata Luqman al-Hakim apabila ia menasihati anak lelakinya dengan kata-kata, “wahai anakku, jagalah perut kamu, kerana bila perutmu kenyang, maka fikiran kamu tidur, kebijaksanaan kamu kendur dan tubuh badan kamu malas melakukan ibadah”.
 Daripada huraian di atas, diperhatikan bahawa dalam suasana PKPB dan bulan Ramadan tahun ini, terlihat seolah-olah para pemimpin kita agak kurang turun ke bawah untuk membantu rakyat yang susah dan serba kekurangan serta mengalami kesukaran hidup pada saat kini. Persoalannya sekarang apakah puasa dan ‘kelaparan’ pada pemimpin kita agak asing dengan ‘lapar’ dan ‘puasa’ yang sebenarnya? Semoga kita dapat bermuhasabah tentang diri kita dan nilai-nilai kepimpinan dalam masyarakat kita pada hari ini dan semoga Ramadan tahun ini banyak mengajar kita tentang kehidupan dan keikhlasan seperti sabda nabi SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. 
______________________
Rencana telah disiarkan dalam BERITA HARIAN pada 15 Mei 2020 Muka Surat 44

MENGORAK LANGKAH KE ERA DAKWAH DIGITAL

  "Kajian tentang agama dan internet sudah banyak dilakukan, termasuklah kesan penggunaan internet terhadap agama serta pola kepelbagai...