Monday, July 27, 2009

ADAKAH KITA TELAH MENGHAYATI AGAMA?

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Menurut pendapat beberapa tokoh ulama dan ilmu Islam terdapat ciri-ciri umum bagi orang yang menghayati agama. Antara ciri yang disebutkan oleh mereka adalah ciri asas seorang Muslim iaitu tidak mensyirikkan Allah SWT dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan mengerjakan haji. Ciri seterusnya ialah meyakini perkara ghaib, membelanjakan harta kurniaan Allah ke jalan-Nya, beriman dengan al-Quran dan kitab-kitab sebelumnya serta yakin sepenuhnya dengan adanya pembalasan di akhirat, menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan taat kepada perintah Allah dan rasul-Nya. Apabila mengerjakan solat, mereka khusyuk dan apabila di luar solat, mereka menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan sia-sia, berusaha membersihkan harta, menjaga kehormatan diri, menjaga amanah dan janji dan konsisten memelihara ( waktu dan kualiti) solat. Dalam kaitan ini, Muhammad al-Ghazali (1996: 9) menekankan solat sebagai asas kerana ia memberi kesan kepada tingkah laku. Ciri-ciri lain ialah gementar hati, bertambah keyakinan dan keimanan apabila disebut nama Allah dan dibacakan ayat-ayat Allah, sentiasa berserah kepada Allah dan rajin bersedekah (amal jariah), berlaku adil dalam kepimpinan, hidup dalam keadaan beribadat walaupun usia masih muda , hati yang sentiasa terikat dengan masjid, berkasih sayang kerana Allah, takut kepada (kemurkaan) Allah apabila didesak atau digoda oleh seseorang yang memiliki rupa dan kedudukan, menyembunyikan sedekah serta kemurahannya dan mengalirkan air mata ketika mengingati Allah secara bersendirian.

Berkaitan ciri-ciri kasih sayang kerana Allah SWT, Mustafa Masyhur (1993: 53; 1998: 14) menjelaskan ukhuwah filLah penting bagi menyedarkan saudaranya jika terseleweng dari jalan sebenar, kerana ikatan akidah mampu membina kekuatan sosio-religious iaitu masyarakat yang menghayati agama (Masyhur 1993: 267). Kesemua ciri yang dinyatakan terangkum alam pencirian yang dibuat oleh Abdul Rahman Ahmad al-Pattani (Oktober 2005) yang menyebut bahawa orang beragama (mutadiyyin) boleh dikesan melalui tiga asas. Pertama akidah, ia mentauhidkan Allah dan tidak terlibat dalam amalan syirik. Kedua dari segi amalan, ia menunaikan perkara fardu dan sunat, serta meninggalkan perkara haram. Ketiga kelakuan, ia mesti berakhlak dengan akhlak yang mulia.

Mahmud Syaltut (1966: 36-37) mencirikan orang yang menghayati agama berdasarkan tiga prinsip. Pertama, beriman dengan hidayah dan syariat Allah sebagai lanjutan dari beriman kepada Allah SWT. Ia menatijahkan seseorang yang meyakini keadilan Islam (melalui peraturan syarak) dan rela dengannya (al-Qaradawi 1984:10). Kedua, melaksanakan peraturan syarak dengan mengkhususkan ubudiyyah hanya kepada Allah SWT. Ketiga, sedar dan yakin tentang pengawasan Allah terhadap dirinya. Ciri penghayatan juga melibatkan penterjemahan hukum syarak dari perkara usul (utama) hingga furuk atau cabang, sehingga sehalus-halusnya atau sekecil-kecilnya (al-Qaradawi1984: 7; Abdul Halim Kadir, April 2006) termasuk bertindak tanduk seperti akhlak Rasulullah SAW. Ini selaras dengan Naguib al-Attas yang menekankan bahawa penghayatan agama mesti tergambar melalui sifat dan tingkah laku selaras dengan kefahaman itu (Jamiah Manap 2004: 146). Muhammad Nur Manuty (April 2006) dan Siddiq Fadzil (Mei 2006) pula berpandangan bahawa orang yang menghayati agama mestilah seseorang yang mempunyai keseimbangan ilmu Islamiyyat dan amal, antara berfikih dan bertasawuf. Kepincangan keduanya akan menatijahkan kedangkalan kepada makna penghayatan agama.

DUGAAN MENGUJI KEIMANAN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Manusia seringkali menerima dugaan dan ujian. Ketika menghadapi dugaan atau kesusahan manusia biasanya akan merasai kebingungan. Seolah-olah kehilangan punca atau tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Ternyata di saat ini tidak ada tempat lagi untuk mengadu kecuali kepada Allah SWT.

Dugaan, kesusahan atau musibah yang melanda itu akan terasa lebih berat jika sekiranya kita tidak mempunyai kemampuan atau keupayaan untuk menyelesaikannya. Bagi orang-orang yang mempunyai keimanan yang agak teguh juga kadangkala mengalami kekecewaan kerana tergugat dan kekuatan imannya tidak mampu untuk menghadapi masalah atau cabaran yang berlaku, dan keadaan ini mungkin bertambah teruk kepada orang-orang yang lemah imannya.

Musibah adalah dugaan atau ujian kepada orang yang benar-benar beriman atau pun tidak. Ujian kepada orang yang percaya atau yakin kepada Alah ataupun tidak dan juga untuk menguji tahap kepercayaan seseorang kepada Allah SWT. Mengapakah ujian diwujudkan oleh Allah dan mengapa perlu ada. Dalam hal ini Allah SWT telah berfirman yang bermaksud,

“Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta”.


Ayat ini mengingatkan kita dalam menghadapi saat-saat kecemasan atau kritikal, kesusahan ataupun di waktu menghadapi musibah. Dengan membaca al-Quran ita dapat memahami apa yang belum kita bahawa sebelumnya dan setiap sesuatu atau hikmatnya yang tersembunyi yang tidak nampak di mata kasar atau pandangan zahir.


Dugaan ada di mana-mana

Kita perlu bermuhasabah atau menghitung diri kita serta mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku atau kesalahan yang telah kita lakukan.

Dugaan atau cubaan akan menyerlahkan siapakah diri kita yang sebenarnya. Apabila kita telah memilih untuk patuh dan taat kepada Allah seta berserah kepadaNya, perlulah kita meredai apa yang berlaku dan pasrah kepadanya. Jika sekiranya berlaku musibah atau ujian Allah adalah kita kembali kepada amalan, perbuatan atau kepercayaan lama kita? Jika ini berlaku bererti kita gagal dalam menghadap ujian Allah. Namun apa yang lebih penting ialah kita tetap berpegang kepada prinsip keyakinan dan keimanan kepada Allah SWT dan saat yang paling penting ialah apabila kita akan berhadapan dengan Allah pada hari kiamat. Pada hari tersebut kita akan menyatakan dengan perasan gembira dan berkata, “Ya Allah aku tetap teguh berpegang kepada agamamu dan sentiasa memberi sumbangan yang aku mampu demi agamamu dan aku percaya dan reda dengan pertolonganmu walaupun aku menerima ujian dan musibah”.

Adakah kita mampu untuk menyatakan demikian atau sebaliknya? Untuk mencapai tahap itu kita perlu terus tabah, sabar serta terus mengukuhkan keyakinan kita kepada Allah SWT. Kita juga perlu mengakui bahawa dugaan dan ujian dari Allah kita sekadar hanya sekali atau kadang-kadang tetapi ia Allah akan terus menguji kita sama ada dalam senang atau susah, sihat atau sakit dan sebagainya. Dalam sejarah Islam, dugaan, cubaan atau ujian dari Allah merupakan pertanda akan datangnya kemenangan atau kebahagiaan dan yang pastinya sejarah akan berulang. Oleh yang demikian, kita perlu terus menanamkan keyakinan dan ketakwaan kepada anak-anak serta rakan-rakan serta memastikan keyakinan dan ketakwaan kepada Allah itu berakar umbi dalam hati, diri dan jiwa kita walaupun musibah kerap melanda!

Sunday, July 19, 2009

MEMAHAMI PENGERTIAN METODE DAKWAH

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Kita selalu mendengar orang menyebut 'metod dakwah', tetapi apakah sebenarnya maksud istilah atau ungkapan tersebut?. Menurut Kamus Dewan (2005) metode bermaksud ‘cara’ atau ‘melakukan sesuatu’ ataupun sistem bagi mempelajari sesuatu. Dalam pengajaran ajaran Islam metode adalah bermaksud “ suatu cara yang sistematik atau cara yang umum dalam mencari kebenaran ilmiah” (Soeleman Yusuf 1981). Oleh yang demikian metode dakwah adalah jalan atau cara yang diguna pakai oleh para pendakwah untuk menyampaikan bahan dakwah. Dalam usaha menyampaikan dakwah ini, metode atau kaedah yang digunakan amat penting sekali kerana pesanan atau perkara yang ingin disampaikan itu amat baik sekalipun tetapi tidak disampaikan dengan baik dan tersusun ia mungkin tidak diterima atau mudah ditolak oleh pihak yang disasarkan. Dalam usaha mencari kaedah atau metode menyampaikan dakwah yang terbaik, semua pendakwah disarankan untuk merujuk dan mengamati firman Allah SWT sebagai panduan dalam menyampaikan dakwah Islamiah. Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk”.

Berdasarkan ayat di atas metode atau kaedah dakwah ada tiga iaitu, bi al hikmah, Maui’zatul hasanah dan mujadalah billati hiya ahsan. Menurut Wan Hussein Azmi (1984) tiga kaedah atau metode dakwah itu bermaksud,

i. Bi al-hikmah, iaitu berdakwah dengan memerhatikan keadaan dan suasana sasaran dakwah dengan menitik beratkan kemampuan dan kesediaan pihak sasaran, ini bagi memastikan golongan yang didakwahi tidak berasa tertekan, terpaksa atau keberatan untuk menerima dakwah yang disampaikan atau dengan kata lain strategi yang digunakan betul-betul sesuai dengan tempat dan juga sasaran dakwah.
ii. Mau’izatul Hasanah, iaitu berdakwah dengan memberikan nasihat-nasihat atau menyampaikan ajaran Islam dengan rasa kasih sayang sehingga ajaran Islam yang disampaikan itu dapat menyentuh hati mereka.
iii. Mujadalah Billati Hiya Ahsan, iaitu berdakwah dengan cara bertukar-tukar fikiran atau berbincang dengan cara yang terbaik bagi mencari kebenaran.

Dengan penjelasan ringkas ini semoga kita dapat memahami apa yang dimaksudkan dengan 'metod dakwah' itu.

Sunday, July 12, 2009

MEMBINA HARAPAN DAN IMPIAN

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal


Kita kini berada pada bulan Rejab dan majlis sambutan Israk dan Mikraj akan di adakan di merata surau dan masjid di negara kita ini. Salah satu perkara yang pasti disentuh oleh penceramah ialah tentang isu Palestin dan isu tersebut masih belum selesai dan bilakah agaknya umat Islam akan berjaya merampas semula Palestin. Ini merupakan impian dan harapan kita bersama untuk melihat Palestin kembali ke tangan Islam. Impian adalah sesuatu harapan dan semoga harapan itu menjadi kenyataan. Ini seperti yang telah dilakukan oleh Salahuddin al-Ayubbi yang mengimpikan untuk menawan kembali al-Aqsa dan impiannya itu terlaksana. Pernahkah kita mengimpikan untuk menawan semula al-Aqsa?

Cuba kita bayangkan bahawa kita dapat memasuki semula al-Aqsa. Di mana kita hendak masuk sedangkan al-Aqsa banyak pintu-pintunya? Marilah kita memasukinya melalui pintu Hitthah yang merupakan salah satu pintu utama. Mengapa pintu ini? Sebab pintu inilah yang dikatakan oleh Nabi Musa kepada Bani Israel, Firman Allah yang bermaksud,

“Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: "Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda Yang ada di dalamnya Dengan sepuas-puasnya, apa sahaja Yang kamu sukai. dan masuklah kamu melalui pintunya Dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ' Ya Allah ampunilah dosa Kami '; supaya Kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang Yang berbuat baik".

Bersama siapakah kita masuk? Suara siapakah yang kita dengar bila memasuki al-Aqsa? Ya, kita akan mendengar firman Allah,

“Dan Katakanlah:" telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara Yang salah (kufur dan syirik); Sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".

Kemudian kita akan mendengar suara azan yang dikumandangkan oleh Bilal, selanjutnya kita pergi ke tempat batu di mana Rasulullah memulakan perjalanan mikraj ke langit. Tentunya kita berasa gembira dan menitiskan air mata. Kemudian kita akan berkata, “wahai anak muda marilah kita bangunkan semula rumah Allah ini “.

Ya, kita impikan untuk kembali ke al-Aqsa dan memakmurkannya. Sungguh indah harapan itu dan marilah kita berusaha untuk mencapainya. Namun apa yang perlu dilakukan ialah kita perlu belajar, berusaha, menambahkan modal dan dana dan kurangkan tidur. Bangunlah bangsa dan umat, harapan akan menjadi kenyataan.

Thursday, July 9, 2009

BERSEDIA MEMBERI KHIDMAT

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Dalam hidup ini kita hendaklah sentiasa memberikan sumbangan kepada Islam dan Muslimin berdasarkan kemampuan dan kebolehan kita. Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”.

Para ulama berpendapat bahawa akal manusia mempunyai dua bahagian yang saling bersaing untuk berfikir. Bahagian pertama cenderung kepada aspek penilaian dan keyakinan sementara bahagian kedua pula cenderung kepada aspek minat dan kesetiaan. Kedua-dua bahagian ini berfungsi untuk mengubah nilai dan keyakinan untuk membentuk kesetiaan dan begitulah sebaliknya. Perkara ini telah disebut oleh Allah SWT dalam ayat 110 Surah Ali-Imran yang bermaksud,

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara yang baik dan melarang daripada Segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi udkan dibaik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik".

Dalam ayat ini Allah menyebut amal terlebih dahulu dari iman kerana Allah mengehendaki kita agar sentiasa beramal di jalan Allah dan menterjemahkannya dalam kehidupan yang nyata. Selagi kita memberikan sumbangan kepada Islam dan Muslimin, maka kita akan tetap dan mampu mempertahankan keimanan dalam diri kita.

Berpegang dengan al-Quran

Perkara penting yang dapat memperteguh iman kita ialah dengan berpegang kepada al-Quran. Berpegang yang dimaksudkan di sini ialah membaca, menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “ Bacalah al-Quran dan mengkhatamkannya dalam tempoh sebulan”. Membaca dan mengkhatamkan al-Quran dalam masa sebulan sekali amat penting kerana ia dapat menjadi jambatan ke arah kita hidup bersama al-Quran. Dalam sabdanya yang lain bermaksud, “ seseorang yang mulutnya yang tidak menyuarakan al-Quran adalah umpama rumah yang roboh”.

Oleh itu marilah kita membaca al-Quran, mempelajari pengertian dan isi kandungan, mempelajari tajwid dan tafsirnya. Marilah kita hidup dengan al-Quran, demi al-Quran dan bersama al-Quran, semoga dengan al-Quran kita akan memperoleh keteguhan hati, kemantapan jiwa dan sentiasa mendapat petunjuk Allah. Dengan berpegang dengan al-Quran semoga Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan yang lurus sehingga kita menemui Allah dan mudah-mudahan Allah meredai kita. Semoga Allah memberi kekuatan dan keteguhan iman kepada diri kita.

Saturday, July 4, 2009

UMUR YANG DIBERKATI

Oleh: Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Ramai orang yang umurnya singkat tetapi namanya diabadikan hingga dikenang orang hingga ratusan tahun. Sedangkan yang lain, lahir ke dunia ini tetapi ditutupi sejarah tersendiri. Usia seseorang tidak boleh ditentukan panjang atau pendek berdasarkan seperti mana anggapan ramai orang. Ia ditentukan oleh jasa atau karya besar yang telah dihasilkan.

Usamah bin Zaid telah memimpin pasukan tentera Islam ketika berusia 16 tahun. Pasukan yang turut mengandungi beberapa orang sahabat besar Nabi yang lain. Rasulullah bersabda, “ Dia lebih layak dan mampu”.

Selain dari itu Muhammad al-Fatih yang baru berusia 23 tahun telah berjaya menakluki Konstantinapole yang tidak dapat ditawan oleh pasukan tentera Muslimin pada waktu sebelumnya. Saad bin Mu’adz pula memeluk Islam pada usia awal 30 tahun dan meninggal dunia pada umur 37 tahun. Rasululullah bersabda, “ arsy bergetar sebab kematian Sa’ad bin Mu’adz . Jenazahnya begitu ringan. “”Para malaikat turut mengangkatnya” . Betapa beruntungnya Saad bin Mu’adz. Apakah yang telah dilakukan olehnya dalam tempoh tujuh tahun sehingga mendapat penghormatan yang tinggi? Tentunya ia telah mengabdikan seluruh kehidupan, jiwa dan raganya terhadap agama Allah.
Imam An-Nawawi, pengarang kitab “Riyad As-Syalihin”meninggal ketika berumur 40 tahun dan belum sempat mendirikan rumah tangga lantaran kesibukannya dengan ilmu pengetahuan. Tahukah kita berapa jumlah judul buku yang telah ditulis oleh Imam An-Nawawi? Imam Nawawi telah menghasilkan 500 judul buku. Bagaimanakah dalam kesibukan Imam Nawawi itu, beliau makan? “ Sesungguhnya aku tidak makan atau tidur kecuali aku terjatuh”. Kata Imam Nawawi. Disebabkan kesibukannya itu hampir-hampir beliau tidak mempunyai masa untuk perkara tersebut, sehingga ibunya berkata kepada Imam Nawawi, “Wahai anakku, aku telah menyiapkan makanan untukmu”. “ibu, saya sedang sibuk dengan ilmu” kata Iman Nawawi. Ibunya telah menyuapkan makan ke mulut Imam Nawawi tanpa disedari oleh Imam Nawawi sendiri. Setelah azan subuh berkumandang, An-Nawawi bertanya kepada ibunya, “ Ibu di mana makanan yang telah disediakan tadi”, tanya Iman Nawawi. “ Aku telah menyuapkan ke mulutmu”, kata ibunya.”Oh, aku terlupa, oleh kerana kesibukanku ini”.

Inilah contoh umat Muhammad yang berjaya di dunia dan di akhirat dan kita perlu melahirkan orang-orang seperti ini untuk memajukan umat.

Kita perlu membangunkan umat

Khalifah Umar al-Khattab pernah berkata yang menggambarkannya betapa prihatinnya beliau terhadap masa supaya ia tidak terbuang dengan sia-sia. “Bila aku boleh memejamkan mata? Bila tidur di malam hari, aku telah mengambil hak tuhanku, dan apabila tidur di siang hari aku telah mengambil hak rakyatku”.

Begitu juga penggunaan masa yang digunakan oleh Abu Yusuff anak murid Abu Hanifah terhadap kerja-kerja agama. Pada suatu ketika ia bersama anak-anak muridnya dan tiba-tiba ia pengsan. Setelah tersedar dia terus ingin membincangkan persoalan yang berkaitan dengan masalah keutamaan seseorang yang ingin menunaikan haji sama ada secara berjalan kaki atau menaiki tunggangan. Melihat keadaan tersebut anak muridnya berkata, “wahai Imam bukan sekarang waktunya, tuan perlu berehat”, pujuk anak muridnya. Dengan tegas Abu Yusuff menjawab, “ Anakku sekiranya ada sedikit umurku yang dapat membantu agama, pasti aku akan memberikannya”. Begitulah Abu Yusuff, dalam masa yang cukup singkat mana pun beliau sanggup berkorban demi agamanya.
Seterusnya terdapat lagi seorang tokoh yang telah banyak berkorban demi agamanya dan generasi seperti merekalah yang telah dapat mencipta kegemilangan umat Islam masa lampau. Ibnu Rajab pernah berkata, “ Dengan jariku inilah aku telah menulis lebih dari 2,000 jilid buku”. Orang-orang selepas itu telah mengira umur Ibnu Rajab dan membahagikan dengan hasil penulisannya dan didapati Ibnu Rajab telah menulis secara hitung panjang sebanyak sembilan buah buku sehari.

Ternyata kesemua mereka merupakan tokoh-tokoh yang membina generasi Islam yang mantap dan kukuh dari segi fizikal dan mental membangun umat serta mampu membina generasi yang mampu bertahan selama 1,300 tahun.

Namun demikian dalam tempoh 100 tahun kebelakangan ini, generasi muda yang ada hanyalah generasi yang banyak berbicara soal makan, sukan, hiburan serta aktiviti yang banyak membazir masa, tenaga dan wang serta kurang untuk membina generasi yang membina umat. Perkara ini perlu diubah dan generasi muda perlu sedar dan tahu ke mana perlu dituju.


Berlumba dengan masa

Penyataan di atas adalah gagasan dari al-Quran. Ini telah difirmankan oleh Allah SWT,


“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa”




Firman Allah lagi yang bermaksud,

“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal Yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga Yang bidangnya seluas Segala langit dan bumi, Yang disediakan bagi orang-orang Yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; Yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia Yang besar”.


Selanjutnya firman Allah yang brmaksud,

“Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba Dalam mengerjakan kebaikan”

Pada asasnya kita disarankan untuk berlumba, berlumba dengan cepat dan pantas mengejar kebaikan dan kebajikan. Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud, “Bersegeralah melakukan aktiviti kebajikan sebelum dihadapkan tujuh rintangan, adakah kamu sekalian menunggu kefakiran yang menyisihkan, kekayaan yang melupakan, penyakit yang menyukarkan, tua yang membuat ketidakupayaan, kematian yang pasti ataupun dajjal kejahatan yang terburuk pasti datang atau kiamat yang amat dahsyat?”

Berdasarkan kenyataan di atas, kita semua perlu bangun dan bersegera untuk menghadapi cabaran dunia realiti. Pergunakanlah masa dengan sebaik-baiknya kerana masa itu emas. Bukan, masa bukan emas kerana emas boleh dijual beli sedangkan masa yang berlalu tidak akan kembali. Jika kita mensia-siakan masa bererti kita telah mensia-siakan hidup kita.

LAHIRKAN RAMAI CENDEKIAWAN MUSLIM HADAPI PERANG PEMIKIRAN

Arikel yang telah disiarkan dalam Ruangan Agama BERITA HARIAN - 28 Januari 2024 (Ahad). Selamat membaca .