Tuesday, October 16, 2012

MENCARI ERTI KEMENANGAN SEBENAR


Oleh: Dr Burhanuddin Abdul Jalal

 Jeneral Mahmood Shit Khattab (1980) dalam bukunya ‘al-Islam wa an-Nasr” menegaskan terdapat tiga faktor yang dapat meninggikan moral dan daya juang iaitu agama, kepimpinan dan kemenangan.


a. Agama(Addin). Faktor agama adalah merupakan faktor yang terpenting yang boleh meninggikan moral rakyat dan tentera. Ibn Khaldun dalam bukunya ‘al-Muqaddimah’ telah mencatatkan, “orang-orang arab zaman dahulu tidak dapat membentuk kerajaan dan bersatu sehingga mereka mempercayai akidah yang satu dan agama yang satu...”. Agama Islam mmbentuk jiwa orang Arab ke arah berperaturan, berdisplin, rela syahid dalam memperjuangkan kebenaran dan melihat syahid itu satu kemenangan yang besar dan bernilai dalam peperangan. Perasaan ini juga telah membangkitkan rasa kepercayaan diri dan merasakan bahawa dalam diri mereka ada kekuatan dalaman yang boleh diperlihatkan kepada orang lain atau dunia keseluruhannya.

b. Kepimpinan. Kepimpinan yag baik akan meningkatkan moral dan jika sebaliknya iaitu kepimpinan yang lemah akan menjatuhkan moral. Kepimpinan yang dimaksudkan ialah tidak hanya terbatas kepada kepimpinan tentera semata-mata tetapi kepimpinan secara keseluruhan yang merangkumi kepimpinan politik, kepimpinan kerajaan, perindustian, pemikiran, keluarga, masyarakat dan kepimpinan dipelbagai peringkat dan agensi kerajaan, swasta dan juga umum. Apabila kesemua pemimpin melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan kesedaran, rakyat akan bertambah yakin dan sekaligus dapat meninggikan moral dan daya juang rakyat.

Untuk mencapai tujuan itu, seseorang pemimpin mrstilah dapat menjaga dirinya demi kepentingan rakyat atau orang-orang di bawah kepimpinannya. Pemimpin mesti mengotakan apa yang dicakap, melaksanakan keputusan yang tepat dan patuh kepada peraturan sebelum ia menyuruh orang lain melakukannya. Seorang pemimpin juga perlu sedar bahawa tanggungjawab amanah, nilai-nilai akhlak yang mulia, mengambil berat terhadap nasib orang bawahan dan juga mengambil keputusan yang tepat serta tidak berat sebelah. Seorang pemimin juga mesti mempunyai pandangan hidup yang baik, beriman dan tidak bermuka-muka (hipokrit), serta sanggup mengorbankan kepentingan dirinya demi orang bawahan dan ia juga mesti sanggup tidak cepat jemu atau bosan dalam bekerja, tidak mudah dipengaruhi dan juga mempunyai idea yang cukup jelas dan baik untuk mengurus rakyat dan organisasi.

c. Kemenangan. Kemenangan bermaksud kemenangan di medan perang, di medan ilmu, di tempat kerja dan di kesemua bidang bagi meningkatkan moral dan daya juang. Bagi memastikan kemenangan yang akan dicapai, ia mempunyai beban atau tugas yang perlu dilaksanakan iaitu melaksana dan merancang tugas dengan baik dan berkesan. Tidak ada sesuatu tugas akan berjaya, jika tidak ada perancangan dan pelaksanakaan tugas dengan baik dan cemerlang. Oleh yang demikian, kemenangan tidak akan dicapai dengan cakap-cakap kosong, pembocoran rahsia, pengabaian tugas, pecah amanah, tidak cekap, tidak hadir tanpa cuti, masalah akhlak atau perkara-perkara negatif yang lain. Selain dari itu, seluruh rakyat dan juga anggota tentera mesti dimaklumkan tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku jika kecuaian dilakukan atau perkara-perkara yang boleh memudaratkan negara atau perkhidmatan sama ada dari aspek keselamatan, politik, ekonomi dan juga sosial. Semua pihak perlu berhati-hati dalam tindakan kerana kecuaian dan kelekaan akan membawa padah, lebih-lebih lagi yang bertugas atau yang bekerja disektor yang penting dalam pentadbiran negara.

Oleh yang demikian dalam usaha untuk memastikan daya juang atau moral yang tinggi bagi meraih kemenangan kita semua hendaklah sentiasa mengukuhkan hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita sesama manusia. Ini seperti mana firman Allah dalam ayat 7 surah Muhammad yang bermaksud, “ Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024