Wednesday, October 31, 2012

FAHAM SEKULARISME



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Masa terus berlalu, namun isu berhubung dengan sekularisme masih berterusan. Negara-negara Islam yang dilanda faham sekularisme bermula sejak daripada proses kolonialisme oleh kuasa-kuasa Barat (al-Attas 1978: 119). Penjajahan yang dilakukan oleh Barat ini disusuli dengan langkah-langkah yang bertujuan untuk memindahkan corak pemikiran sekular yang dominan kepada Barat dan pada masa yang sama menghakis peranan dan kepentingan Islam dalam pemikiran dan tamadun masyarakat Islam yang dijajah (al-Attas 1978: 40-42). Proses de Islamisasi (pemasukan konsep-konsep asing ke dalam pemikiran Muslim, yang kekal dan mempengaruhi pemikiran dan penaklukan) ini, sedang giat berjalan di negara-negara Islam hari ini dan akibatnya Islam sedikit demi sedikit terungkai dari diri Muslim (Abdul Ghafar & Zaleha 2008). Usaha memisahkan agama dari urusan kehidupan ini telah berjaya, malah umat Islam turut dilalikan dari agama mereka melalui hiburan, media massa, majalah, filem, kebudayaan dan kesenian (Haron 1992: 16). Kini sudah terdapat sejumlah tertentu kalangan umat Islam yang sudah terbentuk sikap dan pandangan hidup mereka yang amat asing dan tidak selaras sekali dengan norma serta tradisi ajaran Islam (Zakaria 2002: 53). Menurut Haron (1992: 22-23), masih terdapat umat Islam yang menghayati idea-idea musuh Islam dengan bersikap seperti berikut:


a. Islam adalah agama individu dan tidak ada kena mengena dengan masyarakat dan negara.
b. Islam adalah agama untuk akhirat sahaja.
c. Islam adalah agama ibadat yang terkandung dalam dua kalimah syahadah.
d. Islam tidak boleh di campur dengan politik.
e. Hukum-hukum Islam tidak sesuai dilaksanakan kerana ia kejam.
f. Hukum-hukum Barat lebih baik daripada Islam.
g. Usaha mengembalikan umat Islam kepada agamanya sebagai satu cara hidup adalah usaha memutar jarum jam ke belakang.
h. Berdakwah mengikut ajaran yang sebenar mesti ditentang dan dihapuskan.
i. Iman penting, tetapi boleh bercampur aduk dengan maksiat dan lain-lain lagi.

Tuesday, October 16, 2012

MENCARI ERTI KEMENANGAN SEBENAR


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

 Jeneral Mahmood Shit Khattab (1980) dalam bukunya ‘al-Islam wa an-Nasr” menegaskan terdapat tiga faktor yang dapat meninggikan moral dan daya juang iaitu agama, kepimpinan dan kemenangan.


a. Agama(Addin). Faktor agama adalah merupakan faktor yang terpenting yang boleh meninggikan moral rakyat dan tentera. Ibn Khaldun dalam bukunya ‘al-Muqaddimah’ telah mencatatkan, “orang-orang arab zaman dahulu tidak dapat membentuk kerajaan dan bersatu sehingga mereka mempercayai akidah yang satu dan agama yang satu...”. Agama Islam mmbentuk jiwa orang Arab ke arah berperaturan, berdisplin, rela syahid dalam memperjuangkan kebenaran dan melihat syahid itu satu kemenangan yang besar dan bernilai dalam peperangan. Perasaan ini juga telah membangkitkan rasa kepercayaan diri dan merasakan bahawa dalam diri mereka ada kekuatan dalaman yang boleh diperlihatkan kepada orang lain atau dunia keseluruhannya.

b. Kepimpinan. Kepimpinan yag baik akan meningkatkan moral dan jika sebaliknya iaitu kepimpinan yang lemah akan menjatuhkan moral. Kepimpinan yang dimaksudkan ialah tidak hanya terbatas kepada kepimpinan tentera semata-mata tetapi kepimpinan secara keseluruhan yang merangkumi kepimpinan politik, kepimpinan kerajaan, perindustian, pemikiran, keluarga, masyarakat dan kepimpinan dipelbagai peringkat dan agensi kerajaan, swasta dan juga umum. Apabila kesemua pemimpin melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan kesedaran, rakyat akan bertambah yakin dan sekaligus dapat meninggikan moral dan daya juang rakyat.

Untuk mencapai tujuan itu, seseorang pemimpin mrstilah dapat menjaga dirinya demi kepentingan rakyat atau orang-orang di bawah kepimpinannya. Pemimpin mesti mengotakan apa yang dicakap, melaksanakan keputusan yang tepat dan patuh kepada peraturan sebelum ia menyuruh orang lain melakukannya. Seorang pemimpin juga perlu sedar bahawa tanggungjawab amanah, nilai-nilai akhlak yang mulia, mengambil berat terhadap nasib orang bawahan dan juga mengambil keputusan yang tepat serta tidak berat sebelah. Seorang pemimin juga mesti mempunyai pandangan hidup yang baik, beriman dan tidak bermuka-muka (hipokrit), serta sanggup mengorbankan kepentingan dirinya demi orang bawahan dan ia juga mesti sanggup tidak cepat jemu atau bosan dalam bekerja, tidak mudah dipengaruhi dan juga mempunyai idea yang cukup jelas dan baik untuk mengurus rakyat dan organisasi.

c. Kemenangan. Kemenangan bermaksud kemenangan di medan perang, di medan ilmu, di tempat kerja dan di kesemua bidang bagi meningkatkan moral dan daya juang. Bagi memastikan kemenangan yang akan dicapai, ia mempunyai beban atau tugas yang perlu dilaksanakan iaitu melaksana dan merancang tugas dengan baik dan berkesan. Tidak ada sesuatu tugas akan berjaya, jika tidak ada perancangan dan pelaksanakaan tugas dengan baik dan cemerlang. Oleh yang demikian, kemenangan tidak akan dicapai dengan cakap-cakap kosong, pembocoran rahsia, pengabaian tugas, pecah amanah, tidak cekap, tidak hadir tanpa cuti, masalah akhlak atau perkara-perkara negatif yang lain. Selain dari itu, seluruh rakyat dan juga anggota tentera mesti dimaklumkan tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku jika kecuaian dilakukan atau perkara-perkara yang boleh memudaratkan negara atau perkhidmatan sama ada dari aspek keselamatan, politik, ekonomi dan juga sosial. Semua pihak perlu berhati-hati dalam tindakan kerana kecuaian dan kelekaan akan membawa padah, lebih-lebih lagi yang bertugas atau yang bekerja disektor yang penting dalam pentadbiran negara.

Oleh yang demikian dalam usaha untuk memastikan daya juang atau moral yang tinggi bagi meraih kemenangan kita semua hendaklah sentiasa mengukuhkan hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita sesama manusia. Ini seperti mana firman Allah dalam ayat 7 surah Muhammad yang bermaksud, “ Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”.

Tuesday, October 9, 2012

CEGAH PERBUATAN KEJI DAN MUNGKAR



Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

Sesungguhnya amalan atau perbuatan meninggalkan solat ini menjadi masalah yang serius atau cukup berat, kerana baik buruknya perlakuan seseorang itu sangat dipengaruhi oleh solatnya. Jika ibadah solatnya baik, dilakukan dengan penuh kesempurnaan yang merangkumi aspek rukun, syarat dan penuh khusyuk ia akan dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar.

Aspek ini menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam organisasi atau pun yang melakukan tindakan yang bertentangan dengan syarak. Dalam kajian dibuat oleh Anisah (2001) faktor seseorang itu meninggalkan sembahyang disebabkan beberapa perkara:



  • Pertama: Cetek pengetahuan. Golongan ini berpendapat solat hanya untuk mereka yang tidak mempunyai kecerdasan dan ilmu pengetahuan. Bagi mereka yang telah memiliki pengetahuan tinggi (falsafah Barat), mereka menyatakan tidak perlu kerana solat hanya untuk orang tertentu saja.

  • Kedua: Tidak mempunyai pengertian atau penghayatan terhadap solat. Golongan ini tidak akan berasa bersalah atau berdosa meninggalkan solat, kerana mereka sama sekali tidak mempunyai pengertian dan kefahaman mengenai solat. Biasanya mereka ini dilahirkan dalam keluarga atau masyarakat yang tidak pernah solat.

  • Ketiga: Sifat malas dan cuai. Biasanya golongan yang meninggalkan solat kerana malas, pada asasnya mengakui mengenai kewajipan solat, tetapi akibat daripada pengaruh kesibukan, kecuaian, pengaruh rakan dan sifat malas yang menguasai diri. Oleh itu, mereka tidak mengendahkan tuntutan solat ini.

  • Keempat: Usia remaja. Golongan remaja biasanya meninggalkan solat kerana beranggapan bahawa ibadat solat hanya sesuai untuk orang tua atau lanjut usia dan bagi orang yang tidak lagi berminat dengan kehidupan dunia.

  • Kelima: Pengaruh keresahan jiwa. Terdapat juga golongan yang meninggalkan solat kerana pengaruh daripada jiwa yang resah akibat kesedihan atau kesusahan, sedangkan yang sebaiknya ialah dalam saat inilah kita dituntut untuk sembahyang dan memohon doa serta pertolongan daripada Allah.

    Sesungguhnya pengabaian ibadah solat ini ternyata sesuatu yang perlu diambil perhatian dan tindakan sewajarnya bagi kita umat Islam, dan benarlah apa yang telah difirmankan Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 216, yang bermaksud: “ Sesungguhnya solat itu amat berat kecuali orang khusyuk dan sabar”. 

  •  ________________
    Sebahagian dari artikel yang telah disiarkan di Berita Harian pada 8 Okt 2012

    LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

    Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .