Friday, December 26, 2008

PENGERTIAN PENGHAYATAN AGAMA

Menurut Kamus Dewan, penghayatan adalah kata terbitan yang berasal dari kata hayat. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau mendalami, menjiwai sesuatu sama ada melalui penglihatan, pendengaran, pembacaan atau sebagainya. Melalui penghayatan, seseorang itu dapat merealisasikan sesuatu yang ditanggapinya dalam kehidupan sama ada secara individu mahupun masyarakat (Kamus Dewan 1994: 447).

Istilah penghayatan agama atau religiositi merujuk kepada gaya hidup beragama atau kehidupan beragama khususnya kepada agama di Barat. Dalam konteks agama Islam, kehidupan beragama ini dikaitkan dengan Islam sebagai ad-din atau cara hidup (Abdul Rahman an-Nahlawi 2002, Abul A’la al-Maududi 1981).

Religiositi atau kehidupan beragama amat penting di dalam kehidupan manusia kerana religiositi memberi pengaruh yang besar terhadap tingkah-laku, personaliti (Ahmad Raba 2001), ketenangan emosi (Hasnan Kassan 2002) keyakinan diri manusia (Yusuf Qardhawi 1985) serta kebahagiaan hidup (Hamka 1997).

Muslim yang mengamalkan Islam sebagai ad-din dikatakan menghayati Islam dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini sejajar dengan firman Allah SWT,

Maksudya:

Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Istilah-istilah lain yang sesuai bagi menggantikan istilah religositi antara lain ialah hayyah muttadayyinah atau kehidupan beragama ( Zakaria Stapa 2002), taqwa dan kesedaran (Syed Naguib al-Attas 2002), dan penghayatan Islam (Hashim Yahya 2002). Dalam kajian ini religiosti dari perspektif Islam merujuk kepada penghayatan Islam sebagai satu cara hidup yang merangkumi aspek-aspek akidah, ibadat dan akhlak yang dilihat dalam ruang lingkup Islam yang komprehensif dan integratif .


DEFINISI RELIGIOSITI

William James (penulis “The varieties of religious experience” yang diterbitkan pada tahun 1905) telah mendefinisikan agama sebagai, “ the feeling, acts and experiences of individuals in their solitude, so far as they approached themselves to stand in relation to whatever they consider the divine” (Meadow and Kahoe 1984:18).

Definisi yang diberikan ini mendapat kritikan kerana mengehadkan pengalaman agama kepada individu walhal pengalaman keagamaan juga dirasai apabila individu berada dalam kelompok. Menyedari kesukaran memberikan satu definisi yang tepat dan diterima ramai (Meadow dan Kahoe 1984: 18, Whaling 1995: 209, Spilka dan rakan-rakan 2003:60), maka kebanyakan ahli psikologi agama memilih jalan selamat. Mereka mengelak daripada memberi takrif mengenai agama dan lebih memfokuskan kepada kefungsian dan output agama (Spilka 2003:3).

Namun begitu, kebanyakan ahli psikologi bersetuju bahawa keagamaan atau religioness melibatkan kombinasi kognitif, emosi dan tindakan (Whalimg 1995:269). Melalui andaian bahawa agama itu sejagat (universal) ahli psikologi agama mengandaikan manusia melahirkan keimanan (faith) mereka melalui tiga cara iaitu tingkah laku (control rituals), kepercayaan (contoh, percaya kepada perkara ghaib), dan pengalaman (contoh, mystical states) (Spilka 2003: 6).


PENGHAYATAN AGAMA ATAU RELIGIOSITI

Menurut Nor Salimah Abu Mansor (2008), istilah penghayatan agama di Malaysia telah mendapat perhatian dan tumpuan secara mendalam dan praktikal selari dengan era di mana Islam mulai di lihat sebagai satu cara hidup. Ramai pengkaji kebangkitan semula Islam sekitar 70 an dan 80 an mengaitkan penghayatan Islam dengan dekad-dekad tersebut walaupun Islam yang sebati mewarnai budaya dan cara hidup sebebarnya telah bermula jauh sebelum penghayatan agama giat di wacanakan di Malaysia. Selepas dekad-dekad ini, istilah yang sering diguna pakai ialah penghayatan Islam dan penghayatan agama. Selepas dekad-dekad ini juga, para pengkaji mula menjadikan persoalan penghayatan (keagamaan) sebagai satu kajian. Namun kebanyakan kajian di peringkat awal hanyalah bersifat konseptual sahaja . Sekitar penghujung 1990 an barulah kajian penghayatan agama yang bersifat lapangan mula dilakukan. Kajian-kajian tersebut adalah seperti kajian oleh Hatta Shaharom et.al (1996) yang menghasilkan skala pengukuran Hatta (Hatta Islamic Religiosity scale 1996), Hanafiah M. Salleh et.al. (2000), Badlisham Mohd Nasir dan Mohd Hisham Ramli (2003), Jamiah Manap (2004), Jas Laile Suzana Jaafar (2005), Fatin Hazwani Siran (2007), Kumpulan penyelidik IRFA religiositi Azimi Hamzah et. al. (2007) dan lain-lain. Kebanyakan penyelidik yang disenaraikan menggunakan kaedah penyelidikan lazim dalam mengukur penghayatan agama responden sebagaimana pengukuran yang digunakan oleh para pengkaji religiositi Barat seperti Thoules seawal tahun 1935 dari perspektif agama Kristian. Walau bagaimanapun instrumen yang dibangunkan oleh penyelidik religiositi di Malaysia turut mengambil teori dan modul religioiti berdasarkan perspektif Islam. Namun kaedah penganalisisan data masih terikat kuat dengan kaedah penyelidikan lazim.

PENGGUNAAN ISTILAH

Selain dari Badlisham Mohd Nasir dan Hisham Ramli (2003) yang menggunakan istilah penghayatan Islam, penyelidik-penyelidik penghayatan agama yang lain menggunakan istilah religiositi atau ‘internal religiositi’ (Fatin Hazwani Siran, 2007; 14-25). Religiositi merupakan istilah yang dibahasakan Melayukan dari istilah Bahasa Inggeris ‘religiosity’. Penggunaan istilah dalam kebanyakan keadaan barangkali tidak dianggap sesuatu yang begitu penting kerana ramai beranggapan tidak berbeza secara ketara antara penggunaan penghayatan Islam dengan religiositi. Kerana konteksnya sama iaitu mengkaji tahap keberagamaan individu. Namun sama ada sesuai atau sebaliknya, penggunaan asal religiositi di Barat secara khusus dari perspektif agama Kristian, yang banyak ditumpukan kepada agama, teologi, ritual dan sikap beragama (attidute) (Thouless 1935; Poppleton & Pilkington (1903); Edmunds (1976); Cornwall et. At.(1986). Cakupan yang agak sempit dari segi dimensi keberagamaan berbanding dengan Islam, seharusnya ‘dibezakan’ dengan penggunaan istilah yang sesuai atau selayaknya untuk kajian penghayatan agama dalam Islam.

Bagi Nor Salimah Abu Mansor (2008), mencadangkan penggunaan istilah Arab iaitu al-tadayyun yang bermaksud beragama. Ini kerana al-tadayyun atau beragama yang dianuti itu tidak sekadar ritual, cara berkeluarga, cara bekerja semata-mata malah mencakupi segala dimensi ruang lingkup yang ada sehingga ia (Islam) menjaga penghayatan Islam atau al-din yang wujud dari segi makna dan fizikal. Ini bermaksud jika seseorang itu dikaji itu menghayati agama Islam dapat dilihat dari kesan fizikal dan makna serta dapat dilihat secara mata kasar dapat dirasai dengan mata hati. Meminjam istilah Muhammad Abu Bakar (2005: 271), “Islam menjadi suatu penghayatan dengan segala yang ada padanya”.

Bersesuaian dengan maksud dari segi bahasa yang berakar dari kata hayat, seseorang yang menghayati agama akan menjadikan agama itu ‘hidup’ dalam dirinya dan luarannya. Ini kerana sesuatu itu dianggap hidup berdasarkan kewujudan roh dan tenaganya. Tanpa roh dan tenaga segala pergerakan akan terhenti dan sesuatu itu menjadi beku, kaku dan mati (Wan Salim Wan Mohammad Nor 1989: 1-2).

Ini selari dengan pandangan bahawa agama sebagai pemangkin kepada segala gerak dan tingkah laku yang suci (Haji Ibrahim Lubis, 1982: 24). Oleh yang demikian seseorang boleh dianggap beragama ( al-Mutadayyin) jika tutur kata dan gerak laku perbuatannya dikawal oleh penghayatan terhadap agama.

Berdasarkan makna yang telah diberikan di atas, maka istilah penghayatan agama ternyata asas yang dinyatakan, makna penghayatan agama ternyata lebih tepat berbanding dengan religiositi kerana ia merujuk kepada menghayati agama dalam erti kata melaksana amalan agama dengan seluruh cakupan dan dimensinya sehingga ia dapat dirasakan dan meresap ke dalam jiwa. Istilah ini selari dengan pandangan Prof. Dr. Yusuff al-Qardhawi (1983:3) yang menyebut bahawa agama atau ad-din merupakan sesuatu yang dirasai oleh manusia sebagai keperluan atau desakan dalaman melalui seruan batin yang semula jadi untuk mencakupi bahawa mereka dan alam sekeliling mereka mempunyai Tuhan yang Maha Agung. Ia merupakan suatu perasaan sejati dalam lubuk hati mereka yang mana hati mereka menghala kepadaNya dengan penuh penghormatan, harapan, takut dan berserah secara memohon pertolongan daripadaNya. Oleh yang demikian, sesiapa ayang memenuhi seruan batinnya untuk hidup beragama, jiwa dan batinnya akan menyerlah ketenangan. Ini berdasarkan firman Allah,



Maksudnya:

(setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, Iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Demikian juga apa yang telah disebut oleh Rasulullah SAW sebagai kemanisan iman (khalawat al-iman) dan ini disebut dalam hadis

Bermaksudnya

“ Ada tiga perkara yang sesiapa mendapati dirinya terdapat ketiga-tiga perkara tersebut, maka ia telah mendapat kemanisan iman, iaitu kasihkan Allah dan RasulNya melebihi segala-galanya, ia tidak kasihkan orang melainkan kerana Allah dan ia benci untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah memberikannya hidayah seperti mana ia benci untuk mencampakkan dirinya ke dalam api”

Oleh yang demikian dalam kajian ini istilah penghayatan agama dirujuk dari bahasa Arab sebagai perihal agama atau patuh kepada agama (tadayyun), bertakwa (taqwa) dan warak (wara’)( Munir al-Ba’albaki, 1972; Lane 1863:942). Bersesuaian dengan makna dan pengertian yang dinyatakan, ‘penghayatan agama’ adalah istilah yang tepat dan akan digunakan dalam kajian ini.

4 comments:

Unknown said...

terima kasih memberikan pendapat

Anonymous said...

sangat bagus pandangan dan nukilan anda.terima kasih

Musa muhamad ali said...

Dr, sy sedang mengkaji topik ini utk dikaitkn dengan keusahawanan. Mcm mana sy dapat berhubung dgn Dr?....email sy: musa@kpmbp.edu.my

Musa muhamad ali said...
This comment has been removed by the author.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .