Monday, December 26, 2011

BERSEDIA MENGHADAPI CABARAN



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

BEBERAPA hari lagi kita semua akan menyambut tahun baru masehi 2012. Ini bermakna masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak membuat tindakan bijak kita akan terus tertinggal malahan cabaran baru kian menghimpit kita.

Menyedari perkara ini, Islam telah menyarankan agar umatnya sentiasa peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan kehidupan umat dan Islam terus terjamin. Pada hari ini pihak kepimpinan negara telah menyarankan agar kita melakukam transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai dalam aspek ekonomi, politik dan sosial dan juga memperbaiki keadaan negara dan rakyat seluruh agar lebih baik dan sempurna. Dalam Islam transformasi ini disebut sebagai islah dan ia bermaksud perubahan ke arah kehidupan atau keadaan yang lebih baik. Proses islah atau transformasi ini pada asasnya terdapat dua aspek yang perlu dilihat iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).

Pertama: Al-Islah al-insan (transformasi kehidupan insan). Islam telah menetapkan manusia sebagai alat yang dapat mengubah atau mencipta sesuatu perubahan. Oleh yang demikian segala bentuk perubahan atau pembaikan adalah bertujuan membina kualiti kemanusiaan. Kitab suci al-Quran yang mengandungi pelbagai aspek pengajaran yang menyentuh aspek akidah, hukum-hakam, akhlak, seerah dan juga sains dan teknologi. Kesemua aspek tersebut disebut oleh Allah SWT sebagai satu petunjuk kepada manusia untuk mencapai perubahan atau membina peradaban kemanusian. Ini jelas seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah ar- Ra’du ayat 11 yang bermaksud,

“ Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.

Perubahan diri (taghir al-anfus) atau disebut sebagai self reform dapat dilakukan dengan wujudnya kesedaran dalam diri seseorang untuk melakukan perubahan. Ini disebut sebagai self introspection atau muhasabah diri dan selanjutnya disusuli dengan tindakan untuk membangun semangat ke arah kebaikan dan juga pembaikan diri (self correction atau self improvement).

Muhasabah diri merupakan suatu tuntutan yang penting pada hari ini kerana kehidupan yang kian mencabar dari pelbagai aspek. Amat sedih sekali kerana ramai di kalangan umat Islam pada hari ini hanya sibuk melemparkan pelbagai tuduhan dan sering mencari kesalahan orang lain sehingga tidak mampu dan gagal menemukan faktor-faktor kelemahan diri sendiri. Oleh yang demikian, dalam hal ini kita perlu mengingati apa yang telah disebut oleh Khalifah Umar al-Khattab yang telah mengingatkan, “hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung”. Walaupun ramai yang mentafsirkan peringatan tersebut merujuk kepada persiapan kematian, tetapi kepentingan untuk bermuhasabah dalam pelbagai aspek kehidupan perlu kita lihat dalam konteks yang lebih luas.

Untuk itu kita perlu bermuhasabah dan tindakan tersebut perlu dimulakan oleh diri kita sendiri seperti mana saranan Rasulullah SAW yang menyebut ‘ibda’ binafsika’
(mulakan dari diri kamu sendiri). Perlu kita sedari bahawa umat Islam tidak akan terjatuh atau terperosok ke lembah kehinaan jika seluruh umat Islam mengamalkan dan memegang teguh ajaran Islam. Pelabai cabaran dan kehinaan akan menimpa umat jika umat Islam gagal untuk mengambil ajaran Allah sebagai petunjuk dan panduan kehidupan.

Berdasarkan keadaan tersebut, beberapa tindakan untuk memperbaiki diri dan membetulkan keadaan umat perlu dilakukan. Keadaan ini perlu dimulakan dengan membetulkan dari aspek visi keislaman yang jelas, akidah yang murni, ibadah yang kukuh dan disertai dengan ilmu serta sifat ikhlas yang mantap. Jika ini dapat dilakukan ia akan melahirkan akhlak yang baik dan semangat penyebaran syiar Islam yang menyeluruh.

Friday, December 2, 2011

MENGUASAI ENAM JENIS ILMU FIQH



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Tokoh ilmuwan dan Gerakan Islam Dr. Yusuf al-Qardhawiy menyebutkan enam jenis ilmu yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh setiap individu Muslim khususnya para pendakwah iaitu, ilmu syariah, ilmu sejarah, ilmu bahasa, ilmu sosial, ilmu sains dan teknologi serta ilmu yang berkaitan informasi atau malah realiti.

Selain dari itu dalam suasana alat baru masa kini, yang turut membawa pelbagai cabaran dan kerenah yang perlu dihadapi oleh semua generasi manusia. Dalam hal ini organisasi dan juga para pendakwah yang terlibat dengan usaha-usaha dakwah tidak dapat mengelak diri dari berdepan dengan cabaran yang muncul di abad ini. Sehubungan dengan itu, para pendakwah, organisasi dakwah memerlukan persiapan dari segi mental, fizikal dan juga spritual.

Selain dari itu para pendakwah perlu meningkatkan lagi aspek keintelektualan dengan menguasai enam jenis fikah yang pernah disebut oleh Dr. Yusuff al-Qardhawiy dalam beberapa buah bukunya. Penguasaan ilmu fikah yang dimaksudkan di sini bukanlah ilmu fikah sebagaimana kita maklum, iaitu melibatkan ilmu ibadah, muamalat, jenayah, akhlak dan lain-lainnya, tetapi ilmu fikah di sini bermaksud penguasaan terhadap al-Quran dan ilmu Islam iaitu memahami sesuatu perkara secara mendalam dan tidak terbatas kepada ilmu fikah dalam bentuk memberi hukum dari nas yang berbagai-bagai dalam menghadapi sesuatu isu yang tidak didapati nas terhadapnya.

Enam jenis fikah yang dimaksudkan ialah Fiqh al-Ikhtilaf (Fikah perbezaan), Fiqh al-Muwazanat (Fikah keseimbangan), Fiqh al-Nusus (Fikah nas-nas syarak), Fiqh al-Awlawiyat (Fikah keutamaan), Fiqh al-Waqi’ (Fikah realiti atau semasa) dan Fiqh al-Taghir (Fikah perubahan). Dengan mengetahui keenam-enam jenis fikah ini, pendakwah akan dapat mengetahui aspek yang perlu didahulukan dan aspek mana yang perlu dikemudiankan serta mana aspek yang bersifat dasar dan mana aspek dakwah bersifat ranting. Ini penting bagi mengelakkan berlakunya penumpuan tenaga kepada perkara yang kurang penting atau berbalah sesama sendiri sedangkan perkara yang lebih besar diketepikan begitu sahaja.

Friday, November 25, 2011

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1433



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Sempena dengan sambutan tahun baru hijrah 1433 ini, sewajarnya setiap individu muslim melakukan muhasabah diri atau tindakan pembetulan serta melakukan sesuatu amalan atau kegiatan yang tidak bertentangan dengan syariat Islam agar sambutan yang diadakan agar lebih bermakna. Ini selaras dengan persetujuan para ulama yang memahami peristiwa hijrah nabi merupakan satu titik perkembangan dakwah Islamiah bagi membina masyarakat yang lebih bermakna bagi membawa seluruh umat Islam melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.

Dalam konteks umat Islam di Malaysia pada hari ini, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW yang sarat dengan pengajaran dan iktibar itu perlu difahami dan diserap segala pengajaran dan hikmatnya. Ini merangkumi aspek hijrah pembinaan masyarakat yang lebih harmoni, penghayatan Islam yang lebih bermakna dan juga mengajak diri masing-masing meninggalkan perbuatan yang kotor dan maksiat dengan berhijrah ke arah memperbaiki diri, hati dan jiwa menjadi suci dan bersih dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam. Ini menepati apa yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 100 yang bermaksud,

“ Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka Sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Selain dari itu semoga kita sama-sama dapat menghayati maksud doa awal tahun yang sering kita baca bagi menyambut tahun baru hijrah yang bermaksud,

“ Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.”


Catatan: Sebahagian artikel yang telah disiarkan dalam sisipan Mega- utusan Malaysia pada 24 Nov 2011

Sunday, November 20, 2011

DAKWAH PERINGKAT TINGGI



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan jelas menzahirkan kedudukan istimewa kepada agama Islam. Perkara 3 telah menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam perkara 160 pula dengan jelas mendefinisikan seorang Melayu itu sebagai seseorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan berbudaya dengan budaya kehidupan seorang Melayu. Peruntukan ini nyata sekali menzahirkan hakikat keterikatan umat Melayu dengan agama Islam di negara ini. Perkara 11 pula menjamin kebebasan agama kepada semua individu, namun dengan jelas melarang agama-agama lain daripada disebarkan kepada seorang Muslim sebagaimana yang dinyatakan secara jelas dalam peruntukan tersebut.

Berdasarkan fakta tersebut ternyata dakwah Islamiah di Malaysia telah sekian lama memasuki apa yang disebut sebagai ‘ marhalah mihwar muasasi’ iaitu tahap atau era dakwah aktif dalam pemerintahan negara. Berdasarkan tahap yang telah jauh itu, ia tidak bererti kita perlu meninggalkan tahap atau sejarah yang lama. Memasuki tahap yang baru ini, juga bererti kita akan memasuki era dakwah yang lebih berat, penuh cabaran dan memerlukan komitmen yang lebih kuat dan mantap dalam usaha menyampaikan dakwah. Oleh yang demikian semua isu yang berkaitan dengan dakwah sama ada kecil atau besar perlu ditangani oleh dengan penuh hikmat dan kebijaksanaan.

Saturday, November 12, 2011

RUANG DAKWAH TERBUKA LUAS



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Ruang dan peluang untuk berdakwah pada asasnya terbuka luas kepada semua orang. Seluruh umat Islam khususnya para pendakwah atau individu yang terlibat dalam organisasi dakwah perlu berjuang untuk melaksanakan objektif meninggikan syiar Islam, ini seperti mana yang telah disebut oleh Muhammad Abduh (2004) dalam bukunya ‘Madza ya’ni intimaai lid-dakwah’ menjelaskan tiga aspek penting dalam kejayaan dakwah iaitu:
• Iman yang kukuh.
• Organisasi dan kepimpinan yang mantap.
• Aktiviti atau gerak kerja yang berterusan.

Untuk itu dalam pelbagai strategi dan pendekatan yang digunakan dalam dakwah, kita juga sentiasa perlu menghayati firman Allah dalam surah firman Allah dalam ayat 125 Surah Al-Nahl yang bermaksud,

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk”.

Sunday, October 30, 2011

TRANSFORMASI DAKWAH



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Salah satu transformasi dakwah yang perlu disemarakkan ialah Gerakan dakwah Islamiah di peringkat tinggi atau yang disebut sebagai ‘ marhalah mihwar muasasi’ iaitu tahap atau era dakwah aktif dalam pemerintahan negara. Berdasarkan tahap yang telah jauh itu, ia tidak bererti kita perlu meninggalkan tahap atau sejarah yang lama. Memasuki tahap yang baru ini, juga bererti kita akan memasuki era dakwah yang lebih berat, penuh cabaran dan memerlukan komitmen yang lebih kuat dan mantap dalam usaha menyampaikan dakwah. Oleh yang demikian semua isu yang berkaitan dengan dakwah sama ada kecil atau besar perlu ditangani oleh dengan penuh hikmat dan kebijaksanaan.

Bagi menjayakan usaha-usaha dakwah dalam sesebuah negara, Syaikh Abul Rahman Abdul Khaliq (2004) dalam bukunya telah memetik pendapat Syaikh Sayid Sabiq tentang perkara-perkara yang perlu diambil perhatian dalam usaha-usaha pembinaan dan kebangkitan dakwah Islamiah di antaranya:

Pertama: Kebangkitan dakwah sangat memerlukan pemahaman Islam yang menyeluruh. Semangat yang tinggi sahaja tidak mencukupi dan semangat itu juga perlu diiringi dengan pemahaman yang benar dan menyeluruh.

Kedua: Kebangkitan dakwah ini juga memerlukan sistem pengurusan dan pengorganisasian yang baik.

Ketiga: Sistem pengurusan yang baik itu juga memerlukan kepimpinan yang berkesan dan berwibawa. Kesemua sistem itu akan dapat meletakkan berbagai perencanaan dan aturan yang akan menghasilkan dakwah yang berkesan.


. Oleh yang demikian dalam memenuhi keperluan dakwah di tahap yang tinggi ini, semua pihak memerlukan kematangan iman dan takwa serta kematangan ilmu. Bagi memperoleh kematangan iman dan takwa, ia hanya dapat dicapai, apabila kita berjaya menempuhnya. Menurut Said Hawa dalam bukunya al-Mustaklashah yang merupakan syarah atau ulasan dari kitab Ihya Ulumudin oleh Imam al-Ghazali, telah menyenaraikan 13 perkara yang dapat membina kematangan iman dan takwa yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu Muslim secara berterusan iaitu solat, zakat, dan infak, puasa, haji, tilawah al-Quran, zikir, tafakur, mengingati mati dan sedikit angan-angan, muraqabah,muhasabah, mujahadah, muaqabah, amar makruf, nahi mungkar, jihad, khidmat dan tawaduk.

Dalam aspek kematangan pengukuhan ilmu pula, tidak ada jalan lain melainkan belajar mendalami ilmu, membaca dan terus belajar sehingga akhir hayat. Proses tersebut perlu diteruskan sehingga mencapai tahap rabbani seperti yang telah firman oleh Allah yang bermaksud,

‘Tidaklah patut bagi seseorang manusia Yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang menyembahku Dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - Dengan ilmu dan amal Yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya”. Ali-Imran: 79)

Wednesday, October 26, 2011

HANYA JAUHARI YANG MENGENAL MANIKAM



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Allah Swt telah berfirman dalam surah az-a-Zumar ayat 9 yang bermaksud,

"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”.

Berdasarkan ayat tersebut, tidak ada sesiapa yang dapat menafikan tentang kepentingan ilmu sebagai bekalan dalam perjalanan kehidupan. Ilmu ibarat lampu yang menerangi kegelapan malam ketika berjalan di lorong kehidupan. Semakin banyak seseorang itu mempunyai ilmu, maka makin teranglah jalan yang dilaluinya, maka makin besar kemampuannya untuk menyumbang kepada masyarakat.

Sebaliknya bagi mereka yang yang cetek ilmu maka sudah pasti jangkauannya juga pendek. Bukan sahaja orang tersebut tidak mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh manusia lain malah dirinya juga mungkin tidak mengenal erti dunia keilmuan, tidak cinta dan suka kepada ilmu juga tidak tahu menghormati orang lain yang mempunyai ilmu malah sering menyindir orang lain agar dirinya dianggap berilmu kerana punyai kedudukan yang sederhana tinggi dalam organisasi. Pepatah Melayu ada menyebut hanya jauhari mengenal manikam. Untuk itu dalam hidup ini kita perlu menghormati orang lain yang punyai ilmu walaupun ilmu yang kita ada tidak menyamai ilmu orang lain. Fikir-fikirkan…

Sunday, October 16, 2011

MENGKAJI SEMULA PENDEKATAN DAKWAH



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Pendekatan dakwah masa kini perlu ke arah yang lebih profesional. Ini merangkumi aspek dan modul latihan yang mempunyai konsep yang tertentu, merealisasikan prinsip “seek First to understand, then to be understood”, iaitu dengan maksud melakukan penilaian atau assessment kepada golongan sasaran iaitu yang mempunyai pelbagai kategori, pangkat dan juga karakter atau pun pelbagai ragam manusia. Oleh yang demikian dakwah yang hendak disampaikan, perlu bersifat ergonomik, iaitu disiplin sains yang berkaitan dengan design mengikut keperluan manusia, merangkumi teori, prinsip, data dan metode ke arah memanfaatkan secara maksimum kemanusiaan manusia dan sistem secara keseluruhannya.

Selain dari itu, pemantapan pengurusan dakwah ini juga merangkumi aspek pendakwah. Membina kualiti manusia pendakwah amat penting khususnya dari aspek ilmu, maklumat, kemahiran dan sikap. Sekiranya kualiti pendakwah dapat dibina sekali gus ia dapat melahirkan pendakwah yang berdisiplin serta mampu berkomunikasi dengan golongan sasar dengan sempurna serta mampu menghayati konsep ‘hikmah’ dalam dakwah seperti yang telah difirmankan oleh Alah (s.w.t.) dalam Surah al-Nahl (16:125) yang bermaksud, “Serulah ke jalan tuhan-mu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya tuhan-mu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk”.

Menurut Ali Yaakub Matondang (2006), pada umumnya tahap dacwah bil-hal masih pada tahap sederhana. Dakwah bil hal sebagai satu manhaj atau pendekatan dakwah sosial (manhaj al-amal ma’a al-jamaah), perlu menjadikan kaedah-kaedah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sebagai garis panduan. Terdapat lapan kaedah dakwah sosial yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w iaitu:

a. Komitmen dan jati diri pendakwah (thiqah al-da’iyah).
b. Matlamat dan objektif yang jelas (tahdid al-hadaf).
c. Memahami situasi dan keadaan masyarakat (al-taaruf ala tabi’at al-mujtama’).
d. Penyediaan kepimpinan (tarbiyah qiyadiyah).
e. Penyampaian dakwah secara jelas ( al-ard al-wadih).
f. Menciptakan keunggulan dan daya penarik dakwah (ijad istiqtab hawl al-dacwah).
g. Moral dan akhlak mulia ( al-suluk al-mutabiq li al-mabadi’).
h. Sabar dan tabah menghadapi cabaran ( al-sabr wa al-tahammul).

Kaedah-kaedah di atas merupakan tonggak yang kukuh dalam mengaplikasikan dakwah terutama dalam melaksanakan dakwah bil hal. Selain dari itu dalam pelaksanaan dakwah bil hal ia memerlukan pendekatan yang sesuai dengan keadaan yang dihadapi. Di antaranya ialah pendekatan dalam bentuk berikut:

a. Taui’yah (kesedaran). Ini bermaksud mengarahkan kesedaran agar sumbangan dakwah semakin jelas. Dengan demikian kerja-kerja dakwah menjadi lebih bertenaga, efisien dan produktif, kerana masyarakat atau golongan sasar telah menyedari potensi yang ada serta memiliki orientasi yang jelas dan ini akan memudahkan golongan sasar di arah untuk melakukan kebaikan.
b. Irsyad (bimbingan). Ini bermaksud memberi bimbingan sehingga masyarakat tidak terjebak dalam ranjau-ranjau kesesatan serta berada di jalan yang benar. Mampu menghadapi rintangan secara bermaruah, tidak pesimis dan tidak berputus asa dalam menghadapi sebarang situasi.
c. Himayah (perlindungan). Ini bermaksud memberikan perlindungan terhadap nilai-nilai murni sehingga tidak dicemari oleh tingkah laku menyimpang dan juga memberikan perlindungan kepada golongan sasar dari segala bentuk kezaliman.
d. Tanmiyah (pembangunan). Bermaksud pembangunan dan pengembangan kehidupan masyarakat ke arah kemajuan yang membawa kepada kecemerlangan dan kebahagiaan mental dan fizikal, dunia serta akhirat.

Oleh yang demikian adalah wajar suatu tindakan drastik perlu diambil terhadap kaedah dan pendekatan dakwah yang dilakukan oleh semua organisasi selama ini, kerana tahap penghayatan Islam secara keseluruhannya tidak banyak berubah kerana masih belum mencapai tahap mukmin dan muhsin seperti yang diharapkan dan didambakan oleh kita sebagai pencinta Islam.
________________________________________

Catatan: Tulisan ini telah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 19 Okt 2011

Tuesday, October 11, 2011

MEMBINA HARAPAN




Oleh: Mejar Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Menurut Kamus Dewan, harapan ditakrifkan sebagai mengharapkan sesuatu terjadi dengan lebih baik pada masa akan datang. Selain dari itu ada juga yang mentakrifkan harapan itu adalah sesuatu yang tidak mudah untuk meraihnya. Ungkapan ‘tidak mudah diraih’ adalah dalam bentuk sesuatu perkara yang perlu diusahakan agar perkara tersebut dapat diperoleh.

Dalam hal lain, kita barangkali pernah mendengar orang berkata, “saya masih mempunyai harapan” dan ini boleh dikaitkan dengan kewajipan agama. Firman Allah SWT, yang bermaksud,

”Wahai anak-anakku! pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum Yang kafir".( Yusuff 12: 87).

Dalam ayat di atas Allah menyebut kaum kafir kerana mereka adalah golongan yang berputus asa dengan rahmat Allah. Ini bermaksud orang kafir ragu dengan kekuasaan Allah sebagai pencipta alam semesta ini.

Apa yang penting ialah kita tidak menjadi sebahagian dari orang-orang yang mempunyai sifat berputus harapan. Buanglah sikap mudah berputus asa ini dari jiwa kita dan binalah diri kita supaya menjadi manusia yang sentiasa gembira dan ceria walaupun kita sedang mengalami kesusahan dan kepayahan. Serahkan kesemuanya pada Allah dan Allah pasti akan menolong kita.

USTAZ BUKTIKAN TIADA HAD UMUR TUNTUT ILMU



Berikut adalah petikan rencana dari Utusan Malaysia yang ditulis oleh Mohd Radzi Mohd Zin yang bertajuk, "Ustaz buktikan tiada had umur tuntut ilmu".

_______________

SEMUA manusia menyedari kepentingan ilmu tetapi tidak semua yang mampu bertahan dalam berjihad menuntut ilmu. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga dan bercucu.
Bak kata pepatah Arab, "Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad".
Itulah yang dibuktikan oleh dua orang ustaz iaitu Mejar Dr. Burhanuddin Jalal, 48, dan Zainal Abidin Yahaya, 58, yang masing-masing menamatkan pengajian ijazah lanjutan baru-baru ini.
Biarpun sudah dalam kategori veteran, semangat mereka dalam menuntut ilmu wajar dijadikan contoh oleh golongan muda atau yang fresh di universiti.
Antara pemangkin semangat kepada kedua-dua mereka adalah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. (riwayat Muslim)
Burhanuddin adalah Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (Kagat) yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 24 September lalu.
Zainal Abidin pula adalah guru al-Quran dari Cheras, Kuala Lumpur yang menamatkan pengajian ijazah Sarjana Syariah (Fikh dan Usul) selama tiga tahun di Universiti Malaya (UM), 4 Oktober lalu.
Burhanuddin melanjutkan pengajian ke peringkat Ph.D di Fakulti Pengajian Islam, UKM mulai tahun 2007 dengan biasiswa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui skim Pengajian Tinggi Tentera Darat.
Beliau berharap kejayaan tersebut memberi impak positif kepada kerjaya ketenteraan dan juga kepada ATM kerana mempunyai pegawai yang berkelulusan akademik yang tinggi.
Katanya, ia dapat menyumbang ke arah pembinaan organisasi yang cemerlang dan berwibawa.
"Saya bersyukur dan gembira atas kejayaan ini. Semoga ia menjadi pendorong kepada rakan-rakan lain untuk terus menuntut ilmu ke peringkat tertinggi," katanya.
Burhanuddin kini bertugas sebagai Timbalan Komandan Institut Latihan dan Kefahaman Islam ATM, Port Dickson, Negeri Sembian.
Beliau juga adalah kolumnis di Utusan Malaysia.



________________________________________

Sunday, October 2, 2011

HAMBATAN DALAMAN ORGANISASI DAKWAH



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam organisasi dakwah adakalanya terdapat masalah dalaman yang boleh melemahkan organisasi. Pertentangan dalaman ini sekaligus menggambarkan kelemahan proses tarbiyyah dan juga terdapatnya kelemahan dalam penjagaan diri di kalangan individu yang terdapat di dalamnya.

Menurut Syeikh Jassim al-Muhalhil terdapat beberapa masalah hambatan yang terdapat dalam organisasi dakwah antaranya:

• Wujud kumpulan perosak dalam organisasi dakwah.
• Lemahnya hubungan antara pimpinan dan pengikut.
• Kekurangan kecintaan terdapat ilmu di kalangan para ahli organisasi.
• Lemah dalam aspek perancangan.
• Kelekaan dalam aspek pendidikan di kalangan ahli organisasi.
• Rasa selesa dengan kedudukan dan pencapaian masa kini dan tertipu dengan pujian masyarakat sekeliling.
• Fitnah yang muncul akibat berpegang dengan teori perancangan ilmu pengurusan moden sehingga melupai aspek tarbiyyah insaniah.

Memahami hambatan dalaman ini adalah penting kerana ia akan memberi peringatan kepada para pendokong dakwah yang sentiasa berada di manhaj yang betul. Seorang sahabat nabi pernah berkata, “ Ramai manusia bertanya kepada Rasulullah tentang kebaikan, sedangkan aku bertanya tentang kejahatan, takut-takut ia (tiba) ke atas aku”.

Sunday, September 25, 2011

TERIMA KASIH DAN SETINGGI PENGHARGAAN



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Semalam 22 September 2011 (Sabtu)telah mencatatkan satu lagi sejarah buat diri penulis, kerana pada hari tersebut penulis telah menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Konvokesyen UKM kali 39 yang telah disempurnakan oleh Canselor UKM Tuanku Mukriz bin Tuanku Munawwir yang juga Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan.

UKM juga terus mencatat sejarah kerana berjaya melahirkan kelulusan PhD yang teramai di antara IPTA di Malaysia kerana seramai 286 graduan PhD telah dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah pada tahun ini.

Bagi Fakulti Pengajian Islam seramai 14 orang graduan telah berjaya, tetapi hanya tiga orang yang dapat hadir pada hari bersejarah tersebut kerana kebanyakan graduan FPI yang lulus itu adalah pelajar luar negara, dan selain dari itu juga rakyat tempatan yang berjaya meraih PhD pada tahun ini hanya tiga orang sahaja. Ini sesuatu yang perlu dilihat secara serius kerana tidak ramai ustaz atau ustazah yang terus berminat untuk pelajar sampai ke Peringkat PhD, sedangkan kitalah yang selalu bersyarah tentang kelebihan dan keperluan menuntut ilmu. Untuk itu, para ustaz dan ustazah mari kita ramaikan lagi ilmuwan dan tidak sekadar retorik.

Dalam kesempatan ini penulis ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada keluarga, guru-guru, rakan-rakan yang telah sama-sama mendoakan dan memberi perangsang kepada penulis untuk berjaya dalam pengajian.Ucapan terima kasih dan penghargaan juga ditujukan kepada Angatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan atas tajaan biasiswa melalui Skim Pengajian Tinggi Tentera Darat,KAGAT serta semua pihak yang membantu dan menyokong. Terima kasih dan semoga semuanya mendapat keberkatan dari Allah.

Monday, September 19, 2011

JIWA BELUM MERDEKA?



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Malaysia telah merdeka 54 tahun yang lalu, dan buminya subur dengan pelbagai hasil dan sumber alam yang kaya. malaysia, juga tidak kurang dari segi sumber tenaga manusia atau modal insannya, tetapi kita masih menjual bahan mentah atau hasil bumi kita kepada orang lain dengan harga yang begitu murah dan kemudian kita mengimportnya kembali ke negara kita dengan harga yang mahal? Mengapa ini berlaku? Atau kita sekadar berserah?

Mungkin tahap kerja kita masih sekadar untuk memuaskan hati bos dan tidak untuk meningkatkan produktiviti sepenuhnya. Piawaian kerja yang dilakukan adalah untuk memenuhi keperluan pihak atasan walaupun ia mampu untuk melakukan ke tahap yang lebih baik dan tinggi lagi. Dalam satu kisah, Rasulullah memasuki masjid ketika masih di luar waktu solat dan didapati Abu Umamah berada dalam masjid dan Rasulullah bertanya, “ mengapa kamu duduk di sini?”. Abu Umamah menjawab, “ hutang yang banyak dan kerisauan yang melanda”. Rasulullah kemudian mengajar satu doa yang bermaksud,

“ Ya Allah aku berlindung dari Mu perasaan gelisah dan sedih dan aku berlindung dari-Mu ketidakmampuan dan kemalasan”.

Berdasarkan doa yang dibacakan oleh Nabi itu ternyata ketidakmampuan dan juga sikap malas merupakan dua penyakit berbahaya, kita perlu sentiasa memohon perlindungan dari Allah semoga penyakit tersebut dijauhkan dari kita. Selain dari itu juga pada hari ini ramai di kalangan anak-anak muda yang memilih untuk menganggur daripada bekerja dengan alasan kelulusan atau ijazah yang mereka miliki tidak sesuai dengan kerja yang ada di pasaran. Dalam aspek ini Allah SWT telah mengingatkan melalui firman-Nya yang bermaksud,


“Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki Yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya).-al-Mulk 67: 15.

Sunday, September 4, 2011

ERTI PERSAHABATAN




Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Syawal yang baru berlalu sebenarnya banyak mengajar kita, dan salah satu yang mungkin dapat mengajar diri kita ialah tentang erti persahabatan. Dalam perkara ini pepatah arab ada menyebut, “pilihlah sahabat sebelum bermusafir dan jiran sebelum membina rumah”.

Selain dari itu dalam kitab Ahasin al-kalim syarah al-Hikam (1/322-326) ada menukilkan yang bermaksud, “ janganlah kamu bersahabat dengan orang yang mengutamakan dirinya daripada dirimu, maka sesungguhnya tabiatnya jahat, dan janganlah bersahabat dengan orang yang mengutamakan diri kamu daripada dirinya, maka sesungguhnya ia jarang kekal, dan bersahabatlah dengan orang yang sentiasa mengingatkan kita kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT mengkayakannya dengan dia apabila bersama, dan Dia mengantikannya apabila tiada. MengingatiNya merupakan cahaya hati dan penyaksianNya merupakan kunci-kunci segala ghaib”.

Oleh itu marilah kita membina persahabatan yang baik dan hindarkan permusuhan sesama kita dan mengambil iktibar dari kata-kata seorang pujangga, “ percayalah pada diri sendiri dan jangan bergantung kepada orang lain. Anggaplah bahawa mereka menjadi tanggungan diri kita dan bukan diri kita yang menjadi tanggungan mereka dan Allah SWT yang bersama dengan diri kita. Jangan tertipu dengan orang yang selalu berfoya-foya”.

Friday, September 2, 2011

MELAKUKAN YANG TERBAIK



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam sebuah hadis Rasulullah yang dikategorikan sebagai Jawami’ al-kalim ( hadis pendek yang mengandungi banyak makna) seperti sebuah hadis yang bermaksud, “ Allah mewajibkan kebaikan dalam segala hal”. Hadis ini membawa maksud dan perintah agar umat Islam melakukan kebaikan dalam seluruh aktiviti sama ada dalam skala mikro ataupun makro. Oleh demikian sudahkah kita merancang untuk program atau aktiviti untuk hari ini. Kebaikan adalah mencakupi seluruh kehidupan.

Jika diri kita seorang pelajar, jadilah seorang pelajar yang berprestasi tinggi, jika kita seorang guru, adakah kita telah memberikan pengajaran atau bimbingan yang terbaik kepada anak murid atau pelajar? Jika kita seorang pegawai, adakah kita telah mencapai tahap piawaian profesionalisme yang tinggi dan mampu mempertahankan tahap profesionalisme itu dalam tempoh seminggu? Mengapa kita tidak mencuba. Cubalah kita akan merasakan perubahan yang besar dalam hidup kita ini.

Oleh itu kita perlu menghayati apa yang telah diucapkan oleh salah seorang pemimpin kita, yang antara lain telah menyebut,

“mahu atau tidak mahu, kita mesti berubah. Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah”.

Saturday, August 27, 2011

SALAM IDIL FITRI DAN SALAM MERDEKA




Oleh : Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama bersyukur kerana dapat meraikan idil fitri dan sambutan kemerdekaan secara serentak. Pada 30 ogos ini kira menyambut idil fitri sebagai kemenangan menjalani ibadah Ramadan dan pada 31 Ogos pula, kita menyambut Hari Kemerdekaan negara kali ke 54.

Memetik pendapat Us Hasrizal Jamil dalam blognya (saiful Islam. com) telah mengaitkan erti kemerdekaan dalm dua konteks yang berbeza tetapi ia saling berkaitan. Kita cukup berhempas pulas untuk membebaskan Negara dari penjajah iaitu Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris. Negara kita dijajah selama 446 tahun dan mengapakah kita kita mengaitkan erti penjajahan yang sentiasa membelenggu diri kita iaitu syaitan dan nafsu? Antara lain beliau menulis,

“ Selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajah, iaitu penjajah yang lebih sukar untuk dihadapi kerana ia nyata berbeza daripada tentera British, Jepun, Komunis atau apa sahaja kuasa yang kelihatan.Penjajah pertama adalah Syaitan. Ia sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah sepertimana janjinya kepada Tuhan.

“Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menghukum daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghias dan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya” [al-Hijr 15: 39]

Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan Syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk Syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran.
Ramadhan telah datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah pertama ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan Syaitan menguasai kita.
Pada 1 Syawwal ini, tanyalah kepada diri kita, sudahkah diri ini berjaya melepaskan diri dari menjadi hamba kepada Syaitan? Sudahkah kita berjaya mempertahankan kemuliaan diri sebagai manusia daripada dijajah oleh Syaitan, makhluk hina yang dibenci Allah itu? Perhatikanlah perbuatan seharian kita, berapakah yang menurut seruan Tuhan, berapakah yang menurut seruan Syaitan? Jika Syaitan bukan lagi pemegang remote control kehidupan kita, maka berhaklah untuk kita bergembira di Syawwal ini. Berbahagialah manusia yang sudah tidak lagi dijajah oleh syaitan dan kerajaannya.

Namun bagi yang kembali menyertai seruan Syaitan, ingatlah kepada firman Allah:
“Seumpama Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: “Kufurlah engkau!” Lalu apabila orang itu kufur, berkatalah Syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang Menguasai seluruh alam!” Maka kesudahan keduanya, bahawa mereka (Syaitan yang mengajak dan manusia yang kufur menerima ajakan) ditempatkan di dalam neraka, kekal mereka di dalamnya. dan yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim” [al-Hasyr 59: 16-17]

Penjajah kedua yang menguasai manusia adalah hawa nafsu dan dirinya sendiri.
Berapa ramai manusia yang biar pun hidup di sebuah negara merdeka, dia tetap hamba yang tidak mempunyai kuasa memilih. Dia sentiasa mengikut kehendak-kehendak penjajah ini, biar pun pada kehendak yang membinasakan.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

Apakah engkau tidak melihat keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: sebagai Tuhan yang diutamakan dan dipatuhinya, lalu dia disesatkan oleh Allah biar pun dalam keadaan dirinya berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyah 45: 23] “


Semoga kita dapat menyambut idil fitri dan hari merdeka dengan penh kesyukuran dan keinsafan. Salam idil fitri dan salam merdeka. DR BURHANUDDIN ABDUL JALAL.

Wednesday, August 24, 2011

BEROLEH TAKWA DI HUJUNG RAMADAN


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Ramadan kian di penghujung dan apa yang penting semoga kita semua mendapat ‘taqwa’. Takwa antara lain bermaksud rasa takut kepada Allah. Tanpa sifat takwa, kita tidak mmapu bertahan dalam menghadapi serangan iblis dan syaitan.

Ibn Qayyim al-Jauziyah telah membuat perumpamaan antara orang bertaqwa dan tidak bertaqwa dengan dua lleaki yang berhadapan dengan anjing. Kedua-dua lelaki itu yang masing-masing membawa makanan cuba menghalau anjing yang datang mengganggu. Lelaki pertama berjaya menghalau anjing hanya dengan satu kali halau. Sedangkan lelaki yang kedua berulang-ulang kali menghalau anjing , namun anjing itu tidak berganjak malah makin teruja dengan makanan yang dibawa oleh lekaki kedua itu.
Anjing itu ibarat sebagai syaitan. Lelaki pertama berjaya melindungi diri daripada kejahatan syaitan disebabkan sifat takwa yang ada dalam dirinya. Sebaliknya lelaki kedua tidak mampu melindungi diri dari gangguan syaitan kerana tidak memiliki sifat takwa.

Dalam menyentuh aspek takwa ini, kita jangan terpedaya dengan janggut lebat atau jubah yang dipakai, kerana jangut dan jubah bukan petunjuk kepada takwa. Semoga Ramadan ini kita semua benar-benar beroleh takwa.

Saturday, August 20, 2011

MENGHINDARI PENGARUH SYAITAN



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Kehidupan adalah pentas perjuangan. Perjuangan antara yang haq dan batil, putih atau hitam. Haq atau kebenaran ada pembawa dan pendokongnya iaitu para rasul, sementara yang yang batil atau salah ada juga pendokongnya iaitu iblis atau syaitan.Sebahagian ulama berpendapat kalimah syaitan berasal dari kalimah Arab syathana yang bermaksud ‘ jauh dari kebenaran dan rahmat Allah”. Dalam kitab Makaidu as-Syaitan yang ditulis oleh Taha Abdullah telah memetik pendapat Abdullah al-Abbas, salah seorang sahabat Nabi yang ada menyatakan bahawa , ‘syaitan adalah makhluk daripada keturunan iblis dan mereka tidak akan mati sehingga hari kiamat”.

Syaitan adalah makhluk yang dilaknat Allah dan musuh utama manusia. Syaitan tidak akan jmu-jemu untuk menggoda dan menyesatkan manusia dengan pelbagai teknik dan taktik. Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 119 yang bermaksud,

"Dan Demi sesungguhnya, Aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi Sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah", dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata”.

Oleh yang demikian manusia yang berjaya adalah mereka yang mengisytiharkan perang ke atas syaitan dan senjata yang paling penting untuk didigunakan melawan syaitan adalah senjata kerohanian. Oleh yang demikian marilah kita ambil kesempatan untuk menewaskan syaitan dalam bulan Ramadan ini, tambahan pula saitan kini sedang diikat dan menambah mudahkan lagi untuk kita menewaskannya!

Monday, August 1, 2011

RAMADAN PENGUBAT HATI


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Sebuah hadis yang biasa kita dengar yang bermaksud, “ Ketahuilah dalam tubuh anak Adam, ada seketul daging, jika baik daging itu , baiklah seluruh anggota badan. Jika jahat, jahatlah seluruh badan. Ketahuilah daging itu adalah hati” - Hadis Riwayat al-Bukhari no 52).

Selain dari iu adalah sebuah lagi hadis yang bermaksud, “ Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati”. - Hadis Riwayat al-Bukhari no.6081)

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara kesihatannya agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Berdasarkan aspek tersebut kita perlu menghindari ciri-ciri yang menggambarkan hati yang sakit seperti sombong, keluh kesah, lupa, gelisah, merana dan lalai. Semoga Ramadan kali ini dapat menjadi penawar dan pengubat bagi hati yang sakit dan kita tidak menjadi orang yang rugi pada ramadan kali ini.

Sunday, July 31, 2011

PEMBINAAN PERIBADI YANG KUKUH



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Selamat menyambut bulan ramadan yang mulia dan mari kita berazam untuk mengisi Ramadan dengan amal soleh dan kita tidak mahu lagi menjadi orang yang rugi. Kita perlu memastikan diri kita menjadi orang yang beruntung di sisi Allah serta mampu membina peribadi yang mantap dengan kekuatan iman dan taqwa.

Menurut Hassan al Banna peribadi yang kukuh dapat dibina dengan menjaga hubungan kita dengan Allah. Ini dapat dibina melalui perndekatan berikut:

• Membaca al-Quran dan sebaik-baiknya 1 juz sehari
• Membaca dan mengamalkan Istighfar 70-100x sehari
• Membaca Wirid ma’thurat
• Melakukan Qiyamullail


Menurut Hassan al-Banna lagi, pendekatan ini adalah penting untuk berhadapan dengan ujian-ujian dalam perjuangan. Kesan penjagaan hubungan ini, yang lemah akan mendapat kekuatan, seperti firman Allah dalam Surah Al-Baqarah: 249.

“ Aku tidak risau pada banyaknya musuhmu, tapi aku risau pada banyaknya dosa-dosamu”


Semoga kita bersama-sama menghayati apa yang dipesan oleh tokoh dakwah dan ulamak ini. Salam Ramadan.

Sunday, July 24, 2011

DAKWAH: HINDARKAN BERSENDIRIAN !



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Bagaimanakah usaha-usaha dakwah kita? Berjaya atau gagal? Adakah ramainya umat yang mengalami kekosongan jiiwa, bermasalah atau tanpa pegangan agama disebabkan kegagalan usaha-usaha dakwah yang dijalankan? Adakah program tidak berkesan atau faktor pendakwah sendiri? Itulah beberapa persoalan yang perlu kita jawab bersama.

Mengikut Dr Irwan Priyanto dalam bukunya Peribadi dai (2003), salah satu punca kegagalan dakwah adalah disebabkan penyakit yang menyelubungi peribadi pendakwh iaitu melakukan dakwah secara sendirian (infiraadiah). Infaraadiah ini terbahagi kepada beberapa aspek seperti faktor emosi dan dakwah yang berorientasikan tokoh. Daie yang berasa hebat dengan ramai pengkagumnya serta mempunyai kecenderungan untuk meremehkan orang lain kerana merasakan dirinya hebat. Perasaan hebat ini diukur dengan banyaknya undangan ceramah dan ramainya orang yang mendengar berceramahnya. Kesan dari kekaguman terhadap diri sendiri ini akan melahirkan ego diri kerana tidak ada atau orang yang disekelilingnya tidak berani untuk menegur atau menasihati kesilapan yang dilakukan.

Mengikut Dr Iwan Priyanto lagi, kesilapan atau penyakit dakwah infiradi (bersendirian) ini perlu diperbetulkan dengan cara dakwah secara amal Jamaie. Dakwah secara berjamaah atau secara berorganisasi ini akan dapat mengubat penyakit hati serta tidak mementing diri semata-mata dan dakwah yang dilakukan bersama akan mencapai matlamat yang bersama dan ia mampu membina masyarakat berorientasikan perubahan dan pembentukan umat. Marilah terus berdakwah secara berorganisasi dan berjemaah bagi mencapai kejayaan dakwah yang lebih gemilang.

Friday, July 22, 2011

RAMADAN KARIM


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal


Puasa bukan sekadar lapar dan dahaga, tetapi yang lebih penting ialah kita perlu mengambil iktibar dan pengajaran dari ‘madrasah ramadan’ yang kita semua bakalan lalui beberapa minggu lagi selama sebulan. Kita juga perlu mengambil iktibar dari lapar dan dahaga yang sering dilalui oleh golongan fakir miskin ataupun anak-anak yatim yang tidak mempunyai tempat bergantung. Sikap serta kemurahan hati dan jiwa tidak sekadar terpancar pada bulan Ramadan malah ia perlu diteruskan pada bulan-bulan lain dengan sifat dan peranan kesetiakawanan, saling menghormati dan perasan belas ihsan sesama insan.

Bulan Ramadan merupan waktu yang paling tepat untuk melatih dan merubah akhlak yang buruk kepada yang baik. Merubah akhlak yang buruk bukan mudah dan senang. Ini adalah kerana akhlak yang buruk dan tidak baik itu telah lama bersarang dalam hati dan jiwa. Jika tidak keterlaluan setiap orang pasti mempunyai akhlak atau tingkah laku buruk dalam diri dan jiwa seperti sikap berbohong, penipu, pencuri, suka menyindir, meremehkan orang lain, bersangka buruk atau berbangga dengan diri sendiri (sekadar contoh).

Oleh yang demikian Ramadan adalah waktu yang paling tepat untuk melembut dan membersihkan hati kita dengan sedekah, solat, bacaan al-Quran, dan amalan-amalan yang baik. Sesungguhnya Ramadan juga merupakan ‘sekolah atau madrasah’ yang paling tempat untuk memperbaiki sifat dan perlakuan buruk dalam diri kita serta mampu merubah watak buruk ke watak yang lebih baik. Sesungguhnya kita yakin dan percaya Ramadan terlalu banyak hikmat dan pengajaran yang boleh kita temui dan seterusnya kita serapkan dalam kehidupan dan tidak sekadar di bulan ramadan!

Wednesday, July 20, 2011

IBADAH DAN TAQWA


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Setiap ibadah yang dilakukan dengan cukup sempurna, ikhlas dan memenuhi syarat dan peraturannya, akan menghasilkan ketaqwaan. Sifat takwa akan menghasilkan izzah(harga diri).

Takwa akan melahirkan rahmah, furqan, barakah, rezeki dan kemudahan. Kesemuanya adalah ciri-ciri kebaikan yang dapat dirasai oleh manusia yang bertaqwa di dunia ini. Sementara ganjaran di akhirat kelak merupakan keampunan Allah SWT serta pahala yang besar di sisi Allah. Semoga ibadah puasa yang akan kita lakukan dalam bulan Ramadan yang datang ini, akan memberikan kesan taqwa dalam diri kita seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yag bermaksud,

“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa

Monday, July 18, 2011

Ramadan: Bagaimana rumah kita?



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Kita seringkali menghias rumah setiap kali musim perayaan. Perabot baru, langsir baru serta beropol-ropol, atau cat dengan corak terkini dan mungkin turut membersihkan luar dan dalam termasuk menyapu, menyisih, menyusun serta membuang barang-barang yang dianggap usang. Bagus dan tahniah kerana kebersihan itu sebahagian dari iman. Namun bagaimana rumah kita dalam bulan Ramadan ini? Apakah yang perlu lakukan? Adakan kebersihan secara fizikal telah memadai? Bagaimana pula dari aspek spritual atau secara ruhnya? Kita barangkali terlupa atau tidak teringat aspek yang jarang kita fikirkan.

Rumah kita perlu dihiasi dari aspek spritual dalam bulan Ramadan ini. Ya kita boleh lakukan perkara berikut yang tidak banyak mengeluarkan wang ringgit seperti membeli karpet atau kerusi jati yang mahal. Antaranya ialah:

o Membaca al Qur’an.
o Mengulangkaji kitab Fiqh berkenaan puasa.
o Mempertingkatkan kasih sayang antara ahli keluarga.
o Mengeratkan hubungan silaturrahim dengan ibu bapa dan saudara mara.
o Mengeratkan hubungan dengan jiran tetangga
o Sentiasa berdoa agar dapat mengharungi Ramadhan dengan penuh kejayaan.

Sekiranya kita berjaya menghiasi rumah kita dengan amalan dan akiviti yang dicadangakan dirumah kita pada tahun ini, pastinya kita akan mendapat hadiah Ramadan yang amat bernilai di sisi Allah. Antaranya,

o Keberkatan Al-Qur’an
o Lailatul Qadr
o Keampunan
o Rahmah
o Pembebasan dari api neraka

Selamat menjalani ibadah Ramadan.

Friday, July 15, 2011

RAMADAN DATANG LAGI


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Kita kini telah menghampiri Ramadan. Adakah kita telah bersiap sedia dan kalau belum apakah persiapan yang sewajarnya untuk dilakukan? Allah SWT telah berfirman yang bermaksud,

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Al-Baqarah:183).

Selain dari itu terdapat hadis Rasululah yang nenyarankan kita untuk melakukan persiapan sewajarya sejak bulan Rejab dan syaaban lagi bagi menyambut Ramadan. Ini melalui sabda Baginda yang bermaksud,

“ Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan berkatilah kami pada bulan Ramadhan ” (riwayat: Ahmad).

Antara persediaan dan persiapan yang boleh dilakukan:

• Persiapan Ruhi
• Membaca serta Mendalami Fiqh Ramadhan
• Pemeriksaan Kesihatan
• Mengeratkan Siraturahim
• Mengeratkan Hubungan Dengan Jiran Tetangga
• Keceriaan Rumah & Persekitaran
• Berdoa

Semoga ramadan kali ini lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya dan kita dapat pengajaran, iktibar serta tarbiyah yang sewajarya dan tidak sekadar lapar dan dahaga!

Monday, July 11, 2011

ISLAM PERNAH MEMERINTAH DUNIA


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Perlu kita sedari bahawa Islam pernah memerintah dunia selama lebih 1,300 tahun. Dalam tempoh tersebut dunia berada dalam keadaan aman dan suasana kehidupan yang lebih baik dan makmur.

Oleh yang demikian, marilah kita bangkit dan bersatu membangunkan kembali peradaban umat Islam yang hebat dan cemerlang. Untuk itu marilah kita mengubah keadaan dalam diri kita dan berharap dengan usaha atau tindakan tersebut Allah akan mengabah keadaan kita dan akan memberi pertolongan kepada diri umat Islam dan pernah kita membayangkan bahawa umat Islam akan bersatu kembali dan mempunyai kekuatan jiwa yang satu? Untuk itu kita perlu melakukan perubahan dalam diri kita dan tidak lagi bersikap ego dan mementingkan diri sendiri semata-mata. Ini adalah kerana Islam merupakan agama yang menyatukan ummah yang berteraskan keesaan dan ketauhidan Allah SWT. Di samping itu terdapat empat teras yang dapat menyatukan umat Islam.

Pertama: Kesatuan umat. Ini berdasarkan firman Allah SWT,

”Sesungguhnya agama Islam Inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka Sembahlah kamu akan daku”.( al-Anbiya’ 21: 92)


”Dan Sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu - agama Yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertakwalah kamu kepadaKu”.( al-Mukminun 23: 52)


Kedua: Mencintai negara atau tanah air. Mencintai negara atau tanah air adalah sebahagian dari iman. Ketika Rasulullah SAW hendak meninggalkan Makkah, Baginda memandang kota Makkah dengan mata yang berlinang dan seterusnya Baginda bersabda yang bermaksud,

“ Sesungguhnya engkau adalah tanah yang paling aku cintai. Andai kata penduduknya tidak mengusir aku, tentu aku tidak akan meninggalkan mu selamanya”( Hadis Riwayat At-Tirmidzi : 3935)

Ketiga : Keluarga. Allah SWT menyuruh kita berbuat baik kepada ibu bapa, kaum keluarga dan sentiasa menjaga hubungan silaturahim dengan keluarga dan adik-beradik.

Keempat: Jiran tetangga. Dalam perkara ini Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,


“ Jibrail sentiasa mengingatkan dengan jiran, hingga aku mengira ia menjadi ahli waris sepeninggalanku”( Hadis Riwayat Abu Dawud : 5151).

Berdasarkan empat teras yang sebutkan iaitu umat, tanah air, keluarga dan jiran ia merupakan teras yang rapat dan saling berkaitan. Oleh yang demikian, mengapakah umat Islam masih saling berpuak- puak. Apakah disebabkan perkara-perkara tersebut kita saling bercakaran dan masih dengan keegoan masing-masing? Ini berbeza dengan masyarakat Eropah yang bersatu di bawah kuasa ekonomi EU, bersatu dalam mata wang Euro dan penggunaan visa yang sama. Bahkan mereka menamakan negara-negara mereka dengan Kesatuan Eropah. Ternyata negara-negara Barat telah melakukan prinsip-prinsip perubahan dan mengembangkannya. Walaupun negara Barat masih berbeza dalam beberapa hal, tetapi Barat telah mendapat tempat dan kedudukan yang dihormati di kalangan negara-negara di dunia di atas usaha-usaha yang telah mereka lakukan.

Sementara itu kita masih disibukkan dengan kepentingan individualistik. Generasi muda sentiasa berfikir untuk membebaskan diri dari kongkongan keluarga. Mereka hanya bergaul dengan rakan-rakan sebaya dan dalam kelompoknya sahaja atau duduk di hadapan komputer tanpa berinteraksi atau berkomunikasi dengan orang lain atas nama tidak mahu diganggu atau mengganggu orang lain. Begitulah sikap egoisme yang berlaku d kalangan umat Islam dan generasi muda Islam pada hari ini. Sesungguhnya Islam menentang sikap egoisme yang tidak membawa faedah kepada umat dan kemajuannya.

Thursday, July 7, 2011

BERSATU DAN BINA KEKUATAN


Oleh: Mej Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Keadaan umat Islam pada masa kini agak mencemaskan terutamanya sejak 100 tahun kebelakangan. Berbagai-bagai bencana telah menimpa umat Islam dan yang paling menakutkan sekali ialah wujudnya jurang yang jauh antara hubungan umat Islam dengan Allah SWT. Selain dari itu terdapat juga masalah-masalah lain yang melanda umat Islam, khususnya yang berkaitan dengan masalah akhlak dan moral serta masalah ketandusan ilmu pengetahuan dan juga ketinggalan dari segi kemajuan sains dan teknologi.

Semua penyakit atau masalah tersebut bermula dari masalah sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Masalah-maslah seperti kegelisahan, tidak bersemangat, putus asa, kecewa, tidak mempunyai matlamat dan juga hilang kepercayaan terhadap diri sendiri. Selain dari itu pengaruh yang kuat terhadap cara hidup seperti orang Barat, turut menguasai pemikiran dan tingkah laku anak-anak muda dan juga sebahagian besar masyarakat. Sehingga umat Islam merasakan mereka adalah umat yang kerdil. Mengapakah keadaan seperti ini terjadi. Oleh yang demikian sewajarnya kita melakukan perubahan dalam diri kita, kerana Allah SWT telah mengingatkan melalui firmannya,


”Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.( Al-Quran, Ar-Ra’du 13: 11)


Persoalan pasti timbul di fikiran kita, apa dan bagaimanakah bentuk perubahan yang diinginkan? Jawapan yang pasti ialah perubahan ke arah yang lebih baik. Untuk mencapai perubahan ke arah yang lebih baik, tindakan yang perlu diambil ialah dengan menghayati kembali ajaran Islam yang suci dan murni seperti umat Islam terdahulu yang pernah mencapai kegemilangan kerana menghayati Islam, oleh yang demikian tidak mustahil sejarah akan berulang!

Tuesday, July 5, 2011

JOM BERINFAK


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam kehidupan seharian kita kadang-kadang agak terlalai atau liat dalam berderma, bersedekah atau berinfak. Faktor ini ada kalanya disebabkan kita merasa derma atau sedekah yang ingin diberi itu agak kecil nilainya. Mungkin seringgit dua dan tidak banyak. Mengapa kita merasa demikian? Sebenarnya jumlah sedikit atau banyak bukanlah soalnya. Siapa tahu mungkin sedekah yang bernilai satu ringgit itu lebih besar di sisi Allah SWT daripada seribu ringgit atau mungkin seratus ribu ringgit. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud,

“Satu dirham lebih dahulu diterima daripada 100 ribu dirham! Seorang lelaki bertanya, mengapa begitu Ya Rasulullah? Rasulullah menjawab, seorang yang mempunyai banyak harta,dia mengambil dari himpunan hartanya 100 ribu dirham, lalu bersedekah dengan hartanya itu, seorang lelaki lain dia hanya mempunyai dua dirham, lalu ia mengambil satu dirham dan memberi sedekah kepada orang lain. Ini adalah menyamai separuh dari hartanya”. Hadis Riwayat Iman an-Nasaie dan Ibn Hibban.

Ternyata Islam tidak pernah memperkecilkan nilaian mana-mana amalan soleh, walaupun kecil nilai atau sedikit kuantitinya. Aspek yang lebih penting ialah roh yang disertakan dengan amalan dan niat yang membangkitkan amalan yang baik. Jika niat yang baik dan matlamat yang murni, Allah akan menerima amalan tersebut dari sebelah kanan dan menggandakan ganjarannya sekalipun dalam bentuk dan kuantiti yang kecil. Semoga kita terus bersemangat dan bersedia untuk berinfak, bersedekah, menderma atau berwakaf dengan penuh keikhlasan. Jom berinfak..

Sunday, July 3, 2011

KISAH PERANG AHZAB DAN PENGAJARAN KEPADA UMAT


Pagi ini penulis berkesempatan untuk mengulangkaji beberapa buah buku berhubung dengan Sirah nabi Muhammad SAW dan penulis tertarik dengan apa yang telah dicatatkan oleh Syeikh Shafiyyir Rahman al Mubarakfury yang telah mengulaz tentang perangan Ahzab. Antara lain Syeikh Shafiyyir Rahman al Mubarakfury yang menulis ar-Rahiq al-Mahtum itu mencatatkan tentang Perang Ahzab,

"Perang Ahzab bukanlah peperangan yang membawa kepada kerugian dan keuntungan melainkan ia adalah perang saraf semata-mata, satu lembaran baru peperangan yang sengaja dibuka dan ditonjolkan oleh Allah S.W.T melengkapkan skrip perang pertembungan fizikal di Badar (skrip menang) dan di Uhud (skrip kalah). Tiada pertempuran yang hebat antara kedua belah pihak di Ahzab, namun dalam catatan sejarah Islam ini adalah peperangan yang sangat tegang, yang berakhir dengan kekalahan di pihak musyrikin. Ketegangan, ketakutan, mainan perasaan dan emosi, antara keyakinan orang beriman dan keraguan orang munafiq, tembelang orang Yahudi dan ketakutan orang-orang kafir'.

Selain dari itu Allah SWT turut menyebut tentang kisah perabng Ahzab ibi dalam alk-Quran seperti mana dalam surah al-Ahzab ayat 10-11 yang bermaksud,

“Iaitu ketika datang kepada kamu dari arah atas kamu dan dari arah bawah kamu, dan ketika penglihatan kamu menjadi kabur, dan hati telah naik ke kerongkong, dan kamu adakan macam-macam sangkaan terhadap Allah. Di situlah orang-orang mukminin diuji dan digoncang perasaan mereka dengan hebat sekali.” (Al-Ahzab : 10 – 11).

Tuesday, June 28, 2011

MENGHARGAI MASA


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Apa persepsi kita melihat seorang lelaki membuang duit RM10,000.00 ke laut? Pastinya kita menganggap ornag tersebut tersebut tidak tahu menilai wang dan perbuatan ini pada asasnya adalah sama dengan orang yang tidak tahu menilai masa.

Seorang tabiin besar, Hassan al-Basri pernah mengungkapkan kata-kata berikut setiap kali matahari terbit dengan kata-katanya,

“ Wahai manusia, aku adalah hari kamu yang baharu yang akan menjadi saksi di atas segala amal perbuatan kamu. Pergunakanlah dengan baik dan jadikanlah aku bekalmu. Sebab bila aku telah pergi, aku tidak akan kembali hingga hari kiamat”.

Oleh yang demikian, waktu adalah kehidupan kita dan kehidupan itu adalah nafas yang keluar dan masuk dari rongga kita. Oleh yang demikian perlulah kita menggunakan waktu yang ada ini dengan sebaik-baiknya dan jangan sampai bila di kubur kelak kita tidak ada amal kebajikan yang dibawa bersama. Jika ini terjadi ternyata kitalah orang-orang yang rugi.

Sunday, June 19, 2011

JAUHI MAKSIAT



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Bagaimanakah kita boleh menghindari atau menjauhi maksiat? Untuk itu kita memerlukan niat dan tekad untuk meninggalkan maksiat. Langkah selanjutnya ialah kita perlu bergaul dengan orang-orang yang soleh, baik, dan juga orang-orang yang mempunyai komitmen dengan ajaran agama iaitu komuniti atau kelompok orang yang beriman.

Selain dari itu kita juga perlu menyibukkan diri kita dengan kegiatan-kegiatan yang dapat manfaatkan kepada Islam, kaum Muslim atau masyarakat setempat. Jika kita sibuk dengan perkara-perkara kebajikan ini, sudah tentu tidak ada masa untuk melakukan perkara-perkara maksiat. Bagaimana mungkin melakukan maksiat, jika diri kita disibukkan dengan amal kebajikan, ketaatan kepada Allah dan seluruh masa dan tenaga kita dihabiskan untuk umat.

Kedua, banyak bergaul dengan orang-orang yang soleh melakukan ketaatan kepada Allah. Ini telah terbukti sebagi satu alternatif untuk menghindari maksiat. Sedar dan ketahuilah bahawa umat tidak akan mampu maju, berubah atau melangkah ke hadapan untuk cemerlang, gemilang dan terbilang jika kita masih tenggelam dalam kemaksiatan.

Wednesday, June 15, 2011

IKTIBAR MASA LALU


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Sejarah telah membuktikan bahawa terdapat umat-umat terdahulu dibinasakan oleh Allah SWT disebabkan maksiat yang dilakukan. Iblis diusir oleh Allah SWT dari syurga adalah disebabkan maksiat yang dilakukan begitu juga kisah umat Nabi Noh yang tenggelam dilanda banjir juga kerana maksiat. Firman Allah SWT,


”Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan”( Al-Quran, al-Qamar 54: 11-12)


Allah SWT menenggelamkan Firaun dan tentera-tenteranya juga kerana maksiat dan dosa-dosa yang dilakukan. Firman Allah SWT,


” Dengan sebab itu Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya serta Kami humbankan mereka ke Dalam laut; maka perhatikanlah Bagaimana buruknya kesudahan orang-orang Yang zalim”.( Al-Quran, al-Qasas 28: 40)


Begitu juga yang berlaku terhadap kaum Lut yang mengingkari hukum dan ketetapan Allah. Orang-orang lelaki dari kaum Lut mengamalkan seks songsang sesama lelaki iaitu liwat atau homoseksual. Perbuatan ini amat dilaknat oleh Allah SWT. Allah SWT telah menghantar malaikat Jibrail kepada kaum Lut dan Malaikat Jibrail menggunakan hujung sayapnya mengangkat perkampungan mereka dan menghempaskan kembali ke bumi. Firman Allah SWT,


”Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus Segala yang ada di muka buminya), dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar”( Al-Quran, al-Hijr: 15: 74)


Selain dari itu, Allah SWT juga telah melenyapkan Kaum Ad dan kota mereka yang hebat itu. Allah SWT menjelaskan,


“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.”( Al-Quran, al-Ahzab 33: 9)


Selanjutnya apakah kita tidak mengambil iktibar terhadap musibah akibat dari maksiat yang dilakukan oleh kaum Bani Israil. Allah SWT telah memberikan gambaran tentang hukuman yang dikenakan terhadap Bani Israil. Allah berfirman,


“ Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di Segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (Sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku”( Al-Quran, al-Isra’ 17: 5).


Berdasarkan kisah-kisah umat yang telah dihukum oleh Allah SWT, tentu sekali kita dapat menganalisis atau muhasabah diri tentang dosa-dosa atau maksiat yang telah dilakukan sama semalam, kelmarin atau dosa-dosa seratus tahun yang lalu, dan semuanya akan menjadi sebab musabab malapetaka atau musibah yang perlu kita hadapi selagi kita keseluruhannya tidak memohon taubat kepada Allah SWT. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Bila terjadi maksiat di kalangan umatku, maka Allah akan memberikan azabnya untuk semua”( Hadis Riwayat Ahmad 6:303)

Oleh yang demikian, sewajarnya bagi kita untuk merenung pengertian yang tersurat dan yang tersirat dari hadis yang telah di sabda oleh nabi. Ini adalah kerana bahawa secara realitinya memang berlaku terhadap umat yang terdahulu, kerana akibat dosa yang telah mereka lakukan mengakibatkan umat telah binasa dan dihukum oleh Allah SWT. Dalam satu kisah peperangan, setelah tentera Muslim menewaskan pasukan musuh dan menawan Qubrus dengan mengalahkan tentera Rumawi, keseluruhan tentera Islam bergembira merayakan kemenangan, tetapi Abu Dardak seorang sahabat besar menangis. Apabila ditanya mengapa beliau dalam keadaan kesedihan, Abu Dardak menjawab, “ aku menangisi umat yang telah melakukan kemaksiatan dan Allah telah meminggirkan mereka”.

Monday, June 13, 2011

POTENSI GENERASI MUDA


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

16 Mei yang lalu negara telah menyambut hari belia dan salah satu program yang pernah diadakan ialah perhimpunan sejuta belia di Putra Jaya selama tiga hari. Berhubung dengan generasi belia ini ada baiknya kita melihat peluang dan ruang yang besar dimiliki oleh generasi belia dan jika ia tidak digunakan dengan sebaik mungkin, kita akan amat rugi dengan peluang yang ada di depan mata kita.

Untuk melihat dengan jelas peranan belia ini, ada baiknya kita menyorot sirah khususnya dalam perang Badar, kita telah menyaksikan peranan tiga anak muda (Umair bin Abi Waqqash, Muaz dan Muawwaz) termasuk kejayaan pembunuhan Abu Jahal.

Dalam buku Ar-Rahiq Mahtum tulisan Al-Mubarakfuri melaporkan dalam Perang Ahzab terdapat sejumlah 10,000 tentera kafir dalam Perang Ahzab dan jumlah tersebut jauh lebih besar dari jumlah penduduk Madinah termasuk wanita dan anak-anak. Ertinya serangan mereka memang mampu meranapkan Madinah sekaligus. Dalam perang Ahzab itu, sekali lagi peranan tiga anak muda utama dalam merencana kemenangan Islam tanpa melalui pertempuran langsung. Salman dengan idea hebat beliau, manakala Nuaim dan Huzaifah dengan operasi perisikan dan tipu muslihat.

Memang tepat kata Sun Tzu dalam buku The Art of War, "Raja dan panglima yang bijak boleh menewaskan musuh jika mereka bergerak dan mencapai kejayaan melebihi orang biasa kerana mempunyai maklumat awal. Maklumat tersebut tidak dapat diperoleh daripada makhluk halus, dewa atau pengalaman mahupun tilikan nujum. Ia mesti diperoleh daripada orang yang mengetahui situasi musuh."

Wednesday, June 8, 2011

MENGHAYATI PERISTIWA ISRAK MIKRAJ



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Kini kita telah berada di bulan Rejab dan salah satu peristiwa terpenting dalam bulan Rejab adalah untuk mengingati kembali peristiwa Israk dan Mikraj. Sejauh mana kesedaran kita dalam mengingati dan mengambil iktibar dalam peristiwa Israk Mikraj? Ketika Israk Mikraj inilah, manusia diwajibkan untuk menunaikan solat lima waktu. Solat yang menjadi tiang agama kita, jika dibuat, tertegaklah Islam. Jika ditinggalkan, runtuhlah agama.


‘ Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar’ (Al-Ankabut :45 )

Sesungguhnya solat itu dapat mencegah kita dari melakukan kemungkaran. Andai kita masih lagi melakukan kemungkaran, saya kira itu pastilah silap kita, adakah kita solat tapi tidak khusyuk? Adakah solat kita merupakan solat yang betul-betul mencegah kepada kemungakaran? Ataupun adakah sekadar solat, tanpa adanya penghayatan dan khusyuk. Adakah itu solat yang kita amalkan selama ini dalam hidup kita? Persoalan-persoalan ini sebenarnya tidak memerlukan jawapan betul atau salah, kerana jawapan itu sendiri terletak pada diri kita, dalam iman kita. Kitalah yang mengemukakan soalan, kitalah yang mempunyai jawapannya.

Oleh itu, sempena peristiwa bersejarah Islam Israk Mikraj ini, ingin kita mengajak sahabat-sahabat sekalian berfikir, merenung kembali konsep sebenarnya peristiwa ini. Bagaimanakah kita setiap tahun menghayati Israk Mikraj, adakah kita membawa sebarang perubahan positif kepada diri kita? Hayatilah pengorbanan Rasulullah SAW tercinta, bagaimana beliau sanggup berjuang untuk umatnya. Adakah pengorbanan kita boleh disamakan seperti baginda? Adakah kita mengasihi Rasulullah sebagaimana kita menyayangi kekasih hati? Sama-samalah kita muhasabah kembali diri masing-masing.

Tuesday, June 7, 2011

TERIMA KASIH CIKGU


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

‘Guru’ atau ‘cikgu’ adalah insan yang cukup berjasa kepada kita semua. Untuk itu ada baiknya penulis mentatat semula sajak yang pernah ditulis oleh Usman Awang yang bertajuk Guru O Guru, sebagai penghargaan kita kepada guru, dan mungkin masih belum terlambat untuk kita merakamkan ucapan terima kasih dan selamat hari guru kepada semua warga guru yang telah menyambut Hari Guru pada 16 Mei yang lalu. Terima kasih kepada semua guru-guruku sepanjang 1970 hingga 2011.

GURU O GURU
Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa dan juga sahabat
Alur kesetiaan mengalir nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki tahta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah Negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seoang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduk diceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapung didulangi ilmu
Panggilanap keramat ‘cikgu’ kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat

USMAN AWANG 1979

Friday, June 3, 2011

MENGAPLIKASI KONSEP SULH DALAM MENYELESAI KRISIS KEKELUARGAAN


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Pagi ini (Jumaat 2 Jun) penulis sempat mengikuti ucapan Ketua Hakim Syarie Malaysia, YAA Tan Sri Ibrahim Lembut yang telah menyentuh konsep sulh yang perlu diperluaskan dalam konteks menyelesaikan krisis kekeluargaan yang berlaku di kalangan umat Islam di Malaysia. Seperti yang sedia maklum, krisis kekeluargaan yang kian banyak berlaku akibat dari pelbagai faktor telah menyebabkan sedikit sebanyak pelbagai kesulitan dan kesan negatif kepada para isteri, anak-anak ataupun kaum keluarga.

Sulh adalah perkataan Arab secara literalnya ia bermaksud saling berdamai. Secara jelasnya sulh mengikut penggunaan umum bermaksud perdamaian dan sentiada menjurus ke arah kebaikan. Ia juga boleh memberi pengertian baik, selamat dan sejahtera. Daripada segi istilah sulh bermaksud akad yang menamatkan pertikaian secara sukareala atau saling redha meredhai. Ini bermaksud persetujuan bersama atau kerelaan di antara yang mendakwa dan yang didakwa bagi menyelesaikan pertikaian, menjadi asa kepada proses sulh. Dalam konteks ini, sulh tidak akan dicapai , jika kedua-dua pibak yang bertikai tidak bertolak ansur dan mementingkan kehendak masing-masing.

Bagi memastikan segala perundingan berjalan dengan lancar organisasi perlu mebina dan melatih para pegawai yang mampu mengendalikan proses sulh yang baik dan ia tidak mampu dicapai dalam tempoh yang pendek. Aspek ilmu, maklumat, pengetahuan, daya intelek, kemahiran dan bersedia untuk memberikan khidnat adalah antara ciri-ciri penting bagi membina pegawai sulh yang berwibawa.

Saturday, May 28, 2011

DAKWAH: MENJADI PEGAWAI PEMASARAN YANG BAIK


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Untuk seorang pendakwah yang baik, kita perlu bertindak seumpama pegawai pemasaran yang berminat memasarkan produk. Sebagai seorang pegawai pemasaran kita seharusnya membuat persiapan diri yang baik. Antara ciri-ciri pegawai pemasaran yang baik adalah :]

1. Mesra pelanggan
2. Mempunyai PR baik
3. Mempunyai kemahiran persuasif tinggi
4. Mempakejkan persembahan produk menjadi baik (walaupun kadangkala produknya buruk)
5. Product Knowledge yang baik

Dalam kes sekarang, terutamanya para pendakwah muda selalu lupa untuk perlu menjadi seperti pegawai pemasaran yang baik. Sudahlah muka tak tahu senyum. Pakaian yang dipakai menakutkan sesiapa yang mendekati, coklat, kelabu, hitam menjadi warna rasmi. Kalau berpakaian terang dikatakan tidak ‘thiqah’. Bagaimana orang ingin dekat dengan Islam sebab masing berpandangan Islam ini bersifat elitis hanya orang tertentu sahaja.

Kesemua ini perlu diubah agar Islam ini dilihat agama ‘uptodate’. Agama untuk semua. Cara berpakaian, cara bercakap, cara mendekati ‘mad’u', cara mengorganisasikan persatuan ataupun aktiviti yang mengambil kira semua tak kira kaum dan agama. Ini yang perlu ditonjolkan dalam cara Islam sebenar. Bukanlah kita mahu menukar semua sekali sistem kepercayaan jemaah dalam kampus. Cuma perlu ada perkembangan dan perubahan.

Islam adalah jenama yang baik dengan rangkaian produk terbaik. Cuma apabila pendakwah ataupun orang agama tidak berjaya menjadi pegawai pemasaran terbaik ini menyebabkan kita tidak dapat menjual Islam kepada sasaran.

Dalam pengalaman kita sebagai pengguna, terdapat produk yang buruk tetapi, ia boleh dijual dengan baik di pasaran. Kadangkala kita blihat barangan yang bertaraf taraf picisan sahaja tetapi orang ‘beli’ juga sebab pemasaran yang baik. Inilah bezanya kita dengan para pendakwah agama lain. Produk mereka tidak dapat melawan produk Islam. Namun begitu usaha dakwah yang bersesuaian dengan spesifikasi citarasa semua golongan menyebabkan mereka berjaya berbanding Islam. Slogan ‘Christ Is Love’, ‘Buddhist Is Serenity’ dan pelbagai lagi menjadikan ia agama menarik bagi didekati.

Untuk itu kita sekarang perlu berubah. Berubah menjadi pegawai pemasaran yang baik. Sediakan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang perlu sebagai pegawai pemasaran terbaik. Ayuh kita pacu kembali kegemilangan Islam masa silam.

* disesuaikan dengan ceramah oleh En Fauzul Naim dari PTS Publishing.

Monday, May 23, 2011

MELONJAKKAN IMEJ YANG TERCALAR


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Apakah yang dimaksudkan dengan imej? Terdapat dua maksud imej menurut Kamus Dewan (2002) :
a.Imej adalah gambaran atau cerminan bayangan.
b.Keperibadian atau watak seseorang atau sesuatu sebagaimana yang terpapar pada pandangan atau tanggapan orang atau pihak lain.

Menurut Kevin Lynch dalam bukunya "The Image of City" menyatakan bahawa imej adalah satu proses dua hala antara pemerhati dengan alam semulajadi. Imej boleh dikategorikan kepada tiga komponen iaitu identiti, struktur dan maksud. Satu imej yang berfungsi memerlukan satu identiti yang mana ia mempunyai satu sifat yang berbeza dengan yang lain. Kedua imej mesti termasuk isi keruangan atau corak hubungan di antara objek dengan pemerhati serta kepada objek yang lain. Akhirnya objek itu mesti mempunyai sesuatu maksud kepada pemerhati sama ada secara praktikal atau emosi. Beliau juga membahagikan imej kepada lima elemen iaitu :-

a. Mercu Tanda.
b. Laluan
c. Sempadan.
d. Daerah
e. Titik tumpu.

Perlu dijelaskan juga aspek komunikasi juga penting dalam meningkatkan imej organisasi dan seringkali kegagalan pihak kepimpinan dan pengurusan untuk melihat kepentingan aspek komunikasi dalam meningkatkan imej organissai. Klasifikasi aspek komunikasi yang dimaksudkan merangkumi:

• Komunikasi intrapersonal
• Komunikasi interpersonal
• Komunikasi kumpulan
• Komunikasi organisasi
• Komunikasi massa

Selain dari itu juga peningkatan imej juga melibatkan beberapa aspek yang lain seperti:

• Pengiklanan
• Perhubungan masyarakat
• Perhubungan kerajaan
• Komunikasi pemasaran
• Perhubungan media
• Perhubungan awam
• Promosi
• Penyelidikan

Perlu kita sedari bahawa pelanggan kini lebih cerewet dari dulu. Oleh itu, teknik-teknik komunikasi yang berkesan amat penting. Organisasi yang berjaya ialah mereka yang dapat memberi perkhidmtan yang terbaik melalui komunikasi yang berkesan kepada pelanggan. 'Pelanggan semestinya betul dalam apa juga keadaan’. Untuk itu kita perlu menukar pemikiran itu kepada : ‘ Pelanggan yang salah hendaklah diperbetulkan melalui teknik komunikasi yang berkesan supaya kita dapat mengelak dari dipersalahkan. Mari kita fikir-fikirkan.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .