Saturday, August 15, 2020

WAKAF KEPERLUAN MAKANAN

WABAK COVID-19 yang menyerang lebih 150 buah negara di dunia termasuk di Malaysia telah menyebabkan kerajaan mengambil langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyarankan seluruh rakyat mematuhi segala saranan yang perlu dilaksanakan bagi mencegah wabak ini dari terus merebak.

Secara umumnya COVID-19 telah memberikan kesan terhadap kestabilan ekonomi semua pihak dan konteks negara kita kumpulan B40 ternyata amat terjejas dari segi ekonomi ataupun kumpulan orang-orang kampung ataupun sebahagian dari institusi pendidikan persendirian yang pada masa kini membantu para pelajar untuk mendapat pendidikan bagi persediaan untuk golongan muda mampu mendepani cabaran masa depan sama ada dari apek kemahiran kehidupan bagi saraan hidup seterusnya.

Dalam keadaan mendesak begini, salah satu institusi penting yang mungkin dapat membantu ramai yang terjejas khususnya keperluan makanan dan keperluan asas kehidupan ialah institusi wakaf. Institusi wakaf yang telah ditubuhkan oleh pelbagai pihak sejak kebelakangan ini oleh pelbagai agensi selain yang ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri ataupun institusi pengajian tinggi, tentunya boleh dimanfaatkan dalam situasi getir pada masa kini. Pihak berkuasa wakaf atau nazir wakaf mungkin boleh bertindak atau sensitif dengan situasi masa kini untuk turut berperanan untuk turut sejumlah dana yang ada dengan mewakafkan sejumlah dana makanan kepada individu atau kelompok masyarakat yang memerlukan.

Pihak kerajaan khususnya Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) kemungkinan boleh membentuk atau menyelaras sejumlah peruntukan bagi pembiayaan perawatan dengan pembelian alat, ubatan di hospital atau meringankan bebanan kumpulan yang terkesan wabak ini khusus para pesakit yang telah pulih ataupun keluarga yang telah kematian waris mereka akibat COVID 19 ini yang sehingga hari ini (5 April 2020) telah meningkat ke 61 orang. Ini bermaksud pihak nazir wakaf boleh membantu pihak berkaitan dengan membantu penerima manfaat wakaf (mauquf alaih) yang tentunya telah berjalan semula ini, cuba pada kalinya untuk mangsa COVID 19 atau kumpulan yang terkesan dengan beberapa cadangan berikut:

Pertama: Pengurus wakaf (Nazir wakaf) boleh melihat kembali data sejumlah tanah wakaf yang boleh dimajukan untuk pertanian dengan tujuan penyediaan makanan atau bagi menampung keselamatan makanan (food-security).

Kedua: Membuat kerjasama dengan pihak yang berminat atau yang tekah aktif dalam sektor pertanian atau sumber makanan, dengan memajukan tanah yang sedia ada dengan tanaman makanan secara maksimum. Kerjasama ini sekali gus dapat memenuhi salah satu daripada 17 matlamat SDG (matlamat pembangun mampan) iaitu “menghentikan kebuluran atau menjamin keperluan makanan yang cukup untuk negara serta memajukan pertanian”.

Ketiga:  Pihak Pengurus wakaf boleh bekerja dengan pihak kumpulan syarikat berkaitan dengan GLC yang aktif dalam bidang pertanian seperti FELDA, TABUNG HAJI, FELCRA, Bousted Plantation dan lain-lain untuk membuat pelaburan bersama bagi penyediaan sumber makanan yang cukup untuk negara dalam pertanian, perikanan dan ternakan yang maka kini masih banyak bergantung kepada import. Mungkin selama ini kita tidak ada pengalaman tentang aspek ‘keselamatan makanan’ atau ‘food-security’, tetapi COVID-19 tentunya memberi pengajaran terbaik untuk negara kita yang asalnya negara pertanian untuk menyediakan sumber makanan rakyat yang kini berjumlah 32 juta dan tidak bergantung kepada makanan import khususnya makanan ruji iaitu beras yang sehingga kini kita hanya mampu menyediakan 70% keperluan tempatan dan kita mengimport 30% yang kurang dengan jumlah RM1.18 billion pada tahun lalu bagi 749,000 tan beras.

Menjadi harapan bersama agar institusi wakaf yang ada di negara kita dapat manfaatkan dana atau harta yang telah diwakafkan untuk manfaat umat Islam dengan sebaiknya dan wakaf makanan ini merupakan sesuatu yang baru, namun ia penting kerana ia melibatkan maqasid syar’iyyah iaitu menjaga kepentingan nyawa atau jiwa. Semoga pengalaman COVID-19 dapat menggerakkan kita bersama untuk prihatin tentang isu keselamatan makanan negara atau ‘national food-security’.

_______________________________

Rencana yang telah diterbitkan dalam Majalah Dewan Tamadun Islam Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,  Bilangan 7/2020 muka surat 12-15 - 

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .