Thursday, February 21, 2019

Model wakaf pertahanan relevan di Malaysia


Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya ‘, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu’, telah mendefinisikan wakaf,  ialah menahan harta yang kekal zatnya yang boleh digunakan manfaatnya untuk tujuan kebajikan sebagai usaha taqarrub kepada Allah SWT, harta yang diwakafkan diserahkan kepada pihak tertentu dan mereka tidak boleh menggunakan harta wakaf tersebut secara sewenang-wenangnya. Menurut istilah yang digunakan dalam perundangan Islam pula, wakaf difahami sebagai suatu bentuk dedikasi harta, sama ada secara terang (sarih) atau sindiran (kinayah) di mana harta (substance) berkenaan ditahan dan hanya manfaatnya sahaja yang diaplikasikan kepada tujuan-tujuan kebajikan sama ada berbentuk umum mahupun khusus. Sebenarnya amalan wakaf merupakan sistem yang telah lama wujud dalam kehidupan manusia sebelum Islam datang, walaupun tidak dinamakan dengan wakaf. Ianya terbukti dengan terdapat pembinaan dan pembiayaan tempat-tempat peribadatan dilakukan sesuai dengan konsep wakaf.

Selain dari itu, wakaf merupakan instrumen kewangan yang berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan sesebuah negara, malah terlibat dalam pembinaan tamadun suatu ketika dahulu. Hal ini kerana fungsi dan peranan wakaf atau juga disebut sebagai sektor ketiga ini adalah sangat besar. Sebagai buktinya adalah perkembangan negara dan peningkatan taraf hidup di negara Turki yang dibantu oleh mekanisme wakaf. Antara hasil daripada aktiviti wakaf adalah pembinaan institusi keagamaan dan pendidikan, kemudahan awam, pertanian, perladangan dan banyak lagi. Perkembangan wakaf ini dapat dilihat hampir ke seluruh dunia apabila negara Eropah juga menjadikan wakaf sebagai instrumen dalam pembinaan institusi pendidikan. Contohnya, pembinaan Universiti Harvard dan Universiti Cambridge. Perkembangan aktiviti wakaf dilihat berkembang ke rantau Asia termasuklah Malaysia.

            Dalam hal ini Institusi wakaf perlu terus berkembang mengikut arus pemodenan, iaitu konsep wakaf dilaksanakan mengikut keperluan dan keadaan semasa. Ia perlu dikembangkan dengan cara yang terbaik dan waspada demi memaksimumkan manfaatnya kepada umat Islam khususnya dan manusia seluruhnya. Pada hari ini wakaf seharusnya tidak harus disempitkan lagi malah ianya terus dikembangkan dengan lebih meluas mengikut keperluan semasa. Masyarakat Malaysia masa kini masih lagi dibayangi oleh pemahaman bahawa wakaf adalah berorientasikan tanah terbiar atau pembinaan masjid dan surau. Namun sedikit sebanyak dengan wujudnya saham tunai dan saham wakaf telah memberikan pendedahan tentang konsep sebenar wakaf itu iaitu ianya tidak hanya tertumpu kepada pembinaan rumah-rumah Allah sahaja.-BERITA HARIAN 19 FEB 2019 Muka surat 10

Wednesday, February 13, 2019

Didik jiwa benci gejala rasuah


Dari perspektif agama, rasuah bermaksud suatu tindakan curang bagi mendapatkan wang ataupun keuntungan dengan cara atau kaedah melangkau atau membelakangkan peraturan atau undang-undang negara.Tindakan atau perlakuan ini merangkumi memberi atau menerima suapan (bribery), mencuri (theft),  menggelapkan (embezzlement), melakukan pemalsuan, pemerasan atau ugutan (extortion), dan menyalah gunakan pangkat atau jawatan awam ketika berkuasa (graft). Semua perbuatan ini dari aspek agama hukumnya adalah haram.  Islam amat melarang amalan atau perbuatan rasuah dalam apa juga bentuk merangkumi menipu (ghissi), mencuri (sariqah), menggelapkan (ghulul) suapan (rasywah) atau meminta suapan (irtisya’). 

Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 161 yang bermaksud, “Siapa bertindak curang iaitu melakukan rasuah nescaya datang dengan kecurangannya itu pada hari kiamat kelak”. Imam al-Razi dalam kitab tafsir al-Kabir menjelaskan curang bermaksud mengambil hak negara secara diam-diam atau tersembunyi. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda yang bermaksud, “Wahai manusia, siapa pun yang menjalankan tugas untuk kami, lalu dia menyembunyikan dari kami barang sekecil jarum atau lebih, maka apa yang disembunyikannya itu adalah kecurangan [iaitu rasuah] yang kelak dibawanya pada hari kiamat”. (Hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad). Bahkan dalam hadis yang lain Nabi Muhammad SAW menegaskan, “Seutas tali sekalipun akan menjadi api neraka atau dua utas tali akan menjadi api neraka [seandainya tidak dikembalikan]”. (Hadis Riwayat Imām al-Bukhārī) serta hadis nabi yang bermaksud, “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan ke neraka” (Hadis Riwayat Imām al-Bukhārī dan Muslim). BERITA HARIAN - 9 FEB 2019

Thursday, February 7, 2019

HIJRAH: Daripada Krisis Kepimpinan Islam


Rencana yang telah disiarkan dalam Dewan Masyarakat- Januari 2019 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) antara lain mengupas tentang isu semasa kepimpinan umat Islam di Malaysia selepas PRU ke 14 pada 9 Mei yang lalu. 

Apakah sebenarnya yang menjadi punca umat Islam hilang arah kepimpinan. Dapatkan Majalah Dewan Masyarakat keluaran Januari 2019. Selamat membaca - Burhanuddin Jalal

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .