Monday, May 18, 2020

SEBAGAI PEGAWAI PENERBITAN KAGAT 1992-2002




Pernah menjawat sebagai Pegawai Staf 3 Penerbitan dan PS 2  Penerbitan di Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera Markas ATM dari tahun 1992-2002. Berpeluang untuk menulis, menyusun, sebagai editor dan juga merancang bahan penerbitan buku-buku agama untuk kegunaan seluruh warga ATM. 

Terima kasih kepada Pengarah KAGAT dan pegawai Kanan KAGAT serta rakan-rakan yang telah menyokong bagi menjayakan tugas tersebut, juga staf yang pernah bersama di Sel Penerbitan Jabatan Arah KAGAT 1992-2002 seperti Kapt Shukor Mohd Said, Kapt Daud Mohd Salleh, Kapt Khairul Amilin, PW1 Masni Sabar, Sjn Abdul Halim Bakar, Lt Abdullah Alawi dan siapa lagi,tak ingat….dan tugas ini perlu diteruskan oleh generasi masa kini dan akan datang yang tentu ruang, peluang, kemudahan serta persekitaran yang lebih baik. Moga KAGAT terus berjayaTerima kasih dan semoga buku-buku terus diterbitkan di tambah baik. Selamat menjalani ibadah Ramadan.

InsyaAllah akan saya akan buat ulasan untuk kesemua buku yang pernah diterbitkan dalam tempoh tersebut sebanyak 50 judul dari masa ke masa sebagai nilai tambah terhadap kandungan blog dalam kesempatan masa 'Work from home' dalam tempoh PKPB - kesan COVID-19. Salam Ramadan dan moga dimanfaatkan. Terima kasih

Sunday, May 17, 2020

BUKU ' KEPIMPINAN KETENTERAAN'


Buku “KEPIMPINAN KETENTERAAN’ ini ialah hasil kerjasama bersama dengan Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Profesor Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin, Kolonel Dr. Zahimi bin Zainol Abidin dan Kolonel Profesor Madya Dr. Burhanuddin bin Jalal. Buku ini diusahakan bersama sebagai ‘tribute’ kepada Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Profesor Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin di atas usaha-usaha yang beliau lakukan sepanjang menjadi Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Buku diterbitkan oleh UPNM Press pada tahun 2018. 

Buku ini menjelaskan tentang kepimpinan dan juga tentang profesion ketenteraan. Perlu ditekankan bahawa profesion ketenteraan merupakan kerjaya yang dipandang mulia oleh Islam bahkan satu penghormatan yang tinggi terhadap orang yang terlibat secara langsung dengan tugas-tugas ketenteraan. Orang yang gugur di medan peperangan atau tugas yang telah diamanahkan demi kepentingan agama, bangsa dan negara layak untuk digelar sebagai ‘syuhada’ jauh lebih bernilai daripada penghargaan yang diberikan di dunia ini. Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya digelar sebagai syahid. Sesiapa yang mati kerana mempertahankan keluarga dan jiwa rakannya ia digelar sebagai syahid dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan agamanya maka akan digelar sebagai syahid”. (Hadis Riwayat Said bin Zayd, Sunan al-Tirmizi, No. Hadis: 1421)

Allah SWT telah memerintahkan umat Islam supaya membuat persiapan dan membentuk kekuatan bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Ini seperti mana  yang telah difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud;“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”. (Al-Quran, Al-Anfal, 8: 60).

Berdasarkan ayat tersebut, bagi menghadapi semua keadaan, sama ada aman atau perang kita perlu kepada kekuatan tentera agar kita tidak dipandang remeh atau rendah oleh pihak musuh. Sumbangan ketenteraan amat besar ertinya kepada agama, bangsa dan tanah air. Kajian tentang ketenteraan dalam Islam masih sedikit jika hendak dibandingkan dengan kajian-kajian Islam dalam bidang-bidang lain. Kajian dalam bidang ketenteraan Islam banyak dikaitkan dengan kekhalifahan, imamah dan juga  isu-isu yang berkaitan dengan politik dan juga pemerintahan dalam Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa konsep tentera dalam Islam pada mulanya hanyalah untuk mempertahankan agama (jihad) yang mempunyai kaitan dengan pemerintahan, nilai-nilai keadilan, kemerdekaan dan keselamatan.

Semoga buku ini dimanfaatkan oleh pembaca dan menambah lagi buku-buku yang berkaitan dengan ketenteraan dan kepimpinan. Selamat membaca. 

Judul Buku: KEPIMPINAN KETENTERAAN’
Penulis: Zulkifli Zainal Abidin, Zahimi Zainol Abidin, Burhanuddin Jalal.
Penerbit. UPNM Press
Tahun terbit: 2018

RAMADAN PERTINGKAT POTENSI DIRI, KEIMANAN


Secara umumnya ibadah puasa Ramadan ternyata dapat melatih serta membimbing diri serta jiwa ke arah yang lebih positif. Ini bermaksud ibadah puasa dapat membina kekuatan jiwa dan ketahanan diri dari pelbagai ujian serta godaan hawa nafsu dan ini menepati apa yang telah disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa puasa itu merupakan satu perempat daripada iman. Perkara ini turut diperkukuhkan dengan kata-kata Imam Shafie yang pernah menyatakan bahawa dirinya tidak pernah makan dengan kenyang dalam tempoh 16 tahun kecuali hanya sekali sahaja. Ternyata banyak makan atau makan dengan penuh kekenyangan akan menyebabkan pergerakan menjadi lembap, bersifat malas, cepat mengantuk serta berat untuk melaksanakan ibadah.
Oleh yang demikian, bagaimana dengan aspek pemakanan para pemimpin kita? Kita selalu mendengar dengan kata-kata, “apakah yang boleh aku makan hari ini? atau soalan, di mana aku akan makan hari ini? Atau siapakah yang akan aku makan hari ini? Ini barangkali beberapa persoalan sinis yang berlegar dalam kalangan para pemimpin secara umumnya. Untuk para pemimpin dalam pelbagai peringkat, ada baiknya untuk kita menghayati bersama kata-kata Luqman al-Hakim apabila ia menasihati anak lelakinya dengan kata-kata, “wahai anakku, jagalah perut kamu, kerana bila perutmu kenyang, maka fikiran kamu tidur, kebijaksanaan kamu kendur dan tubuh badan kamu malas melakukan ibadah”.
 Daripada huraian di atas, diperhatikan bahawa dalam suasana PKPB dan bulan Ramadan tahun ini, terlihat seolah-olah para pemimpin kita agak kurang turun ke bawah untuk membantu rakyat yang susah dan serba kekurangan serta mengalami kesukaran hidup pada saat kini. Persoalannya sekarang apakah puasa dan ‘kelaparan’ pada pemimpin kita agak asing dengan ‘lapar’ dan ‘puasa’ yang sebenarnya? Semoga kita dapat bermuhasabah tentang diri kita dan nilai-nilai kepimpinan dalam masyarakat kita pada hari ini dan semoga Ramadan tahun ini banyak mengajar kita tentang kehidupan dan keikhlasan seperti sabda nabi SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. 
______________________
Rencana telah disiarkan dalam BERITA HARIAN pada 15 Mei 2020 Muka Surat 44

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .