Wednesday, May 7, 2014

BICARA DAKWAH KE 15 JPDK UKM

Oleh: Dr Burhanuddin Jalal

Penulis telah membentangkan kertas kerja bertajuk "Peranan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Sebagai Organisasi Dakwah Dan Usaha Pengukuhan Daya Juang Anggota Angkatan Tentera Malaysia" dalam Bicara dakwah ke15 Anjuran Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam pada 6 Mei 2014 bertempat di Bilik Majlis, Canselori UKM Bangi. Abstak kertas kerja adalah seperti berikut:


ABSTRAK: Organisasi dakwah merupakan salah satu organisasi yang mengumpulkan pelbagai lapis sumber manusia yang mempunyai pelbagai latar belakang. Kepelbagaian individu manusia ini bukan untuk dikumpulkan untuk meramaikan bilangan ahli dalam organisasi dakwah semata-mata tetapi kepelbagaian manusia ini perlu diuruskan dengan baik agar kepakaran serta potensi mereka dalam bidang masing-masing dapat dimanfaatkan dan disusun atur untuk maslahat dan kepentingan dakwah. Dalam konteks ini institusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menubuhkan Kor Agama Angkatan Tentera pada tahun 1985, sebagai usaha untuk membina penghayatan Islam dalam kalangan anggotanya membentuk kekuatan anggota dari aspek spritual dan mental agar mempunyai daya tempur yang kuat bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Oleh yang demikian, kertas ini ingin melihat sejauh manakah penghayatan Islam dalam kalangan anggota ATM berdasarkan usaha-usaha dakwah dan pendidikan Islam yang telah dilaksanakan oleh Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia melalui program Dasar Pembinaan Mental dan Kerohanian Islam ATM. Kajian perpustakaan, kaedah soal selidik, temu bual dan pemerhatian telah digunakan bagi memperoleh data berkaitan dengan penghayatan Islam anggota ATM. Kajian soal selidik telah dijadikan instrumen kajian lapangan untuk melihat sejauh mana penghayatan Islam dari aspek akidah, ibadah dan juga akhlak. Kajian telah dilakukan terhadap 383 orang responden anggota ATM yang telah dijadikan sampel kajian. Teknik pengambilan sampel secara rambang telah digunakan dan keseluruhan hasil kajian telah dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS versi 16 secara deskriptif dan inferensi. Dapatan kajian menunjukkan penghayatan Islam dalam kalangan anggota ATM adalah tinggi dan ini membuktikan bahawa usaha-usaha Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) untuk membina penghayatan Islam dalam kalangan anggota ATM tercapai.







Bagi pengunjung blog yang berhasrat untuk mendapat kertas penuh sila kunjungi: bicaradakwahjpdk.blogspot.com.

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024