Monday, November 29, 2021

Pendakwah perlu waspada sebar kisah konspirasi


Pendakwah perlu terus membetulkan niat, pemikiran yang fokus, keazaman untuk membina penambahbaikan dalam berdakwah serta kesedaran untuk terus membina dan memperbetulkan umat ke arah kebaikan. Untuk mencapai ke arah tersebut para pendakwah perlu berwaspada terhadap beberapa halangan atau cabaran yang mungkin boleh memesongkan kesatuan pendakwah dalam usaha untuk bersama menggembleng tenaga dan usaha ke arah membantu negara seperti yang dihasratkan. Bagi mencapai matlamat tersebut para pendakwah perlu terus berpegang kepada matlamat utama dakwah iaitu mengajak manusia kepada kebaikan dan petunjuk, menyuruh yang baik dan melarang yang mungkar (al-amr bi al ma’ruf wa an-nahyl al-munkar) untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain ia merupakan satu tanggungjawab dan niat tersebut jangan bertukar berdakwah menjadi kepada kerjaya, dan inilah yang berlaku dan sekali gus akan mewujudkan banyak aspek luaran atau teknikal berbanding intipati dan hakikat dakwah, suka berlengah berbanding bergerak aktif, munculnya kelompok atau individu yang mengaku sebagai pendakwah tetapi lebih bersifat pura-pura berbanding sifat yang jujur dan benar. Musibah ini amat berbahaya kerana ia boleh menjauhkan umat Islam dari hakikat dakwah yang sebenar dan sekali gus memudahkan musuh Islam menentang kerja-kerja dakwah yang dilaksanakan.

______________

Rencana yang telah disiarkan dalam BERITA HARIAN 28 Nov 2021 


Wednesday, November 10, 2021

Kepimpinan dan Pemikiran Strategik Muhammad Al-Fateh


Judul: Kepimpinan dan Pemikiran Strategik Muhammad Al-Fateh
Penulis: Burhanuddin Jalal, Ezad Azraai Jamsari, Ammalina Dalilah Mohd Isa
Penerbit: Penerbit UPNM
Tahun terbit: 2021

Buku terbaru yang ditulis bersama Ezad Azraai Jamsari dan Ammalina Dalilah Mohd Isa, dan diterbitkan oleh Penerbit UPNM. Buku ini membincangkan strategi perang Sultan Muhammad al-Fateh sepanjang pemerintahan beliau dari tahun 1451M hingga tahun 1481M. Beliau merupakan antara tokoh pemimpin Islam yang bijak, masyhur dan disegani. Ketokohan, kepimpinan dan kebijaksanaan beliau dapat dilihat menerusi kejayaan beliau dalam menyusun strategi perang serta memimpin tentera dalam setiap peperangan yang berlaku. Objektif kajian ini adalah untuk meneliti aspek kepimpinan dan pemikiran strategik Muhammad al-Fateh dalam era pemerintahan beliau, menjelaskan strategi yang telah digunakan oleh Muhammad al-Fateh dalam mendepani para musuhnya khususnya kaedah yang digunakan sebelum, semasa dan selepas berlakunya peperangan dan juga menganalisis tahap kekuatan dan kejayaan Muhammad al-Fateh dalam meningkatkan pengurusan tenaga manusia pertahanan yang melibatkan politik, ekonomi dan juga kekuatan ketenteraan. Keseluruhan kajian ini menggunakan pendekatan kaedah kualitatif menerusi metode kajian sejarah dan analisis kandungan dengan penelitian terhadap sumber-sumber primer dan sekunder. Kajian ini menghujahkan bahawa strategi perang Sultan Muhammad al-Fateh boleh diklasifikasikan sebagai berkesan dan berjaya dalam kebanyakan peperangan yang diturut serta. Faktor keberkesanan strategi perang beliau yang dapat dikenal pasti dalam kajian ini ialah elemen kejutan (element of surprise), kuasa serangan dan morale anggota tentera.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .