Tuesday, December 18, 2007

Minat meningkatkan hasil kerja

Minat meningkatkan hasil kerja
Sehari Sebuah Buku
Judul Buku: Minat: Bagaimana menyedari dan mengembangkannya.
Penulis: Zaini Hussein.
Penerbit: Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kuala Lumpur.
Tahun: 2003.
Tebal: 165 halaman
Harga: RM20.
APAKAH minat anda dan sudahkah anda mengenal pasti serta menggunakannya dengan sebaik mungkin?

Jika anda masih gagal untuk mengenal pasti apakah minat anda yang sebenar serta mengenal, memahami dan bagaimana untuk mengembangkan minat anda itu demi untuk kejayaan diri, buku ini barangkali dapat memberikan bantuan dan jawapan kepada persoalan itu.

Penulis telah menghuraikan dengan jelas tentang definisi minat dan bagaimana sesuatu minat itu wujud dalam diri kita serta boleh kita mengembangkannya.

Bagi penulis minat adalah sesuatu pengalaman istimewa yang terdapat dalam diri dan jiwa manusia. Oleh yang demikian ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana ia mempunyai nilai yang amat tinggi. Ini penting kita sedari kerana telah ramai yang telah berjaya menjadi masyhur, kaya maupun terkenal kerana telah mengeksploitasi minat yang ada dalam jiwa dan diri mereka ke arah tersebut.

Penulis membongkar tentang aspek `minat' yang jarang dikaji. Untuk itu penulis mengajak kita mengkaji aspek minat ini menerusi beberapa bab dalam buku ini serta mengemukakan pelbagai teori yang akademik dan penjelasan yang praktikal untuk pembaca sama-sama menghayati tentang aspek dan persoalan minat yang merangkumi perkara-perkara berikut:

- Mengenali minat

- Faedah minat

- Cabaran minat

- Menilai minat

- Mengukur minat

- Mengawal minat.

Setelah membaca buku ini anda akan dapat mengesan minat anda dan adakah anda akan membiarkannya sahaja tanpa reaksi? Oleh itu jadikanlah lebihan anda itu sebagai `input' penting menuju kecemerlangan dan kejayaan dalam hidup. - BURHANUDDIN ABDUL JALAL
---------------------
Telah disiarkan dalam utusan Malysia3 Dis 2003

Perpecahan penyebab kemerosotan ummah

Perpecahan penyebab kemerosotan ummah
Judul Buku : Persediaan Umat Islam Menghadapi Cabaran Masa Depan
Penulis : Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar
Penerbit : Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
Terbit : 2003
Muka Surat : 110 Halaman

UMAT Islam pernah mencapai saat kegemilangan, sekali gus melahirkan masyarakat contoh atau masyarakat madani kepada manusia. Dalam tempoh kegemilangan, umat Islam berjaya menjalankan kebahagiaan hakiki di samping menyuburkan unsur-unsur kemuliaan serta nilai-nilai yang soleh.

Kini umat Islam bersatu untuk mengembalikan kegemilangan dan kecemerlangan tersebut dan sudah tentu ia mempunyai cabaran dan halangan yang cukup besar.

Pelbagai halangan daripada musuh-musuh Islam sama ada secara fizikal atau spiritual sentiasa mengejar umat Islam setiap masa.

Menyedari hakikat tersebut, penulis buku ini Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar telah meneliti dan memberi panduan yang jelas agar umat Islam bangkit kembali untuk mencapai kemuliaan yang pernah dimiliki dahulu.

Antara faktor yang ditekankan oleh penulis untuk mencapai kegemilangan adalah aspek `kesatuan' iaitu penghayatan yang mutlak kepada Islam, kesatuan dalam sumber hidayah, kesatuan akidah dan kesatuan politik ke arah menegakkan negara Islam.

Ñ Burhanuddin Abdul Jalal
-----------------------
Telah disiarkan dalam Utusan malaysia 7 is 2004

Mencapai kekhusyukan solat

Mencapai kekhusyukan solat
Sehari Sebuah Buku
Judul: Bimbingan Penghayatan dan Kesempurnaan Solat
Pengarang: Johari Yaman, Dr. Muhammad Firdaus Nurulhuda
Penerbit: Penerbitan Nadi Minda Sdn. Bhd.
Harga: RM35
Tebal: 746 halaman
SOLAT atau sembahyang merupakan ibadat yang penting sekali bagi setiap insan Muslim yang mukallaf kerana ia sesuatu yang difardukan. Ia diperkuatkan lagi dengan sebuah hadis Nabi yang bermaksud;

Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama dan barang siapa yang meninggalkan solat bererti ia meninggalkan agama.

Persoalannya adakah setiap insan Muslim yang mukallaf telah selesai dalam aspek solat ini? Selesai dari aspek pengamalan, penghayatan dan merasakan solat itu salah satu kemanisan dalam beribadah. Menyedari hakikat tersebut dan tidak semua umat Islam yang mengerjakan sembahyang itu mencapai tahap kesempurnaan dan kekhusyukan yang tinggi seperti mana yang diperlukan. Ini kerana, walaupun solat tapi tidak khusyuk, mereka pun boleh dihumban ke api neraka, tambahan pula orang yang tidak solat.

Selain itu barangkali kita tidak menyedari bahawa pada umumnya dalam ibadat solat ini para ulama telah membahagikan umat Islam kepada tiga golongan iaitu golongan yang mengerjakan solat, golongan yang tidak mengerjakan solat dan golongan yang kadang-kadang mengerjakan solat dan kadang-kadang tidak.

Tentunya fenomena ini terdapat di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Kemungkinan besar punca utamanya ialah ketiadaan ilmu dan kesedaran Islam. Oleh demikian tentunya buku yang disusun oleh dua orang pengarang ini yang telah meneliti dan membuat rujukan dari buku-buku muktabar yang ditulis oleh ulama Islam terdahulu dapat membimbing umat Islam kepada berpengetahuan tentang ibadat solat sekali gus membimbing ke arah menghadirkan khusyuk dalam solat dan akhirnya menjadi hamba yang taat dan patuh kepada Allah s.w.t. Ñ Burhanuddin Abdul Jalal
_______________
Telah disiarkan dalam Utusan Malaysia 7 Jan 2004

Membentuk imam berwibawa

bicara agama


Membentuk imam berwibawa
Oleh Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

SEJAK kebelakangan ini sering diperkatakan tentang institusi masjid dan surau, sama Ada dari aspek pengurusan fizikalnya ataupun dari segi para pentadbir atau orang-orang yang menguruskan masjid.

Tidak terlepas daripada perbincangan ialah tentang isu imam-imam di masjid. Di antara topik yang sering diperbincangkan ialah tentang peranan imam masjid tidak terserlah lagi, tetapi yang menonjol ialah nazir atau AJK masjid. Persoalannya apakah pada hari ini peranan imam tidak menonjol lagi? Oleh yang demikian tulisan berikut ingin menjelaskan bagaimanakah sepatutnya imam-imam berperanan dalam masyarakat sekali gus membina masyarakat dan menonjolkan perpaduan ummah.

Sesungguhnya imam mempunyai tempat dan peranan yang penting dalam Islam. Untuk itu Islam menetapkan beberapa garis panduan dan beberapa sifat yang perlu dimiliki oleh imam sebelum ia seterusnya berperanan sebagai imam dalam sembahyang. Di antara dalil yang menjelaskan tentang ketinggian kedudukan imam, adalah berdasarkan hadis nabi yang bermaksud,

Apabila telah datang waktu sembahyang, segeralah kamu azan dan seterusnya lantiklah seseorang yang lebih besar (tua) di kalangan kamu menjadi imam. (Riwayat Bukhari).

Rasulullah s.a.w. menyebut agar melantik imam di kalangan yang lebih tua kerana rata-rata sahabat pada waktu itu mempunyai hafalan dan pengetahuan yang sama, dan ini merupakan dalil yang jelas dari sudut keutamaan perlantikan imam.

Sebuah lagi hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir al-Juhani, telah menyebut Rasulullah s.a.w. pernah bersabda.

Barangsiapa mengimami sesuatu kaum, apabila sempurna mengimami solat, maka baginya pahala sempurna solat, begitu juga bagi makmum, namun jika ia (imam) tidak menyempurnakan maka bagi makmum pihak yang sempurna (solatnya sah), tetapi atas imam, dosa baginya. (Riwayat Imam Ahmad).

Apakah ciri-ciri atau kriteria untuk seseorang itu boleh dilantik menjadi imam?

Banyak hadis sahih yang boleh dijadikan rujukan kita melantik imam untuk memimpin jemaah menunaikan solat. Di antaranya hadis yang boleh dirujuk adalah seperti berikut:

- Apabila mereka tiga orang, agar memimpin salah seorang daripada mereka (dalam solat) dan yang paling berhak di antara mereka untuk memimpin iaitu yang paling banyak hafalannya. (Riwayat Muslim).

- Rasulullah bersabda, Orang yang paling pandai membaca al-Quran yang akan menjadi imam kaumnya. Apabila kepandaian mereka dalam al-Quran sama, maka yang paling mengerti tentang sunah, apabila pengertian mereka tentang sunah sama, maka yang paling dahulu hijrah. Apabila waktu hijrah bersamaan, maka yang paling dahulu masuk Islam.'' Dan dalam hadis yang lain ``yang lebih tua. (Riwayat Bukhari).

berdasarkan hadis di atas, dapat dibuat kesimpulan bahawa individu yang paling layak menjadi imam ialah yang paling banyak hafalan al-Qurannya, serta menguasai hukum-hukum syarie serta dapat menguasai masalah-masalah dalam bab kebersihan (thaharah dan sembahyang).

Ini penting kerana apabila kita menyorot kembali keazaman nabi, para sahabat, mempelajari al-Quran dengan kaedah membaca dan seterusnya menghayatinya. Oleh yang demikian, terkumpul dalam diri mereka ilmu, amal dan iman dan tidak sekadar menguasai hafalan semata-mata. Aspek ini ditekankan kerana dikhuatiri terdapat orang yang banyak hafalannya, bagus suaranya, tetapi tidak faham hukum-hukum tentang bab sembahyang serta tidak mantap akidahnya.

Dalam hadis itu juga menyebut, apabila terdapat persamaan dari segi hafalan al-Quran , maka pilih di kalangan mereka yang paling memahami tentang as-sunah, jika terdapat juga persamaan dari segi hijrah dan seterusnya dari aspek umur iaitu tua. Oleh yang demikian, perlantikan imam bukan sekadar disebabkan kedudukannya dalam masyarakat, keturunan ulama atau tinggal dekat dengan masjid tetapi seseorang yang dipilih perlu mempunyai pengetahuan dari segi agama agar imam yang dilantik dapat membawa kebaikan kepada umat di dunia hingga hari akhirat.

Perlu ditekankan sekali lagi, bahawa imam masjid atau surau mempunyai martabat yang tinggi dalam masyarakat. Ini dapat dibuktikan dengan apa yang telah dilakukan oleh imam pertama bagi kaum Muslimin iaitu Rasulullah s.a.w. baginda bukan sekadar menjadi imam tetapi turut menjadi qudurah serta hakim yang adil, panglima perang yang berani, seorang guru dan khatib. Oleh yang demikian, seseorang imam yang dilantik perlu mempunyai ciri-ciri atau kewibawaan yang terserlah, agar wujud kebaikan-kebaikan tertentu khususnya manfaat kepada masyarakat.

Di antara sifat-sifat penting yang perlu dimiliki oleh imam bagi mempastikan imam mempunyai kewibawaan dan mampu memimpin masyarakat ialah:

- Seorang imam mempunyai hafalan dan bacaan al-Quran yang baik. Jika seseorang imam dapat menguasai al-Quran sama ada dari segi hafalan bacaan atau pengertian dan isi kandungan sudah tentu ia dapat memberi nasihat dengan baik kepada makmum dalam pelbagai aspek al-Quran. Jika seseorang imam mempunyai hafalan yang sedikit, sudah tentu para makmum agak terhalang untuk mendatangkan kebaikan yang banyak. Ini jelas daripada sabda Nabi Muhammad s.a.w.

(Agar) mengimami sesuatu kaum itu orang yang paling banyak bacaan al-Quran di kalangan mereka. (Riwayat Muslim).

Di samping seorang imam perlu mempunyai hafalan yang banyak, seseorang imam juga perlu memahami sunah Rasul secara ikhlas yang berhubung dengan bab bersuci dan juga bab yang berhubung dengan solat. Menguasai sunah dalam bab-bab sembahyang atau bersuci amat penting bagi seseorang imam kerana imam perlu memahami dan menguasai bidang tugasnya.

Bila seorang imam tidak mematuhi perkara-perkara yang berkaitan dengan sembahyang, aspek wajib, sunat, harus, batal, makruh, haram dan sebagainya tentulah banyak masalah akan timbul jika ia berdepan dengan pertanyaan atau ia melakukan sesuatu kesilapan. Untuk itu imam perlu mempersiapkan diri dengan ilmu agar dapat memimpin sembahyang dengan betul, sempurna dan mendapat pahala serta selamat daripada dosa.

- Mempunyai suara yang baik. Seorang imam perlu mempunyai suara yang bagus, dengan harapan bacaan al-Quran yang dibacanya dapat memberi kesan kepada orang yang mendengarnya. Ini seperti mana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.

Wahai Abu Musa, sesungguhnya engkau telah diberi seruling daripada seruling keluarga Daud (suara yang merdu dan baginda bersabda, ``Allah tidak mendengarkan pada sesuatu seperti mendengarkannya kepada Nabi yang bersuara bagus yang memperindah suaranya dalam bacaan al-Quran ..... (Riwayat Bukhari).

- Mempunyai iman yang mantap.

Sebagai seorang imam sudah pasti ia mempunyai kekuatan akidah dan juga iman yang mantap. Dengan iman dan akidah yang mantap, ia dapat menjelaskan kepada para makmum tentang aliran-aliran yang batil serta ia dapat menjadi imamnya, istiqamah serta hatinya sentiasa bersih. Dengan sifat yang demikian, ia dapat diterima oleh masyarakat serta memudahkan dirinya untuk menasihati orang lain.

- Mempunyai keterampilan berceramah/pendakwah.

Sebagai seorang imam, ia perlu mampu menjadi penceramah dan pendakwah yang baik. Ini penting mempastikan masjid yang dijaganya dapat berperanan dengan baik dan lancar dan bukan orang lain yang sentiasa memenuhi program masjid, dan ia sekadar menjadi pendengar atau murid yang setia.

Berdasarkan beberapa kriteria yang dijelaskan dan jika ini dapat dikuasai oleh imam-imam dari keseluruhan 5,000 masjid yang terdapat di Malaysia, sudah tentu masjid/surau dapat berfungsi dan berperanan dengan baik dan mencapai matlamatnya.

----------------------------
Telah disiarkan dalam Utusan Malaysia 16 Jan 2004

Jasa keluarga diraja bangunkan Kolej Islam

Jasa keluarga diraja bangunkan Kolej Islam
PADA Sabtu lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan sambutan Jubli Emas Kolej Islam Sultan Alam Shah di Klang. Sesungguhnya nama Kolej Islam sudah tidak asing lagi di negara ini setanding dengan nama-nama besar sekolah berasrama penuh (SBP) yang lain, yang telah berjaya melahirkan cerdik pandai, teknokrat dan ilmuwan Islam di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Bagi memperingati sejarah dan peranan Kolej Islam yang dirasmikan pada 8 April 1955 itu, oleh AlMarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah di Klang itu, sebuah buku telah diterbitkan bagi menyorot sejarah awal penubuhan, perkembangan dan yang paling penting sebagai satu dokumentasi untuk membuktikan perkembangan pendidikan Islam di negara ini.
Sesungguhnya sejarah dan perkembangan Kolej Islam ini amat panjang dan menarik sekali. Antaranya buku ini menjelaskan tentang bagaimana Kolej Islam ditubuhkan, berpindah ke Petaling Jaya, kembali semula ke Klang dan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengambil alih kolej ini pada tahun 1967 bagi memperbaiki tahap pengurusan dan dikenali sebagai Kolej Islam Klang (KIK).
Kemudian pada tahun 1972 KIK sekali lagi berubah status dengan dinaik taraf menjadi sekolah berasrama penuh (SBP) aliran agama yang pertama lengkap dengan pelbagai kemudahan yang terbaik. Pada tahun 1989, KIK ditukar nama kepada Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dengan mengekalkan bangunan bekas istana sultan sebagai nadi pentadbiran dan pengurusan kolej.
Sesungguhnya buku berjudul Kolej Islam - Sejarah dan Perkembangan, hasil tulisan Abdul Talib Hamid dan Firdaus Ahmad Azzam ini telah membongkar dan menyelusuri sejarah perkembangan dan pengorbanan cendekiawan Islam dan pengorbanan golongan diraja untuk sama-sama membangun dan memperkasa institusi pendidikan Islam di negara ini.
Kajian penulis juga telah membuktikan bahawa Kolej Islam lahir daripada tradisi ilmu dan budaya Islam yang unggul dan kaya. Institusi pendidikan Islam di Malaysia mendapat bekalan dan semangat serta aspirasi daripada kejayaan institusi pendidikan Islam tersohor di serata dunia yang membawa visi dan misi yang sama.
Bermula dengan institusi tradisional yang telah berperanan seadanya, berubah kepada institusi pendidikan Islam moden yang sangat diperlukan pada zaman yang kian berubah pada waktu dan ketika itu.
Kesedaran mengenai Islam dan perubahan banyak sekali dipengaruhi oleh semangat pan-Islam dan gerakan Islah yang dibawa pulang oleh pelajar Malaysia (Malaya) yang menuntut di Asia Barat.
Bersesuaian dengan semangat nasionalisme yang sedang memuncak dan ke arah kemerdekaan, gagasan penubuhan Kolej Islam Malaya mendapat sambutan dan dukungan umat. Apabila AlMarhum Tuanku Abdul Rahman Putera, Perdana Menteri pada waktu itu memaklumkan mengenai keterbatasan dana bagi merealisasikan penubuhan Kolej Islam Malaya pada waktu itu, umat dan rakyat tampil membantu dan menderma.
Apabila timbul isu mengenai kesesuaian `tapak' untuk melaksanakan cita-cita, tampil pula raja yang terkenal kuat beragama dan berhati mulia membantu menyelamatkan suasana iaitu Sultan Selangor, Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Al-Haj.
Baginda bukan sekadar memberi bantuan kewangan seperti mana baginda memberi bantuan kepada penubuhan Universiti Malaya di Kuala Lumpur, malah baginda telah mewakafkan Istana Jemaah Kampung Jawa untuk dijadikan kampus Kolej Islam.
Perhatian keluarga diraja Selangor sejak dahulu dan berterusan sehingga hari ini termasuk AlMarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan kini Sultan Sharafuddin Idris Shah amat besar maknanya kepada kejayaan dan keunggulan institusi Kolej Islam.
Sepanjang sejarahnya, Kolej Islam didatangi oleh kelompok terbaik dari lepasan sekolah agama di seluruh Malaysia, Singapura dan juga Brunei.
Kesungguhan penulis mengkaji dan menyusuri sejarah suka dan duka tiga generasi kemajuan dan perkembangan Kolej Islam iaitu Kolej Islam Malaysia (KIM), Kolej Islam Klang (KIK) dan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) telah memberikan impak yang besar kepada kita tentang kesungguhan generasi awal untuk mendidik generasi muda menjadi insan yang berguna yang mampu menguruskan kehidupan yang seimbang bagi memenuhi kepentingan dunia dan akhirat.
Sesungguhnya tiga generasi Kolej Islam iaitu KIM, KIK dan KISAS atau dalam tempoh 50 tahun yang lalu tiga generasi tersebut telah membawa nama baik bagi negeri Darul Ehsan bandar diraja Klang dan juga Malaysia amnya ke mercu kecemerlangan sejagat dengan cogan kata Kolej Islam yang berasal dari ayat 112 surah Hud yang bermaksud Tetaplah (istoqamah) atas jalan lurus sebagaimana yang diperintah.
Judul: Kolej Islam - Sejarah Dan Perkembangan
Penulis: Abdul Talib Hamid
dan Firdaus Ahmad Azzam
Tahun Terbit: 2003
Penerbit: Kolej Islam
Sultan Alam Shah
Harga: RM25
Halaman: 212
Pengulas: Burhanuddin
Abdul Jalal
ISBN: 983 - 2966 - 00 - 0
_____________________________________
Telah disiarkan dalam uitusan Mlaysia 20/06/2005

Wednesday, December 5, 2007

KOR AGAMA ANGKATAN TENTERA (KAGAT)

Kor Agama Angkatan Tentera(KAGAT) telah ditubuhkan dengan rasminya pada 16 April 1985. Dengan penubuhan KAGAT ini sekaligus ia merupakan kor yang ke-16 di dalam Tentera Darat Malaysia, tetapi melaksanakan tugas dan peranan mencakupi ketiga-tiga perkhidmatan ATM.

Kesedaran ke arah penubuhan KAGAT dan pengiktirafan peranan KAGAT di dalam ATM merupakan satu semangat, kesedaran dan iltizam kerajaan Malaysia untuk meninggikan syiar dan penghayatan Islam khususnya di dalam ATM. Cogankata Kor ini ialah “BERJUANG BERAKHLAK”

:: PERANAN DAN TUGAS ::

- Merancang, menyelaras dan melaksanakan usaha-usaha dakwah Islamiah dan penghayatan Islam untuk semua pegawai dan anggota dalam ATM.

- Memberi dan mengembangkan pengajaran ilmu-ilmu Islam, khususnya penekanan kepada ketinggian akhlak, sikap dan sifat setiakawan(esprit de corps) di samping memberi kefahaman di dalam erti kata sebenarnya tentang perkhidmatan tentera mengikut pandangan Islam.

- Melaksana dan menguatkuasakan segala peraturan, undang-undang dan hukuman Islam yang telah diputuskan oleh Majlis Agama Islam Persekutuan dan negeri-negeri.

- Memberi bantuan kepada usaha-usaha mempertingkatkan semangat keperwiraan anggota tentera seimbang dengan misi perjuangan ATM.

Membina konsep khutbah dinamik

Berita Harian Online
Jumaat, 25 Julai 1997 20 Rabiulawal 1418
Membina konsep khutbah dinamik
DR UTHMAN El-Muhammady (1997) pernah menyatakan khutbah masa kini tidak memberi panduan, kurang memberangsangkan, kurang menarik minat dan perhatian, menjadi pemenuh syarat dan sah sembahyang semata-mata serta kurang persiapan khatib. Malek Ben Nabi, tokoh pemikir Islam juga memberikan sindiran tajam apabila menyatakan: "Dalam solat Jumaat seolah-olah imam/khatib dan makmum/pendengar sudah berpakat tidak ingin mendapat apa-apa faedah daripada khutbah yang disampaikan." Mengapa? KOLONEL NAJMI AHMAD dan MEJAR BURHANUDDIN ABDUL JALAL daripada Kor Agama Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan Malaysia memberikan pendapat mereka.

UNTUK menghasilkan khutbah dinamik, adalah perlu melihat bagaimanakah persediaan atau keadaan jemaah yang hadir bagi menunaikan ibadat Jumaat. Tidak dinafikan ramai yang bersedia untuk menunaikan solat Jumaat dengan penuh takwa dan keikhlasan. Tetapi jumlah ahli Jumaat yang tidak mempunyai ciri yang digalakkan juga ramai. Noraini Md Yaman (1997) dalam kertas kerjanya, 'Golongan Sasaran Khutbah' menyebut ada ahli Jumaat tidak menghayati khutbah yang disampaikan kerana faktor:

* Fizikal -letih, lapar, mengantuk, kurang selesa, duduk bersila, panas, masjid penuh sesak;

* Mental - fikiran tidak tenang, kusut, keupayaan untuk memahami khutbah, tahap pengetahuan, tumpuan terganggu, perbezaan pendapat dan faktor lain;

* Emosi - perasaan tertekan, konflik jiwa rasa tercabar atau diperkecil-kecilkan oleh khutbah yang disampaikan; dan

* Rohani - perbezaan tahap pendidikan rohani dan berlainan fahaman.

Berdasarkan faktor kelemahan dan faktor kesediaan ahli jemaah yang hadir untuk mendengar khutbah, beberapa tindakan perlu diambil bagi memberi nafas baru terhadap khutbah. Menurut Dr Uthman (1997) ada dua keperluan utama khutbah masa kini.

Pertama; bagaimana hendak menjayakan khutbah sebagai wahana bagi menjayakan perubahan dalam masyarakat dan kedua; bagaimana menimbulkan motivasi dan semangat melakukan kebaikan dalam semua kegiatan dan keperluan hidup.

Bagi mendapatkan model atau konsep khutbah yang dinamik kita perlu merujuk kepada ciri khutbah Nabi. Dalam aspek khutbah Nabi ada dua perkara yang perlu diperhatikan. Pertama aspek penyampaian dan kedua kandungan.

Apakah ciri khutbah nabi yang perlu dihayati? Ada empat perkara yang penting berasaskan ciri khutbah Nabi: Isi, bahasa, teknik penyampaian dan jangka masa.

Isi khutbah hendaklah ringkas dan padat selaras dengan Sunnah Rasulullah. Anas bin Yasir berkata: "Saya mendengar Rasulullah bersabda, sesungguhnya panjangnya solat dan singkatnya khutbah menunjukkan kedalaman agama seseorang itu. Oleh itu, panjangkanlah solat dan singkatkan khutbah" - (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad).

Isi yang hendak dibincangkan hendaklah tepat, jelas, kukuh dan dapat menyentuh jiwa pendengar. Dalil naqli serta dalil yang tepat perlu disertakan untuk memperkukuh hujah yang diberikan.

Bahasa yang digunakan dalam khutbah hendaklah bersesuaian dengan tahap kebolehan pendengar. "Berbincanglah kepada manusia mengikut tahap kecerdasan (akal) mereka." - (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hubungan ini, bahasa yang digunakan dalam khutbah Jumaat hendaklah sealiran dengan perkembangan dan suasana semasa. Oleh itu, khutbah yang masih menggunakan bahasa 'lama' perlu diberi nafas baru dengan bahasa dan istilah yang baru dan lebih segar. Di samping itu, bahasa khutbah perlu bersifat bahasa 'lisan'.

Syed Sabiq (1987) memetik pandangan Imam an-Nawawi yang menyarankan penggunaan bahasa yang baik dalam khutbah. Katanya: "Disunatkan khutbah Jumaat menggunakan bahasa yang fasih dan lancar, tersusun, mudah dimengertikan tidak terlalu tinggi, tidak pula menjadi tidak keruan, kerana yang demikian itu tidak memberi bekas walau sedikit pun pada hati pendengar. Sebaik-baiknya pilihlah bahasa yang mudah, ringkas dan bervariasi."

Teknik penyampaian juga penting. Penyampaian khutbah yang berkesan biasanya berbentuk 'perbualan antara khatib dan pendengarnya. Oleh yang demikian tidak digalakkan membaca teks khutbah. Perbuatan membaca teks khutbah dengan sendirinya membunuh semangat khutbah yang sering menjemukan pendengar. Khatib juga perlu mengawal suara, pergerakan badan, menarik perhatian dengan gaya, retorika, bahasa badan dan strategi pemujukan yang sesuai.

Allah berfirman: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik" - (AlQuran, an-Nahl:125).

Jabir (RA) berkata: "Apabila Rasulullah berkhutbah, kedua-dua mata baginda merah, suaranya keras dan bersemangat bagaikan seorang panglima yang memperingatkan kedatangan musuh yang hendak menyerang."

Bagaimana dengan jangka masa khutbah? Nabi menyampaikan khutbah dalam jangka masa yang pendek. Ini berdasarkan beberapa hadis yang diriwayatkan sahabat. Jabir berkata: "Nabi tidaklah memanjangkan nasihatnya pada hari Jumaat (dalam khutbah Jumaat). Baginda hanya memberikan amanat yang singkat saja" - (Hadis, riwayat Abu Daud).

Penyampaian sesuatu khutbah itu akan lebih bersesuaian jika disampaikan dalam tempoh yang tidak melebihi 15 minit. Dari sudut psikologi, tumpuan pertama manusia adalah sekitar 15 - 30 minit. Selepas itu, fikiran manusia tidak dapat lagi memberi tumpuan sebaik-baiknya terhadap apa yang didengarinya. (Najmi Haji Ahmad, 1997).

Berdasarkan ciri khutbah Nabi, ada beberapa ciri penulisan khutbah yang perlu diperhatikan: Pendek, tepat, padat, tidak menyeleweng, tidak tergantung, tidak kabur, persoalan terjawab, terjurus kepada perbincangan, menjiwai pendengar, menjadi pegangan, membawa perubahan, mendapat ilmu dan mendapat benda baru.

Pada asasnya ada beberapa jenis penulisan khutbah yang boleh memberi kesan dan bersifat dinamik jika dapat dijayakan. Antaranya:

* Khutbah berbentuk berita seperti kemalangan, kebakaran, kejayaan atau kegagalan manusia yang boleh dijadikan teladan. Fakta dari media massa perlu diulas bersama dalil naqli, kata ulama dan dijadikan iktibar;

* Khutbah bersifat bagaimana mencapai ketakwaan, keikhlasan, kecantikan akal budi;

* Khutbah membincang profil seperti ulama, sahabat Nabi dengan menceritakan perihal individu untuk pengajaran manusia;

* Khutbah penerangan untuk memperjelaskan mengeni sesuatu aktiviti atau ibadat yang disaran oleh Islam untuk dilaksanakan;

* Khutbah sejarah yang memperihalkan kisah sejarah Islam, Sirah Rasul dan sahabat Nabi yang masih belum dibongkar. Khutbah sejarah tentu dapat menarik minat jemaah jika berjaya diolah dan disesuaikan dengan keadaan semasa dan dikaitkan dengan kehidupan masa kini;

* Khutbah penyiasatan mengenai mengapa masalah rasuah, gejala sosial banyak berlaku dalam masyarakat. Penyiasatan mengenai sesuatu perkara buruk berlaku serta akibat dan kesan dalam masyarakat perlu diolah dengan baik;

* Khutbah pendapat khatib untuk menyaran sesuatu perkara untuk memperbaiki golongan sasaran. Pendapat diperkukuh dengan fakta yang tepat dan bersifat ilmu;

* Khutbah berbentuk soalan seperti tahukah anda ayat 25 surah al-Kahfi mempunyai pengertian yang paling bermakna kepada manusia. Soalan ditujukan kepada jemaah dan menggalakkan mereka menjawab dan seolah-soalan khatib memberikan homework kepada jemaah; dan

* Khutbah muhasabah yang mengajak jemaah memperbetulkan diri ke arah ketakwaan. Sudahkah anda beres dalam soal sembahyang? Sudahkah kita membaca al-Quran hari ini?

Membina penulis khutbah yang baik tidak sukar. Antara kriteria yang perlu difahami ialah memahami keperluan khutbah, persiapan ilmu, buku rujukan, mengikut perkembangan semasa, kemahiran bahasa/penulisan, tafaqquh fiddin, kemahiran berfikir dan berfikir secara kritis.

Menurut Dr Syakban, antara kriteria penulis khutbah yang berjaya ialah mampu menyampaikan khutbah dengan baik dari segi nada suara bahan dan idea yang baik, mengetahui zuruf (keadaan) dan biaah (latar belakang) pendengar, bijak menggunakan istilah memuji dan mengkritik dalam sesuatu keadaan serta mampu menghentikan khutbah ketika pendengar mencapai tahap belum terlalu puas.

Abdul Rasyid Muhammad (1992) dalam kajian Kecemerlangan Khutbah di Negeri Pahang membuktikan bahawa khutbah yang dinamik mempunyai potensi besar untuk bertindak sebagai media pembangunan yang amat berkesan. Kajian itu menyatakan khutbah yang dinamik dapat memberikan matlamat berikut:

* Memberitahu dan mengajar orang yang jahat;

* Mengingatkan orang lupa dan menggerakkan orang yang lalai;

* Mengejutkan orang yang lena;

* Meredakan jiwa yang angkuh;

l Menggalakkan yang makruf;

* Merangsang semangat berjihad; dan

l Mengukuhkan ketakwaan orang yang mendengar.

Bagi menjayakan hasrat mewujudkan khutbah yang dinamik berikut dicadangkan beberapa perkara untuk perbincangan bersama:

* Isu semasa hendaklah dijadikan tema setiap khutbah secara berkala;

* Setiap khutbah hendaklah mengandungi pendapat yang positif, bernas, berkualiti, hujahnya berdasarkan al-Quran, as-Sunnah dan dalil yang kukuh;

* Idea dan pemikiran pakar dalam pelbagai bidang dimasukkan dalam khutbah;

* Bahasa khutbah mudah difahami;

* Penggunaan alat-alat bantuan seperti gambar, tayangan slaid, komputer, tayangan ayat al-Quran dan prasarana yang baik;

* Isu khutbah dijadikan perbincangan selanjutnya;

* Pakar-pakar dalam bidang lain juga perlu dijemput untuk berkhutbah;

* Khutbah dari luar negara yang baik, diterjemah dan disampaikan;

* Teks khutbah ditulis dan sunting, dibukukan dan diedarkan jemaah;

* Wujudkan bank skrip/teks khutbah sukatan khutbah; dan

* Jawatankuasa panel penulisan khutbah/ahli pemikir berkaitan khutbah dan isu-isu yang berkaitan dengannya.

Khutbah berpotensi untuk bertindak sebagai penggerak pembangunan ummah yang berkesan. Kita perlu mengubah imej khutbah daripada sekadar memenuhi rukun kepada media yang berperanan membangunkan ummah dalam segala aspek kehidupan.

Profil majalah Malaysiana 1999

Profil majalah Malaysiana 1999
Burhanuddin Jalal.

Pub date: 2001.
Pages: xii, 353 leaves :
Item info: 1 copy available at Utama.
1 copy total in all locations.
A Look Inside:

Holdings
Utama
Copy Material Location
Z278 UM 2001 BURJ 1 Tesis dan Disertasi STACKS

Profil majalah Malaysiana 1999
Burhanuddin Jalal.
Cataloging source: UMM
Local LC Call No.: Z278 UM 2001 Burj
Personal Author: Burhanuddin Jalal.
Title: Profil majalah Malaysiana 1999 / Burhanuddin bin Jalal.
Publication info: 2001.
Physical descrip: xii, 353 leaves : ill. ; 30 cm.
Dissertation note: Dissertation (M.Publish.Stud.) -- Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, 2001.
Subject term: Malaysian periodicals--Publishing.
Subject term: Malaysian periodicals--Bibliography.
Added author: Universiti Malaya. Jabatan Pengajian Media.
Electronic access: Click Here

Kisah Para Nabi (Karya Asal: Qishash Al-Anbiya)

Kisah Para Nabi (Karya Asal: Qishash Al-Anbiya)
Oleh:
Penerbit:
Jumlah Halaman:
Harga: Ibnu Kathir
Penerbitan Nadi Minda

986
RM75.00



KANDUNGAN

PENDAHULUAN

NABI ADAM ALAIHIS SALAM

NABI IDRIS ALAIHIS SALAM

NABI NUH ALAIHIS SALAM

NABI HUD ALAIHIS SALAM

NABI SOLEH ALAIHIS SALAM

NABI IBRAHIM ALAIHIS SALAM

NABI LUTH ALAIHIS SALAM

NABI ISMAIL ALAIHIS SALAM

NABI ISHAQ DAN YAAKUB ALAIHIS SALAM

NABI YUSUF ALAIHIS SALAM

NABI AYUB ALAIHIS SALAM

NABI SYUAIB ALAIHIS SALAM

NABI MUSA ALAIHIS SALAM

NABI ZULKIFLI ALAIHISSALAM

NABI DAUD ALAIHIS SALAM

NABI SULAIMAN ALAIHIS SALAM

PARA NABI BANI ISRAEL SELEPAS NABI DAUD DAN SEBELUM NABI ZAKARIA ALAIHIS SALAM

NABI ILYAS ALAIHIS SALAM

NABI HAZQIL ALAIHIS SALAM

NABI ILYASA' ALAIHIS SALAM

NABI SAMUEL ALAIHIS SALAM

NABI YUNUS ALAIHIS SALAM

NABI YUSYA' ALAIHISSALAM

NABI ZAKARIA DAN YAHYA ALAIHIS SALAM

NABI ISA ALAIHIS SALAM


PENGANTAR PENTERJEMAH

Apabila diteliti dan dihayati, kami mendapati bahawa penampilan dan persembahan yang dibentangkan di dalam menceritakan kisah sejarah para nabi oleh Ibnu Kathir ini sungguh istimewa dan sangat berbeza dari buku-buku sejarah yang lain, ini kerana pengarang lebih memberi perhatian kepada bidang pentafsiran yang dinukilkan dari ayat-ayat suci al-Quran serta bersandarkan pada hadis-hadis sahih Rasulullah s.a.w. Hal ini menggambarkan betapa keistimewaan yang terdapat pada karangan beliau, dalam membahaskan kisah para nabi, dan pastinya belum ada pengarang yang melakukan sedemikian. Selain itu pengarang juga menampilkan ceritanya dengan bahasa yang mudah difahami dan ringkas. Di sini, pihak kami dapati bahawa hasil kerja yang dilaksanakan menggambarkan suatu penghasilan yang berkualiti, bertepatan dan sepadan dengan orangnya yang telah meletakkan nama baik dan idola para ilmuwan dalam berkarya.

Ketelitian dan sikap berhati-hati pengarang terhadap fakta sejarah dalam membentangkan cerita juga jelas, di mana beliau cuba menghindari dari kisah-kisah yang diada-adakan, sebagaimana banyak terdapat dalam penulisan-penulisan buku-buku Islam kini. Namun, tidak dinafikan terdapat sedikit kisah-kisah sedemikian, sekadar untuk perbandingan. Dengan demikian, para pembaca akan dapat membezakan antara kisah sebenar dengan cerita yang diada-adakan.

Pihak kami telah melakukan sedikit perubahan dari karya asal, iaitu penambahan pada nas al-Quran dan pengajaran serta teladan dari topik-topik yang dibentangkan. Semoga para pembaca dapat memanfaatkan semaksima mungkin dari apa yang telah dilaksanakan ini.

Penterjemah
Ustaz Johari Yaman



Kelebihan Buku Ini
Menceritakan kisah nabi-nabi secara terperinci
Pengarang buku ini merupakan seorang ilmuwan di bidang hadith dan seorang ahli tafsir serta hafaz al-Quran, sehingga beliau mampu menghasilkan karya yang istimewa yang memberi perhatian kepada bidang tafsir.
Buku ini telah disemak oleh penyemak berwibawa, antaranya Dr Gamal Zakaria (koordinator Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akademik, KUIS), Dr Firdaus Nurulhuda (Pen Profesor, Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh & Jabatan Pengajian Umum (ilmu-ilmu Asas), UIA), Mejar Burhanuddin Abdul Jalal (Peg Penerbitan Jabatan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia), Dr Adli Hj Yaakub (Pen Profesor Jabatan Bahasa Arab & Sastera UIA), dan lain-lain.

Komen Husnabooks.com
Buku ini wajar dimiliki oleh setiap keluarga kerana isinya yang lengkap dan terperinci. Ibu bapa boleh menggunakan buku ini untuk menceritakan kisah-kisah nabi kepada anak-anak. Buku ini boleh dijadikan rujukan apabila perlu memandangkan pengarangnya merupakan seorang ilmuwan yang menguasai bidang tafsir al-Quran dan hadis. Karya ini cukup diyakini sehingga ia begitu popular di kalangan se

Buku hurai isu-isu dakwah di Nusantara

Dakwah pada hakikatnya, merupakan gerakan pembangunan yang dilakukan dalam rangka amar makruf dan nahi mungkar supaya wujud kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat.

Dari sisi yang lain pula dakwah merupakan proses komunikasi yang mempunyai kaitannya dengan perubahan sosiobudaya masyarakat.

Lapangan kehidupan yang luas merangkumi keperluan hidup secara teratur yang sentiasa menuntut penyusunan terbaik dalam pelbagai aspek kehidupan. Menyampaikan dakwah sebagai satu ‘sunah’ memerlukan pemahaman yang mendalam dalam persoalan perubahan sosiobudaya yang berlaku khususnya di kalangan umat Islam.

Sosiobudaya manusia terhasil melalui interaksi yang berlangsung bukan sahaja sesama manusia, tetapi ia berlaku juga dengan Maha Pencipta dan dengan makhluk yang lain di muka bumi ini.

Oleh itu kehidupan berpolitik, perundangan, kesenian, berorganisasi dan dunia yang bersifat global kini memerlukan para pendakwah yang dapat memahami segala cabaran dan fenomena perubahan yang berlaku pada masa kini.

Buku berjudul Dakwah dalam perspektif sosiobudaya Malaysia-Indonesia yang disunting oleh Dr. Zulkiple Abd. Ghani dan rakan-rakan ini merupakan koleksi kertas kerja yang dihasilkan oleh ahli akademik dari Malaysia dan Indonesia sempena Seminar Antarabangsa Pengajian Dakwah Malaysia-Indonesia. Ia dianjurkan oleh Jabatan Pengajian dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2003.

Buku setebal 286 halaman ini disusun kepada empat bahagian yang membincangkan isu-isu dakwah serantau dalam pelbagai aspek sosiobudaya masyarakat Malaysia-Indonesia.

Bahagian pertama membawa tema cabaran kecemerlangan dakwah yang antara lain menyentuh tentang keperluan kepada konsep ummatan wahidan, cabaran pendakwah dalam masalah gender, psikologi, ilmu dan juga globalisasi.

Dalam bahagian dua pula menumpukan kepada tema dakwah dan perundangan dengan memfokuskan kepada aspek pelaksanaan hukum Islam dan peruntukan undang-undang yang mempunyai kaitan langsung dengan aktiviti pendakwahan.

Seterusnya dalam bahagian ketiga buku ini membicarakan tema dalam perspektif pelbagai ilmu yang melihat dari sudut ilmu teologi, tafsir dan pengurusan.

Bahagian akhir buku ini menyentuh tentang aspek kajian budaya masyarakat yang menjadi sasaran dakwah di kedua-dua negara merangkumi masyarakat pribumi, Orang Asli di Malaysia dan juga masyarakat Batak Karo di Indonesia sebagai kes yang memerlukan perhatian, kesungguhan dan strategi serta tepat dalam usaha-usaha penyampaian dakwah Islamiah.

Ilmu dakwah Islamiah yang bersifat dinamik memerlukan gabungan maklumat teori dan lapangan untuk memastikan dakwah Islamiah sentiasa relevan dan sesuai di sepanjang masa dan tempat.

Ternyata buku ini membekalkan khazanah ilmu yang amat berguna khususnya bagi para pendakwah di pelbagai peringkat dan organisasi serta boleh menambah kekuatan intelektualisme di kalangan pendakwah untuk menghurai dan menyelesaikan masalah kemanusiaan dan juga sosiobudaya yang sering kali timbul dalam usaha-usaha dakwah Islamiah.

Judul buku: Dakwah Dalam Perspektif Sosiobudaya Malaysia - Indonesia

Penyunting: Dr. Zulkiple Ghani, Anuar Puteh dan H. A Yaakob Matondang.

Penerbit: Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tahun Terbit: 2003

Harga: RM15

ISBN: 983-2234-10-7
____________________________
Catatan: Telah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 30 Nov 2007

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .