Baru-baru ini seorang yang berpengaruh dalam dunia
perniagaan telah mengeluarkan kenyataan yang dikategorikan sebagai menghina
pasukan keselamatan negara dengan menyebut anggota tentera “hanya makan dan
tidur sahaja malah ramai yang tidak pernah menembak”. Berdasarkan kenyataan
tersebut, ternyata terdapatnya individu atau kelompok yang masih kabur tentang
peranan Angkatan Tentera Malaysia terhadap keselamatan dan pertahanan negara yang
menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran ekonomi negara serta individu sekaligus
menggambarkan ramai juga yang mahir kabur tentang ilmu pertahanan.
Sesungguhnya ilmu tentang pengurusan pertahanan
perlu dikaji, dipelajari serta disebarluaskan agar ia tidak dianggap sesuatu
yang ‘asing’ atau hanya ia melibatkan institusi atau kerjaya ketenteraan
semata-mata. Ilmu sains pertahanan atau ‘defence
science’ sebagai satu disiplin ilmu perlu terus berkembang dengan disokong
dengan pelbagai kajian dari pelbagai disiplin ilmu. Dalam hal ini usaha
kerajaan menubuhkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada tahun 2006 itu
tentunya berhasrat untuk memenuhi keperluan tersebut.
Perlu kita sedari bahawa ilmu pengurusan pertahanan
bersifat universal kerana ia bukan semata-mata keperluan kepada institusi
ketenteraan tetapi ia juga perlu kepada orang awam kerana ancaman keselamatan
akan melibatkan seluruh dimensi kehidupan seluruh masyarakat yang terdiri dari
pelbagai bangsa dan kaum serta kehidupan bernegara. Perkara ini telah disentuh dalam Dasar
Pertahanan Negara yang telah diwujudkan sejak tahun 2008 lagi. Antara lain
Dasar Pertahanan Negara menyebut hasrat negara untuk mempertahankan
kepentingan-kepentingan strategiknya dan memelihara keselamatan negara. Dasar
pertahanan menggariskan tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan
strategik negara, prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan. Ia
menekankan keperluan mengekalkan sekitaran kawasan kepentingan strategik negara
yang stabil dan aman.
Selain Sebagai sebuah negara yang bebas dan
berdaulat, Malaysia menyedari bahawa langkah yang paling wajar untuk memelihara
kepentingan dan keselamatan negara adalah melalui usaha ke arah keupayaan
berdikari yang merupakan teras dasar pertahanan negara. Prinsip ini memberi
penekanan kepada keupayaan berdikari Angkatan Tentera dalam struktur keupayaan
berdikari nasional. Ianya melibatkan tidak hanya pasukan tempur tetapi juga
rangkaian sokongan logistik cetusan kerjasama industri-ketenteraan yang sejajar
dengan keutamaan program pembangunan negara. Dalam hubungan ini, keupayaan
berdikari tidaklah terhad kepada usaha-usaha Angkatan Tentera semata-mata
tetapi sewajarnya melibatkan semua agensi Kerajaan yang berkaitan dan rakyat
jelata. Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira had-hadnya, keupayaan
berdikari negara umumnya berasaskan dua landasan. Pertama, memiliki keupayaan
untuk bertindak bersendirian tanpa bantuan luar dalam perkara-perkara berkenaan
keselamatan dalam negeri, dan kedua, memiliki keupayaan untuk bertindak
bersendirian dalam mempertahankan kedaulatan wilayah dan
kepentingan-kepentingan keselamatan dalam lingkungan kawasan terdekat dari
ancaman luar tahap rendah dan pertengahan.
__________________________________________
Telah disiar dalam BERITA HARIAN pada 2 September 2019