Dakwah Islamiah merupakan ajakan atau seruan ke arah penerimaan dan penghayatan ajaran dan nilai-nilai Islam. Aspirasi ini dapat direalisasikan melalui pengurusan dan perancangan dakwah yang sistematik sesuai dengan saranan al-Quran supaya dakwah disampaikan dan disebar luaskan secara hikmat dan berkesan. Pelaksanaan dakwah juga memerlukan kesungguhan dan istiqamah.Matlamat dakwah tidak akan tercapai jika usaha dakwah hanya dianggap sebagai satu hobi masa lapang atau sekadar memenuhi keperluan sesuatu masa atau tempat. Sikap berpuas hati dengan usaha dakwah yang minimum tidak seharusnya wujud di kalangan pengikut Nabi Muhammad s.a.w.
Salah satu perkara penting yang menjayakan dakwah Islamiah ialah aspek pengurusan dakwah. Aspek pengurusan dakwah yang mantap dan sistematik adalah keperluan asas kepada kemajuan dan kecemerlangan dakwah. Perkara-perkara yang berkaitan dengan aspek perancangan, pengorganisasian, pemantauan dan kepimpinan adalah antara aspek pengurusan yang perlu difahami oleh pendakwah dan organisasi. Pengurusan dakwah yang terancang akan memastikan objektif dakwah iaitu keselamatan dan kesejahteraan umat tercapai.
Bagi Syed Othman al-Habsyi (1998), Pengurusan dakwah adalah pengurusan yang mampu menentukan dakwah matlamat dakwah yang sebenar, menentukan objektif, strategi dan program yang wajar dilaksanakan, mengawal dan melaksanakan segala tugas yang telah ditentukan, mengenal pasti segala masalah serta strategi pelaksanaannya dan membiayai segala program yang dirancang. Berdasarkan kepada pengertian tersebut, pada umumnya pengurusan dakwah perlu mempunyai perkara-perkara seperti, penentuan matlamat, objektif dakwah, strategi dakwah, struktur pengurusan, perancangan program dan juga belanjawan.
__________________________
Telah diterbitkan dalam Dewan Tamadun Islam Terbitan DBP bulan Disember 2020