Dari perspektif agama, rasuah bermaksud suatu tindakan curang
bagi mendapatkan wang ataupun keuntungan dengan cara atau kaedah melangkau atau
membelakangkan peraturan atau undang-undang negara.Tindakan atau perlakuan ini
merangkumi memberi atau menerima suapan (bribery),
mencuri (theft), menggelapkan (embezzlement), melakukan pemalsuan,
pemerasan atau ugutan (extortion),
dan menyalah gunakan pangkat atau jawatan awam ketika berkuasa (graft). Semua
perbuatan ini dari aspek agama hukumnya adalah haram. Islam amat melarang amalan atau perbuatan
rasuah dalam apa juga bentuk merangkumi menipu (ghissi), mencuri (sariqah),
menggelapkan (ghulul) suapan (rasywah) atau meminta suapan (irtisya’).
Firman Allah dalam surah
Ali-Imran ayat 161 yang bermaksud, “Siapa
bertindak curang iaitu melakukan rasuah nescaya datang dengan kecurangannya itu
pada hari kiamat kelak”. Imam al-Razi dalam kitab tafsir al-Kabir menjelaskan curang bermaksud
mengambil hak negara secara diam-diam atau tersembunyi. Nabi Muhammad SAW juga
pernah bersabda yang bermaksud, “Wahai
manusia, siapa pun yang menjalankan tugas untuk kami, lalu dia menyembunyikan
dari kami barang sekecil jarum atau lebih, maka apa yang disembunyikannya itu
adalah kecurangan [iaitu rasuah] yang kelak dibawanya pada hari kiamat”.
(Hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad). Bahkan dalam hadis yang lain Nabi
Muhammad SAW menegaskan, “Seutas tali
sekalipun akan menjadi api neraka atau dua utas tali akan menjadi api neraka
[seandainya tidak dikembalikan]”. (Hadis Riwayat Imām al-Bukhārī) serta
hadis nabi yang bermaksud, “Pemberi
rasuah dan penerima rasuah akan ke neraka” (Hadis Riwayat Imām al-Bukhārī
dan Muslim). BERITA HARIAN - 9 FEB 2019
No comments:
Post a Comment