Wednesday, November 4, 2020

KEBIASAAN BAHARU DALAM DAKWAH



 

Dakwah Islamiah merupakan ajakan atau seruan ke arah penerimaan dan penghayatan ajaran dan nilai-nilai Islam. Aspirasi ini dapat direalisasikan melalui pengurusan dan perancangan dakwah yang sistematik sesuai dengan saranan al-Quran supaya dakwah disampaikan dan disebar luaskan secara hikmat dan berkesan. Pelaksanaan dakwah juga  memerlukan kesungguhan dan istiqamah.

Matlamat dakwah tidak akan tercapai jika usaha dakwah hanya dianggap sebagai satu hobi masa lapang atau sekadar memenuhi keperluan sesuatu masa atau tempat. Sikap berpuas hati dengan usaha dakwah yang minimum tidak seharusnya wujud di kalangan pengikut Nabi Muhammad s.a.w.    Salah satu perkara  penting yang menjayakan dakwah Islamiah  ialah aspek pengurusan dakwah. Aspek pengurusan dakwah yang mantap dan sistematik adalah keperluan asas kepada kemajuan dan kecemerlangan dakwah. Perkara-perkara yang berkaitan dengan aspek perancangan, pengorganisasian, pemantauan dan kepimpinan adalah antara aspek pengurusan yang perlu difahami oleh pendakwah dan organisasi. Pengurusan dakwah yang terancang akan memastikan objektif dakwah iaitu keselamatan dan kesejahteraan umat tercapai.

 Bagi Syed Othman al-Habsyi (1998), Pengurusan dakwah  adalah pengurusan yang mampu menentukan  dakwah matlamat dakwah yang sebenar, menentukan objektif, strategi dan program yang wajar dilaksanakan, mengawal dan melaksanakan segala  tugas yang telah ditentukan, mengenal pasti segala masalah serta strategi pelaksanaannya dan membiayai segala program yang dirancang. Berdasarkan kepada pengertian tersebut, pada umumnya pengurusan dakwah perlu mempunyai perkara-perkara seperti, penentuan matlamat, objektif dakwah, strategi dakwah, struktur  pengurusan, perancangan program dan juga belanjawan.

 Pendapat seterusnya mengenai pengurusan dakwah dikutip dari al-Burey yang menyatakan, pengurusan adalah sebagai menyelaraskan tenaga manusia untuk mencapai matlamat  kelompok sebagai manusia sosial yang perlu berinteraksi antara satu sama lain. Manakala menurut Abu Majid Abduh pula pengurusan adalah kegiatan tentang usaha memimpin, membimbing dan memupuk individu  serta merancang, menyusun dan memantau segala proses seperti orang perseorangan, bahan, mesin, kuantiti, kelengkapan,  harta dan pasaran.

 Secara khusus, pengertian pengurusan dakwah boleh diertikan sebagai suatu  kegiatan terpimpin dengan menggunakan segala sumber organisasi sama ada sumber kemanusiaan atau kebendaan dalam mencapai matlamat organisasi dakwah atau jemaah . Manakala menurut Rozhan Othman (1990) pengurusan dakwah pula merangkumi berbagai-bagai aktiviti-aktiviti dan penyusunan segala sumber organisasi, termasuk tenaga manusia, untuk dijuruskan kepada pencapaian matlamat dakwah.

______________________________

Rencana yang telah disiarkan dalam Dewan Tamadun Islam Bil 10 2020 Muka surat 44-47


Monday, November 2, 2020

Kepimpinan Rasulullah dikagumi tokoh bukan Islam


Memperingati Tarikh 12 Rabiulawal setiap tahun bagi setiap individu Muslim merupakan sesuatu yang penting dan bermakna khususnya memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW, utusan Allah yang membawa ajaran dan syiar Islam. Nabi Muhammad SAW tokoh dambakan umat memiliki kesempurnaan dan segi sifat dan akhlak. Limpahan pujian terhadap baginda tidak pernah putus dan berterusan sepanjang zaman. Perbincangan terhadap Baginda yang merangkumi ‘kata-kata, perbuatan, sifat serta persetujuannya’ tidak ada akhirnya dan banyak lagi perkara-perkara yang berkaitan dengan Baginda Nabi Muhammad SAW yang belum terungkap atau belum dibincangkan. Kekaguman umat terhadap nabi Muhammad SAW bukan sahaja dalam kalangan umat Islam tetapi juga dalam kalangan bukan Islam. Banyak sekali kajian dan pengamatan dalam kalangan bukan Islam terhadap nabi Muhammad SAW.


Michael H. Hart (1978), dalam bukunya yang berjudul ‘The 100: A ranking of the most influential person in history’, telah meletakkan nabi Muhammad sebagai tokoh pertama dalam urutan 100 tokoh manusia yang paling berpengaruh dalam dunia.


Selain itu, George Bernard Shaw seorang tokoh falsafah Inggeris yang pernah memenangi hadiah Nobel pada tahun 1920 dalam bidang sastera, pernah menyatakan bahawa Nabi Muhammad merupakan tokoh yang sangat hebat, tokoh penyelamat kemanusiaan. Bernard Shaw juga meyakini bahawa kalau Nabi Muhammad diberi kuasa tertinggi memimpin dunia moden hari ini, sudah pasti Nabi Muhammad dapat menyelesaikan segala permasalahan serta mampu membawa dunia ke arah kedamaian dan keamanan yang diimpikan oleh umat manusia. Perkara dapat difahami dari kata-kata beliau yang pernah menyatakan, “aku telah membaca kisah kehidupan tokoh rasul dalam Islam dan sekali-kali-kali aku tidak menemui kecuali akhlak yang baik serta luhur yang aku sangat berharap agar Islam menjadi pedoman bagi dunia”.


Selanjutnya Lamar Tine seorang tokoh sejarah telah menyebutkan, jika kita ingin melihat dari aspek kegeniusan seseorang manusia, perlu melihat manusia yang bernama Muhammad bin Abdullah, nabi terakhir dalam kalangan umat Islam.  Begitu juga dengan Thomas Carlyle yang turut menyatakan kekaguman terhadap Muhammad, kerana Muhammad telah berjaya dan mampu mengubah kaum-kaum yang berperang dan kaum jahiliah menjadi satu bangsa yang paling maju dan mempunyai peradaban tinggi dalam tempoh yang singkat dan Muhammad dicipta untuk menerangi dunia dan seluruh umat.


Begitu juga dengan pendapat W. Montgomery Watt yang menyatakan, tidak ada tokoh yang amat hebat di dunia ini selain Muhammad, tetapi digambarkan ‘amat buruk di Barat’. Orang yang menganggap Muhammad sebagai penipu ialah orang yang bermasalah dan bukan yang memberi jawapan.  Bagi John L. Esposito (1999) dalam ‘The Oxford history of Islam’ menyebutkan Muhammad SAW seorang Nabi dan Rasul yang telah membangkit dan membangunkan peradaban yang besar di dunia.

_______________________________________


Artikel telah disiarkan dalam ruangan Agama Berita Harian Ahad, 1 Nov 2020


LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .