WABAK COVID-19 yang menyerang
lebih 150 buah negara di dunia termasuk di Malaysia telah menyebabkan kerajaan
mengambil langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyarankan seluruh
rakyat mematuhi segala saranan yang perlu dilaksanakan bagi mencegah wabak ini
dari terus merebak.
Secara umumnya COVID-19 telah
memberikan kesan terhadap kestabilan ekonomi semua pihak dan konteks negara
kita kumpulan B40 ternyata amat terjejas dari segi ekonomi ataupun kumpulan
orang-orang kampung ataupun sebahagian dari institusi pendidikan persendirian
yang pada masa kini membantu para pelajar untuk mendapat pendidikan bagi
persediaan untuk golongan muda mampu mendepani cabaran masa depan sama ada dari
apek kemahiran kehidupan bagi saraan hidup seterusnya.
Dalam keadaan mendesak begini,
salah satu institusi penting yang mungkin dapat membantu ramai yang terjejas
khususnya keperluan makanan dan keperluan asas kehidupan ialah institusi wakaf.
Institusi wakaf yang telah ditubuhkan oleh pelbagai pihak sejak kebelakangan
ini oleh pelbagai agensi selain yang ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam
negeri-negeri ataupun institusi pengajian tinggi, tentunya boleh dimanfaatkan
dalam situasi getir pada masa kini. Pihak berkuasa wakaf atau nazir wakaf mungkin
boleh bertindak atau sensitif dengan situasi masa kini untuk turut berperanan
untuk turut sejumlah dana yang ada dengan mewakafkan sejumlah dana makanan
kepada individu atau kelompok masyarakat yang memerlukan.
Pihak kerajaan khususnya
Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) kemungkinan boleh membentuk atau
menyelaras sejumlah peruntukan bagi pembiayaan perawatan dengan pembelian alat,
ubatan di hospital atau meringankan bebanan kumpulan yang terkesan wabak ini
khusus para pesakit yang telah pulih ataupun keluarga yang telah kematian waris
mereka akibat COVID 19 ini yang sehingga hari ini (5 April 2020) telah
meningkat ke 61 orang. Ini bermaksud pihak nazir wakaf boleh membantu pihak
berkaitan dengan membantu penerima manfaat wakaf (mauquf alaih) yang tentunya
telah berjalan semula ini, cuba pada kalinya untuk mangsa COVID 19 atau
kumpulan yang terkesan dengan beberapa cadangan berikut:
Pertama:
Pengurus wakaf (Nazir wakaf) boleh melihat kembali data sejumlah tanah wakaf
yang boleh dimajukan untuk pertanian dengan tujuan penyediaan makanan atau bagi
menampung keselamatan makanan (food-security).
Kedua:
Membuat kerjasama dengan pihak yang berminat atau yang tekah aktif dalam sektor
pertanian atau sumber makanan, dengan memajukan tanah yang sedia ada dengan
tanaman makanan secara maksimum. Kerjasama ini sekali gus dapat memenuhi salah
satu daripada 17 matlamat SDG (matlamat pembangun mampan) iaitu “menghentikan
kebuluran atau menjamin keperluan makanan yang cukup untuk negara serta
memajukan pertanian”.
Ketiga: Pihak Pengurus wakaf boleh bekerja dengan
pihak kumpulan syarikat berkaitan dengan GLC yang aktif dalam bidang pertanian
seperti FELDA, TABUNG HAJI, FELCRA, Bousted Plantation dan lain-lain untuk
membuat pelaburan bersama bagi penyediaan sumber makanan yang cukup untuk
negara dalam pertanian, perikanan dan ternakan yang maka kini masih banyak
bergantung kepada import. Mungkin selama ini kita tidak ada pengalaman tentang
aspek ‘keselamatan makanan’ atau ‘food-security’, tetapi COVID-19 tentunya memberi
pengajaran terbaik untuk negara kita yang asalnya negara pertanian untuk
menyediakan sumber makanan rakyat yang kini berjumlah 32 juta dan tidak
bergantung kepada makanan import khususnya makanan ruji iaitu beras yang
sehingga kini kita hanya mampu menyediakan 70% keperluan tempatan dan kita
mengimport 30% yang kurang dengan jumlah RM1.18 billion pada tahun lalu bagi
749,000 tan beras.
Menjadi harapan bersama agar
institusi wakaf yang ada di negara kita dapat manfaatkan dana atau harta yang
telah diwakafkan untuk manfaat umat Islam dengan sebaiknya dan wakaf makanan
ini merupakan sesuatu yang baru, namun ia penting kerana ia melibatkan maqasid
syar’iyyah iaitu menjaga kepentingan nyawa atau jiwa. Semoga pengalaman
COVID-19 dapat menggerakkan kita bersama untuk prihatin tentang isu keselamatan
makanan negara atau ‘national food-security’.
Rencana yang telah diterbitkan dalam Majalah Dewan Tamadun Islam Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Bilangan 7/2020 muka surat 12-15 -
No comments:
Post a Comment