Tuesday, September 10, 2019

Konsep HANRUH terap patriotisme pelbagai kaum




Baru-baru ini seorang yang berpengaruh dalam dunia perniagaan telah mengeluarkan kenyataan yang dikategorikan sebagai menghina pasukan keselamatan negara dengan menyebut anggota tentera “hanya makan dan tidur sahaja malah ramai yang tidak pernah menembak”. Berdasarkan kenyataan tersebut, ternyata terdapatnya individu atau kelompok yang masih kabur tentang peranan Angkatan Tentera Malaysia terhadap keselamatan dan pertahanan negara yang menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran ekonomi negara serta individu sekaligus menggambarkan ramai juga yang mahir kabur tentang ilmu pertahanan.

Sesungguhnya ilmu tentang pengurusan pertahanan perlu dikaji, dipelajari serta disebarluaskan agar ia tidak dianggap sesuatu yang ‘asing’ atau hanya ia melibatkan institusi atau kerjaya ketenteraan semata-mata. Ilmu sains pertahanan atau ‘defence science’ sebagai satu disiplin ilmu perlu terus berkembang dengan disokong dengan pelbagai kajian dari pelbagai disiplin ilmu. Dalam hal ini usaha kerajaan menubuhkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada tahun 2006 itu tentunya berhasrat untuk memenuhi keperluan tersebut.

Perlu kita sedari bahawa ilmu pengurusan pertahanan bersifat universal kerana ia bukan semata-mata keperluan kepada institusi ketenteraan tetapi ia juga perlu kepada orang awam kerana ancaman keselamatan akan melibatkan seluruh dimensi kehidupan seluruh masyarakat yang terdiri dari pelbagai bangsa dan kaum serta kehidupan bernegara.  Perkara ini telah disentuh dalam Dasar Pertahanan Negara yang telah diwujudkan sejak tahun 2008 lagi. Antara lain Dasar Pertahanan Negara menyebut hasrat negara untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan strategiknya dan memelihara keselamatan negara. Dasar pertahanan menggariskan tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan strategik negara, prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan. Ia menekankan keperluan mengekalkan sekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman.

Selain Sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, Malaysia menyedari bahawa langkah yang paling wajar untuk memelihara kepentingan dan keselamatan negara adalah melalui usaha ke arah keupayaan berdikari yang merupakan teras dasar pertahanan negara. Prinsip ini memberi penekanan kepada keupayaan berdikari Angkatan Tentera dalam struktur keupayaan berdikari nasional. Ianya melibatkan tidak hanya pasukan tempur tetapi juga rangkaian sokongan logistik cetusan kerjasama industri-ketenteraan yang sejajar dengan keutamaan program pembangunan negara. Dalam hubungan ini, keupayaan berdikari tidaklah terhad kepada usaha-usaha Angkatan Tentera semata-mata tetapi sewajarnya melibatkan semua agensi Kerajaan yang berkaitan dan rakyat jelata. Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira had-hadnya, keupayaan berdikari negara umumnya berasaskan dua landasan. Pertama, memiliki keupayaan untuk bertindak bersendirian tanpa bantuan luar dalam perkara-perkara berkenaan keselamatan dalam negeri, dan kedua, memiliki keupayaan untuk bertindak bersendirian dalam mempertahankan kedaulatan wilayah dan kepentingan-kepentingan keselamatan dalam lingkungan kawasan terdekat dari ancaman luar tahap rendah dan pertengahan.
 __________________________________________
Telah disiar dalam BERITA HARIAN pada 2 September 2019

No comments:

DEFISIT SOSIAL GUGAT SEMANGAT PERPADUAN, ROSAK ERTI KEMERDEKAAN

 -------------------- Rencana yang telah disiarkan dalam Berita Harian 6 September 2024