Monday, October 12, 2009

BAGAIMANA PEMUDA KITA HARI INI?

Mejar Burhanuddin Abdul Jalal

Bagaimana pemuda kita pada hari ini? Begitulah soalan yang telah ditanyakan oleh seorang pengacara TV dalam sebuah rancangan bual bicara semalam. Untuk menjawab persoalan tersebut, berikut beberapa petikan kata-kata yang pernah di lafazkan oleh beberapa orang pemuda yang menggambarkan tentang keimanan mereka kepada Allah SWT. Abu Bakar pernah berkata, “ Demi Allah, aku tidak pernah tertidur kemudian bermimpi (tidak ada waktu untuk tidur). Aku pun tidak pernah lupa kemudian keliru, sebab itu aku tidak pernah tersesat jalan”.


Begitu juga kepada pemuda yang bernama Anas bin Nadhir yang tidak berpeluang berperang bersama Rasulullah SAW dalam peperangan Badar tetapi telah terpilih untuk berperang bersama Rasulullah dalam peperangan Uhud. Beliau pernah berkata kepada Rasulullah, “ Wahai Rasulullah, aku tidak ikut serta dalam perang Badar, perang pertamamu dengan musyrikin, tetapi jika Allah memberi peluang kepadaku untuk menentang musyrikin pada waktu yang lain, aku akan memperlihatkan kepada Allah, apa yang aku akan lakukan”.

Dalam peperangan Uhud, Anas yang berada di barisan hadapan dan bersedia untuk berlawan dengan tentera musyrikin, lantas beliau berkata, “ Ya Allah aku memohon ampun atas perlakuan Muslimin dan melepaskan tanggungjawab dari apa yang telah dilakukan oleh musyrikin”. Beliau telah mara beriringan dengan Saad bin Muadz. Selanjutnya beliau berkata kepada Saad, “ Wahai Saad, aku telah mencium bau syurga”. Dalam peperangan itu Anas telah syahid dengan badannya telah ditembusi dengan lebih 80 tusukan pedang, tombak dan panah. Badannya hancur dan hampir tidak dikenali kecuali dapat dipastikan oleh saudaranya melalui hujung jarinya. Dalam hal ini Saad berkata, “ Sesungguhnya aku tidak dapat melakukan seperti mana yang Anas telah lakukan dalam perang Uhud”.

Peristiwa dalam perang Uhud ini telah menjadi sebab musabab turunnya ayat berikut. Firman Allah,
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (Apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun”.
Jelas kepada kita bahawa Ans bin Nadhir adalah pemuda yang amat kuat janjinya kepada Allah SWT. Mungkinkaj janji kita kepada Allah SWT sekuat janji Anas bin Nadhir? Begitu juga kisah yang berlaku kepada Abu Ayyub al-Anshari. Seorang sahabat Nabi ketika berumur 80 tahun, ingin turut serta bersama tentera Islam untuk menakluki Konstantinapol. Beliau berkata, “ aku ingin turut bersama kamu sekalian”. “Engkau sudah tidak mampu lagi, tidak ada daya dan kekuatan menikam” Kata tentera yang lain. Mendengar kata-kata itu Abu Musa al-Ansari membacakan ayat al-Quran,

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam), yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”.

Selanjutnya, Muhammad al-Fatih yang berusia 23 tahun telah berjaya menakluki Konstantinapol, sebuah kota yang tidak pernah ditakluki oleh tentera Islam sebelum ini. Apakah kita mempunyai semangat, daya juang dan daya kepimpinan seperti itu?

Salahuddin al-Ayubi pernah berkata, “Bagaimana aku dapat tersenyum, sedangkan al-Aqsa masih tertawan. Sungguh aku malu kepada Allah bila ia melihat aku senyum, sedangkan saudara-saudaraku di sana menderita”.

Ternyata generasi muda terdahulu mempunyai semangat, keyakinan dan kesungguhan dan telah berjaya membuat penaklukan demi penaklukan dan perubahan demi perubahan. Oleh yang demikian, marilah kita melakukan hubungan yang kesungguhan dan lebuh baik dengan Allah SWT sehingga kita dapat melakukan perubahan yang baik dan diri dan juga lebih diredai.

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024