Thursday, February 21, 2019

Model wakaf pertahanan relevan di Malaysia


Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya ‘, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu’, telah mendefinisikan wakaf,  ialah menahan harta yang kekal zatnya yang boleh digunakan manfaatnya untuk tujuan kebajikan sebagai usaha taqarrub kepada Allah SWT, harta yang diwakafkan diserahkan kepada pihak tertentu dan mereka tidak boleh menggunakan harta wakaf tersebut secara sewenang-wenangnya. Menurut istilah yang digunakan dalam perundangan Islam pula, wakaf difahami sebagai suatu bentuk dedikasi harta, sama ada secara terang (sarih) atau sindiran (kinayah) di mana harta (substance) berkenaan ditahan dan hanya manfaatnya sahaja yang diaplikasikan kepada tujuan-tujuan kebajikan sama ada berbentuk umum mahupun khusus. Sebenarnya amalan wakaf merupakan sistem yang telah lama wujud dalam kehidupan manusia sebelum Islam datang, walaupun tidak dinamakan dengan wakaf. Ianya terbukti dengan terdapat pembinaan dan pembiayaan tempat-tempat peribadatan dilakukan sesuai dengan konsep wakaf.

Selain dari itu, wakaf merupakan instrumen kewangan yang berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan sesebuah negara, malah terlibat dalam pembinaan tamadun suatu ketika dahulu. Hal ini kerana fungsi dan peranan wakaf atau juga disebut sebagai sektor ketiga ini adalah sangat besar. Sebagai buktinya adalah perkembangan negara dan peningkatan taraf hidup di negara Turki yang dibantu oleh mekanisme wakaf. Antara hasil daripada aktiviti wakaf adalah pembinaan institusi keagamaan dan pendidikan, kemudahan awam, pertanian, perladangan dan banyak lagi. Perkembangan wakaf ini dapat dilihat hampir ke seluruh dunia apabila negara Eropah juga menjadikan wakaf sebagai instrumen dalam pembinaan institusi pendidikan. Contohnya, pembinaan Universiti Harvard dan Universiti Cambridge. Perkembangan aktiviti wakaf dilihat berkembang ke rantau Asia termasuklah Malaysia.

            Dalam hal ini Institusi wakaf perlu terus berkembang mengikut arus pemodenan, iaitu konsep wakaf dilaksanakan mengikut keperluan dan keadaan semasa. Ia perlu dikembangkan dengan cara yang terbaik dan waspada demi memaksimumkan manfaatnya kepada umat Islam khususnya dan manusia seluruhnya. Pada hari ini wakaf seharusnya tidak harus disempitkan lagi malah ianya terus dikembangkan dengan lebih meluas mengikut keperluan semasa. Masyarakat Malaysia masa kini masih lagi dibayangi oleh pemahaman bahawa wakaf adalah berorientasikan tanah terbiar atau pembinaan masjid dan surau. Namun sedikit sebanyak dengan wujudnya saham tunai dan saham wakaf telah memberikan pendedahan tentang konsep sebenar wakaf itu iaitu ianya tidak hanya tertumpu kepada pembinaan rumah-rumah Allah sahaja.-BERITA HARIAN 19 FEB 2019 Muka surat 10

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024